
Artis dan pelawak terkenal Indonesia, Rina Nose, kini tampil dengan wajah berbeza selepas menjalani prosedur pembedahan plastik pada bahagian hidung dan kelopak mata. Penampilan terbaharu beliau menarik perhatian ramai peminat apabila bentuk hidungnya kini kelihatan lebih mancung dan simetri berbanding sebelum ini.
Perubahan tersebut sekali gus mengubah ‘trade mark’ hidungnya yang selama ini dikenali oleh peminat. Namun begitu, Rina atau nama sebenarnya, Nurina Permata Puteri, menjelaskan bahawa keputusan menjalani pembedahan plastik bukan dibuat secara terburu-buru atau sekadar mengikut trend kecantikan semasa.
Sebaliknya, beliau melakukan prosedur tersebut selepas melalui proses pertimbangan yang panjang dan mendalam, termasuk menilai aspek kesihatan, estetika serta kesihatan psikologinya.


Rina Nose Jalani Pembedahan Plastik
Nama Rina Nose, terus meniti bibir rakyat Malaysia dengan jenaka santainya ketika mengacarakan program realiti, Big Stage 2023. Berusia 42 tahun, wanita asal Bandung ini rupa-rupanya cukup disegani kerana bakat meniru gaya artis lain di Indonesia sekaligus menghiburkan peminatnya yang meniti jutaan orang!
Menerusi satu hantaran di Instagram, Rina Nose berkongsi secara terbuka mengenai keputusan melakukan pembedahan plastik. Menurutnya, pembedahan plastik bukan sekadar untuk kelihatan lebih cantik atau mengubah penampilan semata-mata.
Beliau menegaskan bahawa setiap prosedur melibatkan pelbagai faktor penting yang perlu dipertimbangkan dengan teliti.
“Bagi saya, pembedahan plastik bukan sekadar prosedur untuk mengubah penampilan, apatah lagi sekadar ikut-ikutan,” tulisnya di media sosial seperti dipetik oleh Fimela.com.
Menurut Rina, keputusan dibuat selepas beliau menilai secara mendalam keadaan wajahnya serta hasil yang ingin dicapai supaya perubahan tersebut kelihatan semula jadi dan harmoni.



Pertimbangan Estetika & Geometri Wajah
Rina turut menjelaskan bahawa pembedahan plastik memerlukan pemahaman yang mendalam tentang struktur wajah manusia. Ia bukan sekadar prosedur kosmetik biasa, sebaliknya melibatkan kajian tentang keseimbangan wajah.
Beliau menyatakan bahawa sebelum melakukan operasi, beliau mengkaji pelbagai aspek termasuk nisbah geometri wajah bagi memastikan perubahan yang dilakukan tidak kelihatan keterlaluan.
“Pembedahan plastik merupakan keputusan yang melibatkan aspek etika dan estetika yang agak rumit kerana ia merangkumi banyak pertimbangan, termasuk pemahaman serta pengiraan nisbah geometri bentuk wajah untuk mendapatkan bentuk yang sesuai dan harmoni,” jelasnya.
Pendekatan tersebut menunjukkan bahawa keputusan yang diambil bukanlah keputusan spontan, tetapi melalui penelitian yang teliti bagi mendapatkan hasil yang terbaik.
Faktor Kesihatan

Selain aspek kecantikan, Rina yang merupakan isteri kepada sutradara dan penulis skrip Belanda, Josscy Vallazza Aartsen, turut mempertimbangkan faktor biologi sebelum menjalani prosedur tersebut. Ini termasuk struktur tulang wajah, keadaan kulit serta fungsi tisu pada wajah.
Bagi beliau, proses pembedahan plastik perlu dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan kesihatan dalam jangka masa panjang.
Langkah tersebut juga penting bagi memastikan hasil pembedahan kelihatan semula jadi dan tidak mengganggu fungsi normal wajah.
Pembedahan Pakar Indonesia
Berbeza dengan sebahagian selebriti yang memilih menjalani pembedahan plastik di luar negara seperti Korea Selatan, Rina memilih untuk melakukan pembedahan plastik di negara asalnya iaitu Indonesia.
Prosedur tersebut dilakukan oleh pasukan doktor yang diketuai oleh Dr. Teuku Adifitrian atau lebih dikenali sebagai Dr. Tompi, seorang pakar bedah plastik terkenal yang juga bergelar penyanyi.
Dr. Tompi turut berkongsi beberapa foto terkini Rina Nose selepas menjalani prosedur tersebut. Menurut beliau, pembedahan itu dilakukan bersama pasukan doktor di klinik estetik miliknya yang turut melibatkan pakar, Dr. Putri Adla.
Perubahan Wajah Selepas 6 Minggu

Foto yang dikongsikan menunjukkan keadaan wajah Rina selepas enam minggu menjalani prosedur. Hasil itu jelas memperlihatkan perubahan yang ketara namun masih kelihatan semula jadi.
Kantung mata yang sebelum ini kelihatan agak menonjol kini tidak lagi begitu ketara, menjadikan wajahnya tampak lebih segar.
Selain itu, bentuk hidungnya juga kelihatan lebih seimbang dan simetri dengan struktur wajahnya. Transformasi tersebut menjadikan keseluruhan wajah Rina kelihatan lebih harmoni tanpa menghilangkan identiti asal.
Bagi Rina, keputusan menjalani pembedahan tersebut bukan sekadar berkaitan kecantikan, tetapi juga untuk kesejahteraan diri. Beliau berharap orang ramai memahami bahawa keputusan tersebut adalah demi mencapai keyakinan diri serta psikologi yang lebih sihat.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/eileen-gu-juara-ski-dunia-sejarah-olimpik/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





