
Reset usus dan reset tenaga menjelang Ramadan, ramai yang berazam mahu jadikan bulan puasa ini sebagai fasa detoks semula jadi. Namun realitinya, belum seminggu berpuasa, sudah mula terasa pedih ulu hati, perut kembung, sembelit malah badan pun cepat letih.
Menurut Pakar Perubatan Gastroenterologi & Hepatologi, Pusat Perubatan Sunway, Dr Sheikh Anwar Abdullah, keadaan ini memang kerap berlaku dan biasanya berpunca daripada pilihan makanan antara waktu iftar dan sahur. Namun beliau menegaskan, Ramadan sebenarnya peluang terbaik untuk kita ‘reset’ sistem penghadaman jika dilakukan dengan cara yang betul.
“Berpuasa memberi peluang untuk sistem pencernaan berehat. Badan menghasilkan kurang asid dan mengurangkan punca keradangan. Ini membantu memperbaiki kesihatan usus. Tetapi kita sering sia siakan peluang ini dengan makan berlebihan semasa iftar atau mengabaikan hidrasi dan serat,” jelasnya.
Drama Perut

Jadi bagaimana mahu berpuasa dengan perut yang selesa sepanjang hari? Semak tip puasa tanpa drama perut ini:
Kajian menunjukkan peningkatan masalah penghadaman sepanjang Ramadan seperti perut kembung, pedih ulu hati dan sembelit. Puncanya sering kali kombinasi makanan berat, pedas, bergoreng, kurang air serta jarak masa makan yang panjang.
Tambah pula corak tidur yang berubah dan tahap tenaga yang menurun menyebabkan ramai kurang aktif. Apabila pergerakan fizikal berkurang, proses penghadaman menjadi lebih perlahan dan sembelit lebih mudah berlaku.
Ringkasnya, bukan puasa yang menjadi masalah, tetapi cara kita menguruskan pemakanan.

Sahur Seimbang, Tenaga Lebih Tahan Lama
Meninggalkan sahur atau memilih makanan segera mungkin nampak mudah, tetapi kesannya boleh berlarutan sepanjang hari. Dr Sheikh Anwar menekankan kepentingan sahur yang seimbang dan mudah dicerna.
Menu ideal termasuk karbohidrat kompleks seperti oat atau beras perang untuk tenaga tahan lama, digabungkan dengan protein seperti telur, ikan atau tofu. Buah-buahan yang tinggi kandungan air seperti tembikai dan timun juga membantu mengekalkan hidrasi.
Jika tidak mempunyai intoleransi laktosa, yogurt boleh menjadi pilihan baik kerana kandungan probiotiknya menyokong kesihatan usus. Pada masa yang sama, elakkan makanan pedas dan berminyak kerana ia boleh mengganggu lapisan perut dan meningkatkan risiko pedih ulu hati.

Berbuka Secara Perlahan, Bukan Terus Membebankan Perut
Selepas hampir 13 jam berpuasa, perut memerlukan masa untuk kembali aktif. Memulakan iftar dengan air kosong dan beberapa biji kurma adalah langkah terbaik. Beri ruang seketika sebelum menikmati hidangan utama, mungkin dengan menunaikan solat Maghrib terlebih dahulu.
Pendekatan ini membantu sistem penghadaman menyesuaikan diri secara beransur ansur. Untuk hidangan utama, pastikan ia seimbang dengan karbohidrat kompleks, protein dan lemak sihat. Kurangkan minuman manis, makanan bergoreng dan terlalu masin yang boleh menyebabkan kembung serta ketidakselesaan.

Moreh Secara Sederhana
Moreh adalah tradisi yang mengeratkan hubungan, tetapi makan terlalu lewat malam boleh mencetuskan pedih ulu hati. Amalkan jarak dua hingga tiga jam antara waktu makan terakhir dan waktu tidur bagi mengurangkan risiko asid perut naik ketika berbaring.
Jika masih lapar selepas tarawih, pilih snek ringan seperti buah buahan atau segenggam kekacang berbanding hidangan berat.
Hidrasi Cukup Elak Sembelit
Sembelit antara masalah paling kerap berlaku sepanjang Ramadan dan biasanya berpunca daripada kekurangan air. Dr Sheikh Anwar menyarankan pengambilan sekurang kurangnya 2 hingga 2.5 liter air antara waktu iftar dan sahur.
Minum secara perlahan dan berperingkat, bukan sekaligus dalam jumlah besar. Sertakan buah buahan tinggi air dan hadkan pengambilan kafein kerana ia boleh meningkatkan dehidrasi. Hidrasi mencukupi bukan sahaja menyokong penghadaman, malah membantu mengurangkan sakit kepala dan keletihan.

Serat Kunci Usus Lebih Sihat
Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi NHMS 2024, hanya sebahagian kecil rakyat Malaysia mencapai pengambilan buah dan sayur yang disyorkan. Kekurangan serat ini menyumbang kepada sembelit dan perut kembung yang lebih teruk ketika berpuasa.
Serat membantu melancarkan sistem penghadaman, menstabilkan paras gula dalam darah serta memberikan rasa kenyang lebih lama. Tambahkan serat secara berperingkat melalui buah buahan, sayur sayuran, kekacang dan bijirin penuh bagi mengelakkan rasa kembung.
Siapa Perlu Lebih Berhati-Hati?
Walaupun berpuasa selamat untuk kebanyakan orang dewasa, mereka yang mempunyai masalah seperti ulser kolitis, ulser duodenum, pendarahan gastrik atau sirosis hati sederhana hingga teruk perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.
Bagi yang mengambil ubat gastrik, ambil kira kira 30 minit sebelum sahur untuk kesan maksimum. Jika mengalami sakit perut berterusan, muntah, cirit birit atau pendarahan, jangan paksa diri dan dapatkan rawatan segera.
Teruskan Tabiat Sihat Selepas Ramadan
Ramadan bukan sekadar reset sementara. Jadikan ia titik permulaan kepada gaya hidup lebih sihat sepanjang tahun. Teruskan pemakanan seimbang, hidrasi mencukupi dan jarakkan waktu makan walaupun selepas Syawal.
Seperti yang ditekankan oleh Dr Sheikh Anwar, puasa dan kesihatan perlu seiring. Apabila usus sihat, tenaga lebih stabil, fokus ibadah meningkat dan pengalaman Ramadan menjadi lebih bermakna.
Puasa tanpa drama perut bukan mustahil. Dengan pilihan makanan yang bijak dan disiplin yang konsisten, Ramadan boleh menjadi bulan yang benar benar menyembuhkan dari dalam.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/anwar-ibrahim-wan-azizah-46-tahun-cinta/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





