Ratu Cantik & Naib Presiden Limkokwing University, DATO’ DANIA Memukau Di Usia 44 Tahun!

Orangnya bijak, ramah, bertubuh langsing dan menawan. Penampilan Dato’ Wahadaniah Abdul Wahab atau lebih mesra disapa Dato’ Dania memang tidak ubah persis seorang ratu cantik. Jadi, tak hairanlah ibu kepada seorang cahaya mata ini dinobat sebagai Mrs Fabulous Malaysia 2019. Ternyata, beliau layak menerima pengiktirafan berkenaan.

Dato’ Dania seorang wanita yang berdisiplin dan mengamalkan budaya kerja teratur. Barangkali kerana beliau sudah terbiasa dengan tuntutan kerja yang rapi sepanjang menjawat tugas Naib Presiden Limkokwing University of Creative Technology. Bukan calang-calang jawatan tu!

Bukan mudah seorang wanita yang sudah berkeluarga diberi mandat menggalas jawatan penting dalam sesebuah organisasi. Apatah lagi bagi institusi pendidikan tinggi yang membabitkan pembangunan modal insan dalam kalangan generasi muda. Pastinya, Dato’ Dania memiliki kredibiliti yang hebat sehingga beliau meraih kepercayaan menjadi salah seorang individu penting dalam pentadbiran universiti swasta terulung itu.

Mahu lebih berjaya dan memberi inspirasi serta mengangkat martabat wanita di mata dunia, Dato’ Dania nekad mengasah potensi diri dengan menyertai Mrs Fabulous Malaysia 2019, sebuah pertandingan ratu cantik yang mengasah bakat golongan wanita berkahwin termasuk ibu tunggal dalam bidang sosial dan ekonomi. Ujar pemenang Mrs Fabulous Malaysia 2019 ini, “Peranan wanita hari ini bukan sahaja menjadi suri rumah, mereka juga mampu memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan ekonomi dan keusahawanan.

Penglibatan saya dalam Mrs Fabulous Malaysia 2019 memberi peluang untuk membuktikan dan melakar kehidupan serta cita-cita pada masa depan. Memenangi pertandingan ini juga membantu meningkatkan kemahiran teknikal dan taktikal saya dengan lebih baik. Ia berjaya menjadikan saya lebih berkeyakinan dan berhati waja dalam memastikan segala kemahiran yang saya dapat dimanfaatkan dengan baik.

Kejayaan ini tidak akan diperoleh tanpa sokongan dan komitmen anak tunggal saya, Adi Muhammad Irfan, keluarga, teman istimewa, rakan kerja, mentor dan pasukan Teamworks yang banyak memberi latihan pembangunan diri kepada setiap wanita. Terutamanya melibatkan sektor keusahawanan, bakat dan pengucapan awam. Fokus pertandingan ini juga tidak tertumpu kepada kecantikan semata-mata tapi lebih menekankan keupayaan wanita itu sendiri.”

Selain terlibat dengan usaha kemasyarakatan, Dato’ Dania juga sedang rancak mengusahakan projek pemerkasaan wanita menerusi teknologi era digital dan perkhidmatan E-perdagangan secara dalam talian di Fabulous Tele Virtual (FTV).

Dato’ Dania ketika menyertai Mrs Fabulous Malaysia 2019

Ditanya mengenai pengurusan masa di antara kerjaya dan keluarga, wanita kelahiran Kuala Lumpur ini mendedahkan, “Sebagai hamba Allah, ibu tunggal, anak dan juga wanita bekerjaya saya memerlukan komitmen pengurusan masa dan disiplin yang amat tinggi.

Tiada perbezaan ketara antara budaya wanita di Malaysia dengan negara lain cuma yang menjadi asas penting adalah kebijaksanaan seseorang wanita itu dalam mengimbangi tugas dan tanggungjawab kepada keluarga.

Setiap minit yang ada dalam hidup ini tidak boleh kita sia-siakan. Wanita hari ini perlu multitasking. Misalnya apabila berada di tempat kerja, segala masa dan tumpuan saya adalah sepenuhnya untuk menyelesaikan urusan pentadbiran dan perancangan strategik syarikat. Begitu juga apabila berada di rumah. Ia dua perkara yang tidak boleh dicampur-adukkan. Bagi saya, keluarga adalah segalanya. Tanpa keluarga, banyak perkara tidak akan berlaku.”

Walaupun sudah meniti usia 44 tahun, penampilan Dato’ Dania sentiasa mencuri tumpuan. Mana tidaknya, bersandarkan tubuh ramping dan tinggi lampai pasti ramai yang menyangka personaliti ini persis anak dara. Hakikatnya, Dato’ Dania merupakan ibu kepada seorang anak lelaki yang sudah meningkat dewasa.

Menyingkap rejim kecantikan yang diamalkan, Dato’ Dania lantas menyusun bicara. “Urich berpendapat bahawa, ‘Luar yang sihat bermula dari dalam.’ Tidak dinafikan, saya kerap melakukan rawatan kecantikan dan kesihatan diri di pusat kecantikan atau spa. Dengan rawatan spa yang konsisten juga menyumbang kepada kesihatan tubuh badan yang sihat dan menguatkan sistem imun badan.

Bagi saya, rawatan di spa juga mencegah diri daripada keletihan dan kegelisahan akibat tekanan hidup seharian. Bila tubuh badan kita sihat, semua pekerjaan yang kita buat jadi lebih mudah.

Selain berkunjung ke spa, saya juga pergi ke gimnasium selepas waktu bekerja bila ada masa terluang. Tujuan saya pergi ke gim adalah untuk menjaga kesihatan mental dan fizikal agar saya tetap sihat dan tenang. Dalam masa sama, untuk jaga kecergasan tubuh badan.”

 

IKLAN
Share