Bertubuh genit dengan raut wajah yang manis, bergaya pula tu..sekali imbas macam usia 20-an. Namun siapa sangka itulah kelebihan yang dimiliki oleh ibu kepada empat orang anak yang berusia 34 tahun ini.
Nadia Abdul Halim atau Nard yang berketurunan Siam Pattani ini cukup bertuah kerana selain memiliki sebuah keluarga bahagia, dia juga bergelar usahawan sukses bagi jenamanya sendiri iaitu Odda KL.
Nard pernah bergelar sebagai Pengurus Projek di salah sebuah syarikat teknologi maklumat sebelum mengambil keputusan untuk memberikan komitmen sepenuhnya terhadap bisnes dan keluarga.
Dapatlah Nard melihat anak-anaknya Aush Mikael (9), Audra Marissa (7), Aoman Maleq (5) dan Aofea Maryam (10 bulan) membesar di hadapan mata. Masanya kini lebih fleksibel untuk bersama keluarga.
DUGAAN
“Cabarannya ketika melahirkan mereka secara pembedahan. Jarak usia mereka pun rapat-rapat. Doktor terpaksa melakukan pembedahan secara mid-line.
Ads
Doktor juga mengesahkan dinding perut saya sudah nipis dan berisiko tinggi kalau mengandung lagi. Jika pembedahan dilakukan di tempat sama ia pasti akan memudaratkan saya.
Antara risikonya ialah kemungkinan berlakunya pelekatan organ dalaman yang sangat teruk seperti uri melekat dan dibuang rahim serta masalah-masalah kesihatan lain.
Walaupun berat akhirnya saya terpaksa mengambil keputusan setelah mendengar nasihat doktor untuk mengikat saluran peranakan atau saintifiknya Bilateral tubal ligation (BTL).
Cukuplah empat orang anak dalam kehidupan saya dan suami. Apa pun kami tetap bersyukur dengan anugerah terindah ini.”
Ads
DIDIK ANAK KENA KENTAL
“Anak-anak masih kecil dan jarak umur mereka pun rapat-rapat. Maka, saya perlu menjadi seorang yang kental dari segi emosi.
Ads
Saya pastikan anak-anak diberikan kasih sayang sama rata. Selalunya saya akan melayan anak-anak mengikut perangai masing-masing.
Saya dan suami juga sangat memandang berat tentang pembelajaran anak-anak. Kami menghantar mereka ke sekolah seawal usia dua tahun bagi memastikan anak-anak suka ke sekolah sekaligus dapat menyesuaikan diri.
Paling mustahak ialah didikan agama dan pandai berbahasa Inggeris. Di rumah kami akan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.”
GEMAR BERFESYEN
“Saya sukakan gaya ringkas dan minimalis. Paling penting ikut tempat dan majlis. Bertudung tak menghalang wanita untuk berfesyen asalkan tak keterlaluan. Pilihan warna juga penting bagi imej saya.”
Kredit Foto: @nadiahalim7
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Walaupun pernah melalui detik ditahan ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla, semangat Dr Fauziah Mohd Hasan tidak pernah goyah. Beliau terus berani melangkah menyertai sekali lagi usaha membawa harapan ke bumi Gaza.
Menariknya, kali ini wanita berusia 68 tahun ini disokong penuh oleh suaminya yang turut berada di belakang tabir perjuangan tersebut.
Siapakah sebenarnya wanita Malaysia hebat ini yang tidak gentar berada di barisan hadapan dalam setiap misi bantuan antarabangsa?
Berikut lima fakta menarik tentang Dr Fauziah Hasan. Srikandi ummah pencetus inspirasi.
Sejak 1997, Dr Fauziah berkhidmat sebagai pakar Obstetrik dan Ginekologi di KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital, Kuala Lumpur.
Beliau mencatat sejarah sebagai satu-satunya wakil Malaysia dalam misi Women’s Boat to Gaza (WBG) pada September 2016. Beliau bertugas sebagai doktor di atas kapal.
Memiliki Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan dari University of Tasmania, Australia (1982), Dr Fauziah aktif menyertai pelbagai misi kemanusiaan antarabangsa.
Beliau mula terlibat dalam misi kemanusiaan perubatan sejak 1999 di Kosovo, diikuti dengan misi ke Kepulauan Maluku (2000), Acheh pasca-tsunami (2005), Afghanistan (2001–2003) dan Gaza (2009).
Kini, beliau bersama tujuh lagi peserta dari Malaysia menyertai gelombang ketiga misi flotilla ke Gaza dengan menaiki kapal Conscience di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG).
Ketika berusaha menghampiri Gaza, Dr Fauziah bersama pasukan misinya telah ditahan oleh tentera zionis hanya 35 batu nautika (sekitar 69 kilometer) dari pantai Gaza.
Dalam insiden tersebut, kapal mereka dipintas dan beliau dibawa ke tahanan sebelum akhirnya dihantar pulang.
Antara penghargaan yang diterima Dr Fauziah ialah Anugerah Khaulah Al Azwar daripada kerajaan Terengganu atas penglibatannya dalam misi WBG pada 2016.
Setahun kemudian, beliau dianugerahkan Tokoh NGO Islam (Kategori Wanita) 2017.
Selain itu, Dr Fauziah turut dilantik sebagai Penasihat Hormat bagi Malaysian Women Coalition for Al-Quds & Palestine (MWCQP), sebagai simbolik kepada peranannya yang signifikan dalam memperjuangkan isu Palestin dari perspektif wanita dan kemanusiaan.
Pengalaman berharga wanita kelahiran Kuala Terengganu ini semasa menyertai misi kemanusiaan Women’s Boat to Gaza diabadikan dalam sebuah buku berjudul 35 Batu Nautika.
Tajuk itu dipilih kerana menggambarkan jarak terakhir kapal mereka sebelum ditahan, iaitu 35 batu nautika dari pantai Gaza.
Buku tersebut diterbitkan pada 2016 hasil kerjasama organisasi seperti Rose2Rose, MyCARE, PenaWan, dan Iman Publication.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tahun ini sangat bermakna buat penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin dan suami. Bukan saja dapat pulang ke kampung halaman setelah 2 tahun tidak berpeluang berbuat demikian disebabkan pandemik dan PKP, kehadiran anak lelaki mereka, Muhammad Afwa turut menjadi pelengkap kemeriahan raya bagi keluarga ini.
Ketika sesi temu bual bersama Dato’ Sri Siti Nurhaliza jelas terpancar keterujaannya sebagai seorang ibu kepada sepasang cahaya mata. Terutama bila menyentuh tentang persiapan baju raya untuk mereka sekeluarga. Semestinya warna sedondon menjadi pilihan Dato’ Sri Siti Nurhaliza.
RAMADAN & SYAWAL
“Bagi saya berpuasa dalam fasa endemik kita masih berpeluang untuk solat tarawih sendiri di rumah bersama keluarga. Manakala hari raya pula, apa yang membuatkan kita semua rasa teruja pada tahun ini ialah bila dapat balik kampung dan ziarah menziarahi. Itu sesuatu yang dinanti-nantikan. Saya sendiri tidak terkecuali untuk turut sama nak merasa vibe raya dan tak sabar hendak balik kampung.
Ikut perancangan, saya tidak balik pada awal Syawal sebab diramalkan tahun ini mungkin akan berlaku kesesakan jalan raya yang teruk. Jadi, biarlah orang lain berhari raya dulu. Bila keadaan kembali reda barulah turn kami pula balik kampung. Kalau balik pun dalam 2-3 hari saja. Jadi awal raya kami berkumpul di Kuala Lumpur saja.
PENGALAMAN BERAYA DENGAN MENTUA
Pengalaman saya berhari raya dengan mentua cukup menarik kalau dikenang. Ketika mula-mula kahwin, saya balik kampung suami iaitu Kedah semasa first raya. Keluarga di sana siap buat rumah terbuka. Bayangkan, ketika itu bila saya umumkan hendak balik ke Permatang Pasir, Kedah punyalah ramai orang datang. Macam konsert pula.
Ketika itu rumah kampung suami yang asal masih ada lagi, dapatlah saya lihat bilik suami yang digunakan ketika beliau remaja. Rumahnya itu memang banyak kenangan. Namun kini, rumah tersebut telah diwakafkan. Jadi itulah kenangan raya saya ketika baru-baru kahwin pergi berjumpa keluarga mentua.
TERUJA BERAYA BEREMPAT
Memandangkan kita sudah 2 tahun tidak dapat menyambut hari raya dalam suasana meriah seperti lazimnya, tahun ini saya sangat teruja kerana dapat beraya berempat dengan Afwa dan Aafiyah. Alhamdulillah dah dapat sepasang anak pastinya suasana raya kali ini sangat meriah dan bermakna.
Afwa lahir sebagai ‘anak pandemik’ yang lahir pada musim COVID-19. Saya sangat bersyukur kerana Allah SWT telah memakbulkan doa saya untuk memiliki sepasang cahaya mata.
Tahun ini Afwa kali pertama sambut raya. Dia pun dah mula aktif antaranya dah pandai nak bangun sendiri dan berjalan. Sudah boleh dibawa bermain dan bergurau. Kalau tidak sebelum ini baby kan asyik tidur saja. Jadi itu yang membuatkan saya sangat teruja nak tempah baju Melayu.
Aafiyah pula dia sangat excited bila dapat tahu yang dia dan saya akan pakai baju sama. Dari segi tema warna pula, Datuk K sendiri yang pilih. Tak sangka Datuk K pilih warna carnation pink.
Kalau dulu memang tak pernah terlintas pun nak sedondon tapi bila dah ada anak ni automatically jadi perlu. Saya tanya Datuk K nak warna apa, Datuk K cakap carnation pink. Masa itu saya terkejut juga tapi bila Datuk K beritahu yang Rasulullah SAW suka pink jadi saya terus setuju.
Untuk saya dan Aafiyah, baju yang akan dipakai raya nanti adalah jenis bercorak dengan sentuhan warna carnation pink. Manakala suami dan Afwa akan pakai baju Melayu berwarna carnation pink. Untuk warna baju raya kedua, memandangkan saya suka menggemari warna hijau maka saya pilih mousse green. Manakala baju ketiga warnanya belum pasti lagi. Saya serahkan saja kepada designer. Seterusnya kami akan pakai ready-to-wear Rizman Ruzaini x Siti Nurhaliza.
Berapa pasang baju? Kalau tahun lepas saya cuma tempah sepasang baju saja khas untuk ambil gambar pada hari raya pertama. Tahun ini bila dah ada Aafiyah dan Afwa, saya tempah dalam 3 pasang baju saja.
LAGU ‘LIP LAP RAYA’
Dato’ Sri Siti Nurhaliza kini popular dengan lagu raya terbarunya iaitu Lip Lap Raya. Ulasan beliau berkenaan lagu tersebut.
“Untuk lagu ini saya berpeluang bekerjasama dengan komposer-komposer muda. Mereka ini sangat kreatif kerana masih menyelitkan unsur-unsur tradisional dalam lagu tersebut antaranya inang. Jadi, mood raya kita tak hilang kerana masih mengekalkan ciri-ciri kedesaan, dengan irama dan kemeriahannya.
Bagi saya lagu tersebut kena dengan situasi sekarang. Lirik yang ditonjolkan pun relate dengan perkara sebenar contohnya kita dah dapat balik raya, bertemu sanak saudara, pakai baju lip lap dan sebagainya. Nampaklah keseronokan dalam lagu tersebut. Sebagai penyanyi saya enjoy sangat menyampaikannya.
Sempena hari ray aini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh pembaca majalah Nona. Semoga raya kali ini akan memberi keberkatan kepada kita semua.”
DUTA JENAMA UNIVERSITI SWASTA
Baru-baru ini Dato’ Sri Siti Nurhaliza dilantik sebagai duta jenama Binary University pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara beliau dan universiti swasta tersebut. Menerusi Yayasan Nurjiwa, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa turut membantu melalui aktiviti CSR bagi memperluaskan lagi usaha ini agar masyarakat mendapat pendidikan yang lebih baik.
Sebagai public figure dan artis, beliau tidak ketinggalan mengalu-alukan lebih ramai peminat, pengikut serta seluruh masyarakat khususnya dari luar bandar untuk merebut peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bergelar isteri kepada pegawai tentera memang sangat mencabar. Usahawan makanan laut kering, Nurul Syamimi Mohd Fauzi, 32, berkongsi pengalaman cabaran dalam perniagaan dan pada masa yang sama terikat dengan tugas suami yang sering bertukar unit sehingga terpaksa berpindah. Anak jati Kelantan ini merupakan ibu kepada 4 orang anak yang berusia 12, 10, 7 dan 4 tahun.
“Sebelum berniaga, saya merupakan seorang pelajar dan suri rumah. Saya berkahwin di usia sangat muda iaitu 19 tahun. Anak pertama dilahirkan ketika umur saya 20 tahun. Selain itu, saya juga membuat kerja sambilan sebagai talent (model) untuk butik pengantin termasuk berkolaborasi dengan jurugambar yang memerlukan khidmat model bertudung. Saya juga pernah terlibat dalam TVC Ariani serta bergelar juruacara di majlis rasmi dan tidak rasmi.
Minat berniaga memang sudah dipupuk sejak kecil kerana arwah Mama merupakan peniaga kecil-kecilan dan mempunyai kedai pakaian Muslimah. Ayah pula seorang pesara polis. Saya juga berniaga kerana merupakan isteri kepada seorang pegawai tentera yang kerap berpindah. Jadi, jika bekerja saya agak terikat untuk mengikut suami bertukar unit. Ini juga cabaran yang sangat besar buat saya sebagai usahawan yang baru mula bertatih dalam dunia perniagaan.
Saya menjalankan perniagaan makanan laut kering seperti ikan bilis, kerang kering dan ikan kering. Perniagaan ini bermula pada tahun 2013 ketika usia saya ketika itu 23 tahun.
CABARAN PANDEMIK
Pada awalnya saya agak tertekan juga. Tambahan, bekalan makanan laut kering mengalami masalah dari segi pengurusan. Saya memanfaatkan sepenuhnya bantuan diberikan oleh kerajaan (GKP) kerana meringankan beban kami para usahawan mikro. Selain itu, saya mengurangkan perbelanjaan modal dengan menguruskan sendiri perniagaan di rumah dari segi pembungkusan walau dalam keadaan yang agak struggle kerana pada masa sama perlu memantau pelajaran (PdPR) anak-anak.
Mujurlah suami dan keluarga sentiasa memberi sokongan dan menjadi pendorong utama saya. Mereka jugalah penyokong kuat dalam apa jua yang saya lakukan termasuk dari segi bantuan modal.
Saya perlu kuat dan berani menempuh apa jua cabaran mendatang demi menstabilkan ekonomi keluarga. Tiada jalan mudah untuk berjaya. Jika tidak pecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Saya juga percaya, tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia,” kongsi Nurul Syamimi yang juga merupakan ahli BAKAT (Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera).
DETIK STRUGGLE
“Pengalaman paling memberi kesan ketika saya dan anak-anak berjauhan dari suami selama 6 bulan kerana bertugas di Sarawak. Saya terpaksa menguruskan perniagaan seorang diri, dengan nak menguruskan anak-anak lagi yang masih kecil. Hanya Allah saja yang tahu betapa peritnya saya ketika itu melalui kesukaran menguruskan perniagaan dan anak-anak. Waktu tidur yang tidak terurus, makan tak menentu, saya pula terkejar-kejar menguruskan anak termasuklah membeli barang-barang keperluan harian. Akhirnya, saya terpaksa menghentikan perniagaan seketika untuk selesaikan urusan berpindah dan menetap di Sibu, Sarawak.
Dari situlah tercetusnya idea untuk berniaga kerepek peria katak dan sambutan sangat baik. Cabarannya permintaan lebih tinggi daripada pengeluaran. Agak kelam kabut dari segi pengurusan dan bekalan bahan sebab bisnes tersebut masih baru.
Kemudian saya beranikan diri menjadi founder produk pemakanan tambahan. Dari situ baru saya sedar bukan mudah menjadi seorang founder dalam bisnes ini. Apabila perniagaan saya makin dikenali saya terpaksa sekali lagi berhenti berniaga kerana mengikut suami yang bertukar ke Tawau, Sabah. Sekali lagi saya berhadapan dengan masalah pengurusan. Kemudian diuji pula dengan pandemik COVID-19.
Pada tahun 2020 suami saya sekali lagi ditukarkan ke Kuala Lumpur. Sejak berada di Tawau, Sabah lagi dah tercetus idea untuk menjalankan bisnes ikan bilis. Memang terkesan dengan PKP dan bekalan ikan bilis dari sana kerana ia ada musim tertentu. Saya hold dulu sehingga keadaan kembali stabil.
Kemudian saya memberanikan diri menyertai Pencarian Nona Superwoman. Mungkin ini satu peluang buat saya untuk belajar pelbagai tip dan ilmu perniagaan seterusnya kuat menghadapi cabaran sebagai seorang usahawan wanita.
NASIHAT & IMPIAN
Sebagai usahawan terutama wanita, jangan pernah merasa putus asa dalam apa jua yang dilakukan. Jika penat rehat seketika, bukan berhenti. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian. Bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian.
Seterusnya, impian saya untuk membantu wanita-wanita di luar sana. Saya mahu membuka peluang dan menarik minat mereka terutamanya yang berada di luar bandar dengan pendedahan maklumat tentang perniagaan saya yang berasaskan pertanian dan perikanan. Selain itu, saya juga ingin memiliki sebuah premis perniagaan dan bergelar usahawan wanita berjaya yang mampu mencipta nama di dalam mahupun luar negara. Secara tidak langsung dapat membantu mereka menjana ekonomi rumahtangga,” akhiri graduan Diploma Komunikasi dan Media ini.
Rancangan Pencarian Nona Superwoman 2021 di ASTRO PRIMA bermula 22 September setiap Rabu jam 9.00 malam. Rancangan ini dibawakan oleh Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan Majalah Nona, diperkasakan oleh Usanita.
Kredit Foto: Koleksi Peribadi Nurul Syamimi
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pejam celik perkahwinan Menteri Besar Selangor dan isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad mencecah usia 21 tahun. Meskipun sudah lebih dua dekad hidup bersama namun kehangatan cinta dan kasih di antara mereka masih mekar.