
Selepas bertebaran gossip pelakon manis, Laudya Cynthia Bella sudah berkahwin dengan seorang lelaki dari Dubai, kini dia mengumumkan persaraannya dari dunia seni. Dipetik dari laman Liputan6 selepas satu kenyataan yang dihantar kepada pihak media, Laudya memberitahu dia sudah lama berniat untuk menamatkan karier seninya dan memohon peminat terus mendoakan agar dia berjaya dalam kehidupan.

“Doakan saya. InsyaAllah tiada filem lagi. Semoga istiqomah. Kali terakhir saya berlakon adalah filem Buya Hamka. Memang saya sudah pasang niat, tetapi manusia itu lemah. Semoga Allah membantu.
BACA JUGA: Bersederhana Walau Kaya & Terkenal, LAUDYA CYNTHIA BELLA Pernah Dinobat Aktres Termahal Indonesia!
“Saya ingin berjaya di dunia dan akhirat. Masih banyak yang perlu saya pelajari dan lalui selepas ini,” katanya memetik pada laporan dalam Liputan 6.

Laudya Cynthia Bella mengakui bahawa dirinya sudah lama tidak muncul di hadapan umum, bahkan tidak lagi akan menerima sebarang tawaran berlakon di dalam filem.
Pelakon yang cukup popular dengan siri filem Surga Yang Tak Dirindukan ini pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan dan selebriti Malaysia iaitu Engku Emran pada September 2017 dan bercerai pada Julai 2020.

Sebelum ini, pengurus kepada Laudya berkongsi kenyataan menafikan dakwaan kononnya dia sudah bernikah sekali lagi selepas sebuah video tular di media sosial, baru-baru ini.
NONA mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan segala urusan Laudya Cynthia Bella dipermudahkan.
Kredit foto: Instagram (@laudyacynthiabella)
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
STEPHEN RAHMAN HUGHES Bersyukur DIkurniakan Anak Kembar, “Kehidupan Saya Kini Lebih Gembira!”

Masihkah anda ingat dengan pelakon tampan, Stephen Rahman Hughes yang popular suatu ketika duhulu membawakan watak Hang Tuah menerusi pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGL) pada 2006 yang diterbitkan oleh Datin Seri Tiara Jacquelina dulu? Baru-baru ini berkongsi berita gembira di Instagram beliau yang dia kini seorang ayah kepada sepasang anak kembar.
Bukan ‘double the trouble, but double the joy’… Itu mungkin ungkapan paling sesuai buatnya dan isteri, Anjalina Mehra bagi memulakan Februari tahun ini. Manakan tidak, pasangan itu dikurniakan anak kembar lelaki – diberi nama Sonny Rain dan Remy Jude – selamat dilahirkan di United Kingdom pada minggu lepas.


“Hari ini hidup saya mengalami perubahan yang besar. Anak kembar! Isteri saya bersalin sekali lagi dengan melahirkan dua anak lelaki yang comel,” tulisnya di media sosial beliau.
Dalam status sama, Stephen Rahman yang pernah membintangi filem Hikayat Merong Mahawangsa itu turut mengimbas detik isterinya berdepan pengalaman sangat mencabar semasa melahirkan anak pertama, Aphra, kira-kira 18 bulan lalu.

“Kehidupan kami lebih bermakna dengan kehadiran tiga ‘malaikat’ kecil ini. Kami sentiasa berharap dan berusaha sejak sekian lama dengan penuh sabar menantikan kehadiran zuriat. Kami sangat bersyukur,” katanya yang juga merupakan teraju utama filem Hikayat Merong Mahawangsa.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif PGL, Datin Seri Tiara Jacquelina turut mengucapkan tahniah kepada pasangan tersebut. “Oh wow, saya sangat gembira untuk anda berdua. Saya menangis ketika membaca ini.
“Saya tidak sabar untuk bertemu anda berlima jika saya ke London satu masa nanti,” tulis beliau.

Stephen berkahwin dengan Anjali di Tuscany, Itali pada 2010. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan anak pertama yang juga perempuan, Aphra pada 2021.
Sumber: Astro Awani
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pelitup Muka Istimewa Buat Wanita Berhijab, Erra Fazira & Wany Hasrita Teruja Menggayakannya

Sejak pandemik COVID-19 melanda dunia pemakaian pelitup muka sudah menjadi ‘aksesori’ wajib buat semua masyarakat. Namun, bagi wanita berhijab pemakaian pelitup muka menimbulkan sedikit masalah ketika memakainya kerana kebanyakan pelitup muka hanya menggunakan ear-loop.

Berita baik buat semua wanita berhijab apabila Anggun Kirana Sdn. Bhd, sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan yang berkaitan dengan produk kesihatan dan kecantikan telah memperkenalkan pelitup muka medikal bergaya buat wanita berhijab dengan rekaan menggunakan head-loop. Lebih istimewa lagi apabila pelitup muka di bawah label Himaya ini telah berkerjasama Erra Fazira dan Wany Hasrita untuk memperkenalkan dua warna terbaru keluaran syarikatnya.
“Kami amat berbangga dengan kolaborasi Himaya dengan Wany Hasrita dan Erra Fazira. Himaya, pelitup muka medikal hijab berjaya mendapat sambutan hangat dan antara sebab utama ialah kualiti yang bagus serta berfesyen dengan pilihan warna yang menarik.

Selain itu, dengan pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pelitup muka medikal Himaya yang mendapat kelulusan MDA (Medical Device Authority) juga dapat memberikan keyakinan kepada pengguna.,” kata Datuk KK Chua, Ketua Pegawai Eksekutif Anggun Kirana Sdn Bhd dan pemilik jenama Himaya.

Wany Hasrita kelihatan anggun dalam persalinan sut warna sedondon dengan warna pilihan pelitup mukanya. “Saya sebenarnya tak boleh pakai pelitup muka yang diperbuat daripada fabrik. Jadi saya teruja menggunakan pelitup muka daripada Himaya ini,” tutur Wani Hasrita yang menggayakan pelitup muka berwarna Apricot Dream.

Begitu juga Erra Fazira turut menggayakan pelitup muka berwarna Blue Lagoon yang menjadi warna kegemarannya. “Saya selesa dan gemar memakai pelitup muka Himaya kerana sesuai untuk orang yang berkulit sensitif disebabkan kualiti fabrik premium yang lembut,” tutur Erra Fazira tampil jelita pada majlis yang berlangsung di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur.

Kempen terbaru Himaya, iaitu kempen “Siapa Cakap Pakai Medical Mask Tak Boleh Bergaya” dilancarkan dengan objektif untuk menggalakkan wanita berhijab untuk terus bergaya serta tampil yakin dengan koleksi fesyen pelitup muka terbaru dari Himaya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Pengalaman Ambil Vaksin Dos Pertama, Proses Berjalan Lancar. Petugas Kesihatan Amat Berdedikasi Jalankan Tugas”-Wartawan NONA

Hari ini, penulis selaku salah seorang team Editorial Majalah NONA menerima suntikan vaksin dos pertama AstraZeneca (AZ) bertempat di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada jam 9.30 pagi. Syukur Alhamdulillah!

Harapan untuk divaksin terlaksana pagi ini, apabila penulis menerima dos pertama AstraZeneca (AZ) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC). Penulis merupakan antara pendaftar pusingan pertama pendaftaran untuk vaksinasi AstraZeneca yang dibuka pada 2 Mei,
Ia menyaksikan keseluruhan 268,000 slot habis ditempah dalam tempoh tiga jam dua puluh minit pendaftaran tempahan dibuka.

Tahniah diucapkan kepada petugas di Pusat Penerimaan Vaksin IDCC kerana segalanya berjalan lancar daripada proses menunggu, divaksin sehinggalah keluar daripada IDCC, mengambil masa kira-kira sejam sahaja!
Tidak dinafikan, sebelum sampai ke pisat penerimaan vaksin, perasaan gugup tetap muncul dalam diri penulis memandangkan pelbagai andaian mengenai kesan sampingan vaksin yang dimomokkan. Tetapi berbekalkan rasa reda dan tawakal vaksin sebagai salah satu cara mencegah penyakit, penulis menerima dengan hati terbuka dan melaksanakannya.

Memetik kata-kata Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) Prof Datuk Dr Abdul Rahim Mohamad bahawa pengambilan vaksin membuktikan bahawa ia lebih banyak membawa kebaikan daripada keburukan sekaligus tidak bercanggah dengan Islam.
Malah beliau berkata pengambilan vaksin menurut pandangan Islam adalah harus memandangkan ia mampu mencegah kemudaratan daripada berlaku ke atas manusia.
Penulis ingin kongsikan sedikit pengalaman sebelum melalui proses vaksinasi pagi ini. Melalui aplikasi MySejahtera dan vaksincovid.gov.my, penulis berjaya mendapatkan slot untuk temujanji bagi menerima suntikan vaksin AZ.Syukur Alhamdulillah, ketika penulis ‘menekan’ slot temujanji, tidak berlaku sebarang masalah untuk mendapatkan slot. Lebih menyeronokkan, suami juga mendapat slot janjitemu pada masa dan tarikh yang sama!
Beberapa hari sebelum tarikh temujanji, penulis menerima beberapa kiriman SMS selain panggilan telefon sebagai peringatan tarikh untuk menerima suntikan vaksin.

Setelah menghitung hari melihat beberapa kaum keluarga dan sahabat handai yang selamat melalui proses vaksinasi masing-masing, akhirnya temujanji penulis terlaksana pada tarikh hari ini, 3 Jun 2021 jam 9.30 pagi. Sebaik tiba di IDCC dan sebelum naik ke tingkat tujuh untuk proses vaksinasi, semua perlu melakukan imbasan kod QR di pintu masuk yang disediakan.
Anggota RELA pula memeriksa aplikasi MySejahtera setiap individu sama ada individu berkenaan berisiko atau sebaliknya.Setibanya di tingkat tujuh, penulis dan para penerima vaksin yang lain mematuhi arahan yang diberikan oleh para petugas dan memastikan penjarakan fizikal diberi keutamaan sambil diberi taklimat bagi mengisi borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 di Stesen 1 sebelum dibenarkan masuk ke dewan utama.

Usah risau kerana para sukarelawan bertugas pula sedia membantu dan sentiasa ada bagi memastikan proses berjalan lancar selain memastikan orang ramai tidak kehilangan arah. Tidak sampai beberapa minit selepas mengisi borang di stesen 1, penulis dipanggil untuk pendaftaran, sekali lagi melalui imbasan kod QR MySejahtera, bagi memaklumkan kehadiran di Stesen 2.
Proses selanjutnya pula membawa penulis ke Stesen 3 di mana penulis bertemu doktor untuk pengesahan tahap kesihatan selain menandatangani borang persetujuan sebelum ke Stesen 4 bagi suntikan vaksin. Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan, anda boleh bertanya dengan doktor bertugas di stesen ini bagi merungkaikan permasalahan yang membelenggu diri anda sebelum suntikan vaksin diberikan!
Tibalah ke stesen 4, proses vaksinasi berjalan lancar dengan penulis hanya menunggu tidak sampai lima minit untuk divaksin. Di Stesen 4 ini, terdapat lebih 10 bilik kecil menempatkan dua vaksinator untuk menyuntik vaksin AZ kepada dua individu pada satu-satu masa. Dalam bilik berkenaan, penulis juga melakukan imbasan kod QR MySejahtera untuk pengesahan menerima vaksin. Sebelum proses vaksinasi dijalankan, petugas menunjukkan jumlah dos yang bakal diberikan serta menerangkan proses bagaimana suntikan vaksin dijalankan. Bagi wanita berhijab, usah bimbang, semasa proses vasinasi dijalankan, vaksinator akan meminta kebenaran anda untuk melakukan suntikan vaksin kerana anda perlu menyelak sedikit pakaian di bahagian lengan. Penting untuk memakai pakaian yang sesuai untuk memudahkan proses suntikan vaksin seperti kemeja t lengan pendek serta memakai cardigan di luar!

Usai menerima suntikan, penulis perlu ke stesen 5 untuk menunggu bagi mendapatkan kad pengesahan dan temujanji vaksin yang kedua dalam tempoh 12 minggu yang akan datang. Meskipun proses sudah selesai, semua penerima vaksin digalakkan menunggu di ruang pemerhatian (Observation Area) selama setengah jam untuk memastikan tiada alahan atau kesan sampingan yang berlaku selepas menerima vaksin. Ruang pemerhatian disediakan untuk penerima suntikan berehat sebentar selain memastikan tiada alahan selepas divaksin sambil diawasi oleh petugas kesihatan yang sentiasa meronda serta bertanyakan kepada penerima vaksin keadaan mereka.

Selain itu, taklimat melalui tayangan video berkaitan kesan dan langkah yang perlu diambil sekiranya terdapat sebarang simptom selepas suntikan turut disediakan untuk memudahkan orang ramai memahami kesan sampingan sekiranya ada.
Tidak dinafikan, usai disuntik, lengan kiri penulis terasa agak sengal-sengal namun selainnya, tiada apa kesan sampingan berlaku.Insyaallah semoga usaha untuk menerima vaksin ini menjadi asbab untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Penulis juga amat berharap, lebih ramai akan menerima suntikan vaksin dalam masa terdekat bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19. Akhir kata, jaga kesihatan, patuhi SOP yang telah ditetapkan dan terima kasih petugas barisan hadapan yang tidak putus-putus berkhidmat demi memastikan kesejahteraan kesihatan rakyat Malaysia!.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


