
Jika dulu laungan perjuangan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan anaknya, Perdana Menteri keenam, Najib Razak bergema di seluruh zaman kanak-kanaknya, kini legasi itu dilihat bakal digalas oleh pewaris bongsu mereka, Nooryana Najwa.
Nooryana atau lebih mesra dipanggil Gina merupakan isteri kepada warga Kazakhstan, Daniyar Kessikbayev. Berusia 34 tahun, pasangan yang mendirikan rumah tangga sejak 2015 itu dikurniakan dua cahaya mata comel iaitu Adam dan Aidan.
Dalam perkembangan terbaru, wanita pintar lulusan Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Harvard ini pada awalnya hanya aktif sebagai ahli UMNO Lembah Pantai, sebelum dilaporkan aktif membantu kempen Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu.





Menyedari darah kepimpinan yang mengalir dalam tubuhnya, keputusan Nooryana untuk menceburi politik dengan lebih serius disambut baik oleh semua pihak.
Sebelum ini, anak kepada Najib Razak iaitu Datuk Mohd Nizar dan Datuk Mohd Nazifuddin (abang kandung berlainan ibu) turut aktif dalam politik.



Dalam perkembangan di Sinar Harian, Nooryana bakal bertanding jawatan Exco Puteri UMNO pada pemilihan parti kali ini.
Khabar tersebut disahkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi mengesahkan perkara berkenaan dalam satu hantaran Facebook.
“Hari ini, Yana Najib (Nooryana Najwa) datang berkunjung ke pejabat saya, Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit di Taman Rengit.
Beliau datang dengan Dr Masliha Harun, calon Ketua Puteri UMNO. Yana pula akan bertanding EXCO Puteri UMNO. Selamat maju jaya.” Datuk Mohd Puad Zarkashi

Nooryana yang juga ahli UMNO Lembah Pantai, dilaporkan aktif membantu kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, antaranya di Perlis, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Pahang dan Johor.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tuah Wajah Cantik & Langsing Usia 47, Ifa Raziah Makin Ligat Berniaga Cari Rezeki

Di sebalik kontroversi gelek dan bicaranya yang lantang, siapa sangka kalau Ifa Raziah sebenarnya seorang wanita yang sangat kelakar serta usahawan yang sangat menginspirasikan. Selama lebih dua dekad dalam industri, kini beliau mengadaptasi seluruh pengalamannya sebagai anak seni untuk memajukan bisnes pengurusan acara, Starvendors Event Sdn Bhd.
Seorang yang tegas berpendirian, karakter Saripah Raziah Mustapha selaku Pengarah Urusan dan Pengasas StarVendors menjadi kekuatannya dalam mengendalikan urusan syarikat.
Tidak seperti di layar perak, selebriti itu bijak memainkan peranan sebagai pemimpin, sekaligus menambah keyakinan sesiapa pun yang datang berurusan. Daripada individu berprofil tinggi seperti Menteri, pegawai kerajaan dan swasta, agensi atau badan korporat, ahli perniagaan hinggalah petugas media serta orang ramai, Ifa Raziah sentiasa profesional ketika bekerja.
Terkenal dengan imej Miss Diva dan sering tampil memakai barangan kemas seperti loket hati gergasi, Ifa Raziah juga merupakan pengasas Serifa Beauty & Health. Produk pelangsingan Solid Molid dan produk Miss Diva Skincare yang diasaskan sejak lima tahun lepas antara yang mendapat permintaan tertinggi ketika musim PKP lalu. Beliau juga giat menjual korset Ifa Raziah Wonder Suit by Jovian.

“Selagi masih larat dan kudrat mengizinkan, saya mahu terus aktif dalam bidang seni. Sebenarnya saya banyak menerima job daripada stesen TV, antara yang terbaru adalah sebagai peserta dalam program Terpaling Juara. Kehadiran saya sedikit sebanyak menaikkan rating dan membantu menularkan program tersebut.
Saya sebenarnya seorang individu yang bersemangat dan suka memberikan komitmen dalam setiap pekerjaan. Termasuklah dalam arena bisnes.
Harapan saya agar suatu hari nanti semua kerja keras ini dapat meninggalkan legasi kepada anak-anak. Mungkin bila dah berusia nanti, saya dapat abadikan diri beribadah sepenuh masa sambil monitor saja bisnes yang mereka uruskan.” Ifa Raziah
VERSATIL
Terkenal sebagai seorang wanita yang ekspresif, statement beliau iaitu, “Jadilah wanita yang berduit kerana wanita yang cantik dah banyak!” mencuit perhatian.
Pernah menjulang trofi Artis Versatil Popular dua tahun berturut-turut di ABPBH29 & ABPBH30, Ifa Raziah yang berstatus Dato’ mula terlibat dalam industri seni sejak tahun 90-an lagi. Seterusnya, bakat beliau berkembang sebagai pelakon, pelawak dan pengacara sebelum kini sebagai Pengasas serta Pengarah Urusan StarVendors Event Sdn Bhd.

Tidak keberatan berkongsi sejarah, wanita jelita berdarah peranakan Melayu-Arab dan ibu kepada dua cahaya mata itu tenang bercerita. Menurutnya, bakat nyanyian yang terpendam sebenarnya mula dikesan sejak zaman kecil lagi.
Ketika berusia 17 tahun, beliau pernah mewakili Malaysia ke pertandingan akhir Asia Bagus (1992) tapi disebabkan peperiksaan SPM ketika itu, Ifa terpaksa menarik diri.
“Saya mengeluarkan album solo pertama bergenre pop balada iaitu I Miss You, I Love You pada tahun 1996. Zaman itu Malaysia dilanda gelombang dangdut, jadi saya cabar diri hasilkan album dangdut pula setahun kemudian.
Single lagu Ser…Ser…Ser… berjaya melonjakkan nama saya sebagai penyanyi dangdut popular. Saya juga mula aktif berlakon pada waktu yang sama, malah untuk rekod pernah membintangi beberapa buah filem dan teater, berpuluh drama serta telefilem tempatan.
Menjelang era 2000-an, saya tubuhkan syarikat rakaman sendiri iaitu Ifa Raziah Entertainment dan keluarkan album ketiga iaitu Gemerincing Rindu.
Saya juga pernah keluarkan single lagu Panas bersama penyanyi Cat Farish yang berjaya layak ke Separuh Akhir Muzik-Muzik 2008 dan peringkat akhir Hits 1 RTM tahun yang sama.” Ifa Raziah

Bakat Ifa Raziah seterusnya berkembang dalam bidang pengacaraan TV apabila beliau ditugaskan sebagai pengacara program Wanita Hari Ini selama tiga tahun bermula 2008.
Tidak sekadar petah berbahas isu semasa, wanita kelahiran Jitra, Kedah itu sekali lagi membuktikan bakatnya sebagai pelawak apabila menyertai Maharaja Lawak Mega bersama kumpulan Syok.
Berkat sifat disiplin yang tinggi, rezeki Ifa Raziah dalam bidang seni terus mengalir tanpa henti. Bekas peserta program GegarVaganza ini terus mencatat satu demi satu kejayaan berskala besar ekoran strategi hidupnya, ingin sentiasa relevan dengan trend semasa.
Kerana itulah gaya dan penampilan diri beliau sentiasa berevolusi, stail mekap pun up-to-date!
USAHAWAN
Menyedari betapa luasnya manfaat berniaga, Ifa Raziah mengorak langkah berani sebagai pengasas StarVendors pada tahun 2019. Sebagai syarikat pengurusan acara, StarVendors dianjurkan sebagai festival membeli-belah dengan penyertaan ramai selebriti dan pelbagai jenama terkenal di Malaysia.
Menggunakan pengaruh seni, pengunjung yang datang juga boleh bertemu mesra artis kesukaan mereka dan menikmati persembahan yang diadakan.
Pencapaian terbesar Ifa Raziah adalah apabila acara Festival StarVendors Mega Raya yang dianjurkan pada bulan Ramadan lalu melakar sejarah di The Malaysia Book of Records sebagai penganjuran paling lama selama 75 jam tanpa henti.

“Dengan rekod keseluruhan pengunjung mencecah 2.8 juta orang, saya sebenarnya amat terharu dengan pengiktirafan ini dan tidak menjangka mendapat sambutan yang amat luar biasa.
Jadi saya nak menjemput lebih ramai artis dan usahawan untuk sertai StarVendors. Kami dah susun banyak program hebat di 11 venue sepanjang 2023.
Inilah satu-satunya platform yang dapat memperkenalkan branding anda dengan baik selain online. Usahawan boleh turun padang berjumpa pengunjung secara fizikal sambil mereka pegang sendiri produk anda.”
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Azfarina Sulaiman
Solekan: Bobo Cinta
Dandanan: Hamidi Jamili
Busana: Daniel Zharif, Jovian Mandagie, Maglifestyle
Lokasi: W Kuala Lumpur Hotel
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dari Minat Jadi Kerjaya, PUAN SRI NISA Bangga Bawa Masakan Tradisi Sampai Kota London!

Puan Sri Nisa Bakri nyata bukan calang-calang wanita. Kejayaan yang diraih beliau bukan hanya dalam industri kulinari tempatan malah diiktiraf hingga ke peringkat antarabangsa. Salah satu pencapaian membanggakan yang terpahat segar di ingatan Puan Sri Nisa pastinya saat beliau berjaya membawa masakan warisan Malaysia sampai ke Kota London!
Menceritakan kembali perjalanan awal dalam bidang ini, pemilik nama Puan Sri Shariffa Nisa Syed Hamid ini mengakui aktiviti memasak pada mulanya hanya dijadikan sekadar hobi. Namun lama-kelamaan isteri Tan Sri Mohd Bakri Zinin ini memilih dunia kulinari sebagai kerjaya.
Beliau yang mempunyai kelulusan dalam bidang ekonomi dan kewangan telah menempa nama dan reputasi cemerlang sepanjang bergelar cef selebriti.

“Memasak ini memang hobi saya dan dari hobi itu ia kemudian berputik menjadi passion. Sejak suami bersara kira-kira enam tahun lepas, saya banyak menghabiskan masa dengan memasak di rumah. Sepanjang aktif memasak ini juga saya akhirnya berjaya keluarkan buku masakan dan ada program masakan sendiri.
Tak sangka dari hobi, ia makin menjadi-jadi. Ingat hendak berehat dah, tapi Tan Sri faham minat saya dalam dunia masakan dan mahu saya teruskan minat ini. Mengenai pencapaian terbaik, alhamdulillah pada bulan Ramadan tahun lalu saya dapat buat program masakan sendiri yang disiarkan di saluran TV Okey bersama artis-artis tersohor negara.
Itu adalah salah satu pencapaian bermakna bagi saya. Keduanya pula ialah apabila saya dapat masak di London Fashion Week 2018. Saya buat masakan warisan Malaysia untuk empat fashion show melibatkan 700 orang. Memang ia pencapaian berharga buat saya,” telus Puan Sri Nisa yang merupakan penulis buku masakan, I Am Not A Chef.

Buku masakan yang diterbitkan pada tahun 2015 tersebut merupakan sebuah karya unik beliau berkonsepkan Romance, Food and Love yang menghimpunkan 25 resipi tradisional. Selepas kejayaan menerbitkan buku masakan sendiri, Puan Sri Nisa turut mendapat pengiktirafan sebagai Top Outstanding Gourmet Ambassador di World Gourmet Award 2018 selain dilantik Culinary Advisor oleh World Gourmet Award Association 2019.
Pada tahun sama juga Puan Sri Nisa menerima Anugerah Outstanding ASEAN Women Enterpreneur Award 2019 anjuran Awen iaitu ASEAN Women Entrepreneur Network di Bangkok, Thailand.
Berbicara soal rutin harian, Puan Sri Nisa mengambil manfaat situasi pandemik Covid-19 untuk mengajak semua kakitangannya tampil lebih kreatif dan berani mencuba strategi pemasaran baharu dalam usaha menarik semula permintaan pasaran.
Antara inisiatif yang dijalankan adalah pengenalan pek makanan, menyediakan makanan DIY, membantu golongan wanita yang diberhentikan kerja menjana pendapatan dari rumah, menyediakan modul perniagaan dari rumah, memantapkan jenama NisaBakri secara dalam talian, mengadakan kelas makanan online dan kelas masakan untuk kanak-kanak.

“Setiap minggu hari Jumaat, NisaBakri (NB) Gourmet akan tutup katering untuk public business. Kami ambil hari Jumaat untuk memasak bagi pihak pemberi sumbangan sebelum diagihkan kepada anak-anak yatim, gelandangan, warga emas, petugas barisan hadapan dan golongan yang memerlukan makanan sihat dan lazat.
Individu-individu yang memberi sumbangan kepada NB Gourmet ini percaya dengan kebolehan kami untuk melaksanakan niat mereka sebab kami amat mementingkan masakan yang sihat tanpa pengawet atau preservatives.
Sejujurnya, saya sudah mulakan program ‘Friday Givings’ ini sejak enam tahun lepas. Sekarang alhamdulillah, ramai yang sudah tahu program berkenaan. Hari Jumaat ialah hari paling istimewa buat saya dan saya sendiri akan masak untuk insan-insan istimewa berkenaan.
Antara menu yang disediakan ialah Biryani Ayam Yemen, Biryani Grill, Ayam Masak Merah, Lontong Ayam Sayur, Daging Dendeng dan banyak lagi,” jelas Puan Sri Nisa yang mengambil tempahan makanan bagi tujuan kebajikan.
Terinspirasi dengan gaya hidup Puan Sri Nisa. Meskipun sibuk mengurus keluarga, cucu dan anak, tetap komited dengan bisnes yang diusahakan. Moga kejayaan beliau menjadi sumber inspirasi kepada lebih ramai wanita.
Kredit foto: Instagram Puan Sri Nisa Bakri
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bahagia Bergelar Suami Kepada 2 Isteri, ASHRAF MUSLIM Dapat ‘Surprise’ Birthday Yang Ke-41

Sejak dulu suka tengok kehidupan keluarga pelakon Ashraf Muslim bersama dua isteri serta anak-anaknya. Biarpun hidup berpoligami tetapi Ashraf berjaya membahagiakan dan menjadi suami yang terbaik buat kedua-dua isteri tersayang, Dr Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Wan Saburi.

Malah, kebahagiaan mereka itu sering menjadi tumpuan ramai dan antara contoh pekahwinan berpoligami yang harmoni. Walaupun hidup bermadu tetapi hubungan isteri-isteri Ashraf sangat akrab. Sama-sama cantik, lemah lembut, pandai masak dan berjiwa keibuan.

Pada 12 September 2022 yang lalu, genaplah usia Ashraf yang ke-41. Tanpa pengetahuannya, kedua-dua isteri kesayangan yang digelar Mama dan Ibu itu telah berpakat membuat kejutan dengan memilih air terjun sebagai lokasi. Memang rare!
Biarpun disambut dalam suasana santai dan sederhana, tetapi momen itu sangat bermakna buat Ashraf. Memetik kata-katanya di akaun Instagram, dia memohon maaf kepada kedua-dua isteri dan berpesan agar menjaga anak-anak dengan baik sekiranya dia pergi dulu.
“Happy birthday to me! Cerita semalam plan pergi berkelah jer. Gigihlah pagi-pagi semua orang bangun nak pergi berkelah. Ingatkan sebab nak bawak anak-anak pergi mandi manda yerlah kan cuti sekolah. Angkatlah barang-barang semua gigih naik tangga.
“Duk cakap dalam hati apa yang beriya sangat sampai macam-macam barang dibawaknya. Haa.. sampai je kat atas setup-setup tempat makan dan terkejut AM bila Mama Ibu setupkan semua ni untuk AM.
“Terima kasih Mama Ibu kerana meraikan birthday AM ke 41 ni. Dah tua dah. Huhuhu. AM doakan semoga Mama Ibu sentiasa dimurahkan rezeki, diberkati dunia dan akhirat. Maafkan ayah salah silap selama ini.
“Jika ayah pergi dulu jagalah anak-anak dengan baik. I love you all.”
Dr Dayana dan Sakinah turut berkongsi ucapan ringkas buat suami tercinta mereka itu di akaun Instagram @ashrafslegacy:-
“Happy Birthday ayah. Semoga panjang umur dan dimurahkan rezeki. Sentiasa jaga hati untuk Mama, Ibu dan anak-anak ok! Terima kasih kerana menjadi imam yang baik buat kami.
Lots of love,
Mama & Ibu
Sarah, Adam, Anas & Safiyyah”
BELAJAR MEMBERI & MENERIMA
Pernah berkongsi kepada Majalah Nona sebelum ini, Ashraf menganggap perkahwinan mereka itu adalah satu ukhwah terhebat dalam hidupnya. Dayana dan Sakinah adalah amanah Allah SWT kepadanya untuk mendidik mereka menjadi isteri yang solehah.
Manakala bagi Dr Dayana pula, sebagai isteri pertama dia bersyukur mengenali Sakinah yang dianggapnya seperti sahabat yang sentiasa ada bersama. Menurutnya, apabila berkongsi kasih seorang suami, tolak ansur adalah sangat penting.
Ashraf juga sering mengingatkan mereka tentang sabar selain belajar untuk memberi dan menerima demi kebahagiaan bersama. Dr Dayana dan Sakinah bersyukur kerana dikurniakan suami yang adil dan bertanggungjawab.
Dalam pada itu, Sakinah menyatakan, menggalas status isteri kedua bukannya mudah namun dia melaluinya dengan tenang dan bahagia. Walaupun usianya lebih tua daripada Dr Dayana namun dia tetap menghormatinya.
“Saya kagum dengan sikap Dayana yang sentiasa tenang dan tidak mudah melatah. Bila bermadu masing-masing kena faham peranan termasuklah berkaitan giliran. Kami tidak akan ganggu privasi masing-masing terutama ketika giliran.”
Untuk info, Ashraf dan Dr Dayana berkahwin pada Ogos 2011 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Anas Ashraf yang kini berusia 7 tahun.
Manakala perkahwinan Ashraf dengan Sakinah pada Julai 2013. Mereka dikurniakan tiga anak iaitu Sarah Ashraf, 8, Adam Ashraf, 7, dan Safiyyah Ashraf, 3.
Kredit Foto: Instagram Ashraf Muslim & Ashrafs Legacy
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


