
Jangan confuse antara self-love dengan selfish, begitulah nasihat Ustazah Nazirah Abu Bakar dalam mendidik hati wanita agar kekal sihat dengan jiwa yang waras. Dalam dunia serba pantas hari ini, wanita sering memikul terlalu banyak peranan dalam satu masa sebagai isteri, ibu, anak, pekerja dan penjaga emosi orang sekeliling. Tidak hairanlah ramai yang akhirnya keletihan, bukan sahaja fizikal tetapi juga jiwa.
Dalam Islam, menyayangi diri sendiri atau self-love bukanlah satu bentuk keegoan. Sebaliknya, ia adalah usaha menjaga amanah diri yang Allah titipkan kepada setiap insan, khususnya wanita yang sering memikul pelbagai peranan dalam satu masa. Inilah mesej utama yang disampaikan oleh pendakwah dan Pegawai Hal Ehwal Islam, Ustazah Nazirah Abu Bakar, menerusi perkongsian santainya yang tular dan mengundang renungan ramai.
Wanita hari ini bukan sekadar mengurus rumah tangga, malah bekerja, mendidik anak, menjaga ibu bapa dan menjadi tempat bergantung emosi. Dalam kesibukan ini, ramai yang keletihan tanpa sedar kerana terlalu mendahulukan orang lain sehingga mengabaikan diri sendiri.

Kenapa Wanita Islam Perlu Belajar Self-Love
Menurut Ustazah Nazirah, menjaga diri bukan bermaksud lari daripada tanggungjawab. Sebaliknya, ia adalah keperluan supaya wanita mampu terus berfungsi dengan hati yang tenang dan jiwa yang waras. Menyedari diri sebagai amanah daripada Allah adalah asas kepada konsep self-love Islam dalam kehidupan seharian.
Namun, tidak semua memahami perkara ini dengan tepat. Ada yang mempersoalkan nasihat beliau, malah meninggalkan komen sinis di media sosial. Antara yang tular, “Kesian laki ustazah ni, sebab ustazah tu selalu suruh orang perempuan ni pentingkan diri. Tau tak itu membawa kepada sifat selfish! Ustazah selfish.”
Jangan Keliru Antara Self-Love Dan Selfish
Menjawab kritikan itu dengan gaya bersahaja, Ustazah Nazirah berkata, “Ya Salaam. Di fish-fishnya kita. Tapi i suka fish ok. Tambah-tambah ikan kembong. Mai sini nak cerita. Jangan confuse antara self-love dengan selfish ok.”
Beliau menjelaskan, ramai yang keliru apabila seseorang wanita mula menjaga diri. Bila berehat, dikata pentingkan diri. Bila menolak permintaan orang lain, dilabel ego. Sedangkan hakikatnya, self-love dan selfish bukan perkara yang sama.


Apa Itu Self-Love Menurut Islam
Self-love menurut Ustazah Nazirah ialah usaha menjaga amanah diri yang Allah titipkan. Ia bukan tentang memuja diri, tetapi memahami had kemampuan diri sebagai manusia. Antara contoh self-love yang sering disalah tafsir ialah berehat apabila letih tanpa melarikan diri daripada tanggungjawab, berani berkata tidak supaya tidak menyakiti diri sendiri dan orang lain, serta berusaha memperbaiki diri tanpa merendahkan atau meninggikan diri secara berlebihan. Inilah antara elemen penting dalam self-love Islam.
Self-love tidak menyakiti sesiapa. Malah, ia menjadikan seseorang lebih tenang, lebih sabar dan lebih mampu memberi kepada orang sekeliling. Seperti yang dikongsi beliau, “Self-love ni hang bisik kat diri, aku jaga diriku supaya aku boleh jadi insan yang lebih baik untuk orang lain.”
Beza Self-Love & Sikap Selfish
Berbeza dengan self-love, sikap selfish pula meletakkan diri di atas segalanya walaupun terpaksa mengorbankan perasaan dan hak orang lain. Selfish bermaksud hanya mahu menang walau melukai, sanggup menutup mata terhadap emosi orang sekeliling dan sibuk mempertahankan diri tanpa memikirkan kesan.
Sikap ini bukan sahaja memenatkan orang lain, malah akhirnya memenatkan diri sendiri. Prinsipnya mudah, asalkan aku bahagia, orang lain tidak penting. Sedangkan Islam mengajar keseimbangan, bukan keterlaluan.
Ringkasnya, self-love ialah menjaga diri tanpa menzalimi orang lain dan masih menjalankan tanggungjawab. Manakala selfish pula ialah menjaga diri sehingga menganiaya orang sekeliling. Perbezaan ini menjadi asas kefahaman dalam self-love Islam supaya seseorang tidak terpesong kepada sifat mementingkan diri.
Self-Love Untuk Jiwa Waras Dan Keluarga Harmoni
“Kita belajar sayang diri bukan untuk menjauhkan diri daripada manusia, tetapi supaya kita hadir dalam hidup orang yang kita sayang dengan hati yang sihat dan jiwa yang waras,” pesan Ustazah Nazirah. Bukankah Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa sebaik-baik manusia adalah yang paling baik kepada ahli keluarganya. Inilah hikmah yang selaras dengan prinsip self-love Islam.


Siapa Ustazah Nazirah Abu Bakar
Di sebalik perkongsian yang menyentuh hati ini, Ustazah Nazirah Abu Bakar merupakan pendakwah Islam dan Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Beliau aktif menyampaikan kuliah dan tazkirah berkaitan isu kekeluargaan, peranan wanita, ketenangan jiwa dan cabaran kehidupan moden.
Selain berdakwah, beliau turut mempunyai latar belakang profesional dalam pengurusan kandungan Islam dan penyiaran, termasuk penglibatan dalam penyelarasan program dakwah serta pembangunan masyarakat. Keseluruhannya, Ustazah Nazirah membawa suara dakwah yang membumi, mengingatkan wanita bahawa menyayangi diri sendiri bukan satu dosa, tetapi jalan untuk menjadi insan yang lebih baik di sisi Allah dan manusia.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/jumaat-terakhir-rejab-israk-mikraj/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





