Usia 81 & Pakar Arkeologi Pertama Temui Rangka Perak Man, Prof Siti Zuraina Majid Dinobatkan Tokoh Akademik Negara

Prof Emerita Dato’ Dr. Siti Zuraina Abdul Majid FASc dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara 2025 pada Majlis Anugerah Akademik Negara ke-16.

Selepas hampir lima dekad bergelumang dalam dunia arkeologi, usaha dan ketekunan ‘Wanita Besi Arkeologi Negara’ ini akhirnya diraikan pada peringkat tertinggi.

Bidang arkeologi yang jarang diceburi wanita kerana menuntut kerja intensif di lapangan, khususnya di gua dan kawasan terpencil, menjadi saksi kehebatan ilmuwan ini. Beliau telah membuktikan bahawa disiplin berat di lapangan bukan penghalang bagi wanita untuk mencapai kejayaan tertinggi.

Kementerian Pendidikan Tinggi
Kementerian Pendidikan Tinggi
Kementerian Pendidikan Tinggi
Kementerian Pendidikan Tinggi

Perjalanan Awal Akademik

Pada usia 81 tahun, alumni Universiti Malaya tahun 1967 ini pernah menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Pengajian Cina sebelum melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Pengajian Timur di Universiti Cambridge, seterusnya memperoleh PhD Arkeologi dari Universiti Yale.

Anak kelahiran Kuala Lumpur yang dilahirkan pada tanggal 3 Oktober 1944 itu mendapat pendidikan awal di Convent Bukit Nanas dan muncul sebagai antara ahli arkeologi paling disegani di Malaysia.

Dalam satu temu bual bersama akhbar tempatan, beliau berkongsi bahawa minat terhadap arkeologi mula berputik ketika berada di Universiti Malaya.

Walaupun asalnya ditawarkan jurusan Bahasa Cina dan Linguistik, pendedahan kepada antropologi dan arkeologi Cina membuka ruang minat mendalam terhadap dunia prasejarah. Minat itu akhirnya membentuk perjalanan hidup dan kerjaya panjang Prof Siti Zuraina sebagai pelopor arkeologi negara.

Penyelidikan Besar di Lembah Lenggong

Kajian Prof Siti Zuraina di Lembah Lenggong menjadi antara penyelidikan arkeologi paling penting dalam sejarah negara.

Daripada penemuan Perak Man, rangka manusia berusia 10,000 tahun yang turut mempunyai kecacatan genetik, hinggalah kerja ekskavasi di tapak pembuatan alat batu di Kota Tampan, penyelidikan beliau membuka lembaran baharu dalam memahami evolusi manusia di rantau ini.

Usaha penyelidikan berdekad-dekad itu menjadi asas utama kepada pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2012 dan kemudiannya sebagai UNESCO Global Geopark.

Antara pencapaian besar beliau termasuk penemuan teknologi alat batu paleolitik tertua di Asia Tenggara serta bukti perkembangan budaya gangsa dari Thailand ke Malaysia. Penemuan ini turut mengesahkan peranan Lembah Lenggong sebagai laluan migrasi manusia dari Afrika ke Australia yang menyumbang kepada teori sejarah manusia global.

Discovery of Kota Tampan, Lenggong, a 74,000 year old site along early man’s migratory route from Africa to Australia. – Emeritus Professor Datuk Dr Siti Zuraina Abdul Majid.
Excavation team in Gua Telok Kelawar, Lenggong in 1989. – Emeritus Professor Datuk Dr Siti Zuraina Abdul Majid.
Perak man conserved. – Emeritus Professor Datuk Dr Siti Zuraina Abdul Majid.
Sumber: BERNAMA
Neolithic vessels reconstructed from pottery sherds excavated in Gua Harimau burials in Lenggong, Perak. – Emeritus Professor Datuk Dr Siti Zuraina Abdul Majid.

Beliau menyatakan bahawa penghargaan ini adalah sesuatu yang tidak dijangkakan dan amat mengharukan. Sepanjang tempoh bekerja, beliau tidak pernah mengharapkan ganjaran, namun tetap bersyukur kerana usahanya dihargai pada peringkat tertinggi.

Beliau turut meluahkan rasa gembira melihat kematangan bidang arkeologi di Malaysia. Menurutnya, ketika beliau memulakan kerjaya, disiplin arkeologi hampir tidak wujud. Apabila bersara, beliau berpeluang melihat penubuhan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global di Universiti Sains Malaysia.

Benih yang ditanam, kata beliau, kini telah membesar dan membanggakan. Penghargaan terhadap usaha beliau turut menunjukkan impak besar yang dibawa oleh Prof Siti Zuraina dalam dunia penyelidikan tanah air.

Pencapaian Kerjaya

Prof Siti Zuraina memulakan kerjaya sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Universiti Malaya. Pada tahun 2003, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Warisan pertama Malaysia, mengetuai Jabatan Warisan di Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan.

Beliau kemudian menubuhkan Jabatan Warisan Negara selain memainkan peranan besar dalam penggubalan Akta Warisan Kebangsaan 2005 yang melindungi tapak sejarah dan artifak negara daripada pembangunan tidak terkawal.

Sumber: Arkib Negara Malaysia

Dari 2011 hingga 2015, beliau mengetuai Delegasi Malaysia ke Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO. Usaha beliau membantu Malaysia memperoleh status Tapak Warisan Dunia bagi Lembah Lenggong pada 30 Jun 2012.

Beliau juga menyumbang kepada pengiktirafan UNESCO untuk Melaka dan George Town serta pengiktirafan UNESCO Memory of the World bagi Batu Bersurat Terengganu.

Pada tahun 2017, beliau dilantik sebagai ahli Academy of Science Malaysia. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Penasihat Warisan kepada Sultan Selangor serta Pesuruhjaya Sumber Warisan Malaysia.

Sebagai sarjana yang prolifik, Prof Siti Zuraina menghasilkan banyak artikel dan empat buah buku termasuk karya penting berjudul The Perak Man and Other Prehistoric Skeletons of Malaysia yang mendokumentasikan penemuan arkeologi penting negara.

Beliau sering mengingatkan penyelidik muda agar mencintai ilmu dan menjadikan bidang diceburi sebagai wadah membina negara. Baginya, arkeologi bukan sekadar kajian masa silam tetapi aset penting untuk membentuk jati diri negara.

Penghargaan Tertinggi

Pengiktirafan sebagai Tokoh Akademik Negara ke-16 membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai sebanyak RM200,000 sebagai penghargaan atas dedikasi beliau.

Prof Siti Zuraina turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan arkeologi, Universiti Sains Malaysia, kerajaan serta arwah suaminya yang menjadi tulang belakang perjuangannya membangunkan penyelidikan arkeologi negara.

Anugerah ini mencerminkan komitmen dan pengaruh besar beliau dalam memperkasa dunia akademik, penyelidikan dan pemuliharaan warisan negara serta menempatkan Prof Siti Zuraina sebagai tokoh arkeologi paling berpengaruh dalam sejarah Malaysia.

Artikel berkaitan: https://www.nona.my/wanita-malaysia-anemia-tanda-kekurangan-zat-besi/

Share
Published by
Norzalina