Gaya Hidup

Selalu Berdoa Yang Terbaik, Kisah Pasangan PALING DIRINDUKAN SYURGA Ini Cukup Menginsafkan!

Fatimah Az-Zahra merupakan puteri sulung Rasulullah SAW dan wanita paling mulia sepanjang masa.

Kecantikan, budi bahasa dan rasa cintanya terhadap sang ayah, telah membuatkan sahabat Nabi, iaitu Ali Bin Abi Thalib jatuh hati kepadanya.

Pernah suatu ketika, Rasulullah pulang ke rumah dengan luka-luka dan kepala dilumuri kotoran unta. Fatimah begitu sedih melihat ayahnya diperlakukan seperti itu oleh orang Quraisy. Dia segera membersihkan dengan berhati-hati dan menempel kain perca untuk menghentikan darah ayahnya.

Perkara itu membuatkan Ali begitu kagum dengan kebaikan gadis itu terhadap ayahnya. Namun Ali hanya menyimpan rasa cinta itu di dalam hatinya dan hanya mampu berdoa kepada Allah SWT agar dijodohkan dengan wanita yang dicintai.

Suatu saat, hati Ali pernah hancur ketika melihat Fatimah dilamar oleh seorang lelaki yang kedudukannya sangat tinggi di depan Allah dan di depan Nabi. Dia adalah Abu Bakar As-Siddiq, salah seorang sahabat yang paling dahsyat keimanannya serta paling berjasa dalam perkembangan Islam.

Ali hanya berkata-kata dalam hati. Siapalah aku dibandingkan dengan Abu Bakar, orang kaya yang dermawan dan selalu membela kaum miskin, sedangkan aku hanya seorang pemuda miskin yang tidak berharta?

Meskipun menyakitkan, Ali rela kalau Abu Bakar menjadi pendamping yang layak bagi wanita yang dicintainya. Fatimah akan lebih bahagia bersama orang yang memiliki kedudukan tinggi, beriman dan berharta berbanding dirinya yang tidak mempunyai apa-apa, demikian kata Ali dalam hatinya.

Namun kemudian semangat Ali kembali membara ketika tahu Rasulullah menolak lamaran Abu Bakar. Tapi tak lama kemudian semangatnya kembali lagi redup, ketika seorang lelaki yang gagah perkasa juga melamar Fatimah. Dia adalah Umar bin Khattab.

Dalam hati, Ali hanya pasrah dan tabah kembali. Umar lebih pantas dibandingkan aku. Dia adalah Al-Faruq, sang pemisah kebenaran dan kebatilan. Umar adalah orang yang paling gagah dan berani dalam membela Islam, hingga tak ada seorang Quraisy pun yang berani menyentuhnya. Kerana Umar juga, kaum Muslim berani mengangkat muka di depan orang kafir.

Sedangkan aku, siapa aku? Aku bukan orang berani seperti Umar. Aku juga tidak secerdas Umar. Mungkin dia lebih serasi menjadi suami Fatimah. Dia akan selalu merasa aman kerana Umar akan selalu melindunginya.

Tapi sekali lagi, lamaran Umar juga ditolak oleh Nabi. Ali pun bahagia, namun di sisi lain dia juga bingung. Menantu seperti apa yang diidamkan Nabi, sampaikan orang sehebat Abu Bakar dan Umar pun ditolaknya?

Hal itu membuat Ali hilang kepercayaan diri. Tapi semangatnya kembali lagi ketika teman-teman mendorong Ali untuk melamar Fatimah. Pada awalnya Ali ragu kerana dia tidak mempunyai apa-apa untuk ditawarkan. Hanya berharap kepada Allah, Ali pun memberanikan diri untuk melamar Fatimah.

Setelah menghadap Nabi, Ali hanya terdiam dan dia awalnya tidak berani mengungkapkan niatnya. Namun kemudian Rasulullah tersenyum kerana tahu maksud Ali datang kepadanya.

Ketika ditanya apakah kamu datang ke sini untuk melamar puteriku? Ali pun menjawab dengan tegas bahawa dia hendak melamar Fatimah, tapi tidak punya apa-apa untuk dijadikan mahar. Dia hanya memiliki sepasang baju besi pemberian Rasulullah, seekor unta dan sebilah pedang.

Sambil tersenyum, Rasulullah pun menerima lamaran Ali dan baginda berkata nikahilah puteriku meski hanya bermahar cincin besi. Alangkah bahagianya Ali. Namun dia bingung, mahar apa yang harus diberikan nanti.

Simpanlah unta untuk keperluan kamu membawa air dan melakukan perjalanan, simpanlah pedang untuk melanjutkan perjuanganmu membela Islam, jadikanlah baju besi sebagai maharnya. Begitulah Rasulullah berkata kepada Ali.

Dipendekkan cerita, Ali pun berjaya melamar Fatimah. Mereka akhirnya disatukan sebagai suami isteri yang sah. Ketika di awal perkahwinan mereka, Fatimah dan Ali pun mengungkapkan isi hati mereka yang sebenarnya.

Fatimah berkata kepada Ali bahawa dulu dia pernah memendam rasa cinta terhadap seorang pemuda. Ali pun kaget dan gundah, lalu bertanya siapakah pemuda itu dengan perasaan cemas. Sambil tersenyum, Fatimah menjawab bahawa pemuda itu adalah kamu suamiku. Kebahagian kembali lagi muncul di wajah Ali ketika mendengar perkataan tersebut.

Begitulah sekilas kisah cinta Ali dan Fatimah yang mereka pendam selama bertahun-tahun, hinggalah Allah menyatukan mereka. Kelak, mereka juga akan dirindukan syurga kerana kedua-duanya sudah dijamin Allah akan masuk syurga.

Mengambil iktibar dari kisah romantis ini, kita sebagai manusia janganlah bersedih hati bila belum bertemu jodoh. Akan tiba suatu saat nanti dipertemukan jodoh dengan seseorang yang kita cintai.

Jangan anggap jodoh itu kerana soal dunia. Tapi selalulah panjatkan doa supaya bertemu jodoh dengan seseorang yang soleh dan dapat memimpin kita ke syurga! InsyaAllah.

IKLAN
Share