Gaya Hidup

“Semoga Darah-Darah Yang Tumpah Menjadi Bunga-Bunga Jannah,” Lukisan Menyayat Hati USTAZAH ASNI MANSOR

Walaupun sekadar lukisan namun ia sudah cukup mengusik emosi mereka yang melihatnya. Lebih menyedihkan, lakaran Ustazah Asni Mansor ini berkisar tentang saudara Islam yang terkorban di Christchurch, New Zealand baru-baru ini. Disifatkan satu tragedi menyayat hati tatkala 50 mangsa yang maut sedang bersiap untuk mengerjakan solat Jumaat… Ustazah Asni punya cara tersendiri menunjukkan rasa simpati kepada mereka yang terlibat.

Rata-rata netizen dan peminat yang melihat keindahan bakat Ustazah Asni nyata terpukau dengan hasil lukisan berkenaan dan turut melahirkan rasa sebak kerana menyifatkan ia sebagai ‘hidup’. Tulis Ustazah Asni di Instagram miliknya, “Semoga darah-darah yang tumpah… menjadi bunga-bunga jannah.”

Ringkas, tapi cukup dekat di hati umat Islam. Menjawab pertanyaan salah seorang follower mengenai maksud di sebalik lukisan itu… Ustazah Asni tanpa berselinding membuka rahsia.

“Semoga kematian mangsa tembak rambang di New Zealand semuanya diangkat menjadi syahid dan mendapat syurga. Sebab itu saya berikan ayat darah tumpah menjadi bunga-bunga jannah.”

Selain terkenal dengan ceramah motivasi dan dakwah Islam yang menarik… Ustazah Asni juga dikenali sebagai pelukis Islamik yang hebat kerana berjaya menghasilkan karya unik dengan caranya tersendiri. Setiap lukisan yang dihasilkan turut dibuka untuk jualan dan antara pembeli lukisan Ustazah Asni termasuklah golongan selebriti, peminat dan ahli perniagaan.

Buat Ustazah Asni, moga terus cemerlang dan kreatif menyampai dan menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk semua!

 

Kredit: Instagram Ustazah Asni Mansor

 

IKLAN
Share