
Masa yang berlalu takkan pernah kembali, maka penuhkanlah dengan sibuk yang bermanfaat seperti Farhatul Fairuzah yang kini bahagia isi masa dengan pahala Ramadan.
Seperti baru semalam menghadiri majlis perkahwinan Johan Tilawah Al-Quran, Nor Farhatul Fairuzah dengan jejaka pilihan hatinya, Ustaz Ilham Amri di Cyberjaya.
Hampir 3 bulan berkahwin, kini Farha juga menyambut Ramadan pertamanya sebagai seorang isteri kepada mutawif. Namun paling mencuit perhatian, melihat aktiviti beliau yang cukup padat dari awal pagi hingga ke lewat malam.
Bagi pendakwah dan juara qariah Tilawah al-Quran Antarabangsa 2019 itu, bulan Ramadan adalah masa gandaan pahala yang sangat banyak dan seharusnya kita berlumba-lumba merebutnya. Selain berpuasa menahan lapar dan dahaga, ini juga peluang untuk sibukkan masa dengan perkara yang bermanfaat serta memanfaatkan orang lain.


Sepanjang bulan Ramadan ini, Farha komited untuk sesi LIVE di media sosial menerusi program Tadarus Sahur Bersama Farha. Bagi yang ingin bertadarus secara online, Farha membuka ruang untuk followers beliau mendengarkan alunan ayat suci seawal jam 6.00 pagi.
Dari sesi tadarus, Farha seterusnya mengikuti kuliah pagi melalui aplikasi Zoom. Di sini, beliau mengajar topik-topik menarik berkenaan Al-Quran untuk para Muslimah. Seronok jadi pelajar Farha, memang banyak ilmu kehidupan duniawi dan ukhrawi disampaikan.
Tidak habis sampai di situ, Farha sambung lagi dengan kelas Mari Mengaji Bersama Vacasia, juga secara online bermula jam 11.30 pagi. Nah, bayangkan betapa padatnya masa beliau! Kala ditanya, ‘Tak ngantuk ke… moga diberi kesihatan yang baik sepanjang bulan mulia ini’, Farha tenang menjawab.
“InsyaAllah amin. Doakan saya. Nak kata ngantuk ke tak? Ngantuklah ni. Tapi nak buat macam mana kan, kerja.”




Masa yang berlalu takkan pernah kembali, maka penuhkanlah dengan sibuk yang bermanfaat seperti Farhatul Fairuzah yang kini bahagia isi masa dengan pahala Ramadan.
Bukan sekadar aktif mengisi masa dalam talian, Farha turut tampil dalam program Geng Ngaji: Musim ke-6 yang bersiaran secara langsung jam 6.00 – 7.00 petang di saluran Astro Oasis. Fuh, bayangkan komitmen beliau sepanjang Ramadan, beribadat dan bekerja tanpa henti!
Enggan mensia-siakan pengaruhnya di media sosial, Farha yang memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga rajin membuat pelbagai hantaran seperti nasihat dan doa-doa berguna untuk diamalkan oleh para followers. Dakwah yang konsisten dan menjentik keinsafan!
Pada Ramadan, pastinya kita akan menyaksikan kemeriahan yang berbeza daripada bulan biasa. Perkara pertama yang dapat disaksikan ialah umat Islam mengisi hari dan malam Ramadan dengan ibadat. Semoga segala usaha dan dakwah Farha dalam bulan mulia ini mendapat ganjaran tertinggi di sisi-Nya.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/macam-menang-cabutan-bertuah-ustazah-asni-mansor-puji-anak-yang-lalui-ramadan-sambil-jaga-mak-ayah/