Kagum dengan sikap prihatin masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Baru-baru ini tular kisah keluarga kaum India yang ‘tersadai’ di tepi jalan akibat kereta rosak dibantu pasangan suami isteri berbangsa Melayu di Changkat Jering, Taiping.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian meluas dalam kalangan warga maya yang gembira melihat situasi menyenangkan tersebut.
M Prema dan keluarganya ketika itu dalam perjalannan pulang ke Ipoh selepas mengunjungi sebuah kuil di Taiping.
Difahamkan brek salah sebuah kereta yang dinaiki mereka mengalami masalah dan suhu tinggi kenderaan berkenaan membuatkan mereka bimbang untuk meneruskan perjalanan.
Lalu berhenti di tepi jalan kira-kira jam 3.30 petang dengan keadaan waktu itu sedang hujan. Memetik kenyataannya kepada Harian Metro, “Sementara tunggu enjin sejuk, kami duduk di tepi jalan.
Ads
Kredit Facebook Samini UnicornKredit Facebook Samini Unicorn
Kebetulan saya berhenti di hadapan rumah pak cik (individu yang membantunya) dan ketika itu dia mahu pulang ke rumah dan terus menyapa kami serta menawarkan bantuan.”
Pada mulanya mereka sekeluarga ‘berat hati’ untuk ke rumah lelaki itu kerana tidak mengenali dan bimbang menyusahkan individu tersebut.
Namun, lelaki warga emas berkenaan berulang kali mengajak dia dan ahli keluarga datang ke rumah kerana bimbang keselamatan mereka jika terus menunggu di tepi jalan.
Ads
“Kami ada sembilan orang kerana kami ke kuil dengan dua kereta. Jadi segan juga mahu pergi ke rumah pak cik dan isteri kerana memang tidak kenal mereka.
Kami kemudian pergi juga rumahnya selepas diajak beberapa kali malah turut dijamu dengan maruku, kuih bahulu, dan rambutan.”
Ads
Kredit Facebook Samini UnicornKredit Facebook Samini Unicorn
Walau hanya 30 minit, M Prema bersyukur kerana mereka dilayan sangat baik bagaikan sudah lama mengenali.
Kisah ini menjadi bualan dan tular di media sosial selepas anak M Prema iaitu L Samini memuat naik gambar dan menceritakan serba sedikit kejadian yang berlaku di Facebook. Yang pasti, mereka tidak menyangka niat untuk memberi inspirasi kepada orang ramai ini meraih perhatian luar biasa.
Kejadian ini menjadi tular selepas anak M prema iaitu L Samini berkongsi kisah mereka di Facebook kerana mahu memberi inspirasi kepada orang ramai.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kalau tengok rupa paras cantik dan kulit gebunya pasti ramai yang tidak menyangka wanita cantik ini seorang anggota pasukan keselamatan yang berani menggalas senjata. Hikma Nursyafa berjaya membuktikan kecantikan yang dimiliki perlu seiring dengan keberanian untuk bertempur lawan.
Meskipun perlu mengenakan uniform yang tebal dan lengkap dengan topi serta kasut but keselamatan setiap hari namun gadis ini tetap menjaga penampilan diri. Setiap kali keluar bertugas menjaga keamanan dan keselamatan penduduk, Hikma yang berasal dari Yogjakarta akan memastikan keadaan dirinya kemas dan cantik walaupun berhijab dan berdepan situasi panas serta tidak menentu saban hari.
Tidak hairanlah nama Hikma Nursyafa menjadi viral dan bualan netizen di media sosial. Dia bukan hanya dikurniakan raut wajah menawan bahkan semangatnya menjaga ketenteraman dan memilih kerjaya mencabar yang jarang diceburi kaum wanita ini mencetuskan ‘pemandangan’ luar biasa masyarakat.
Hikma Nursyafa yang kini berusia 26 tahun merupakan anggota polis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Khabarnya sudah lebih setahun gadis ini berkhidmat bersama PBB yang berpangkalan di Bangui, Afrika Selatan sejak Jun 2018.
Biarpun kebanyakan rakan seperjuangan terdiri daripada kaum lelaki namun ia bukan halangan buat Hikma. Sebaliknya gadis berkulit cerah ini tenang mengangkat senjata dan menjalani ujian ketahanan sama seperti anggota lain.
Demi memberi inspirasi dan semangat buat kaum wanita, wanita berkulit cerah ini terbuka berkongsi pengalamannya sepanjang bergelar woman peacekeeper. “Sebelum menjadi seperti sekarang ini, perjalanan untuk sampai di titik ini pun rasa cukup berat dan penuh dengan liku. Hampir rasanya ingin menyerah tapi hati tetap berkeras untuk meneruskan. Dari dulu aku memang mahu pergi mencari pengalaman hidup dan akhirnya Allah kabulkan.
Aku bergabung di kepolisian sejak tahun 2013 mungkin banyak sekali pengalaman yang boleh ku ceritakan sampai detik ini. Tapi mungkin aku akan ceritakan pengalaman yang sangat menarik pada tiga tahun terakhir ini. Bermula dari aku bergabung dalam pasukan perdamaian dunia (peacekeeper), banyak perkara yang perlu dilalui antaranya dari segi pendaftaran, ujian dan latihan dari segi akedemik serta penilaian kesihatan.
Ujarnya lagi, “Misi pertamaku adalah menjadi pasukan Formed Police Unit (FPU) dan pertama kalinya juga Indonesia mengirimkan pasukannya di Republik Afrika Tengah. Setiap hari kami dikerah menjalani pelbagai latihan. Di sini juga aku dituntut pakai dua bahasa iaitu Inggeris dan Perancis. Awalnya sangat sukar untuk belajar Bahasa Perancis kerana memang di misi ini lebih dominan Bahasa Perancis.”
Tambah Hikma, buat masa ini dia ditugaskan menjaga keamanan di ibu kota Afrika Tengah, Bangui. “Di kota inilah aku bertugas selama setahun ini. Awal mula datang ke sini betul-betul terkejut kerana persekitarannya yang sangat berbeza. Sebuah negara yang bagi ku masih memerlukan banyak bantuan untuk maju. Di Bangui, tahap keselamatan dan konflik masih sering terjadi seperti kontak tembak, perselisihan antara kelompok bersenjata dan ancaman keamanan lain.
Ini adalah cabaran terbesar untuk kami di sini tapi alhamdulillah sampai saat ini semuanya masih dapat diatasi. Ini juga adalah pengalaman hidup pertamaku untuk misi kemanusiaan.”
Di samping keluarga tersayangSisi berbeza Hikma tanpa mengenakan uniform
Mengintai media sosial Hikma, kecantikan gadis ini tidak ubah seperti pelakon sinetron popular. Selain meminati bidang lasak dan mencabar, Hikma juga memiliki naluri kewanitaan yang gemar akan kecantikan dan fesyen. Lebih menarik, dia turut mengenakan solekan nipis ketika bertugas demi memastikan penampilan diri sentiasa terjaga.
Iyalah, takkan wanita yang bekerja di pejabat saja nak nampak cantik. Yang menjaga keamanan di negara bergolak seperti ini pun hendak sentiasa nampak bersedia. Lagipun penampilan diri sangat penting tidak kiralah walau di mana berada. Apatah lagi, sesetengah wanita akan rasa lebih yakin bila sudah bermekap. Mungkin beginilah cara Hikma untuk raih keyakinan diri dan kekal bersedia menjaga keamanan penduduk tempatan.
Apa-apa pun Nona bangga dengan Hikma kerana berjaya mengangkat martabat dan kredibiliti kaum wanita ke tahap lebih tinggi. Semoga kejayaan gadis ini menjadi inspirasi kepada wanita lain untuk menjadi anggota pasukan keselamatan yang kental, berani dan dalam masa sama memiliki sifat-sifat terpuji yang boleh diteladani. Syabas buat Hikma!
Kredit foto: Instagram Hikma Nursya
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tanyalah mana-mana wanita, tak siapa ingin bergelar janda apatah lagi pada usia muda. Walau kita sudah berada di zaman serba moden, status “janda” seringkali dipandang serong apatah lagi bila bergelar artis. Itulah hakikat yang perlu diterima oleh pelakon jelita, Fatin Afeefa yang kini hidup solo bersama dengan dua orang anak hasil berkahwinannya yang terdahulu.
Lebih lima tahun bergelar ibu tunggal, Fatin Afeefa mengakui ada segelintir masyarakat masih memandang hina gelaran janda mahupun ibu tunggal. Diakuinya sendiri menerusi sesi Live nya di Tik Tok baru-baru ini, Fatin menjawab pertanyaan peminatnya berhubung isu ini.
“Bagaimana awak hadapi pandangan orang tentang ibu tunggal sebab ramai yang memberi tanggapan negatif terhadap gelaran tersebut,” soal individu tersebut.
Dengan tenang Fatin menjawab, “Sejak bergelar ibu tunggal sejak lima tahun lalu, macam-macam gelaran orang beri pada saya. Secondhandlah, kereta terpakai pun ada. Siapa yang tidak sedih, walaupun sayalah wanita yang menuntut cerai tetapi orang tetap mengata mengenai saya,” kata pemilik nama penuh Fatin Nur Afifah Shamsudin yang berumur 28 tahun ini.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata lelaki lah yang kebanyakkannya akan memberikan pandangan negatif terhadap golongan ibu tunggal.
“Selalunya orang yang mengutuk itu ialah segelintir golongan lelaki yang suka mengawal perempuan tetapi tidak dapat, sebab itu mereka merendah-rendahkan janda.
“Ada sesetengah wanita anggap lebih okay kekal dalam perkahwinan yang tidak bahagia daripada berstatus janda. Saya memilih untuk menjadi janda sebab saya ingin kejar kebahagiaan begitu juga untuk anak-anak. Tidak hina pun status janda ini dan jangan sesekali rasa sedih dengan perkara tersebut,” katanya lagi. Untuk rekod, Fatin berkahwin dengan pelakon Adam Shahzpada pada tahun 2013 dan disahkan bercerai pada 2017.
Tidak ada seorang ibu pun mahu melihat kepincangan hidup anak yang dikandungnya selama 9 bulan melainkan sering mendoakan anak-anak mengecap kebahagiaan serta kejayaan di dunia dan akhirat.
Hati ibu mana yang tak tersentuh andai melihat anaknya jauh dari pandangan mata lebih-lebih lagi ketika sedang memperjuangkan hak kemanusiaan di negara yang sedang bergolak. Namun, kehebatan kasih sayang ibu kepada Heliza Helmi ini menyuntik rasa yang sangat luar biasa.
Saat anak gadisnya sedang berhadapan dengan situasi sukar di negara yang sedang bergolak, wanita ini masih boleh memberi kata-kata semangat untuk anaknya meneruskan misi kemanusiaan yang jarang sekali dilakukan oleh anak gadis lain.
“Doa mama yang selalu mengiringi setiap langkah saya meneruskan apa yang ingin saya lakukan. Mama selalu berdoa semoga Allah SWT permudahkan segala urusan saya.
Sebab mama selalu cakap kalau kita pergi ke tempat-tempat bahaya dan tak tahu risikonya tetapi kalau kita pergi dengan niat baik dan untuk buat baik insyaallah Allah SWT akan jaga. Sesungguhnya doa mama adalah ‘tangkal’ yang sering saya bawa ke mana-mana.
Pernah suatu hari ketika kami sedang berhubung dengan telefon tiba-tiba dengar bunyi siren. Ketika berada di negara yang bergolak jika siren dibunyikan bermakna bom makin hampir.
Tetapi mama waktu itu dia jadi seorang yang sangat tenang. Mungkin dia nak kita juga tenang tapi saya tak tahu perasaan mama di Malaysia macam mana. Mama akan kata, insyaallah selamat. Secara tak langsung saya akan bertenang menghadapi situasi tersebut,” ucap Heliza.
Memang benar pengorbanan seorang ibu tidak mampu dibayar oleh seorang anak walaupun dengan segunung berlian. “Kalau nak cakap tentang pengorbanan mama saya tak boleh pilih dari sudut yang mana satu, sebab pengorbanan mama sangat luar biasa.
Siapa yang kenal dengan mama saya dia secara automatik akan jadi mama kepada semua orang. Macam kami dalam satu famili sentiasa berdoa agar mama dikurniakan balasan syurga yang tertinggi.
Pengorbanan mama selalu menjangkaui setiap pemikiran kami adik-beradik. Kalau saya sakit dan terpaksa balik lambat, dalam bilik tu dah tersedia makanan dan pelbagai jenis air yang saya suka. Air coklat, air kopi dan air zam-zam.
Mama seorang ibu yang sangat sikit tidurnya, demi kepentingan anak-anak dia sangat all out. Walaupun anak tak ramai cuma 4 orang, namun keempat-empat anaknya, mama bagi paling the best.
Sampai kami sendiri tak mampu nak bagi bagaimana mama layan kami adik-beradik. Kelebihan mama pula adalah jenis orang yang scan. Kita punya barang tak payah cakap lah banyaknya, kadang-kadang boleh terlupa. Tetapi, mama tahu kat mana barang tersebut diletakkan.
Mama terlalu banyak berkorban dari kami kecil sehingga dewasa. Dalam usia yang nak masuk 60, boleh bawa kereta lagi, macam tak apa biarlah diri dia berkorban jangan anak-anak. Kadang-kadang kami berebut nak bawa kereta,” tutur Heliza tentang kehebatan mamanya.
Sakit pening seorang ibu selalunya dipendam sahaja. “Memang betul, kalau mama sakit tak pernah nak bagitahu dia sakit dan kalau demam dah teruk sampai hilang suara dia tetap akan bagitahu, mama okay jer.
Sampai suatu hari kami pergi umrah dia menahan sakit sampai tak boleh telan air liur, namun tetap mahu membuat umrah bersama-sama sampai dia dah nak collapse, kita nak bawa pergi hospital, dia masih gagahkan diri.
Mudah-mudahan Allah SWT beri ganjaran kepada mama dan semua ibu di dunia ini dengan balasan syurga tertinggi. Saya sendiri tidak pasti apabila suatu hari nanti saya bergelar seorang ibu saya mampu menjadi ibu seperti mama,” bicara Heliza.
Bagaimana cara Heliza menyambut hari ibu? “Mama saya dia jenis yang tak berapa gemar celebrate. Macam birthday dia pun dia dah pesan awal-awal jangan celebrate.
Namun sebagai anak, kami tetap mahu meraikan mama. Jadi kami merancang majlis yang paling simple seperti keluar makan. Kami akan bawa mama makan ke tempat yang special sikit. Sambutan hari ibu pun kami buat begitu.
Saya rasa ibu bapa, hari-hari mahu quality time bersama anak-anak. It’s about 1 hari sahaja kita dengan ibu, that’s it. Apa yang kami buat dalam famili kami, walaupun jadual padat tetapi, dapat 2 minit yang berkualiti sudah mencukupi.
Sebagai contoh apabila saya kena gerak pergi ke sesebuah program, mama dan abah akan teman dari rumah turun ke lif sebab itu sahaja masa untuk kami bersembang sampai ke tempat parking sampai kereta saya bergerak.
Itulah masa yang kami cari, sebab saya jenis anak yang hari-hari kena buat report. Saya mesti hari-hari ada sahaja cerita yang nak dikhabarkan,” tutur Heliza yang masih tinggal serumah dengan ibu dan bapanya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.