Ikhlaslah menjadi diri sendiri agar hidup penuh dengan ketenangan dan keamanan. Hidup tanpa pegangan ibarat buih-buih sabun. Bila-bila masa ia akan pecah.

IKLAN

Hakikat kehidupan, alhamdulillah kita masih berdiri dan diberi nyawa untuk bernafas. Sentiasalah kita melafazkan Subhanallah, Alhamdulillah, Laailahaillalah, Allahuakbar dan Astaghfirullah. Syukuri dengan apa yang telah Tuhan berikan kepada kita.

Dunia ini adalah medan untuk setiap manusia meneruskan perjalanannya sementara bernafas. Melalui setiap ruang hidup dengan pelbagai cabaran hidup kerana dunia bukanlah syurga yang boleh diperoleh segalanya dengan mudah.

Kita bisa menempuhi segala dugaan itu berbekalkan satu semangat untuk terus hidup sebelum nyawa ini ditarik kembali. Memandang sekeliling pelbagai rupa, watak, bentuk fizikal dan pelbagai ragam jenis manusia yang mengejar pelbagai visi kehidupan.

Semua Rezeki Yang Diterima Itu Tidak Sama

Semua rezeki yang diterima itu tidak sama, ada yang diberi kebahagiaan berpanjangan, ada yang diuji dengan pelbagai kesusahan, ada yang menangis kesakitan, ada yang berduka atas kematian, ada yang gembira menikmati kejayaan dan ada yang bertafakur mendekatkan dirinya dengan Yang Esa. Begitulah ragam kehidupan!

Hak kita sebagai manusia, menerima, memilih dan menentukan jalan kehidupan sendiri, namun semuanya itu atas izin-Nya. Tidak ada setiap manusia itu mempunyai persamaan dalam menjalani kehidupannya. Jatuh bangun atau susah, perlu dihadapi selama kita mengenali erti kehidupan di muka bumi ini.

Harus percaya, kehidupan di bumi ini adalah persinggahan sementara tetapi pada masa yang sama kita perlu laksanakannya seperti kita akan hidup selamanya.

IKLAN

Andai kata segala-galanya ditarik balik, semua itu tidak bermakna lagi. Tetapi janganlah kita mengagungkan duniawi sehinggakan kita merasa diri terlalu berkuasa. Kerana hakikat kehidupan di dunia ini tidak menjanjikan satu jaminan yang berkekalan. Apa yang ada hanyalah percubaan, cabaran dan pelbagai peluang. Jaminan yang kekal abadi hanya dapat ditemui apabila kita kembali semula kepada Ilahi.

Kaya atau miskin, masing-masing diuji dengan pelbagai dugaan. Lihatlah keadaan kita sekarang apabila diuji dengan kehadiran COVID-19, betapa sedihnya seluruh dunia. Segalanya musnah dalam sekelip mata.

Namun, insyaAllah jika kita sama-sama terus berdoa dan bertawakal kepada Allah, pastinya ada nikmat di penghujungnya. Pujian juga kepada sikap prihatin rakyat Malaysia yang telah banyak memberi bantuan. Hari ini, ada yang sengsara dan mungkin esok lusa kita pula bakal melaluinya.

IKLAN

Hidup ini adalah gabungan bahagia dan derita. Ia hadir untuk menguji keteguhan iman sesroang, Malangnya bagi mereka yang hanya mengikut kehendak hati tidak sanggup menerima penderitaan ini. Semua makhluknya akan diuji oleh Allah SWT dan ujian itu diberikan kerana Allah tahu hamba-Nya itu mampu menghadapi.

Inilah hakikat kehidupan… Selagi kita bernyawa di bumi Allah, ujian itu hadir kepada manusia dan tiada seseorang daripada kita mampu lari daripadanya.

Dalam hidup ini, adakalanya kita perlu menangis, agar sedar hidup ini bukan hanya untuk bergembira. Adakalanya kita perlu ketawa agar kita tahu menghargai nilai setitis air mata. Kalau kita tidak merasa kesulitan hari ini, kita tidak akan rasai kemanisannya kemudian hari.

Tidak salah untuk sesekali kita perlu derita untuk mengenal erti bahagia. Sekalipun kita perlu kecewa untuk kita kenal erti kejayaan. Sesekali kita menangis untuk kita syukuri nikmat yang diberi. Sesekali kita perlu terhiris untuk kita kenal diri sendiri… Kecuali jika penghujungnya Allah memanggil kita kembali.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI