
Seronok tengok perjalanan Irma Hasmie ke Tanah Suci Mekah baru-baru ini. Sejak pintu sempadan dibuka dan berakhir fasa endemik Covid-19, ramai yang ambil kesempatan melancong ke luar negara. Tidak kurang juga yang berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah selepas lebih dua tahun Covid-19 melanda seluruh dunia.
Terubat rasa rindu tengok perkongsian video dan gambar yang dimuat naik Irma di media sosial miliknya. Kunjungan selebriti jelita tersebut ke Tanah Suci kali ini lebih bermakna apabila dia dapat membawa bersama dua anak tersayang iaitu Irfhan dan Naylie.
Kongsi Irma, “Dengan izin-Nya, sampai kami ke Madinah al-Munawwarah dan Makkah al-Mukarramah. Syukur yang amat sangat rezeki menjadi tetamu Allah.
Rasa bahagia dapat merasa pemusafiran bersama family, dengan Irfhan Naylie. Paling touching dapat bawa mereka ziarah Nabi hari-hari waktu di Masjid Nabawi.



Di Makkah pula dapat duduk kat dataran dengan anak-anak dalam Masjidil Haram tengok Kaabah. Lepas tu tak sangka subhanAllah dapat merasa pengalaman hujan batu (ais) di Tanah Suci Makkah.
Pada semua yang kirim doa, semoga Allah menerima taubat kita. Moga Allah terima hajat-hajat dan permintaan kita. Dah balik ni memang rasa rindu sangat. Semoga kepulangan kami beserta dengan reda dan keampunan Allah SWT.
Terima kasih Wira Saujana Travel kerana menjaga, memudahkan urusan, membantu permasalahan para jemaah dengan baik.
Yang selalu dalam hati dan ingatan di setiap langkah saya dan sentiasa menyokong dan memberi kekuatan, doaku moga Allah membalas dengan banyak-banyak kebaikan, bahagia dunia akhirat dan moga Allah satukan kita kembali di syurga.”




Sepanjang perjalanan menunaikan ibadah umrah, Irma sempat membawa anak-anak menziarahi Masjid Quba dan Telaga Iziq. Untung Irfhan dan Naylie, kecil-kecil lagi dah dapat peluang menziarah tempat bersejarah tamadun Islam.
Irma yang suatu ketika dulu popular sebagai model dan pelakon kini lebih tertumpu kepada aktiviti dan misi kemanusiaan. Malah, dia juga Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia dan Ikon Media Sumbangan.Com.
Buat Rawatan Pergigian, Braces Di Hotel, Profesor Ini Bongkar Risiko Jumpa Doktor Gigi Tak Bertauliah!

Isu doktor gigi haram sudah berlarutan bertahun-tahun lamanya. Semakin banyak aduan mengenai doktor palsu diterima Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hasil laporan pelanggan yang tidak berpuas hati. Pada tahun 2017 sahaja, KKM menerima 54 laporan dan meningkat ke 130 aduan pada tahun 2019.
Menurut Dekan Fakulti Pergigian Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) Profesor Seow Liang Lin, rawatan pergigian yang diberikan pihak yang tidak berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan bukan pemegang Sijil Perakuan Pengamalan Tahunan (APC) atau Sijil Perakuan Pengamalan Sementara (TPC) yang sah untuk memberikan rawatan pergigian di Malaysia adalah dianggap sebagai haram.
“Lazimnya, terdapat golongan doktor gigi haram yang membuka gerai bukan sahaja di pasar malam, tetapi di pasar-pasar pagi juga.
Mereka menawarkan rawatan pergigian seperti menggantikan gigi patah kepada pengunjung pasar-pasar ini yang biasanya dalam lingkungan usia pertengahan dan yang lebih berusia.” Prof Seow Liang Lin
Satu lagi golongan beroperasi di salon-salon kecantikan. Mereka menawarkan perkhidmatan estetik seperti pemutihan gigi dan venir. Berdasarkan pemerhatian, pelanggan mereka terdiri daripada orang yang lebih muda yang selalu mendapatkan perkhidmatan pergigian begitu di salon-salon kecantikan.
Walaupun prosedur-prosedur berkenaan nampak ringkas dan biasa, namun tidak sepatutnya seorang pendandan kecantikan diberikan kepercayaan untuk menjalankan prosedur pergigian.
Ada juga golongan yang menguar-uarkan perkhidmatan mereka di media sosial dan mempunyai klinik sementara di bilik-bilik hotel. Kadang-kadang, mereka turut menawarkan perkhidmatan dari rumah ke rumah.
Lebih mengejutkan, ramai di kalangan mereka hanya belajar kemahiran pergigian melalui tontotan video-video di YouTube dan melakukan rawatan seperti memasang pendakap gigi sehinggalah ke prosedur venir!
UMPAN
Agak pelik apabila ada sesetengah orang yang sanggup mendapatkan rawatan pergigian di pasar-pasar, tetapi khidmat ini biasanya ditawarkan sebagai satu cara yang mudah dan cepat untuk menangani masalah kehilangan gigi.
Pengunjung berjumpa ‘doktor gigi’ yang menjanjikan sesuatu seperti menggantikan gigi yang patah pada kadar segera. Hakikatnya apa yang mereka dapat adalah doktor gigi haram yang hanya menyambungkan gigi palsu kepada gigi asal dengan menggunakan dawai atau seumpamanya.
Buat jangka masa singkat, pelanggan berpuas hati kerana mereka tidak perlu membuat gigi palsu. Tetapi apa yang mereka tidak sedar adalah gigi palsu tersebut sebenarnya tidak berfungsi dan akan menyebabkan kerosakan kepada gusi dan gigi asal di sebelah gigi palsu itu.
“Gigi asal akan mereput dan menyebabkan radang gusi apabila makanan terselit.” Prof Seow Liang Lin
Rawatan pergigian di salon-salon kecantikan pula menawarkan keselesaan yang menjadi penarik utama. Dengan menggunakan ‘umpan’ suasana yang menenangkan berbanding di klinik gigi, pelanggan terpedaya untuk membuat rawatan pemutihan atau venir sebagai sebahagian pakej kecantikan.
Namun begitu, sebab utama yang yang membolehkan perkhidmatan pergigian penuh tipu daya ini terus-menerus ditawarkan adalah kerana kurangnya pendidikan dan kesedaran akan akibat jangka panjangnya.
“Orang ramai tertarik dengan gambar-gambar sebelum dan selepas yang menjanjikan penyelesaian yang mudah dan cepat. Mereka terperangkap dengan promosi jualan yang meyakinkan.
Walaubagaimanapun, ia hanya nampak baik untuk jangka masa yang pendek tetapi kesudahannya anda menderita untuk jangka masa yang panjang.” Prof Seow Liang Lin
HAKIKAT
Apakah proses sebenar dalam rawatan-rawatan pergigian ini?
Pemutihan Gigi
Prosedur pemutihan melibatkan pemutihan gigi dengan menggunakan krim atau gel yang mengandungi bahan-bahan kimia seperti hidrogen peroksida atau karbamida peroksida. Gel tersebut disapu pada permukaan gigi selepas proses menggilap dan penskaleran, di mana keseluruhan proses mengambil masa satu jam ke satu jam setengah.
Ia boleh dilakukan di klinik pergigian atau melalui preskripsi (pemutihan di rumah). Rawatan pemutihan di rumah akan dinilai terlebih dahulu di klinik, Kemudian, pesakit dibimbing menggunakan gel pemutih selama beberapa jam di rumah untuk tempoh satu ke tiga minggu dengan cara yang betul. Keseluruhan proses akan dipantau doktor gigi.
Sementara itu, di salon-salon kecantikan pula, anda berisiko menerima gel pemutih yang tidak menepati piawaian dan boleh memudaratkan gigi dan gusi. Tiada proses penilaian yang betul diberikan bagi memastikan gigi sesuai menjalani proses pemutihan. Anda mungkin membayar untuk rawatan yang tidak sesuai dengan anda. Jadi, anda tidak mendapat hasil rawatan yang baik.
Venir
Satu lagi rawatan popular di salon-salon kecantikan adalah venir. Menurut Profesor Seow, venir digunakan dalam beberapa keadaan tertentu yang mana salah satu daripadanya adalah apabila gigi yang kuning tidak sesuai menjalani prosedur pemutihan.
Contohnya, akibat kesan tetrasiklina yang berlaku apabila seorang ibu mengambil antibiotik tetrasiklina semasa hamil, menyusukan anak atau apabila kanak-kanak mengambilnya semasa gigi sekunder dan utama sedang tumbuh.
“Kesan berwarna hitam kelabu ini tidak boleh dirawat melalui proses pemutihan kerana ianya dari dalam gigi.” Prof Seow Liang Lin
Dalam situasi lain pula, venir sesuai digunakan jika gigi tidak rata dan pesakit tidak mahu memakai pendakap gigi, dan ini termasuklah keadaan di mana gigi rosak teruk.
Proses yang terlibat termasuklah mengikis nipis struktur gigi dan menampal venir. Proses ini dinamakan venir tidak langsung. Ada juga venir langsung di mana doktor gigi akan menggunakan bahan tampalan berwarna gigi untuk menutupi gigi yang kuning lalu mengubah bentuk dan saiz gigi.
Dengan doktor gigi yang sah, venir jenis tidak langsung dibuat khas dan dihasilkan di makmal pergigian, manakala venir langsung memerlukan kerja tangan yang mahir kerana gigi perlu dibentuk dan digilap dengan betul bagi memastikan ia kelihatan cantik.
Memberikan kepercayaan kepada pendandan kecantikan untuk melakukannya seringkali membawa kepada pelanggan mendapat venir yang tidak sepadan hingga menyebabkan gusi bengkak dan berpenyakit.
Rawatan Jambatan Pergigian / Bridges
Bagi prosedur memasang jambatan pergigian bagi mengganti kehilangan gigi, pertama ia melibatkan proses pemangkasan barisan gigi atau gigi bersebelahan yang jarang. Kemudian, acuan gigi yang telah dipangkas dihasilkan. Acuan ini dihantar ke makmal pergigian yang akan membikin jambatannya.
Rawatan oleh doktor gigi haram pula hanya melibatkan pendawaian gigi palsu ke gigi sebelahnya.
“Membenarkan doktor gigi haram menggunakan set gigi yang tidak dibuat khas untuk pemakainya dengan hanya menggunakan dawai membawa risiko gigi reput, masalah gusi dan masalah lain akibat pemakaian gigi yang tidak sepadan.” Prof Seow Liang Lin
Rawatan Braces / Pendakap Gigi
Satu lagi rawatan popular yang dicari ramai orang adalah pendakap gigi. Ada dua jenis pendakap gigi. Kaedah konvensional menggunakan pendakap dan dawai logam. Kaedah terbaharu menggunakan penjajaran lutsinar. Penjajaran lutsinar sudah berada di dalam pasaran sejak 20 tahun yang lalu dan pesakit diberikan satu set 40 ke 50 penjajaran plastik lutsinar.
Setiap tujuh ke sepuluh hari dalam tempoh satu setengah tahun, penjajaran lutsinar itu akan diganti secara berurutan sehinggalah gigi akan beranjak perlahan-lahan.
“Pendakap gigi untuk membetulkan gigi tidak rata yang ringan dan tidak serius boleh dilakukan doktor gigi yang sudah meningkatkan kemahiran diri dengan menghadiri kursus-kursus pendek. Namun begitu, bagi kes yang rumit, anda perlu berjumpa pakar ortodontik.” Prof Seow Liang Lin
WASPADA
Semua doktor gigi perlu berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia. Sijil Perakuan Pengamalan Tahunan (APC) perlu dipamerkan di klinik.
- Jika tiada sijil atau ia tidak diperbaharui, anda tidak berada di klinik yang betul. Setiap klinik yang beroperasi secara sah perlu memperbaharui APC setiap tahun dan mestilah dipamerkan.
- Perhatikan lokasi di mana khidmat pergigian ditawarkan. Premis mestilah betul-betul sebuah klinik dan bukannya gerai di tepi jalan, di bilik hotel atau di salon kecantikan.
- Berhati-hati dengan produk murah dalam talian yang menawarkan venir, pendakap gigi dan produk pemutihan gigi palsu. Dalam apa jua keadaan, kebanyakan produk ini tidak nampak meyakinkan dan berkesan.
Kegagalan berjumpa doktor gigi yang betul untuk mendapatkan rawatan pergigian boleh menyebabkan kerosakan gigi dan gusi yang tidak dapat dipulihkan. Berjumpa doktor gigi haram boleh merosakkan struktur sokongan gigi. Faktor kebersihan dan kurangnya penggunaan peralatan yang betul dalam situasi ini juga menjadi persoalan.
“Merdu Sungguh..” Alunan Tajwid & Makhraj Dato’ Adi Putra Mengasyikkan, Persis Imam Masjidil Haram

Nama Dato’ Adi Putra pada saat ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Siapa yang tidak mengenali figura tampan dan berbakat ini, apatah lagi baru-baru ini muncul dengan membawa watak Mat Kilau menerusi filem terbaru Syamsul Yusoff. Dari peminat cilik sehinggalah yang berusia, boleh dikatakan semua sudah mengenali dirinya. Itulah aura pelakon berusia 41 tahun ini.

Dan baru-baru ini, sekali lagi nama Dato’ Adi Putra atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Bin Halim menjadi bualan ramai apabila video beliau bertaranum, membaca bacaan surah Ar Rahman menyentuh jiwa dan sanubari pendengar sehinggakan mendapat pujian dan perhatian ramai.
Satu rakaman yang tular menyaksikan pelakon itu sedang kusyuk membaca dan memperdengarkan bacaan al-Quran dimuat naik menerusi akaun Instagram Jentikhati TV.
Berdasarkan komen dari para netizen, ternyata ramai yang memuji tajwid dan makhraj yang diperdengarkan oleh Adi Putra itu. Bukan sekadar itu, ia turut mendapat perhatian dari golongan-golongan selebriti dan agamawan.

Memetik dari media Harian Metro, Penyanyi kumpulan UNIC yang juga Johan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kedah 2019, Mohd Fakrul Radhi Khamarudin menyifatkan bacaan al-Quran dan tarranum pelakon itu adalah bagus dan tepat.
Malah, beliau menyatakan bacaan dan lagu yang dialunkan oleh Adi Putra adalah sama seperti Imam Masjidil Haram, Makkah, Abdul Rahman Al-Sudais.
Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni pula, Adi Putra telah menerima pelbagai anugerah dan pencalonan sepanjang kerjayanya termasuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian, Anugerah Skrin dan Anugerah Melodi TV3. Pada 23 Disember 2017, beliau dianugerahkan Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
Apa-apa pun, NONA ucapkan tahniah dan selamat maju jaya atas segala pencapaian Dato’ Adi Putra!
*****************************************
Sifat cintakan Al Quran perlu bermula awal dari kecil. Mahukan anak-anak mencintai kitab suci itu? Eksklusif untuk followers Nona, dapatkan Karangkraf Al-Quran Amazing 6 Juzuk dengan harga promo kod NONGSP5. Tak susah pun nak order, klik untuk beli di sini.
*****************************************
Tak Pernah Bersua Sedangkan 3 TAHUN Belajar Di Universiti Sama, Akhirnya Allah Satukan JODOH Mereka Ketika Pulang Ke Tanah Air!

Terkadang istilah cinta sukar untuk ditafsirkan. Jauh berkelana mencari cinta namun rupa-rupanya yang dicari selama ini sudah ada di depan mata. Itulah yang dialami Dr Muhamad Syamim Jamil dan pasangannya, Dr Noramira Shafleena Dato’ Shafii yang tidak pernah menyangka rakan seuniversiti ketika menuntut di Dublin, Ireland adalah teman sehidup semati mereka.
“Selama tiga tahun belajar di Dublin kami tak pernah berjumpa. Peliknya, apabila masing-masing kembali ke tanah air dan melanjutkan pengajian di Pulau Pinang barulah takdir mempertemukan kami berdua. Detik perkenalan bermula semasa saya menumpang kereta Amy ke hospital untuk beberapa minggu.
Awal perkenalan, dia memang tidak beri sebarang respons pun setiap kali saya bertanya khabar. Mungkin kerana tak tahan dengan persoalan saya yang bertubi-tubi setiap hari, akhirnya Amy akur.
Sejak itu hubungan kami semakin rapat dan serius. Ikutkan perancangan sebenarnya kami hanya mahu berkahwin selepas umur 30 tahun dan setelah masing-masing puas mengembara ke pelosok dunia. Tapi hasrat itu tak kesampaian sebab seru untuk berkahwin datang awal.
Setelah berfikir panjang, kami sepakat untuk bernikah. Lagipun untuk apa pergi mengembara secara solo kalau memang ditakdirkan menikmatinya bersama isteri tersayang,” seloroh Syamim.
Mengikat tali pertunangan pada 24 Disember 2016, Syamim dan Amy kemudian disatukan sebagai suami isteri pada tanggal 4 Ogos 2017 di kediaman pengantin perempuan di Ukay Perdana. Dengan hanya sekali lafaz, anak gadis kepada Dato’ Shafii Haji Roshad dan Datin Juliana Hashim sah bergelar isteri kepada graduan perubatan dan penulis ini.
Mengadakan majlis resepsi di Hotel Majestic Kuala Lumpur dengan jumlah jemputan seramai 700 orang, persandingan gilang-gemilang Syamim dan Amy yang diadakan pada keesokan hari turut dihadiri golongan ternama. Antaranya, Timbalan Menteri Pertahanan, Yang Berbahagia Dato’ Sri Mohd Johari Baharum.
Bertemakan konsep moden dan le lustre yang menyerlahkan dekorasi kilauan candelier, perunding perkahwinan terkenal Reka Teemor diberi kepercayaan untuk merealisasikan persandingan impian Amy.
“Selain seorang yang sabar, Syamim juga matang dan berpandangan jauh. Dia amat optimis dengan apa yang dilakukan, seorang yang lucu, sangat sukakan cabaran dan mendekatkan saya dengan perkara baru. Alhamdulillah, saya senang dan serasi sepanjang bersama Syamim.”
Tersenyum mendengar pengakuan isteri tercinta, Syamim lantas mencelah. “Amy pula seorang yang sangat memahami dan cukup peka dengan perasaan serta keinginan saya. Senang cerita, dia mudah dibawa berbincang dan bertolak ansur. Apa jua yang saya buat, Amy selalu beri semangat termasuk minat saya dalam penulisan.”
Usai sahaja resepsi pengantin perempuan di Hotel Majestic Kuala Lumpur, pasangan mempelai sekali lagi diraikan dalam majlis bertandang pengantin lelaki di K’Seena House pada 6 Ogos lalu. Berbeza daripada resepsi sebelumnya, majlis ini hanya melibatkan 270 jemputan dan bersifat lebih intim.
Hanya ahli keluarga dan rakan terdekat saja dijemput menyerikan acara. Tidak ketinggalan, tetamu kehormat, Tuan Yang Terutama Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Dato’ Seri Dr Hilmi Haji Yahya.
Foto: TERIMA KASIH PROJECT 2 PI