Rindu Wajah Cantik & Lakonannya, Penampilan Sopan EJA Di Usia 48 Tahun!

Pasti ramai peminat drama dan seni tanah air merindui lakonan dan wajah penuh kelembutan milik pelakon cantik, Siti Shahrizah atau lebih dikenali sebagai Eja. Namanya kini seakan sepi daripada dunia seni dan pertemuan terakhir Nona bersama Eja adalah sekitar tiga tahun lalu ketika dia menjadi penghias kulit depan Nona edisi April 2017. Waktu itu, Eja sudah pun berhijab dan tampil selesa dengan imej sopan seorang muslimah.

Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata Eja waktu itu apabila ditanya tentang pembabitannya dalam industri seni. “Saya tidak tahu orang lain tetapi diri saya, pada usia ini benar-benar rasa sunyi dan sepi. Mungkin Allah sedang mendidik saya untuk melepaskan cinta dunia. Itu perasaan saya hadapi kini.

Kenangan ketika menjadi penghias Nona

Kini saya lebih suka bersendiri jauh dari sorotan lampu glamor yang pernah dikecap dahulu. Memang ada mendengar kata-kata kecil saya sudah tidak mahu bergaul lagi atau sudah sombong. Saya bukan begitu, sebenarnya mahu betul-betul manfaatkan masa yang bersisa dengan Pencipta, suami dan anak.”

Apa yang pasti, tumpuan utama Eja sekarang adalah kepada keluarga dan anak perempuannya, Nur Eishal. Apatah lagi, anak tunggal Eja kini sudah berusia 11 tahun dan memerlukan sepenuh perhatian daripadanya sebagai ibu. Akui Eja, sejak bergelar ibu… tumpuan terhadap anak bukan sekadar 100 peratus bahkan lebih daripada itu terutamanya apabila Nur Eishal sudah memasuki alam persekolahan pada tahun 2016.

Demi memastikan anak tersayang menerima didikan sebaiknya, Eja sanggup tidak menerima sebarang tawaran berlakon dan tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti. Besar sungguh kasih sayang seorang ibu!

Wajah terkini Eja

Tanggal 18 Januari lalu genap 48 tahun usia Eja yang kemunculannya mula dikenali menerusi game show, Roda Impian. Pernah membintangi beberapa filem antaranya Bilut, Eja cukup sinonim dengan watak wanita Timur yang sarat kelembutan dek kerana wajah ayu dan tutur kata yang sopan. Disifatkan seorang selebriti yang cukup menjaga privasi diri, Eja merupakan isteri kepada usahawan Mohd Silahuddin Jamaluddin. Sepanjang lebih dua dekad bergelar anak seni, Eja turut pernah menggondol anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Janin dalam Festival Filem Malaysia (FFM 24).

Mengimbas kembali pengakuan Eja berhubung imej dan penampilan diri ke arah yang lebih sopan, ini jawapan telusnya. “Syukur alhamdulillah bila usia begini Allah memberi hidayah dan petunjuk untuk Eja menuntut ilmu. Dan alhamdulillah banyak mereka-mereka di sekeliling ini membantu Eja untuk mendalami ilmu agama dan juga mereka memperkenalkan Eja dengan yayasan.

Ada kawan-kawan yang buat private usrah di rumah mereka dan Eja berasa sangat seronok. Bila kita sudah ada ilmu… segala tindak tanduk kita, perkataan kita itu sudah ada asas. Maknanya tindak-tanduk dan kata-kata kita tu menunjukkan orang yang sudah berilmu.”

Mengulas lanjut mengenai peranan seorang wanita Muslimah, Eja menyusun bicara. “Kalau dilihat, untuk seorang wanita kalau jadikan diri kita sebagai wanita Islam untuk masuk syurga itu sangat mudah dan berkeluarga itu adalah salah satu daripada jihad kita dan membuat kerja rumah itu juga adalah jihad kita dan pahala kita sangat besar di situ. Bagi saya sendiri, saya tak tahu itu semua. Kalau tahu.. saya beranak banyak,” selorohnya.

Mengintai laman media sosial Eja, sememangnya wanita anggun ini jarang mengemas kini perkembangan terbaharu mengenai dirinya. Kebanyakan posting Eja lebih berkisar kepada kehidupan Nur Eishal dan perkara-perkara yang berbentuk nasihat atau islamik. Diharapkan agar Eja sentiasa berada dalam keadaan sihat di samping keluarga tersayang dan kembali mengubati rindu peminat.

IKLAN
Share