Di saat seluruh dunia sedang diuji pandemik COVID-19 dan angka kematian semakin meningkat saban hari, Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa juga turut terpanggil mengajak masyarakat untuk mematuhi arahan yang telah di keluarkan oleh kerajaan.
“Jika kita tak boleh menyenangkan, janganlah menyusahkan,” coret Ustazah Datuk Dr Norhafizah di laman Instagram milik peribadinya ekoran laporan mengatakan ramai yang engkar untuk berada di rumah dan meneruskan aktiviti harian mereka.
Setakat 23 Mac 2020, sebanyak 14 kematian akibat pandemik COVID-19 ini dan kasihanilah para petugas di barisan hadapan yang bertarung nyawa untuk memutuskan rantaian COVID-19 ini seperti kata-kata dari Ustazah Datuk Dr Norhafizah, “Bersabarlah mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan. Jika kita tak boleh menyenangkan, janganlah menyusahkan.
Kasihanlah pada sahabat-sahabat kita yang berjuang di barisan hadapan. Duduklah rumah banyakkan zikrullah, berdoa pada Allah agar Allah angkat musibah ini. Jangan lupa baca qunut nazilah juga. Andai benar teori yang mengatakan virus ini hasil cipta manusia yang rakus di dunia ini, serahkanlah mereka pada Allah. Allah Maha Berkuasa atas segala-galanya.
Tolonglah duduk rumah, perbaiki diri dan keluarga. Bagi yang mampu wang ringgit, ini masanya kita menyumbang kerana ramai yang sangat memerlukan. Ya Allah, hapuskanlah wabak ini Ya Allah,” coret Ustazah Datuk Dr Norhafizah.
QUNUT NAZILAH
Merujuk kepada situasi semasa negara kita khususnya dan dunia secara umumnya yang diuji dengan pandemik Covid-19 ini, adalah dituntut bagi umat Islam untuk membaca qunut nazilah di dalam solat mereka.
Berikut kami nyatakan beberapa hukum hakam qunut nazilah secara ringkas :
- Disunatkan untuk dibaca secara kuat sama ada di dalam solat al-sirriyyah (seperti solat Zohor dan solat Asar) atau solat al-jahriyyah (seperti solat Subuh, Maghrib, dan Isya’).
- Qunut nazilah hanya disyariatkan di dalam solat-solat fardhu sahaja dan tidak pada solat-solat sunat.
- Boleh dibaca di dalam solat fardhu berjemaah mahupun solat fardhu secara bersendirian. Jika dilakukan secara berjemaah, imam membacanya secara kuat dan makmum mengaminkannya. Jika dilakukan secara berseorangan maka ia dibaca secara perlahan.
- Dibaca pada rakaat solat yang terakhir, semasa i’tidal selepas bangun daripada ruku’.
- Tidak perlu melakukan sujud sahwi sekiranya tertinggal qunut nazilah kerana ia bukan termasuk di dalam sunat ab’aadh.
- Disunatkan mengangkat kedua tangan semasa berdoa.
- Tidak perlu menyapu tangan ke muka selepas berdoa.