Suasana di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertukar hiba apabila nama dua graduan, Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman dan Allahyarhamah Fatin Nasrien Fadli disebut untuk menerima ijazah pada Istiadat Konvokesyen ke-27 universiti itu.
Tuanku Zara Salim Menyampaikan Ijazah Anumerta
Canselor UPSI, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim kelihatan sebak dan menyapu air mata sebaik menyerahkan ijazah serta menonton tayangan montaj khas mengenang tragedi yang menimpa pelajar universiti itu.
Tayangan tersebut mengenang kehilangan 15 penuntut UPSI yang terkorban dalam tragedi di Jalan Raya Timur–Barat berhampiran Tasik Banding pada Jun lalu.
Tragedi Yang Menggamit Memori
Tragedi Jalan Raya Timur–Barat (JRTB) itu berlaku ketika rombongan pelajar berkenaan dalam perjalanan pulang ke kampus selepas cuti perayaan.
Ads
Kejadian yang menyayat hati itu telah meninggalkan kesan mendalam buat warga UPSI, terutama keluarga mangsa dan rakan-rakan seperjuangan.
Dalam suasana penuh emosi, ijazah anumerta disampaikan oleh Tuanku Zara Salim kepada bapa arwah Nurly Shahirah, Azman Mohamad, 63, dan bapa arwah Fatin Nasrien, Fadli Abd Rahman, 50.
Ads
Penyampaian itu bukan sekadar simbolik, tetapi juga penghargaan terhadap semangat dan usaha kedua-dua pelajar yang tidak sempat menamatkan pengajian mereka.
Istiadat Konvokesyen UPSI kali ini menjadi kenangan abadi bukan sahaja bagi keluarga mangsa tragedi Jalan Raya Timur–Barat tetapi juga seluruh warga universiti.
Ia mengingatkan semua akan pentingnya menghargai setiap detik bersama insan tersayang dan semangat perjuangan menuntut ilmu.
Kredit: Bernama
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ruang tamu merupakan tempat paling awal dilihat oleh tetamu yang datang berkunjung. Maka, seharusnya ruang tamu dihias secantik mungkin supaya ia kelihatan menarik sekaligus membuatkan tetamu rasa selesa dan teruja ketika melihat dekorasi ruang tamu anda.
Namun begitu jangan lupa faktor ketenangan dan keselesaan juga perlu diambil kira. Selain sofa dan meja utama, terdapat juga beberapa item tambahan yang walaupun nampak biasa tetapi sebenarnya ia MESTI ada di ruang tamu.
KERUSI TAMBAHAN
Dalam ruang tamu sudah pasti tersedia set sofa yang lengkap dengan mejanya. Namun begitu, perhatikan semula adakah set sofa itu mencukupi untuk menampung seluruh penghuni rumah termasuk jumlah tetamu?
Kalau anda rasa masih belum mencukupi maka kerusi tambahan mesti ada di ruang tamu sebagai persediaan. Tak perlu yang terlalu besar atau mewah, yang penting kerusi tambahan itu mampu memenuhi keperluan saat diperlukan.
JAM DINDING
Jam dinding bukan saja berfungsi sebagai penghias ruang tetapi juga sebagai penjaga waktu. Apabila terlalu asyik berbual dengan tetamu pasti akan membuatkan kita sering terlupa pada waktu. Sebagai tuan rumah anda mungkin segan untuk menyuruhnya segera pulang takut dianggap tidak sopan pula. Maka itulah pentingnya ada jam dinding di ruang tamu.
HIASAN
Jadikan hiasan sebagai item yang mesti ada di ruang tamu. Tak perlu takut kalau anda kehabisan idea kerana ada banyak item hiasan di pasaran yang boleh dimanfaatkan untuk mencantikkan ruang tamu.
Contohnya gambar keluarga, koleksi gambar percutian, bunga hiasan, barangan antik, lukisan atau hiasan-hiasan lain. Ruang tamu anda pasti akan kelihatan lebih mempesonakan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kalau figura Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sering dipuji kerana pendekatan ‘memujuknya’ seperti seorang Abah, lihat pula bagaimana karakter isteri PM, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. Macam seorang ibu.
Tampil sebagai isteri PM Malaysia pertama yang berhijab, raut wajah Puan Sri Datin Paduka Hajah Noorainee Haji Abdul Rahman, 71 tahun, sentiasa terlihat manis dan keibuan.
Kelembutan wajah dan senyuman First Lady ini benar-benar menyempurnakan imej politik suaminya, malah tatkala terlibat dalam urusan negara, kelibat mereka berdua jelas mencerminkan wajah Malaysia yang Islamik, namun penuh sifat kekeluargaan dan penyayang.
Pasangan ini berkahwin pada 22 September 1972 dan kini dikurniakan empat orang anak serta lima cucu.
Anak ketiga mereka iaitu Najwa, 33 tahun, merupakan antara penyanyi berbakat besar di negara ini, selain adik-beradik yang lain iaitu Datuk Fakhri Yassin, Datin Sri Nabilah dan Farhan Yassin.
Puan Sri Noorainee merupakan mantan Timbalan Yang diPertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI). Sewaktu suaminya memegang jawatan Menteri Besar Johor, beliau merupakan Penasihat Pertubuhan Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Johor (JUITA JOHOR).
Selain itu beliau juga menggalas tugas sebagai Penaung PUSPANITA, Penaung Persekutuan Gimnastik Malaysia dan Penaung SPWinds, Sekolah Seri Puteri Cyberjaya.
Menariknya tentang anak jati Muar ini, dua jenis orkid hibrid pernah dinamakan sempena namanya iaitu Aranda Puan Sri Noorainee dan Mokara Puan Sri Noorainee oleh MARDI.
PM Kesayangan
Perjalanan politik Tan Sri Muhyiddin Yassin cukup berharga jika dikenangkan kerana beliau mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam arena politik negara.
Dalam tempoh 100 hari pentadbirannya sebagai Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat sangat kurang berpolitik dan jarang memberikan kenyataan politik.
Sebaliknya, beliau menumpukan lebih banyak usaha dan masa dalam menangani pandemik COVID-19 dan mendepani cabaran ekonomi negara dalam tempoh itu.
Dari segi politik, tindakannya kurang berpolitik sejak dilantik mengetuai pentadbiran negara pada 1 Mac sehingga hari ke-100 pada Selasa, dikatakan menyumbang kepada kestabilan negara walaupun terdapat beberapa drama politik dalam tempoh itu.
Sungguh pun beliau jarang keluar televisyen, tetapi aura beliau terasa tiap kali muncul, beliau membawa figura bapa-bapa, selalu ingin yang terbaik untuk keluarga walaupun ada masa ‘anak-anak’ tidak faham.
Disayangi Rakyat
Menolak tepi segala desas-desus politik yang dikatakan sedang bergolak dari dalaman sekarang, Nona berkongsi nukilan warga Facebook tentang kecintaan mereka terhadap Abah dan Mama PM Malaysia ni.
Warkah Kami buat Abah
Maaf, jika memanggil mu Abah tanda biadap,
Tiada penghormatan pangkat dan hilang adab,
Sedangkan bagi kami Pangkat Abah itu lebih besar dari PM dan Tan Sri,
Kerana nilai Abah itu lebih dekat dan bermakna bagi hati kami.
Abah,
Benar lah apa yang cerdik pandai kata,
Hukum Tuhan tidak berdiri atas akal manusia,
Tatkala perjalanan politik negara tidak tentu hala,
Kau hadir sebagai nakhoda tanpa diduga.
Abah,
Ini bukan satu kebetulan,
Bahkan ini adalah keputusan dari Tuhan,
Buat menjawab doa insan yang hilang kemampuan,
Bagi menjadi kekuatan buat menghadapi ujian di masa hadapan.
Abah,
Aku yakin kau lah jawaban doa dari Jemaah Tabligh yang teraniaya,
Jawaban tangisan umat yang derita agama dicerca,
Pengikat bagi bangsa Melayu yang berpecah,
Atas nama Islam kau hadir sebagai Rahmah.
Abah,
Mungkin terlalu awal kami melambungkan ucapan syukur terhadap kehadiran mu,
Sedangkan jalan mu dan teman seperjuangan dijanjikan orang dengan penuh liku,
Namun ketenangan mu membuat kami bersatu,
Bagi mengekalkan perpaduan Bangsa Malaysia utuh dan jitu.
Abah,
Tidak pernah kami menitiskan air mata apabila pemimpin berucap,
Kecuali satu ketika engkau berpesan kepada kami dengan wajah yang penuh mengharap,
Agar kami bersabar dan terus berdoa dengan tetap,
Dan bersama berusaha agar tetap ada hidangan di meja makan,
Buat anak dan isteri meneruskan kehidupan,
Sehingga tiba kita semua menggenggam kejayaan.
Abah,
Jangan patah hati dek fitnah,
Jangan menyesal hal yang telah punah,
Jika engkau gagah menyatukan ummah,
Kami rakyat sedia menjadi benteng walau darah kami tertumpah,
Demi agama, bangsa dan negara ini yang bertuah.
Abah,
Belum pernah pemimpin utama negara ini membaca surah,
Dalam ucapan senada penuh hikmah,
Tangan kau tadahkan membawa seluruh rakyat berdoa dengan pasrah,
Menggantungkan nasib sepenuh nya kepada Tuhan,
Allah Rabbul ‘Alamin yang Maha Pemurah.
Merujuk Jabatan Perangkaan Malaysia, Malaysia bakal mencapai status negara tua sepuluh tahun lagi, apabila penduduk berusia 60 tahun ke atas dianggarkan mencapai 15% daripada jumlah penduduk pada tahun 2030.
Namun kini, sudah banyak warga tua yang sebatang kara dan ada juga segelintir yang sengaja memilih untuk tinggal di rumah orang tua SECARA SUKARELA.
Nona melangkah ke Pusat Penjagaan dan Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah untuk mendapatkan pencerahannya.
Menelusuri kawasan perumahan elit dan padang golf yang terbentang di Bangi Golf Resort, perjalanan penulis pada pagi Jumaat itu akhirnya berlabuh di sebuah banglo dua tingkat.
Persekitaran menghijau begitu mendamaikan bagai mengusir kepenatan memandu. Ketika berbalas salam dengan para penghuni yang senang digelar ‘bonda’ itu, kedatangan penulis disapa oleh Pengasas dan Pengerusi PACU (Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah), Hajah Asral Widad Ahmad Asnawi.
Keseronokan melihat warga emas di sini solat berjemaah dan mengaji bersama-sama cukup menyentuh jiwa penulis. Apabila pandangan kami bertembung, ada bonda yang tersenyum lebar, menampakkan riak wajah keibuan yang lembut, tenang dan terisi dalamannya dengan pengetahuan.
Benarlah seperti kata orang, orang tua ini seperti radio lama. Yang dimahukan hanya ‘telinga’ kita. Untuk mendengar. Untuk memahami nasihat mereka.
Cerita Hajah Widad, walaupun ada yang kelakar, tapi banyak juga ragam orang tua yang menguji kesabaran. “Bonda-bonda ini ada yang boleh diusik manja dan ada juga yang tidak. Kadang-kadang terdengar juga pertengkaran kecil seperti berebut tempat solat atau soal kebersihan. Cuma satu persamaannya, mereka semua handal memasak.
Cakap saja resipi apa, bonda petik jari, yang dimasak sedap-sedap belaka. Malah para penjaga dan kakitangan DI juga gemar berbual dengan bonda-bonda kerana mereka banyak pengalaman,” kata beliau tentang DI yang dihuni bonda lingkungan usia 55-84 tahun.
Menyelami sejarah penubuhan Pusat Penjagaan dan Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah (DI), ia sebenarnya berasas daripada sebuah kisah yang benar-benar berlaku di Selangor. “Waktu itu salah seorang Pengasas DI iaitu Ustazah Wan Nazidah terjumpa 14 warga emas Muslim yang dijaga oleh sebuah institusi bukan Muslim.
Ia sangat mengejutkan kerana kami bimbang jika akidah mereka mungkin terpesong. Namun tidak dinafikan bahawa masyarakat kita amat memerlukan tempat jagaan sebegini kerana Malaysia bakal mencapai status negara tua menjelang tahun 2030 nanti.
Sebenarnya saya mahu melihat semua anak menjaga orang tua mereka sendiri. Menjaga, menemani dan mengasihi ibu bapa sepertimana mereka membesarkan kita dahulu. Tapi jika terpaksa juga, jangan tinggalkan mereka seorang diri hanya kerana mereka orang dewasa. Ingat, orang tua ini fitrahnya akan kembali seperti anak kecil.
Jika mereka masih ingin belajar dan mendalami agama, bawalah ke DI kerana di sini rata-ratanya dihuni oleh bonda yang memang mahu belajar dan bergaul. Ia bagus untuk sokongan sosial dan kesihatan juga.
Dewasa ini, apabila anak-anak sibuk bekerja dan mengabaikan ibu bapa di rumah, wujud risiko penyakit kemurungan, Alzheimer, demensia dan amnesia. Sebagai anak, kita perlu faham bahawa mereka juga ada perasaan sunyi, perlu rakan bersembang dan ingin terus menimba ilmu hingga ke akhir hayat.
Sebab tu DI ditubuhkan sebagai pusat jagaan yang juga rumah pendidikan buat mereka. Ia bagaikan sebuah IPT yang menekankan ilmu fardu kifayah dan pengisian di akhirat buat warga emas wanita.”
Sambung Hajah Widad, tidak semua kondisi warga emas boleh dimasukkan ke DI. “Sebelum ini pernah berlaku kes skizofrenia yang teruk dan kami terpaksa mengembalikan bonda tersebut kepada waris untuk dijaga.
Bonda tersebut sebenarnya tertekan dengan suasana di rumahnya. Sedangkan sewaktu dia di sini, dia sihat dan rajin membaca Al-Quran.
Selain itu, ada seorang bonda yang ibarat ‘a walking dead’ semasa tiba ke sini. Dia pada asalnya murung kerana selalu ditinggalkan seorang diri di rumah. Di rumah dia hanya merenung dinding, tak lalu makan minum, susah tidur dan susah beribadat. Tapi alhamdulilah sejak menetap di DI, bonda tersebut berubah ceria kerana dikelilingi kawan-kawan seusia.
KARAKTER
Air wajah yang sentiasa tenang dengan senyuman manis yang tidak lekang-lekang dari bibir membuatkan pertemuan kami hari itu sangat menyeronokkan. Meskipun hanya bersolek tipis, penampilan wanita kelahiran Jitra, Kedah yang baru menginjak usia 44 tahun itu kelihatan lebih muda dari usianya.
Hajah Widad merupakan lulusan Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ijazah Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan medico-legal.
Sambil berbual-bual, latar belakang beliau yang pernah bergelar pensyarah menjadi topik perbualan kami. “Saya pernah berkhidmat di beberapa universiti tempatan antaranya Open University Malaysia (OUM), Kuliyyah Information and Technology (KICT), INTI College Subang Jaya dan Lim Kok Wing University College Cyberjaya.
Sejak di bangku sekolah lagi saya telah bergiat aktif sebagai aktivis masyarakat dan kini saya gembira dapat menyumbang bakti kepada komuniti menggunakan seluruh pengetahuan yang ada,” kata Hajah Widad.
Menurut isteri kepada Pengerusi ASAS yang juga seorang penasihat syariah, Prof Madya Dr. Aznan Hassan tersebut, beliau banyak mendapat sokongan suami dalam menjalankan tugas-tugas kebajikan.
“Secara peribadinya saya suka melihat suami berdakwah dan ia membuat saya terpanggil untuk berdakwah sekali. Suami seorang yang sangat sibuk, namun apabila beliau di rumah, saya akan pastikan masa dikhususkan untuknya seorang,” ujar ibu kepada tujuh cahaya mata itu.
Mengakhiri sesi ini, penulis sempat bertanya nasihatnya berkaitan penjagaan ibu bapa berusia. Hajah Widad tersenyum lembut sambil berbicara, “Bagi anak-anak yang masih mempunyai ibu dan bapa, ketahuilah bahawa mereka itu adalah lorong-lorong syurga kita.
Mereka sebenarnya tak memerlukan kita, tapi kitalah yang memerlukan mereka. Kalau berlaku ketidaksefahaman, cuba bersabar dan mengalah dalam apa saja perkara. Melainkan jika ia menyimpang dari akidah, barulah kita berhak berkata tidak.
Ingatlah bahawa rumah orang-orang tua ini bukannya tempat transit mereka untuk menunggu mati. Semua orang ada kekurangan, begitu juga diri kita dan ibu bapa kita. Yang muda mesti menjaga yang tua. Yang berupaya membantu yang kurang upaya,” nasihat Hajah Widad sambil menegaskan bahawa jika wujud pengabaian waris terhadap ibu bapa, aduan polis perlu dibuat agar tindakan dapat diambil.
Hajah Widad juga mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan daripada masyarakat untuk terus menghidupkan kewujudan pusat jagaan seperti ini umpamanya berupa dana, bantuan bahan asasi dan makanan kering.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!