Orangnya cantik dan mempunyai raut wajah lembut yang mampu membuatkan sesiapa sahaja terpesona. Bersandarkan peribadi yang baik dan penampilan sopan seorang muslimah tidak hairanlah Laudya Cynthia Bella menjadi inspirasi ramai.
Meniti usia 34 tahun pada 24 Februari lepas, Bella yang dilahirkan di Bandung ini cukup berjaya dalam karier sebagai anak seni dan usahawan.
Memetik laporan portal IDN Times, penglibatan anak kepada pasangan Busye Amir dan Menny Setiaputri ini dalam industri seni bermula sejak dia berusia 6 tahun. Dalam usia yang masih muda, Bella sudah didedahkan sebagai model iklan.
Ketika dia mencecah usia 14 tahun pula, bintang filem Surga Yang Tak Dirindukan ini sudah mula menceburi bidang peragaan dan menjadi pelakon.
Hasil lakonan mantap Bella dalam filem Virgin, dia menerima anugerah Most Favourite Rising Star dan Best Actress. Sepanjang lebih dua dekad bergelar anak seni, dia sudah membintangi 21 buah filem, 18 sinetron dan 13 drama televisyen.
Ads
Kerjaya Bella berada di puncak apabila pada tahun 2017 dia dinobat sebagai Indonesia’s Highest Paid Actresses.
Laporan portal Indonesia turut mendedahkan aktres jelita ini menerima bayaran 900 juta Rupiah atau lebih RM268 ribu ketika membintangan filem Box Office ‘Surga Yang Tak Dirindukan 2’!
Walau meraih pendapatan lumayan dalam industri seni lakonan namun kini Bella lebih selesa mengusahakan beberapa cabang bisnes miliknya termasuk dalam bidang kulinari, fesyen, muslimah dan kosmetik.
Apa sahaja produk yang dipromosikan Bella pasti laris di pasaran. Antaranya perniagaan tudung dan produk muslimah ‘L by Laudya Cynthia Bella’, jualan kasut ‘Daily Darling’dan terbaharu aplikasi Islamik Qalby App.
Pendapatan yang diterima Bella juga tidak terhad sebagai pelakon, model dan usahawan. Malah, dia juga menjana pendapatan menerusi pelantikannya sebagai duta pelbagai produk. Mewah betul rezeki Bella!
Ads
Berkongsi pengalaman sebagai usahawan busana muslimah dan tudung, Bella berkata dia mengikut jejak langkah bapa tersayang yang pernah berkhidmat dalam bidang pembuatan tekstil.
Credit Instagram @laudyacynthiabellaCredit Instagram @laudyacynthiabella / Bersahabat baik dengan Nora DanishCredit Instagram @laudyacynthiabella
“Awal dari yang tak kenal sekarang jadi lebih mengenal. Dari tak biasa dan sekarang terbiasa. MashaAllah kerana sekarang aku sudah merambah ke dunia fesyen. Akhirnya aku belajar banyak tentang bahan dan mesin-mesin yang membantu proses pembuatan L by Laudya Cynthia Bella.
Terima kasih papa. Dari kecil dikenalkan dengan bahan-bahan yang cantik. Kerana dulu papa kerja di salah satu perusahaan tekstil sekarang menurun ke anaknya. Hiburan aku ya main ke fabrik.”
Bella sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama Engku Emran pada 8 September 2017 namun berpisah pada bulan Julai 2020.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapalah kita untuk mempersoalkan atau mencela ciptaan Tuhan. Walaupun tiada manusia yang sempurna namun hakikatnya setiap ciptaanNya sangat unik dan istimewa.
Penulis buku Born to Smile, Nora Tan Sri Abu Hassan wajar digelar superwoman sebenar. Dilahirkan sumbing (bibir dan lelangit) menjadi titik mula yang memeritkan dalam hidup wanita berusia 50an ini. Disebabkan kekurangan itu Nora membesar dalam keadaan tertekan, sedih dan rendah diri.
Nora merupakan anak kepada bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abu Hassan Omar yang meninggal dunia dua tahun lalu akibat serangan jantung. Manakala ibunya ialah Puan Sri Wan Noor Haji Daud. Nora merupakan anak sulung daripada lima beradik.
MANGSA BULI
Nora turut menjadi mangsa buli ketika di bangku sekolah. Pernah terjadi ketika di sekolah menengah, sekumpulan ‘geng budak nakal’ memanggilnya si sumbing, sengau dan budak senget.
“Paling tidak dapat saya lupa dan memberi kesan mendalam ialah seorang rakan sekolah menjerit mengejek saya yang ketika itu baru mengubah gaya rambut dan memakai cermin mata baru.
“Dia kata, rambut dan cermin mata bolehlah ubah tapi hidung dan mulut masih macam itu juga. Jiwa saya luluh bercampur malu bila mendengarnya lebih-lebih lagi ia dilaungkan di depan orang ramai,”luah Nora.
Allahuakhbar! Tidak dapat dibayangkan bagaimana perasaannya ketika dihina sebegitu. Tidak mahu terus hanyut dengan perasaan negatif, ibu tunggal kepada tiga anak ini bangkit membuktikan dirinya juga mampu berjaya dan bahagia seperti insan lain.
Tidak keterlaluan untuk penulis katakan, Nora layak menjadi sumber inspirasi buat seluruh wanita terutama individu yang dilahirkan dalam keadaan kurang sempurna agar lebih kuat mengharungi ujian.
“Tahun 60an iaitu ketika saya dilahirkan tidak ada scanning bagi melihat perkembangan dan mengenal pasti masalah pada bayi dalam kandungan. Ibu bapa saya sendiri terkejut melihat keadaan saya buat pertama kali di bilik bersalin. Namun saya bersyukur kerana mereka reda dengan ketentuan, menerima dan menyayangi saya sepenuh jiwa.
“Hakikatnya, perjalanan hidup saya cukup menyedihkan kerana sering dibuli dari segi mental secara sindiran, ejekan dan ditertawakan oleh rakan sekolah. Sampai ada yang tergamak memanggil saya sumbing, senget dan sengau.
“Saya sangat sedih dan sering menangis kerana terguris. Ia memberi tekanan emosi sehingga saya sering berkurung di dalam bilik kerana selesa bersendirian.
“Kenangan mengusik jiwa. Gambar ini diambil semasa saya berada di sekolah rendah, darjah 5. Anda boleh nampak dahi saya berkerut. Masa tu saya memang di dalam kesakitan. Kesakitan emosi kerana saya rasa tertekan. Ada segelintir rakan-rakan yang akan menyindir dan mengejek saya. Saya sarankan pada masyarakat untuk tidak pandang rendah dengan apa-apa kelainan orang lain.
“Kepada ibu bapa ajar, pesan dan didik anak-anak anda untuk tidak mengejek dan menyindir rakan-rakan kerana ini menyebabkan emosi mereka tercabar. Manakala kepada guru-guru di luar sana, tolong fahami keadaan anak-anak dan berilah mereka motivasi yang sepatutnya.”
“Saya banyak memendam sehingga merasa tertekan. Pernah meluahkan apa yang terjadi kepada ibu tetapi tiada penyelesaian. Ibu pesan banyakkan bersabar,” luah Nora atau nama sebenarnya Hasnoradiah Tan Sri Abu Hassan.
Untuk kelihatan normal seperti sekarang sememangnya memakan masa yang lama. Nora telah menjalani kira-kira 8 pembedahan seawal usianya tiga bulan. Bertitik tolak dari situlah Nora tekad untuk menjadi insan dikagumi dan dihormati.
Walaupun sukar untuk menjadi positif, lama kelamaan Nora berjaya mengatasi rasa down dan tertekan yang telah lama ‘bersarang’ dalam dirinya.
PRIHATIN
Walaupun dilahirkan dengan kekurangan itu namun keprihatinan dan kesedaran wanita ini terhadap golongan yang senasib sepertinya wajar dipuji.
“Saya mahu membantu kanak-kanak yang mengalami nasib yang sama seterusnya memberi kesedaran terhadap masyarakat agar prihatin dengan penderitaan dilalui oleh kanak-kanak yang dilahirkan sumbing. Ubah stigma bahawa mereka juga berhak untuk merasa gembira dan bahagia seperti kanak-kanak normal.
“Kes buli seperti yang saya alami boleh meninggalkan kesan mendalam terhadap mereka yang mengalaminya. Buat ibu bapa, didik anak-anak dengan sikap kasih sayang, prihatin dan menghormati orang lain agar tidak mudah memandang negatif terhadap kekurangan atau kelemahan orang lain. Kesedaran anti buli harus bermula dari rumah, ibu bapa,” ungkap graduan University of New England ini.
Nora pernah bertugas untuk Southern Bank sebagai Ketua Jabatan Akauntan Semasa. Nora juga adalah pengasas dan pengetua tadika elit di Ampang iaitu The Children’s Cottage. Pernah memenangi 4 anugerah penceramah terbaik di bawah MIM Toastmasters Club, Nora kini tidak hanya aktif sebagai aktivis sosial bahkan merupakan seorang kaunselor yang bertauliah.
Kredit Foto: Instagram @nhassan8
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bagaikan lakaran indah sebuah lukisan, hasil kreativiti pemilik kediaman terpamer pada konsep dekorasi, paduan warna, gaya dan pemilihan perabot.
Sentuhannya tampak segar dengan rona putih, biru dan kelabu yang memonopoli segenap ruang banglo mewah sekaligus menterjemahkan cita rasa dan karakter pemiliknya.
Kediaman ini milik seorang freelancer yang merupakan pencinta hiasan dalaman, Shuriana Abdul Shukor berusia 44 tahun.
Shuriana pernah bekerja dalam bidang perhotelan selama beberapa tahun. Kini berkecimpung dalam bisnes berkonsepkan hiasan dalaman serta memiliki kedai dekorasi bersama rakan baik, Jess & Shue di Tamarind Square Cyberjaya.
JIWA DEKORASI
“Dulu saya sering membantu rakan-rakan menata gaya rumah mereka tanpa sebarang upah. Kami pergi beli barang sama-sama, jumpa kontraktor dan sebagainya.
Lama-kelamaan mereka cadangkan saya buka kedai hiasan dalaman sendiri. Akhirnya selepas bersepakat dengan rakan baik saya, Jess maka terhasilnya Jess & Shue.
Sebelum ini saya kerap travel dan bila menginap di hotel-hotel, saya suka melihat dekorasinya. Secara tak langsung ia memberi inspirasi untuk dicurahkan ke kediaman ini.
Saya pilih putih kerana ia boleh dipadankan dengan semua warna selain lebih ceria, segar dan berseri. Untuk dapur juga begitu, saya padukan warna putih dan hitam. Sudut paling memberi ketenangan kepada saya ialah ruang keluarga dan bilik tidur.
Kediaman ini juga banyak bermain dengan elemen cermin. Manakala untuk langsir, sofa dan dining chair fabriknya adalah custom made.
Saya seorang yang bukan yang terlalu mengikut tema. Asalkan cantik dan kena dengan perabot di kediaman ini saya akan beli. Namun selalunya item yang dibeli itu lebih kepada softfinishing contohnya kusyen.
Untuk dapur saya hanya tambah kabinet saja. Bagi saya, dapur yang cantik adalah tidak praktikal dan membuatkan kita kurang selesa untuk memasak. Tak boleh nampak kotor sikit mesti nak bersihkan segera. Sebab itulah saya kata tak praktikal. Ia sekadar untuk nampak cantik.
Walaupun ruang dapur saya ini kecil namun ia praktikal kerana saya suka memasak setiap hari. Nak bersihkan pun tak ambil masa lama. Saya juga tak pernah ada dapur kering. Saya selesa dengan dapur yang ada sekarang.”
Untuk membaca artikel selanjutnya dapatkan Nona Ogos 2019.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Memecah dominasi patriarki dalam bidang sains kimia dan nanoteknologi, pencapaian Academician Prof Datuk Dr Halimaton Hamdan ini jelas amat membanggakan.
Eksklusif sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2021, Nona mengatur bicara dengan Saintis Akademik berusia 65 tahun itu demi meresap aspirasi dan semangat berbaktinya.
Lembut dan bersahaja. Begitulah personaliti Prof Halimaton, anak Johor dan ibu kepada dua cahaya mata ini. Siapa sangka di sebalik senyuman manis yang terukir di bibirnya, beliau memegang pelbagai portfolio penting di Malaysia.
Jika mahu disenaraikan segala anugerah, pencapaian, pengiktirafan, penulisan mahupun penyelidikan akademik Prof Halimaton di peringkat nasional dan antarabangsa, barangkali terlalu panjang untuk ditulis.
Selain bergelar Profesor Kimia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Prof Halimaton juga merupakan Pengerusi Malaysia Institute for Innovative Nanotechnology (NanoMITe), Pengerusi Lembaga Pentadbiran International Science, Technology and Innovation Center (ISTIC) di bawah UNESCO, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MyPrihatin serta Senior Fellow Akademi Sains Malaysia.
Tengoklah senarai tu, bukan calang-calang wanita mampu menggalas jawatan sehebat Prof Halimaton!
HARI WANITA
Tanggal 8 Mac setiap tahun diangkat sebagai hari istimewa untuk meraikan wanita di seluruh dunia. Bagi Prof Halimaton, beliau berbangga dengan pencapaian wanita Malaysia dalam bidang sains.
“Sebenarnya jika dibandingkan dengan negara membangun dan maju sekali pun, pencapaian wanita Malaysia dalam bidang sains hari ini sangat baik.
Wanita Malaysia bebas memilih bidang pengajian semenjak Malaysia merdeka dan telah menerima gaji dan sokongan yang sama.
Jadi melalui pengalaman dan pemerhatian saya, wanita dalam bidang sains di Malaysia telah membuktikan kebolehan mereka dalam penyelidikan, pembelajaran dan industri yang mereka ceburi.”
Bersandarkan falsafah hidup, ‘Tanya diri sendiri dan buat apa yang termampu tanpa menyusahkan orang lain,’ Prof Halimaton menjadikan arwah ayahnya sebagai sumber inspirasi. “Arwah seorang yang tegas, berintegriti dan mengutamakan pendidikan dalam kehidupan.”
Sedekad kebelakangan ini, nama Prof Halimaton cukup masyhur dengan gelaran ‘Prof Maerogel’ susulan penemuan beliau mencipta aerogel daripada sekam padi. Bagaimana agaknya perkembangan penemuan tersebut setakat ini?
“Aerogel daripada sekam padi (Maerogel) yang ditemui telah menerima paten Malaysia dan di peringkat antarabangsa. Penghasilan Maerogel telah dibangunkan di peringkat pasca-makmal dan pra-komersial.
Melalui kajian lanjutan yang telah dijalankan, berasaskan permintaan industri, teknologi penghasilan aerogel silika telah dipertingkatkan, yang mampu menyelesaikan masalah keselamatan dan penggunaan tenaga yang tinggi.
Penghasilan aerogel silika menggunakan teknologi Renewable Silica (RenSil-A) ini telah diuji untuk penggunaan oleh industri penebat haba (insulation blanket), sarung tangan, kabel elektrik dan paip gas dan minyak.
Dengan kerjasama daripada industri, projek penghasilan RenSil-A yang pertama akan dibangunkan dalam masa terdekat,” cerita Prof Halimaton panjang lebar.
Terkini, saintis akademik hebat ini sedang dalam fasa akhir projek penyelidikan NanoMITe (2015-2020). Mereka sibuk membangunkan sistem pirolisis pasca penyelidikan bagi penghasilan bahan api jet (jet biofuel) daripada biojisim kelapa sawit.
“Kami juga dalam proses komersial produk dan teknologi penyelidikan, merancang hala tuju strategik dan pengurusan ISTIC, memperbaiki perlaksanaan pembelajaran atas talian pasca COVID-19 di UTM, melaksanakan program pemerkasaan ilmu STEM kepada guru bersama ISTIC dan Pusat STEM serta merancang hala tuju strategik penyelidikan nanoteknologi (NanoMITe).”
Sebagai ahli akademik, Prof Halimaton tidak menafikan turut bimbang dengan masa depan pendidikan sains pasca COVID-19.
“Pendidikan sains sangat terjejas oleh pandemik. Seperti yang kita maklum, pendidikan sains di Malaysia sedang dalam proses pemerkasaan dengan menerapkan pendekatan belajar memahami dengan melakukan eksperimen.
Pandemik COVID-19 telah memaksa pembelajaran atas talian dijalankan secara tiba-tiba yang merencatkan pembelajaran sains khususnya. Justeru, kita menghadapi cabaran yang sangat besar untuk memastikan pembelajaran sains yang telah tertinggal di semua peringkat dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Pelajar perlu mampu mengubah ilmu sains alam maya ke alam nyata sebaik sahaja mereka bersekolah semula,” luahnya sambil menyatakan alangkah baik jika rakyat Malaysia telah dibekalkan dengan ilmu sains yang menyeluruh sebelum ini.
Generasi zaman ini lebih cenderung belajar secara visual, kurang kemahiran motor, jauh sekali minat terhadap sains. Komen Prof?
“Kecenderungan ini bukan atas dasar keperluan tapi kemudahan. Sekiranya pembuat polisi memahami keperluan asas pembelajaran sains adalah melalui pendekatan membuat dan mengalaminya secara nyata dan diberikan keutamaan, minat terhadap sains pasti dapat dikekalkan.
Sebagai contoh, dengan melihat video orang memasak sesuatu resipi tidak menghasilkan makanan yang sedap jika kita tidak memasak sendiri dan memahami ilmu yang terlibat.”
YAYASAN MYPRIHATIN
Selain bidang pendidikan, Prof Halimaton juga aktif dalam bidang amal kebajikan. Antaranya sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MyPrihatin.
“MyPrihatin telah ditubuhkan oleh sekumpulan pemuda untuk menyumbang ke arah pembangunan masyarakat Malaysia yang berpengetahuan dan sihat.
Badan amal ini berhasrat melaksanakan program tertentu, menggunakan bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk masyarakat untuk dimanfaatkan oleh golongan yang memerlukan.
Pengalaman saya dalam akademik dan bidang sains mendorong saya untuk membantu Yayasan menyumbang ke arah tersebut. Kita mahu membantu golongan yang memerlukan untuk mendapatkan ilmu yang sesuai untuk membantu kehidupan masa hadapan.
Banyak pengalaman berharga yang ditimba sepanjang bergelar Pengerusi Yayasan MyPrihatin. Namun salah satu yang paling bermakna bagi saya adalah sewaktu kami bekerjasama dengan Yayasan IJN.
Ketika itu MyPrihatin telah membantu melalui proses logistik yang membolehkan ramai pesakit kanak-kanak untuk menjalani pembedahan di IJN. Ramai pesakit kanak-kanak daripada golongan keluarga B40 dapat dibantu untuk mendapatkan rawatan di IJN.
Pengalaman itu cukup-cukup berharga bagi saya,” akhirinya.
Syabas Prof Halimaton! Nona mengucapkan Selamat Hari Wanita Sedunia 2021 buat seluruh wanita yang sentiasa berbakti, berkorban masa dan keringat demi masa depan anak pertiwi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!