
Beruntung Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dikurniakan seorang ibu yang bukan hanya penyayang. Bahkan setia menemani dan menyokong minat anakanda tersayang terutamanya ketika perlawanan sukan polo. Setiap kali putera diraja Brunei ini menyertai perlawanan di dalam mahupun luar negara pasti kelibat YM Datin Paduka Seri Dayang Hajah Mariam turut kelihatan.
Pastinya kehadiran ibu berkenaan menjadi pembakar semangat buat DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Menelusuri latar belakang YM Datin Paduka Seri Dayang Hajah Mariam, beliau dilahirkan pada 28 Januari 1956 dan meniti usia 69 tahun. YM Dayang Hajah Mariam juga merupakan anak kepada pasangan Abdul Aziz Abdullah dan Pengiran Hajah Rashida.
Sebelum mendirikan rumah tangga dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, YM Dayang Hajah Mariam pernah berkhidmat sebagai seorang pramugari di Royal Brunei Airlines.
Beliau kemudian sah bergelar isteri kedua Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 28 Oktober 1981.
Menerusi perkahwinan ini, YM Dayang Hajah Mariam dan Sultan Hassanal Bolkiah dikurniakan empat cahaya mata iaitu dua anak lelaki dan dua anak perempuan.
Mereka ialah Pengiran Haji Abdul Azim, Pengiran Anak Puteri Azemah Ni’matul Bolkiah, Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dan Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Abang Pengiran Muda ‘Abdul Mateen iaitu Pengiran Muda Haji Abdul Azim dilapor mangkat pada 24 Oktober 2020 ketika berusia 38 tahun.
Ketika bergelar isteri Sultan Brunei, YM Dayang Hajah Mariam menerima gelaran Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Isteri Hajah Mariam binti Abdul Aziz. Bagaimana pun jodoh beliau tidak panjang apabila secara rasmi bercerai dengan Sultan Hassanal Bolkiah pada Februari 2003 selepas kira-kira 22 tahun berkahwin.
Meskipun sudah bercerai, YM Dayang Hajah Mariam menggunakan gelaran rasmi Yang Mulia Datin Paduka Seri Dayang Hajah Mariam.
Anak bongsu beliau, Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkahwin dengan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah pada Januari 2024.
This website uses cookies.