Walaupun sudah lama tidak muncul dalam drama mahupun filem namun penampilan Datin Lisa Surihani yang sopan buat sejuk mata memandang.
Pelakon filem Istanbul Aku Datang ini masih mencuri tumpuan orang ramai. Lebih-lebih lagi setelah mengambil keputusan berhijab makin berseri-seri wajah isteri kepada Datuk Yusry Abd Halim ini.
Foto: Instagram @lisasurihani
Baru-baru ini ibu kepada tiga orang cahaya mata ini telah mencuri tumpuan ramai apabila hadir di majlis pengisian ilmu yang dikendalikan oleh penceramah ustaz Wadi Anuar di kediaman Penghibur No.1 Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Perkongsian tersebut dimuatnaik pelakon berusia 36 tahun itu menerusi satu video memaparkan dirinya dari menjejakkan kaki keluar rumah sehingga sesi ceramah berkenaan bersama rakan selebriti lain.
Selebriti yang pernah mengacarakan rancangan televisyen Tanya Doktor ini sering dilihat menyertai majlis ilmu bersama rakan selebriti lain untuk kekal istiqamah.
Ads
“Ya Allah, Aku memohon kepada-Mu, Al-Hudaa (petunjuk), At-Tuqaa (ketaqwaan), Al-‘Afaaf (terjaganya kehormatan) dan Al-Ghinaa (rasa cukup)
“HR Muslim No 2721 dari sahabat Abdullah bin Mas’ud RA,” tulisnya di laman media sosial miliknya itu dengan berkongsi sebuah hadis.
Dalam majlis di kediaman Datuk Seri Siti Nurhaliza itu, Datin Lisa Surihani tampil sopan dengan kaftan labuh berwarna Maroon. Cukup manis dan sejuk mata memandang. Tidak hairanlah apabila ramai yang memuji imej dan penampilan Lisa selepas penghijrahannya.
Ads
Dalam sibuk menguruskan rumahtangga dan tanggungjawab sebagai seorang ibu, Datin Lisa Surihani kini mengorak langkah menjadi usahawan wanita.
Foto: Instagram @lisasurihani
Datin Lisa Surihani telah muncul dengan produk penjagaan rambut di bawah jenamanya sendiri. Bermula dengan kisah masalah rambutnya sendiri, Datin Lisa Surihani berkongsi formulasi yang membantu mengatasi rambut bermasalah.
Suri merupakan pilihan Datin Lisa Surihani sebagai jenama produk sulungnya itu. Datin Lisa Surihani juga beruntung apabila suami sentiasa menyokong perjalanannya untuk bergelar usahawan. Semoga terus sukses dalam bidang baharu yang diceburinya ini.
Ads
Foto: Instagram @lisasurihani
Datin Lisa Surihani juga sangat menyayangi dan rapat dengan ibunya. Jika dahulu ibunya yang akan menguruskan segala perjalanan seni Datin Lisa Surihani.
Malah sampai sekarang hubungan anak-beranak ini rapat disebabkan Datin Lisa surihani adalah satu-satunya anak perempuan tunggal dalam lima adik-beradik. Sikapnya yang begitu menyayangi dan menghormati ibunya membuatkan personalitinya cukup menarik.
Kemenangan qariah Malaysia, Nor Farhatul Fairuzah Panut dalam pertandingan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) pada Sabtu lalu nyata satu kejayaan membanggakan bagi seluruh rakyat Malaysia. Pencapaian luar biasa yang diraih Farha itu bukan saja mencipta sejarah selaku peserta termuda yang menyertai majlis berkenaan… bahkan dia juga merupakan qariah termuda yang memenangi pertandingan berkelas antarabangsa tersebut pada usia 19 tahun.
Memungut kutipan markah tertinggi 87.05 peratus dalam MTHQA, Farha tidak sekadar berjaya mengatasi markah 86.67 peratus ketika menjuarai Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Kebangsaan, Mac lalu. Sebaliknya, pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu ini juga menewaskan peserta dari Indonesia dan Thailand dengan catatan markah masing-masing 84.88 peratus dan 80.46 peratus.
Kejayaan Farha dikongsi bersama ahli keluarga
Berpeluang menemu bual Farha sebelum pertandingan berlangsung, anak bongsu ini mengakui dirinya cukup dekat dengan Al-Quran dan gemar bertarannum. Ada saja masa terluang, dia pasti akan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci sepuas-puasnya. “Kalau saya rasa bosan, perkara pertama yang saya buat ialah bertarannum. Tarannum ni dah jadi minat saya sejak dulu. Kiranya macam menyanyilah… cuma saya ‘nyanyi’ dengan cara saya sendiri iaitu dengan bertarannum,” ujarnya sambil tersenyum.
Mendengar pengakuan anak tersayang, Hajah Jaliah Haji Simin yang juga ibu kepada Farha lantas membongkar rahsia tentang kelakuan anak kesayangannya. “Dekat sekolah dia selalu telefon saya dan beritahu nak balik rumah sebab nak tarannum. Bila saya minta dia tarannum je dekat sekolah, dia tak mahu. Katanya rasa macam tak puas… tak lepas. Memang dia nak balik rumah juga.
Jadi, dah sampai je rumah dia akan tarannum puas-puas. Sambil buat kerja pun dia akan tarannum dan hafal surah dengan lenggok lagu yang dia suka. Sampai sekarang, bila semua adik-beradik balik rumah… mereka akan berkumpul dan mengaji bersama-sama.”
Farha Bersama kakaknya ketika memenangi MTHQK pada Mac lalu
MashaAllah, bagusnya didikan Hajah Jaliah dan Allahyarham Haji Panut Haji Markum! Kelima-lima anak mereka bagai sudah sebati dengan Al-Quran dan telah diasuh mencintai kitab suci sejak kecil. Hasilnya, kesemua adik-beradik Farha aktif menyertai pelbagai pertandingan tilawah Al-Quran dan salah seorang kakaknya, Nor Faizah Panut merupakan naib juara Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Kebangsaan yang lalu.
Kongsi Farha, “Sejak umur lima tahun lagi saya dah mula belajar tarannum. Bila masuk darjah satu pula, saya dah didedahkan menyertai pertandingan tilawah. Mak dan ayah yang banyak mendidik saya sejak kecil lagi sebab mereka berdua bekas Qari dan Qariah.
Ayah jadi Qari sekitar tahun 1990an dan kali terakhir mak bergelar Qariah pula pada tahun 2004 di Perlis dan dapat tempat ketiga peringkat kebangsaan.
Kalau diikutkan, selain suka dengar lagu-lagu Arab, tilawah juga salah satu hobi saya. Tapi buat masa ini, tujuan saya masuk tilawah adalah untuk menilai sejauh mana kualiti bacaaan. Belum terfikir lagi untuk jadikannya sebagai kerjaya.
Semua adik-beradik saya pernah wakil negeri dan ke peringkat kebangsaan dalam pelbagai anjuran. Memang ini adalah impian arwah ayah dan mak. Lagipun, mak adalah guru mengajar Al-Quran.”
Hasil kemenangan itu, Farhatul membawa pulang hadiah kepingan emas bernilai RM70, 000, piala iringan dan wang tunai RM40, 000. Turut mencipta rekod cemerlang ialah Qari Malaysia iaitu Abdul Khair Jalil yang menjadi Johan Qari dalam pertandingan sama. Moga kejayaan mereka berdua dapat menggalakkan lebih ramai generasi muda mendalami Al-Quran.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kehadiran Dato’ Sri Siti Nurhaliza sememangnya ditunggu-tunggu pagi itu. Ruang butik Ariani begitu sesak, sampaikan ada yang berjingkit-jingkit mahu melihat sendiri wajah terkini penyanyi No. 1 negara itu dari jarak dekat.
Suasana bertambah gamat apabila suaranya berkumandang memberi salam. Jualan lelong tudung Ariani bertambah hebat, malah ramai yang berebut-rebut mahu mendapatkan koleksi terkini jenama ini pada harga terjangkau murah.
Begitulah fenomena yang baru tercetus sebentar tadi sempena pelancaran butik Ariani dan Jakel di Ostia Bangi. Selain promosi jualan murah, ini juga peluang keemasan untuk bertemu selebriti terkemuka seperti Siti Nurhaliza dan Nabil Ahmad.
Peluang bertentang mata dengan superwoman ini tidak disia-siakan. Memasuki bulan ketujuh dan mencecah 32 minggu usia kehamilan, pastinya timbul debaran di hati Siti menanti saat-saat kehamilan yang kian hampir.
Ikuti temu bual Nona dan beliau tentang segala persiapan kelahirannya…
Perasaan Siti sekarang?
Setakat ni belum berdebar lagi. Saya masih boleh relaks, tapi ada juga sesekali tengok proses kelahiran tu di Internet walaupun orang kata jangan tengok. Saya cuma nak tahu keadaannya.
Masa kali pertama rasa tendangan bayi dalam perut, saya memang terkejut! Lebih-lebih lagi masa tendangan tu agak agresif pada waktu malam. Rasa macam ombak! Namun setiap kali saya cuba nak rakam video momen tendangan tu, mesti tak dapat.
Masa kandungan bayi mencecah 6 bulan, saya ada buat detail scan untuk tengok perkembangan tulang, tangan, perut, jantung dan sebagainya. Pipi dia memang chubby. Alhamdulilah tengok semua normal dan doktor cakap bayi membesar mengikut perkembangan yang sepatutnya. Last hari tu berat dia dah 1.8kg jadi anggaran lahir nanti dalam 3kg.
Alhamdulilah saya pun takde masalah tidur macam terjaga tengah malam nak makan, kecuali untuk ke tandas. Tapi sebelum tu saya kena duduk dalam setengah jam, pernah sampai terlelap sebab sekarang ni selalu rasa reflux dan heartburn. Bila dah selesa, baru saya tidur baring betul-betul.
Sejauh mana persiapan dilakukan?
Kami belum ada kesempatan beli perabot bayi lagi sejak suami bertolak ke London. Tapi baju-baju alhamdulilah, rezeki anak saya banyak orang bagi hadiah. Saya terima dengan ikhlas hadiah-hadiah ini daripada peminat sebab itu tanda kasih mereka pada saya.
Memang banyak sangat baju yang dihadiahkan jadi saya tak mahu membazir beli lagi sebab bayi newborn cepat membesar. Selain tu ada juga dapat set kelengkapan mandi dan penggendong bayi. Saya berterima kasih pada peminat yang bermurah hati belikan hadiah. Cuma saya mungkin akan beli beberapa barang kelengkapan bayi lagi dalam seminggu dua ni.
Ada terima tajaan?
Untuk bersalin takdelah. Tapi ada pihak yang dah approach untuk taja beberapa kelengkapan bayi cuma saya taknaklah uar-uarkan lagi.
Pengalaman Siti sepanjang kehamilan ni?
Saya pernah jaga anak buah tapi nak kata yang betul-betul pengalaman tu taklah sebab saya tak pernah rasa bangun tengah malam setiap 2 jam untuk susukan anak. Saya banyak tanya wanita, saat paling tough selepas bersalin selalunya adalah bagi anak menyusu.
Suami saya pun nak saya mengalami pengalaman tu. Itulah pengalaman yang saya nervous nak tunggu. Menyusukan anak dan rasa tanggungjawab seorang ibu.
Selalu kita kata seronoknya jadi ibu tapi kita tak tahu tanggungjawab dan cabarannya besar. Saya tengok sendiri menantu saya Tya Ariffin yang selalu di rumah, betapa berdisiplinnya dia menyusukan anak, siap kunci jam setiap dua jam, pam susu dan sebagainya. Kalau boleh saya pun nak fully breastfeed anak macam tu, insyaAllah.
Rancangan waktu berpantang nanti?
Saya akan berpantang di KL tapi ikut cara tradisional Melayu. Memanglah kalau ikut tradisi kita nak mak jaga tapi saya faham mak saya pun dah berusia.
Lagipun sekarang dah banyak perkhidmatan confinement lady, so akan ada orang yang datang ke rumah untuk jaga saya berpantang nanti. Makcik ni pun memang berpengalaman untuk jaga ibu dan bayi selama 44 hari.
Ada terfikir nak buat akaun Instagram untuk si comel nanti?
Tak boleh cakap lagi pasal tu. Memang banyak orang bertanya tapi setakat ni saya belum terfikir ke arah tu. Semuanya perlu dibincangkan dengan suami dulu.
Dulu saya pernah upload gambar scan bayi di IG tapi suami cakap jangan lagi sebab masa tu bayi masih belum matang. Jadi niat tu pun tak dibatalkan.
Tentang aktiviti seni Siti?
Walaupun aktiviti sekarang agak terhad, tapi takpelah sebab ini yang saya nak. 11 tahun saya tunggu dan berdoa hingga Allah makbulkan. Jadi saya kena fokus dengan apa yang saya nak sekarang. Suami pun beri layanan yang baik especially masa mengandung ni saya asyik nak mengadu penat jer kat dia.
Nasihat Siti untuk pasangan yang masih berikhtiar mendapatkan zuriat?
Berdoa, berusaha dan tawakal. Sentiasalah bersangka baik dengan Allah. Untuk wanita yang masih menanti kehadiran cahaya mata, percayalah Tuhan akan berikan rezeki itu pada masa yang tepat. Saya sendiri menanti 11 tahun untuk saat ini, malah pernah keguguran juga. Tapi saya tak menangis. Saya yakin pasti ada rezeki saya suatu hari nanti.
Allah bagi rezeki tepat pada waktunya. Tatkala anak-anak semua dah membesar, termasuklah anak bongsu pun kini dah belajar di luar negara, rumah kami jadi agak sunyi. Jadi Tuhan beri cahaya mata ini pada kami untuk isi ‘kekosongan’ tu. Alhamdulilah.
Pelan bisnes Siti?
Sebenarnya kita dah start dah. Bulan Disember lepas, Creacion dah mula reka baju dan cari material. Kali ni semua persiapan awal. Diharap koleksi ini dapat menepati selera pelanggan hendaknya. Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Saya ke Palestin pada tahun 2014 bersama ibu serta rakan-rakannya. Sebenarnya, setahun sebelum ke sana sudah beberapa kali saya mengusulkan kepada ibu yang saya teringin sangat hendak menziarahi bumi Palestin yang merupakan tempat para anbiya. Memang saya berminat untuk mempelajari sejarah-sejarah Islam.
Kebetulan juga ketika itu salah seorang adik saya sedang menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Ketika melawatnya di sana, kami dibawa berjalan melawat Mesir oleh pelajar-pelajar Malaysia di sana. Banyak kisah-kisah agama dikongsi oleh mereka sehingga membuatkan saya tertarik untuk mempelajari lebih banyak tentang sejarah Islam.
Kami tiba melalui Jordan. Untuk memasuki sempadan Palestin perlu melalui checkpoint atau tempat pemeriksaan yang dikawal dan diperiksa oleh petugas Israel. Sewaktu pemeriksaan terakhir, saya diminta oleh pegawai bertugas untuk ke ruang soal jawab. Ada juga beberapa orang dari group kami mengalami situasi yang sama dan ada juga yang ditahan untuk di soal siasat kerana membawa Al-Quran dan disuruh untuk menyelak satu persatu helaian muka surat Al-Quran untuk diperiksa. Setelah beberapa jam barulah segala urusan kami selesai. Walau mengalami beberapa situasi yang tidak diduga tetapi segala urusan di pintu sempadan berakhir dengan baik.
Tour leader membawa kami menziarahi tempat-tempat bersejarah termasuk makam para Nabi dan pejuang Islam. Kami juga berpeluang melihat tempat yang dipercayai terikatnya buraq, seterusnya menunaikan solat di masjid Al-Aqsa. Pertemuan dengan Imam Al-Aqsa merupakan pengalaman paling berharga buat saya. Di samping itu, menurut tour leader kami (yang berasal dari sana) kumpulan kami adalah yang pertama dari Malaysia melawat Tel Aviv. Sebelum ini, ada kumpulan yang mahu melawat Tel Aviv tetapi tiada rezeki. Walau tidak terlalu lama di Tel Aviv, jurang perbezaan antara Tel Aviv dan Jerusalem amatlah besar. Bila teringat balik, kasihan dengan saudara Islam kita yang sentiasa hidup dalam kekurangan dan perlu sentiasa berjuang mempertaruhkan nyawa demi keluarga dan agama.
Kami menetap di hotel yang lebih kurang 1 kilometer dari masjid Al-Aqsa. Setiap subuh kami akan berjalan dari hotel ke masjid. Ia dikawal ketat oleh beberapa tentera Israel yang memegang senjata. Segala perjalanan keluar masuk ke masjid agak lancar. Kami juga diberitahu mungkin tentera Israel akan soal siasat lelaki yang lebih muda. Dan jawapan perlu jujur iaitu mahu ke masjid untuk solat.
Kali pertama menjejaki masjid Al-Alqsa di waktu subuh membuatkan saya sebak sehingga mengalirkan air mata usai menunaikan solat. Sangat bersyukur, Allah memilih saya untuk merasai pengalaman bersolat di masjid yang merupakan kiblat pertama umat Islam. Sebenarnya, setiap kali kami pergi ke masjid, sebelum memasuki perkarangan masjid dan melihat tentera-tentera Israel yang memegang senjata sedikit sebanyak ada perasan gusar dan tidak selesa sewaktu melewati mereka. Walau bagaimanapun, bila tiba di dalam masjid dan mendengar bacaan Al-Quran oleh jemaah perasaan tenang datang secara semulajadi.
Bagaimanapun, pada hari Jumaat sebelum kami menunaikan solat Jumaat, tour guide memaklumkan selesai sahaja menunaikan solat sebolehnya cepat-cepat keluar dari kawasan masjid kerana di sana sering berlaku pergaduhan antara umat Islam dan tentera Israel. Malah, kalau dilihat di dalam masjid ada kesan-kesan pergaduhan.
Selesai sahaja solat, kami dengan pantas keluar dari masjid dan pergi ke tempat yang diminta untuk menunggu bersama ahli kumpulan lain. Sedang kami menunggu, tiba-tiba berlaku pergaduhan antara orang-orang Palestin dan tentera Israel. Perkara pertama yang terlintas sudah pasti ibu saya dan rakan-rakannya. Bagaimana mereka mahu berlari atau menyelamatkan diri jika berlaku perkara yang tidak diingini. Ada juga beberapa ahli kumpulan kami tidak tiba ke tempat yang di minta untuk berkumpul.
Tour leader dengan pantas menyuruh kami segera meninggalkan kawasan masjid dan akan mencari beberapa orang yang tidak kelihatan. Alhamdulillah, seluruh ahli kumpulan kami selamat.
Ketika di sana kami sentiasa on-the-go bersama group untuk berziarah dari satu tempat ke satu tempat. Interaksi kami agak terbatas untuk beramah mesra dengan penduduk setempat. Bagaimanapun, jika bertemu jemaah di masjid kami akan memberi salam dan berbual sambil bertanya khabar. Jika mereka bertanya dan tahu kami dari Malaysia, serta merta mereka akan tersenyum dan sangat gembira.
Ini jelas dapat dilihat pada suatu malam, suami kepada teman saya solat berjemaah di saf depan. Selesai solat, suaminya bersama adik-beradik menegur Imam. Selepas mengetahui mereka dari Malaysia, Imam Masjid Al-Aqsa terus mengajak beliau dan kumpulan kami untuk diberi tour di sekitar masjid. Lebih bermakna, Imam berbesar hati mengajak kami ke tempat istirehatnya untuk mengenali kami dengan lebih dekat. Menurut Imam, beliau sangat berterima kasih dan bersyukur dengan sifat pemurah orang Malaysia.
Satu lagi kisah menarik iaitu ada seorang kanak-kanak bernama Ishaq sering muncul. Ishaq cukup disenangi kerana sering menawarkan bantuan kepada kami. Dialah jurugambar termasuk memberi info-info jika kami memerlukan petunjuk untuk berjalan sekitar kawasan hotel dan pasar. Jika ada orang tua yang memerlukan bantuan, Ishaq orang pertama akan membantu. Ketika saya berkongsi gambar Ishaq di Instagram, ada beberapa rakan dari Malaysia yang pernah menjejaki ke bumi Palestin juga mengenali Ishaq.
Saya juga mempunyai teman rapat berasal dari Palestin yang menetap di Malaysia sekarang. Bagi saya orang Palestin sikatnya suka membantu, baik hati dan ikhlas bila melakukan sesuatu. Bila terkenang kebaikan mereka, terasa kasihan pula dengan saudara Islam kita di sana. Disebabkan sikap terlalu baik, mereka ditindas oleh Zionis.
Buat Rakyat Palestin, kalian adalah pejuang umat Islam yang kuat dan terpilih oleh Allah SWT untuk berdepan dengan kekejaman Yahudi. Teruskan berjuang. Sesungguhnya kemenangan akan berpihak kepada umat Islam tidak lama lagi.
Untuk rakyat Malaysia, teruskan membantu saudara Islam kita yang berada di Palestin selagi boleh. Jika tidak dapat membantu dari segi tenaga dan wang ringgit, panjatkan doa untuk kesejahteraan dan keselamatan mereka. Perjuangan mereka sangat besar. Doa adalah senjata terkuat buat saudara Islam kita di sana.
Kredit Foto: Koleksi Peribadi Dato’ Farah Zarina
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.