Baru-baru ini tersebar wajah cantik adik-beradik perempuan Ratu Rock Malaysia, Ella Aminuddin. Keempat-empat adik-beradik kandung ini tampak cukup anggun berhijab dan menerusi gambar berkenaan juga jelas terserlah keayuan masing-masing. Sampai menjadi bualan peminat dan tular di media sosial kebelakangan ini.
Daripada perkongsian Ella di Instagram miliknya, foto tersebut diambil ketika mereka keluar makan tengah hari bersama-sama. Rata-rata peminat berpendapat anak kepada pasangan Allahyarham Aminuddin dan Yang Asmah Yong ini memiliki raut wajah yang hampir sama. Malah, ruangan komen di Instagram Ella dihujani dengan kata-kata pujian peminat dan rakan artis.
Dalam gambar viral itu, Ella memakai tudung berwarna biru sementara Jojie dan Datin Saidatulnisa mengenakan hijab merah jambu dan kelabu. Manakala seorang lagi kakak kesayangan Ella, Shahrizan yang duduk di sebelahnya memakai tudung rona hijau lembut.
Adik-beradik Ella AminuddinKakak Ella, Datin Saidatulnisa
Ella atau nama penuhnya Norzila Aminuddin merupakan anak kelima daripada enam beradik dan kini berusia 54 tahun. Kakak sulungnya, Datin Saidatulnisa Aminuddin ialah seorang jurusolek ternama dan solekan beliau sering menjadi buruan golongan VIP. Antara individu kenamaan yang pernah ditatarias Datin Saidatulnisa ialah DYMM Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.
Ads
Salah seorang kakak Ella yang dilihat sentiasa menemaninya ke mana saja ialah Jojie Aminuddin. Jojie atau nama sebenarnya Rozita Aminuddin kini berusia 55 tahun dan mempunyai seorang anak angkat comel dikenali sebagai Maryam.
Seorang lagi kakak Ella ialah Shahrizan Aminuddin. Berbanding Datin Saidatulnisa dan Jojie, Shahrizan seorang yang low profile. Ella juga mempunyai seorang adik lelaki bernama Azahari Aminuddin atau dikenali sebagai Korie yang turut bergelar penyanyi.
Ads
Pembabitan Ella dalam dunia hiburan bermula sejak tahun 1985 dan sehingga ke hari ini Ella berjaya mempertahankan gelarannya sebagai Ratu Rock Malaysia. Pada tahun 2012, Ella sah bergelar isteri kepada seorang juruterbang bernama Azhar Husaini Ghazali.
Ads
Disifatkan seorang selebriti yang manja dan lemah-lembut, penampilan Ella dikagumi ramai sejak dia memutuskan untuk berhijab pada tahun 2016. Pelantun lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah ini juga mempunyai seorang anak angkat, Shanome Az Zahra.
Mengenali Faizul Rohban, seperti mengimbau kembali kenangan penulis saat bertemu kakaknya, Allahyarhamah Faziani Rohban. Kemesraan dan semangat pengasas kosmetik Dnars itu seakan mengalir semula, dari DNA yang sama, cuma melalui orang yang berbeza.
Tenang menyapa penulis, Faizul atau nama penuhnya Mohd Faizul Rohban Ahmad tidak kekok bercerita pengalaman hidup beliau sebelum bergelar ahli perniagaan Beauty Kaseh.
Sejak dilancarkan sekitar 2013, nama produk minuman kesihatan, Manja Kaseh dan Arjuna Kaseh mula hebat diperkatakan. Di sebalik kejayaan itu, inilah orangnya yang bertungkus-lumus memajukan bisnes yang diilhamkan oleh kakak sendiri, Hajah Faziani Rohban.
Lelaki segak asal Kelantan dan berusia 38 tahun itu kini merupakan Pengarah Urusan FR Qaseh Marketing Sdn Bhd.
“Betul, bisnes Beauty Kaseh ditubuhkan hasil ilham dan kerja keras kakak saya yang pada waktu itu memerlukan seorang jurucakap untuk produk yang dilancarkan.
Arwah meminta isteri saya, Norbaizura Ibrahim untuk membantunya sebagai jurucakap kemudian mempelawa saya sekali untuk menjadi jurucakap bersama. Saya ingat lagi kata-katanya masa tu…
‘Joe, aku nak mu dengan Zura jadi jurucakap bersama. Aku yakin mu ada kelebihan untuk bercakap.’
Bermula dari situlah penglibatan saya dan isteri menjadi jurucakap sepenuh masa. Namun pada tahun 2017, kira-kira dua tahun sebelum kematian arwah, dia membuat keputusan untuk melepaskan perniagaan Beauty Kaseh dan menyerahkan syarikat ini sepenuhnya kepada saya tanpa perlu membayar apa-apa.
Hanya ambil dan uruskan saja.” Faizul Rohban
Sebagai seorang adik, pemergian kakak tersayang pastinya meninggalkan banyak kenangan. Faizul tidak terkecuali.
“Saya tak pernah rasa ralat bila orang kaitkan saya dengan perniagaan arwah. Memang betul asalnya bisnes ini adalah hak arwah, dan setiap kali orang bertanya, saya juga akan mengaitkan arwah kerana mana mungkin saya mahu melupakan orang yang membawa saya ke tahap ini.
Arwah banyak berkorban tenaga, idea, wang ringgit dan doa untuk membawa kejayaan kepada saya. Setiap kali orang tengok saya dan tanya, ‘Adakah awak adik pengasas Dnars?’ maka jawapan saya adalah ‘Ya!’
Darah dan semangat arwah sentiasa mengalir dalam badan saya.” Faizul Rohban
Pencapaian Beauty Kaseh yang membanggakan turut mengangkat nama Faizul Rohban sebagai penerima Best Men’s Halal Beauty Award di acara Nona Superhero Award 2021.
Meskipun maju dan menerima pengiktirafan yang tinggi, namun tak sedikit pun wujud rasa riak, sebaliknya Faizul semakin berazam mahu membawa nama Beauty Kaseh ke peringkat global.
“Sebenarnya saya mula berbisnes selepas tamat SPM 2002. Masa tu saya ambil alih bisnes kedai makan arwah abah iaitu sebuah kedai menjual roti tempayan (roti nan) yang tak dikenali. Dengan jualan kedai yang bagaikan hidup segan mati tak mahu, saya ubah landskap bisnes itu ke arah yang lebih baik.
Percaya tak, saya pernah promosikan kedai saya tu dengan menyelit flyers di dalam akhbar-akhbar? Saya masih ingat saat tu, hanya ada sebuah motosikal saja. Itulah kenderaan saya untuk membawa segala bahan mentah.
Pernah saya bawa seguni gandum di atas motosikal dan tiba-tiba talinya putus lalu berteraburlah gandum di atas jalan. Tanpa rasa malu saya turun dan ambil balik gandum-gandum tu. Pernah juga guni bawang bocor, pun saya turun dan kutip bawang-bawang di atas jalan raya.
Dulu saya hanyalah seorang budak penebar roti canai. Arwah abah buat roti dan saya buat roti canai. Selepas abah meninggal dunia pada tahun 2010, tinggallah saya seorang menguruskan kedai sambil dibantu oleh adik perempuan dan adik lelaki saya yang masih bersekolah waktu tu.
Pada masa tersebut, saya tiada impian nak usahakan bisnes produk lagi, sekadar fokus mempertahankan bisnes arwah abah saja.
Sehinggalah pada tahun 2013, arwah kakak telah membawa saya ke pentas perniagaan Beauty Kaseh ini.” Faizul Rohban
ARWAH KAKAK
Tekad mahu berjaya dan mengubah nasib dirinya, Faizul kini sedang melanjutkan pengajian Ijazah Pengajian Perniagaan di sebuah IPT. Impiannya besar, mahu membawa jenama Beauty Kaseh ke tahap global!
“Segalanya memerlukan perancangan rapi termasuk dokumen yang lengkap. Kerana itu kami telah mula bergerak ke arah ini sejak dari tahun 2019 lagi. Selain itu, kami juga memiliki sebuah kilang kosmetik yang akan beroperasi tak lama lagi.”
Menyedari betapa kuatnya persaingan dan cabaran pandemik yang melanda dunia, Faizul bingkas memperkasakan dirinya agar lebih dinamik dan berdaya saing.
“Hari ini media sosial bergerak pantas dan wujud ramai founder yang mencari ejen untuk produk mereka. Bersandarkan kekayaan yang dimiliki, segalanya ditayang dengan alasan supaya ejen lebih terangsang.
Tapi saya yakin untuk merangsang minda manusia agar berjaya, cara sebenar ialah dengan memberi ilmu perniagaan yang betul. Bukan beri khayalan.
Di Beauty Kaseh, saya lebih suka menghasilkan produk yang berkualiti serta menjalani R&D yang mantap berbanding menghasilkan contents yang tidak bermanfaat.
Prinsip saya mudah. Biar lambat tetapi berkualiti. Sebagai ahli perniagaan, kita mesti bergerak seiring dengan realiti yang sebenar serta pengalaman yang mematangkan kita.” Faizul Rohban
Menjadikan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sebagai idola, Faizul juga tidak menafikan bahawa banyak sifat-sifat arwah kakaknya yang dicontohi untuk berjaya.
“Arwah adalah seorang yang tidak sekali-kali akan kalah pada keadaan. Apabila dia kata ya, maka tidak ada apa yang boleh mengatakan tidak. Dia akan berusaha sungguh-sungguh untuk mencapainya.
Satu hari kami berjumpa di airport, saya bagi kad bisnes saya yang baru kepada arwah. Dengan spontan arwah jawab, ‘Satu masa nanti mu akan berjaya sebab mu kreatif. Tapi dengan syarat jangan putus asa.’
Memang arwah kakak selalu berfikir untuk memajukan bisnes saya. Dua minggu sebelum nahas yang menimpa arwah, dia telefon isteri saya untuk berpesan, jagakan kelapan-lapan anaknya dengan sebaik mungkin.
Arwah mahu saya uruskan kilang dia kerana dah penat. Jarang dalam hidup dia yang dia katakan dia penat. Waktu tu kami tak perasan ini pesanan terakhirnya…” Faizul Rohban
Kenangan paling manis buat Majalah Nona, ketika bertamu ke mahligai indah Allahyarhamah Faziani Rohban di Tumpat, Kelantan. Mesra dan amat menyenangkan, sebak pula tonton video ni…
IMPIAN
Tidak mahu terus terbawa-bawa dengan kesedihan, kisah peribadi Faizul pula menjadi topik sembang kami. Agaknya bagaimanalah cara membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga di rumah?
“Sebenarnya dua perkara ini penting dalam hidup saya. Isteri dan anak-anak kerana itu saya akan pastikan setiap Jumaat kami berada di rumah bersama-sama. Kalau tidak outstation, saya sentiasa berada di rumah untuk makan, solat berjemaah dan beriadah sekeluarga.
Selain itu, ada beberapa hari yang saya akan pastikan hadir ke majlis pengajian kitab dan tafsir Al-Quran di masjid. Itulah cara saya melepaskan stres dalam hidup saya.
Biasanya bila saya lemah dan down, saya akan pujuk diri saya bahawa ini semua adalah ujian dan cabaran yang Allah berikan agar kita lebih kuat. Tanpa ujian, manusia sering akan merasa selesa tetapi dengan ujian, kita akan rasa lebih diperhatikan.” Faizul Rohban
Sama seperti tokoh perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar yang menjadi idolanya, lelaki berkulit cerah ini berkongsi hasrat yang sama iaitu mahu membangunkan ekonomi ummah tanpa menonjolkan kekayaan.
“Satu lagi impian yang belum tercapai ialah ingin melihat produk-produk Beauty Kaseh berada di dalam rumah setiap Keluarga Malaysia seperti minuman, bedak, kosmetik dan lain-lain. Saya yakin semua ini pasti akan berhasil suatu hari nanti, insya-Allah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Fenomena drama sinetron ‘Bawang Putih Bawang Merah’ suatu ketika dulu cukup terkesan hingga ke hari ini. Gandingan mantap Nia Ramadhani sebagai Bawang Merah dan Revalina S Temat sebagai Bawang Putih ketika masing-masing masih bergelar anak dara turut membuatkan ramai jejaka di Malaysia tertarik dengan kecantikan mereka berdua. Seiring peredaran zaman dan peningkatan usia, Revalina yang kini memegang status isteri dan ibu dua anak masih terserlah dengan aura tersendiri.
Mendirikan rumah tangga pada 15 Mac 2015 dengan pilihan hati, Rendy Aditwa Gunawan … Revalina yang ketika zaman gadisnya sering berpakaian seksi memilih untuk tampil lebih sopan dan berhijab selepas pulang mengerjakan umrah sekitar tahun 2017 lalu. Dengan gaya muslimah yang elegan, ibu kepada Rihga Sadiwasakti Rabbani ini juga tetap kelihatan cantik meskipun hanya bergaya dengan tudung bawal!
Awal Januari 2019, Revalina selamat melahirkan anak keduanya iaitu Rajendra Satya Razzani yang dilahirkan secara pembedahan. Walau sudah beranak dua namun selebriti
Indonesia ini tetap bijak menjaga penampilan diri.
Memperlahankan aktiviti seni sejak sudah berumah tangga dan mempunyai anak, Revalina bagaimana pun aktif menjana pendapatan sendiri melalui beberapa perusahaan yang dijalankan. Antaranya bisnes pakaian kanak-kanak, Tifle’s by Revalina S Temat.
Terbaru, wanita berusia 33 tahun ini juga dilihat rancak mempromosikan hijab di bawah jenama Revalinastory by Revalina S Temat. Paling mencuri tumpuan setiap kali melihat Revalina adalah gaya muslimahnya.
Mengintai fesyen pilihan aktres ini jelas menggambarkan peribadi Revalina yang gemar memakai jubah dan bertudung labuh. Memang serba sederhana… dengan menggayakan tudung bawal dan solekan ringkas, ia sudah memadai untuk menyerlahkan kelembutan wajah Revalina.
Biarpun agak jarang muncul di kaca TV, kelibat selebriti cantik ini sering ditemui dalam majlis sosialit terutamanya ketika acara pelancaran produk kosmetik muslimah, kanak-kanak-kanak dan hijab.
Sumber: Instagram Revalina Temat
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Saat kebanyakan selebriti berjuang mengharungi pandemik Covid-19 yang serba mencabar ketika ini, perjalanan kerjaya Noor Neelofa Mohd Noor terus gah bagai tiada halangan.
Saban tahun ada sahaja kejayaan membanggakan yang diraih selebriti cantik ini yang bukan sekadar mengharumkan nama negara bahkan mengangkat martabat wanita muslimah di persada dunia.
Terbaharu, satu lagi pengiktirafan besar diberikan kepada Neelofa apabila dia dilantik sebagai Duta Rantau Asia Tenggara Pertama bagi jenama produk kecantikan Perancis, Lancome! Luar biasa aura pengacara popular ini.
Lebih manis, Neelofa bukan sahaja menjadi rakyat Malaysia pertama mewakili jenama tersebut di peringkat Asia Tenggara malah menjadi wanita berhijab pertama yang menerima pelantikan berkenaan. Dia yang ditemani ibu tersayang, Datin Noor Kartini dan kakaknya, Noor Nabila dilihat menitiskan air mata kegembiraan ketika pengumuman berita gembira itu dibuat.
Mengulas mengenai statusnya sebagai Duta Lancome bagi rantau Asia Tenggara, Neelofa berkata perkara tersebut diketahuinya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu. “Saya dapat berita ini ketika tempoh PKP lepas. Wakil jenama Lancome datang ke rumah dan menangis terharu dengan pelantikan ini.
Sebelum ini, kita tahu wajah wanita berhijab Asia Tenggara tak pernah dipandang. Wakil jenama ini terharu kerana selebriti Malaysia dipilih menjadi duta untuk rantau Asia Tenggara. Sudah tentu, ia suatu perkara yang besar. Sejujurnya, saya tercengang waktu itu dan bertanya sama ada pemilihan ini sudah muktamad atau sebaliknya.
Ikutkan waktu penggambaran video sebagai Duta baru tempoh hari pun saya belum rasa apa-apa lagi tapi bila diumumkan secara rasmi di depan rakan-rakan media dan ahli keluarga yang hadir, saya akui tak dapat menahan daripada mengalirkan air mata,” ujarnya sambil tertawa.
Mengimbas kembali pembabitan Neelofa bersama Lancome sejak tahun 2017, personaliti dan pengaruh yang dimiliki usahawan Naelofar ini menjadi antara faktor utama dia dipilih sebagai Duta. Apatah lagi Neelofa sememangnya terkenal sebagai seorang selebriti yang bijak, cantik dan lantang menyuarakan idea baharu.
“Memecahkan tradisi bukanlah perkara mudah. Apabila menjadi orang pertama dalam sesuatu, orang akan memberi pandangan dari segi pujian dan kecaman berbeza. Tetapi, perkara menarik adalah perasaan teruja yang dilalui.
Menjadi wanita berhijab pertama mewakili rantau Asia Tenggara bukan sahaja membuatkan saya bangga sebagai rakyat Malaysia malah orang Islam. Ini kerana untuk produk antarabangsa memandang wanita hijab untuk mewakili jenama mereka di peringkat Asia Tenggara sukar dijangka. Ia juga bermakna mereka memberi perhatian kepada pasaran orang Muslim.”
Dalam pada itu, Neelofa turut mendedahkan akan menjadi wajah kempen Aidilfitri 2021 yang tidak hanya untuk pasaran Malaysia tetapi juga di Singapura dan Indonesia. “Ini adalah kali pertama Lancome mengangkat perayaan Hari Raya. Sebelum ini mereka ada kempen Krismas dan Tahun Baharu Cina tetapi tidak Aidilfitri.
Jadi, ia satu kebanggaan buat saya apabila Lancome mengangkat perayaan orang Islam. Saya nampak pembaharuan ini adalah sebagai satu jihad apabila meletakkan nama Islam dan wanita berhijab di mata dunia. Saya berharap jalinan kerjasama ini boleh mendapat keberkatan daripada-Nya.”
Tahniah Neelofa! Semoga terus melangkah maju di persada dunia dan memberi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.