
Sama cantik, sama padan. Terpancar kebahagiaan dan seri Raja Sehari apabila pasangan mempelai Mizz Nina dan Essam Muhammad tampil berbusana serba putih dalam sebuah majlis resepsi tertutup malam tadi selepas hampir tiga bulan bernikah.
Menurut sumber Sinar Plus, penyanyi dan aktivis kemanusiaan ini mengadakan majlis resepsi tersebut di sebuah ruang acara bertempat di Boathouse Ampang, Kuala Lumpur dengan dihadiri oleh ahli keluarga dan kenalan rapat.
Berita itu dikongsikan menerusi laman sosial Instagram jurusolek, Fazz Ariffin yang memuat naik foto hasil tata rias pengasas Qalby App berusia 43 tahun itu.

Tampil anggun dengan solekan sederhana, Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman tampil kelihatan anggun dalam persalinan berwarna putih hasil rekaan pereka fesyen, Ezzati Amira.
Berjalan dari pintu masuk menuju ke pelamin, para tetamu yang hadir tidak melepaskan peluang untuk merakamkan foto Mizz Nina dan Essam.


Majlis tersebut juga turut dikongsikan rakan rapat Mizz Nina, Aliza Kim yang memuat naik foto pasangan pengantin bersama anak angkat Mizz Nina, Musa.
Turut kelihatan hadir memeriahkan majlis ialah pelakon Datin Lisa Surihani dan suami, Datuk Yusri Abdul Halim.
Mizz Nina terdahulu berkongsi khabar gembira mengenai pernikahannya dengan suami, penyanyi rap berdarah kacukan Maghribi-Amerika Syarikat itu.

Mizz Nina dan Essam disatukan dalam ijab kabul yang berlangsung secara tertutup di luar negara pada suku tahun kedua tahun ini.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/mizz-nina-kembali-bergelar-isteri-pilih-essam-muhammad-sebagai-suami/
Dari Seorang Pemegang Biasiswa, Kini SITI HURRAIRAH Dilantik Pengerusi Wanita Pertama SHELL Malaysia

Shell Malaysia mengumumkan pelantikan Siti Hurrairah Sulaiman sebagai Pengerusi Negara berkuat kuasa 1 Januari 2023, wanita pertama yang memegang jawatan berkenaan di Malaysia. Siti Hurrairah akan menggantikan Datuk Ivan Tan, yang akan memegang jawatan sebagai Naib Presiden Eksekutif, Telaga, bagi Shell Group.
Tan akan berpangkalan di The Hague, Belanda sebaik saja memegang jawatan global berkenaan.Sebagai Pengerusi Negara Shell Malaysia, Siti Hurrairah akan memantau semua perniagaan Shell Malaysia, selain peranannya sebagai Naib Presiden Kanan bagi perniagaan huluan di negara ini.
Siti Hurrairah berasal dari Kuching, Sarawak dan memulakan kerjaya bersama Shell sebagai pemegang biasiswa. Beliau menamatkan pengajian dari Imperial College di London dengan ijazah sarjana muda kelas pertama dalam Kejuruteraan Mekanikal dan memulakan kerjaya sebagai jurutera operasi di Shell Malaysia Upstream.

Semasa awal kerjaya, Siti Hurrairah memainkan peranan dalam pembangunan, perancangan, komersial dan strategi di United Kingdom serta Malaysia. Pada 2011, beliau dilantik sebagai Pengurus dan Pengarah Aset Malaysia wanita pertama Shell Petroleum Company Limited, bertanggungjawab bagi operasi minyak dan gas huluan Shell di Sabah.
Pada 2015, Siti Hurrairah berpindah ke London sebagai Pengurus Besar Operasi Komersial dalam perniagaan perdagangan dan bekalan Shell, di mana beliau bertanggungjawab terhadap perkhidmatan komersial global Shell Group.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Naib Presiden, Penerokaan Gas Bersepadu Timur, yang bertanggungjawab terhadap pelbagai portfolio Usaha Sama Shell di pelbagai negara di wilayah timur, sebelum memegang jawatan semasa sebagai Naib Presiden Operasi Aset Teknikal, yang menyelia organisasi global besar bagi menyokong aset serta unit operasi merentasi Shell Group.
Sumber: Buletin TV3 | Foto Kredit: Shell Malaysia
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Malu-malu sayang… Kata Tun Dr. Siti Hasmah, “Dalam Motokar, Dia Pegang Tangan Saya. Pegangan Tangan Itu Akan Dileraikan Apabila Kami Melintasi Tol & Jari-Jemari Kembali Bertaut Selepas Itu”

Pagi bersejarah itu jantung penulis Norzalina seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan nan suci.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
MENULIS
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
“Mulut Kata Maaf Tapi Hati Masih Berdendam” USTAZAH ASNI MANSOR Kongsi Cara Terbaik Untuk Memaafkan

Hidup ini tidak semuanya indah. Pasti ada yang terluka dan bersedih hati dengan pelbagai ragam perwatakan manusia. Ini merupakan salah satu cabang ujian Allah SWT.
Sebagai manusia biasa semestinya hati yang terluka sukar dirawat. Jika terlalu lama memendam rasa maka perasaan dendam pula akan terbuku di hati.
Ada yang ikhlas memaafkan namun ada juga yang berkata maaf tetapi masih menyimpan dendam di hati. Itu bukan kemaafan yang dituntut oleh Islam. Ustazah Asni Mansor berkongsi cara terbaik bagaimana untuk memaafkan.
Firman Allah SWT dalam surah Al Hujurat ayat ke-10 bermaksud “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka perbaikilah hubungan persaudaraan di antara saudara-saudaramu.“
Ada dua hubungan dalam kehidupan iaitu hubungan dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia.
Hubungan dengan Allah dipanggil iman dan hubungan dengan manusia dipanggil ukhuwah. Adakalanya hubungan sesama manusia diuji seperti hubungan dalam berkeluarga, jiran-jiran dan persahabatan.
Ada yang mengambil jalan pintas dengan menurut rasa dan gelora amarah. Tidak mahu memaafkan, tidak mahu bersua muka malah mendengar nama pun dijauhkan. Setiap kebaikan dan keburukan itu ada pintunya. Jika tidak mahu memaafkan, apa akan terjadi jika Allah SWT juga tidak mahu mengampunkan hamba-Nya?
Mengapa perlu kita membesarkan diri dengan tidak mahu memaafkan kesalahan insan? Carilah pintu silaturrahim. Pada pintu silaturrahim itulah ada kemaafan, pemberian, hadiah, doa dan ziarah yang akhirnya pintu itu membawa terus ke pintu syurga.
Kebaikan yang dicari maka syurga menanti dengan rahmat Allah. Tetapi andainya kita terus mengagungkan rasa kecewa, sakit hati, dendam dan tidak berpuas hati maka di situlah pintu kemusnahan silaturrahim.
Pada pintu kemusnahan silaturrahm itu ada dendam, tidak puas hati, mengungkit, menang dan tidak mahu kalah dan rasa sentiasa benar.
Maka jika itu yang kita agungkan, maka suburlah dendam dan berbuahlah kebencian seterusnya tumbuhlah permusuhan. Sabda Nabi SAW yang membawa maksud, “Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim.”
Mungkin kita kurang amalan, maka Allah uji dengan ujian ukhuwah untuk kita tambah dan kaut pahala dengan sabar dan reda. Allah Maha Pengampun. Kemaafan itu adalah kebahagiaan.
Firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah maksudnya, “Dan kalau kau memaafkan itu adalah lebih dekat kepada taqwa.”
CARA MEMBERI KEMAAFAN
- Beristighfarlah kerana kita tidak dapat merasakan setiap kejadian dari Allah. Kadangkala ujian itu teguran buat kita.
- Biasakan diri dengan memaafkan kerana jika hati bersih maka tidak sukar untuk memaafkan.
- Leburkan kebencian dan kemarahan dengan kemaafan. Itulah jalan taqwa.
- Mohon dan berdoa pada Allah agar dikurniakan hati yang mudah memaafkan. Sesungguhnya Allah adalah pemilik hati kita.
Kredit Foto: Instagram Ustazah Asni Mansor
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona