Alhamdulillah, nampak makin ayu dan berseri-seri Jihan Muse sejak mengenakan hijab. Sedang menikmati percutian di Jepun bersama keluarga, penampilan terbaru Jihan yang dikongsikan di laman Instagramnya baru-baru ini nyata mengejutkan ramai pihak. Bahkan di kalangan rakan-rakan artis pun, ramai yang memuji gaya muslimah pelawak wanita terkenal ini.
Baru selesai menyertai Misi Dapur Kasih buat Sulawesi pada penghujung Januari lalu bersama Fara Fauzana dan Zara Zya, isteri Ungku Hariz ini sekali lagi menjadi perhatian dengan berita ‘penghijrahan’ tersebut. Mana tidaknya, tahu-tahu saja Jihan dah bertudung. Syukur alhamdulillah.
Jihan di samping suami
Meskipun tampil dengan imej baru, tapi ibu kepada Ungku Arsalan Haq sedikit pun tak kekok menggayakan hijab. Lilitan yang membaluti kepalanya juga nampak cantik terletak dan kemas. Tak ubah macam wanita yang dah lama pakai tudung.
Lebih manis, penghijrahan Jihan ini berlaku ketika anaknya menyambut ulang tahun kelahiran yang pertama. Tak kisahlah sama ada dia sengaja memilih tarikh tersebut untuk berubah atau sekadar kebetulan… janji selebriti ini berani berubah ke arah kebaikan.
Ads
Ads
Jihan dalam pada itu turut berharap agar penampilan barunya ini tidak menjejaskan kerjaya lakonan dan pengacaraan yang diceburinya selama ini selain berharap ia diterima masyarakat termasuk syarikat produksi.
Rata-rata rakan artis dan peminat yang gembira melihat perubahan Jihan meluahkan rasa syukur dan mengharapkan supaya wanita hebat ini terus istiqamah mengenakan hijab.
Tak sabar rasanya nak tengok Jihan kembali beraksi di kaca TV dengan imej tersebut. Moga dengan penghijrahan Jihan ini dapat membuka pintu hati selebriti dan wanita lain untuk turut sama menutup aurat.
Ads
Kredit : Instagram Jihan Muse
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bila menyebut tentang penjagaan, ramai yang ambil mudah terutamanya jika mengenakan hijab. Persepsi itu sebenarnya perlu diubah kerana penjagaan rambut untuk wanita berhijab lebih penting memandangkan mereka mengenakan hijab seharian. Jadi, kesihatan rambut perlu diberi perhatian khusus.
Gaya rambut ikal kini kembali memikat penggemarnya. Tidak sekadar memberi impak glamorama, rambut yang dikemaskan dengan potongan menarik mampu menyalakan gelora cinta di hati jejaka.
Namun begitu, jika berkenan untuk menukar gaya selaras peredaran masa, pastikan ia dipotong kemas sempurna, agar rambut tetap mudah diurus meskipun ketika di luar kawalan anda!
Uji Sendiri Jenis Rambut
Tidak semua wanita dikurniakan rambut normal semula jadi. Perbezaan cuaca, gaya hidup, pemakanan dan peningkatan usia mampu menukar takdir rambut yang sihat kepada pudar tanpa tarikan.
Selain itu, penggunaan produk rambut yang bertentangan dengan jenis rambut anda juga mendorong pelbagai masalah seperti kelemumur, rambut gugur dan bercabang. Untuk mengetahui apakah jenis rambut yang anda miliki, cuba lakukan ujian mudah ini.
# Langkah 1
Sehari sebelum membuat ujian ini, syampu rambut anda seperti biasa.
# Langkah 2
Menggunakan sehelai kertas tisu, pedapkan ke akar/pangkal rambut di bahagian tengah kepala serta di belakang cuping telinga selama seminit.
Jika kertas tisu nampak berminyak, ini menunjukkan kondisi rambut yang terlebih lembapan, dan begitu juga sebaliknya.
Jenis-Jenis Rambut
(a) Normal
Rambut dari jenis normal begitu mudah diurus, bersinar dan tidak berminyak.
(b) Berminyak
Lazimnya rambut hanya cantik bermaya sehari dua selepas bersyampu. Tetapi bila masuk sahaja hari ketiga, ia mulai ‘berat’ dan berminyak-minyak. Biasanya rambut dari jenis ini sering berdepan masalah kelemumur.
(c) Kering
Rambut dari jenis ini sungguh sukar dikawal. Apalagi selepas bersyampu, ia tampak kusam dan terbelah di hujung. Kadangkala kepala terasa gatal, berkuping-kuping, begitu rapuh dan mudah putus.
(d) Kombinasi
Lahir dari kombinasi berminyak dan kering, rambut kombinasi mudah dikenalpasti kerana rona hujung rambut berwarna lebih cerah berbanding pangkalnya. Ini juga menunjukkan akar rambut anda berminyak tetapi bila sampai ke hujung, ia kering seperti akar kayu.
Jika jenis rambut anda ikal kerinting semula jadi, usah terlampau kerap meluruskannya dengan cara ironing. Ia menyeksa rambut, mengeringkan lembapan sambil menggalakkan kutikel menjadi kasar dan kusam. Dapatkan potongan sesuai bentuk wajah, melabur pada produk ‘anti-frizzy’ dan buatlah perawatan melembap sebulan sekali.
Trik Dandanan
Cuba ikat ponytail, berdiri tegak di depan cermin dan analisis bentuk wajah anda. Jika berwajah besar dan luas, elakkan menggaya fesyen rambut lepas kerana ia mencipta ilusi gempal. Gaya chignon (bun moden) dengan ‘fringe’ di atas kening merupakan pilihan paling tepat. Bagi anda yang berwajah kecil, gaya rambut ikal berombak di paras bahu mampu menyerlahkan penampilan anda.
Potongan ‘fringe’ menutupi dahi mencipta imej muda dengan segera. Hanya gunakan pengering rambut dan oleskan sedikit produk rambut yang ringan untuk gaya ringkas dan mudah.
Buat seketika, lupakan penyepit rambut untuk mencipta gaya sanggul segera. Terkini di lantai peragaan, gaya bun moden menyuntik kelainan kepada wanita yang mendamba kecantikan segera. Aksesori ‘hair sticks’, ‘headband’ dan pin berbatu kini sedang trend di pasaran.
Adakah rambut anda sering kusut dan mengurai degil? Cara paling mudah untuk mengawal rambut sukar diurus ialah ketika bersyampu. Selepas membilas sisa buih, lumurkan perapi dan pastikan anda menunggu mengikut masa yang ditetapkan. Rumusan perapi cukup berkesan untuk menjadikan gaya rambut anda sentiasa kemas dalam kawalan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bulan yang paling mulia di antara semua bulan datang lagi. Keberkatan yang menjadi hadiah utama pada Ramadan ini perlu direbut. Dalam keghairahan itu, jangan lupa untuk memberi perhatian kepada penjagaan kulit tubuh juga.
Hidrasi adalah masalah utama yang sering berlaku pada bulan Ramadan. Untuk atasinya, banyakkan minum air putih. Di samping itu, perhatikan juga penampilan anda kerana bulan Ramadan bukan alasan untuk bermalas-malas.
Rutin kecantikan perlu diteruskan. Walaupun anda sibuk dengan menguruskan rumah tangga, tentunya anda tidak mahu kelihatan terabai di hadapan suami dan untuk ke tempat kerja. Beberapa tip di bawah boleh dijadikan panduan.
Kelembapan Kulit
Memandangkan kadar pengambilan air berkurangan, melembapkan diri di bahagian luaran adalah lebih penting. Gunakan buih pembersih badan yang mempunyai kadar lembapan tinggi dan usai itu, gunakan losen badan.
Produk yang menggunakan minyak semula jadi dan mentega seperti minyak kelapa dan shea butter memberi impak sempurna berbanding losen biasa. Gunakannya pada tubuh dan kaki untuk mendapatkan kulit yang halus dan lembut.
Bebas Bau Badan
Apa kata anda gunakan pewangi semula jadi untuk tubuh? Selain menggunakan deodoran, penggunaan jus lemon juga boleh mengelakkan daripada timbulnya bau badan. Lemon mempunyai antiseptik terbaik, antibakteria dan anti-odor. Ia mengurangkan bau peluh dan meninggalkan haruman lemon yang segar pada tubuh.
Kulit Halus
Jika anda ingin bebas dari bulu halus, waxing adalah jalan terbaik.
Biarpun ia menyakitkan tetapi ia berbaloi kerana anda tidak perlu mencukurnya setiap tiga hari kerana waxing akan memperlahankan pertumbuhan bulu-bulu halus.
Face Mask dan Pengelupasan
Yogurt asli adalah helah terbaik untuk perawatan wajah. Yogurt terkenal dengan kelembapan yang ada padanya, malah ia juga memberi kelegaan pada kulit, menegang dan cara terbaik untuk pengelupasan.
Solekan
Warnai wajah dengan solekan biarpun minimalis.
Secara asasnya, gunakan bedak asas, pemerah pipi, maskara dan pengilat bibir untuk tampil sederhana tetapi masih menawan.
Rehatkan Rambut
Hampir setiap hari rambut menjadi ‘mangsa’ pencemaran dan bahan kimia. Sesekali, rehatkan rambut daripada sebarang produk.
Masker rambut seminggu sekali untuk mengekalkan kesihatan rambut. Anda juga boleh menggunakan masker dari tanah liat agar minyak berlebihan dan kotoran pada rambut boleh dibersihkan.
Rias Kuku
Pada waktu siang, banyak kerja-kerja rumah boleh diselesaikan sehingga boleh menyebabkan tangan menjadi kasar. Pada waktu malam, rawatan lebih tertumpu pada bahagian tangan.
Tidak perlu krim atau peralatan merias, cukup sekadar losen yang memberi lembapan secukupnya. Palitkan setompok kecil losen pada kuku dan kutikel. Keesokan harinya, ketika anda bangun untuk sahur, kulit tangan dirasakan lebih lembut dan halus.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Makin cantik berseri-seri Erra Fazira sejak kembali bergelar isteri. Terserlah wajah bahagia Primadona Filem Melayu ini selepas menjadi suri hati usahawan Ezwan Zain.
Ternyata, Erra memang layak diangkat sebagai ratu! Mana tidaknya, usia sudah mencecah 50an pun ‘maintain’ langsing dan jelita. 9 Februari merupakan ulang tahun kelahiran ke-52 Miss World Malaysia 1992 ini.
Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek antara selebriti wanita tanah air yang menjadi pujaan ramai kerana keperibadian yang dimiliki. Dia disifatkan seorang figura yang mesra melayan peminat dan mudah didekati.
Barangkali kerana sikap positif dan ceria Erra itulah yang membuatkan dia sentiasa nampak awet muda dan menawan pada pandangan khalayak.
7 Februari lalu, Erra bersama Dato’ Awie dan Ziana Zain disatukan dalam Konsert Sembilu The Reunion. Lakonan mereka dalam filem Sembilu pada tahun 1994 arahan Datuk Yusof Haslam nyata ‘melekat’ di hati peminat hingga ke hari ini.
Siapa sangka, ketiga-tiga mereka yang sudah pun mencecah usia 50an masih bertenaga beraksi di pentas dan memiliki vokal yang mantap. Kemunculan Erra yang mendendangkan lagu-lagu popularnya seperti Cinta Abadi, Jendela Hati dan Hanya Di Mata memukau peminat yang hadir.
Bahkan busana yang digayakan Erra Fazira ketika konsert berkenaan juga cukup indah. Penampilan ibu Engku Aleesya ini yang persis ratu cantik di atas pentas meraih pujian ramai. Bahkan di media sosial juga kebanyakan warga maya terpesona dengan aura Erra.
Erra sah bergelar isteri Mohamad Ezwan Mohamad Zain atau lebih dikenali sebagai Mr E pada 12 Disember 2025. Pasangan romantis ini berangkat mengerjakan umrah pada awal Januari lalu dan aktres jelita ini turut berkesempatan meraikan hari lahir suami tercinta ketika berada di sana.
Semoga Erra Fazira dikurniakan kesihatan yang baik dan rumah tangga bahagia di samping Ezwan Zain hingga ke Jannah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
MasyaAllah, lunak suara Afiqah Jalil yang merupakan anak kepada selebriti veteran iaitu Jalil Hamid. Ternyata Afiqah atau lebih dikenali sebagai Iqa bertuah kerana mewarisi bakat ayahanda tersayang dalam bidang muzik. Dah namanya anak kepada penyanyi, pasti darah seni mengalir deras dalam diri wanita ini.