Tanggal 11 Oktober pastinya melakar sejarah cukup bermakna buat keluarga Datin Rita Sosilawati apabila suami kesayangan usahawan ini menjadi salah seorang penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka 2020. Istiadat bersejarah tersebut berlangsung di Balai Istiadat Seri Negeri daripada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam sempena sambutan ulang tahun ke-71. Sekalung tahniah diucapkan!
Menerusi perkongsian Datin Rita atau nama penuhnya Erni Dekritawati Yuliana di media sosial semalam memaklumkan suami tercinta, Datuk Khamarulazlan Mohammad Hanafiah menerima penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M) yang membawa gelaran Datuk.
“Tahniah sayang di atas penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (D.M. S.M) ups and down together makes us stronger than before. I’m so proud of your achievement sayang,” kongsi Rita di Instagramnya semalam.
D.M.S.M mula dikurniakan pada tahun 1971 pada orang perseorangan yang telah dan akan terus memberi perkhidmatan cemerlang kepada negeri Melaka. Penerima darjah ini menerima gelaran Datuk sementara isterinya pula membawa gelaran Datin. Pada istiadat tersebut, Datuk Khamarulazlan menerima selempang dan lencana darjah. Setia menemani suami tercinta ialah Datin Rita yang anggun menyarung busana tradisi rona kelabu.
Dalam pada itu, Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengetuai senarai 20 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran Melaka. Beliau menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) yang membawa gelaran Datuk Seri.
https://www.instagram.com/p/CGMygIDp9MN/
Hasil perkongsian hidup selama lebih 9 tahun, Datin Rita dan Datuk Khamarulazlan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Kaisar Raees, Khalid Rashad, Khaylila Rafaahiyah dan Khalil Rizqullah.
Kredit foto: Instagram Rita Sosilawati
Kolaborasi DPMM & RichWorks Bantu Pemerkasaan Usahawan. Cabaran Dunia Perniagaan Semakin Sukar Perlu Perhatian!
Polikrisis yang berlaku ketika ini telah dan sedang menekan ramai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hingga menyebabkan jualan merudum malah hingga ada yang terpaksa menutup perniagaan.
Menurut Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, polikrisis yang dibangkitkan mentor usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman adalah tepat pada masanya untuk usahawan sedar bahawa cabaran dihadapi mereka lebih besar kerana banyak faktor termasuk disrupsi teknologi, pengliberalisasian perdagangan dan juga peningkatan kos-kos input perusahaan termasuk kos buruh serta pekerja.
Katanya, di Malaysia kira-kira 60 peratus PKS gagal dalam tempoh lima tahun penubuhan, menurut artikel Jurnal Keusahawanan ASEAN yang dikeluarkan 7 Ogos lalu.
“Enam daripada 10 PKS pula menghadapi cabaran yang berkaitan dengan pertumbuhan mereka.Usahawan berdepan banyak cabaran ketika ini dengan kenaikan harga barangan, kekurangan bekalan bahan mentah ditambah kadar pinjaman di bank menyebabkan kos operasi sesebuah perniagaan makin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Usahasama antara DPMM dan RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks) diwakili Norsyahrin bersama Dr. Azizan merangkap Pengerusi RichWorks.
Turut hadir, Setiausaha Agung, Ahmad Yazid Othman, Pengarah Eksekutif RichWorks, Hasnita Ahmad dan Ketua Pegawai Perniagaan, Radz Mohd.
Tambah Norsyahrin, tekanan semasa kepada usahawan itu memerlukan perubahan dan langkah yang tepat dalam memastikan tiada usahawan tercicir dan kecundang.
“Saya percaya kolaborasi dengan RichWorks yang berpengalaman dalam membimbing usahawan PKS akan membantu ahli-ahli Dewan Melayu untuk lebih dinamis dan mampu berkembang (scale-up) dalam bidang yang mereka ceburi.
“Kami percaya kesemua kolaborasi dengan pakar-pakar seperti RichWorks dan agensi kerajaan akan membantu mencapai hasrat untuk membina masyarakat ekonomi bumiputera (BCIC) yang lebih berpotensi.
Sementara itu, Dr. Azizan memberitahu, usahawan saat ini tiada pilihan lain untuk tingkatkan ilmu, kemahiran dan strategi bagi berdepan polikrisis yang dijangka akan berpanjangan.
Katanya, polikrisis ini benar dan bukannya dibangkitkan untuk menakut-nakutkan orang ramai terutama usahawan.
“Ketika ini, saya melihat sendiri sesetengah usahawan alami kejatuhan jualan sekitar 30 ke 40 peratus.
“Keadaan polikrisis saat ini berbeza dengan semasa pandemik bermula Mac 2020 di mana tekanan dari kenaikan harga bahan mentah dan kos tenaga kerja antaranya mengugat ‘survival’ bisnes.
“Situasi ini dijangka akan berpanjangan hingga 2025, di mana usahawan tidak mudah untuk bertahan bahkan keupayaan untuk bangkit seperti dikatakan dalam World Economic Forum pada awal tahun lalu,” jelasnya.
Sehubungan itu, Azizan memberitahu, RichWorks ambil inisiatif melancarkan program yang membantu usahawan-usahawan dalam memberikan solusi langsung kepada permasalahan dihadapi mereka dalam 10X Bina Bisnes Berjaya dari 2 & 3 September nanti.
Mengulas mengenai perjanjian persefahaman bersama DPMM, pihaknya menghargai jemputan DPMM untuk berkolaborasi dengan satu matlamat jitu iaitu membangun dan memperkasakan usahawan Melayu dan Bumiputera.
“Alhamdulillah, melalui pengalaman dan kepakaran kami bermula 2008 yang terbukti berjaya melahirkan ribuan jenama tempatan dan usahawan jutawan.
“Kami akan berkongsi kepakaran dan pengalaman yang ada untuk bantu dalam usaha membawa perniagaan-perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi,” jelasnya.
Suka Main Badminton & Hiking, Rahsia Awet Muda PUAN SRI NORMALA Pada Usia 56 Tahun!
Kagum melihat kecantikan yang dimiliki bekas personaliti televisyen, Puan Sri Normala Samsuddin. Meskipun bakal meniti usia 56 tahun pada Jun ini namun pesona beliau masih memikat seperti dulu. Tetap tak puas mata memandang dan raut wajahnya bagai tidak dimamah usia langsung! Serius, memang awet muda.
Pernah menjadi wajah penghias Majalah Nona edisi Julai 2015 di samping anakanda tersayang, Ruhila… Puan Sri Normala dilihat masih kekal dengan karakter lembutnya yang sarat dengan sifat ketimuran wanita Melayu. Tatkala ditanya ‘rahsia’ awet muda yang diamalkan memandangkan tidak banyak kesan penuaan terlakar di wajahnya, beliau hanya tertawa kecil.
“Saya tiada rahsia apa-apa untuk dikongsi. Syukur dikurniakan kesihatan yang baik. Cuma saya sering dipujuk suami supaya jangan tinggal bersenam dan bersukan. Kehidupan yang aktif menjadikan siapa saya hari ini. Saya suka main badminton, panjat bukit dan sesekali berenang.
Saya juga sudah kurang berkunjung ke spa kerana lebih suka membelai diri sendiri di rumah. Bila di rumah pula saya sibukkan diri dengan berkemas, sambil mengemas kini
gambar-gambar lama dan bermain dengan cucu,” ujarnya.
Bercerita tentang penjagaan tubuh badan agar kekal sihat. Ini sebenarnya amalan isteri Tan Sri Haji Azmi Khalid. “Saya tidak mengambil jamu, tapi ada mengambil supplemen
seperti protein, vitamin B dan C, Omega dan sebagainya. Saya juga amalkan makan buah-buahan atau jus sebelum makanan asasi.
Dari segi fizikal, di usia senja ini saya masih rajin bersenam seperti bermain badminton, mendaki, brisk walking, pilates, line dancing dan aerobik bagi mengekalkan stamina.
Sebulan sekali juga saya akan lakukan urutan atau refleksologi.”
Selesa untuk tidak terlalu mendedahkan kehidupan peribadi kepada umum, anak kelahiran Johor ini mengakui sudah berikrar kepada diri sendiri untuk menghormati privasi suami dan keluarga. “Apa saja yang boleh membahagiakan suami dan anak-anak, saya akan patuh demi privasi serta kebahagiaan kami. Sebagai isteri, saya perlu bijak membawa diri bahkan mempelajari apa jua cara terbaik untuk karier suami.
Saya juga banyak menggunakan masa yang terluang untuk bermuhasabah diri. Tatkala muda dulu kita leka dengan kerja, bahkan sibuk dengan keluarga serta hal dunia. Kini anak-anak semua dah besar dan masing-masing ada urusan sendiri. Beliau juga mengakui sentiasa memastikan agar dirinya dan anak-anak memnghadiri kuliah agama agar dapat dijadikan benteng buat anak-anak daripada hanyut dengan pelbagai godaan dunia,” telus ibu kepada Mohammad Asyraf, Ruhila dan Rubilla ini.
Sambil menyifatkan sifat Tan Sri sebagai seorang suami yang gentlemen, Puan Sri Normala tanpa selindung mengagumi karakter seorang bapa yang menebal dalam jiwa lelaki budiman berkenaan. “Beliau amat prihatin dengan masa depan anak-anak saya,pendidikan, jodoh dan karier mereka.
Sikapnya yang amat mengambil berat cukup mengagumkan. Beliau juga sering beri tazkirah pada anak-anak gadis saya tentang teman lelaki, penjagaan diri dan agama. That’s so sweet!
Kalau ditanya apakah rahsia untuk mengikat hati suami, rasanya saya bukanlah orang yang layak untuk memberi motivasi kerana saya sentiasa memperbaiki diri. Namun kini
saya amat bahagia dan segala impian serta harapan telah pun tercapai. Selebihnya saya berserah kepada takdir Allah, moga segala kelemahan diperbaiki, segala kekurangan
diperbetulkan dan segala yang dikurniakan kepada saya amat saya syukuri.”
5 Tanda Jika Hubungan Bersifat Toksik, Risiko Untuk Jejaskan Kesihatan
Setiap yang bergelar manusia pastinya saling memerlukan antara satu sama lain. Hubungan yang baik memberi manfaat khususnya dalam perkembangan keperibadian seseorang seterusnya terhadap kesihatan fizikal dan mental. Namun begitu, tidak semua hubungan adalah baik kerana ada juga segelintir menjadi hubungan toksik yang boleh menjadikan seseorang merasa tidak bahagia.
Hubungan toksik boleh dialami oleh sesiapa sahaja sama ada melibatkan hubungan peribadi, saudara, sahabat, rakan sekerja mahupun ibu bapa dan anak. Baik atau buruknya hubungan yang dimiliki seseorang berdasarkan kesan terhadap kedua belah pihak, walaupun kesan buruk dari satu hubungan itu seringkali tidak disedari.
Hubungan yang baik dapat memberikan rasa tenang, sokongan dan penghargaan antara satu sama lain. Ia bukan hanya boleh dilihat dalam bentuk fizikal dan verbal (pertuturan) malah boleh dilihat dengan sikap yang saling menyokong.
Kenali 5 tanda-tanda hubungan toksik:-:
- MERASA TIDAK BAHAGIA
Jika hubungan itu tidak dapat memberikan semangat atau sokongan yang diperlukan. Ia juga boleh disebabkan oleh masalah dalam berkomunikasi serta tidak memahami antara satu sama lain.
2. TERLALU DIKONGKONG
Boleh berlaku dalam berbagai situasi terutama larangan secara berlebihan untuk anda melakukan sesuatu perkara. Sikap ini boleh mempengaruhi perkembangan mental seterusnya menjauhkan diri daripada orang terdekat sehingga menyebabkan berkurangnya percaya diri.
3.SENTIASA BERFIKIRAN NEGATIF
Ini boleh berlaku disebabkan oleh kekerasan verbal yang diterima, cara berkomunikasi mahupun kritikan-kritikan ketika menghabiskan waktu bersama.
4. HUBUNGAN SEHALA SAHAJA
Tidak ada proses menerima dan memberi. Hanya terdapat satu pihak yang berusaha untuk memberikan yang terbaik termasuk memenuhi keperluan serta memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi.
5. GANGGUAN EMOSI
Sering merasa sedih, marah atau kecewa ketika berkomunikasi mahupun menghabiskan masa bersama. Hubungan yang tidak baik dengan orang terdekat sudah pasti tidak membuatkan anda bahagia.
Berikut adalah risiko kesihatan daripada hubungan toksik:-
OBESITI
Selain meningkatkan kadar kolesterol, tekanan disebabkan hubungan tidak bahagia boleh meningkatkan nafsu makan terutama terhadap makanan yang tinggi lemak dan gula. Kononnya makanan-makanan itu dapat mengurangkan stres. Sebaliknya, jika masalah dalam hubungan gagal diselesaikan kemungkinan anda akan lebih banyak makan. Akibatnya, lebih berisiko untuk mengalami obesiti.
TEKANAN
Keadaan tekanan yang kronik boleh menyebabkan hormon kortisol berlebihan serta meningkatkan tekanan darah. Kedua-duanya boleh meningkatkan tekanan darah dalam waktu yang lama.
DAYA TAHAN BADAN MENURUN
Berada dalam suatu masalah serta keadaan darah tinggi memicu kewaspadaan badan dalam jangka masa yang lama. Keadaan ini boleh menurunkan kewaspadaan badan terhadap penyakit sehingga badan lebih mudah terkena serangan virus.
SAKIT KEPALA
Keadaan ini mungkin dialami oleh beberapa orang ketika berada di dalam suatu tekanan yang berlaku secara konsisten.
TIDUR TIDAK BERKUALITI
Terus menerus memikirkan masalah-masalah yang melibatkan hubungan menyukarkan otak untuk beristirehat meskipun ketika kita merasa letih. Sebab itulah dalam suatu permasalahan, kualiti tidur perkara pertama yang akan terganggu. Akibatnya, boleh menyebabkan perubahan waktu tidur termasuk dari segi kualiti dan berbagai masalah kesihatan lain.
GANGGUAN PSIKOLOGI
Merupakan kesan buruk yang akan terjadi sekiranya sesebuah hubungan itu sudah tidak dapat diselamatkan lagi dan merosakkan kesihatan mental seseorang. Gangguan tersebut boleh terjadi dalam bentuk fobia sosial, serangan panik serta gangguan kepribadian. Tangani perkaran ini dengan serius agar tidak menjadi gangguan psikologi yang berterusan.
MASALAH JANTUNG
Jika hubungan toksik sudah mula mencetuskan penyakit kardiovaskular seperti kolesterol dan obesiti, risiko seterusnya adalah penyakit jantung. Buktinya, satu kajian menunjukkan bahawa hubungan yang tidak baik dengan orang terdekat meningkatkan risiko kira-kira 34% diserang penyakit jantung koroner.