Walaupun penampilannya keanak-anakan, namun pemilik kafe ini mempunyai visi yang jelas dalam mengejar matlamat perjalanan perniagaan.

IKLAN

Menghabiskan masa remaja di depan ketuhar tidak disia-siakan Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal, 26, demi merealisasi semangat jiwa muda mengejar impian.

Rasa kasih yang tidak pernah putus terhadap kanak-kanak serta mahu sering berdamping dengan mereka telah mencetus gagasan pusat belajar memasak untuk kanak-kanak dan kafe yang diberi nama Gula Cakery.

Bagaimanakah anda boleh mencebur diri dalam perniagaan dalam usia yang muda?
Menceburi diri dalam dunia perniagaan datang daripada sikap saya yang tidak tahu duduk diam. Sejak usia 16 tahun, saya sudah pandai mencari duit poket dengan membuat kerja sambilan seperti bekerja di Nando’s, Topshop dan pernah menjadi pembantu peribadi di sebuah syarikat di kota raya.

Sebaik tamat sekolah menengah saya terus cuba bergiat aktif dalam perniagaan secara kecil-kecilan. Mula berjinak-jinak berniaga dengan menjual kek di flea market dan pusat membeli-belah ketika itu.

Bagaimanakah mendapat idea untuk membuka kelas masakan untuk kanak-kanak dan kafe sekali gus?
Saya memperoleh ijazah pendidikan awal kanak-kanak dalam masa yang sama suka membuat kek. Tidak mahu melepaskan kedua-duanya maka saya rangkumkan menjadi satu dengan mengajar kanak-kanak membuat kek.

Hendak mengajar di rumah seperti tidak sesuai dan saya memang mempunyai impian untuk membuat sekolah yang betul-betul untuk kanak-kanak belajar membuat kek. Malah orang dewasa juga tidak dipinggirkan.

Gula Cakery Cafe pula terbentuk apabila ramai pelajar saya sering memuji masakan ibu di dalam kelas. Pada saya tidak salah untuk memperkembangkan sayap perniagaan dengan membuka kafe ini.

Suka Kanak-Kanak & Buat Kek, Jom Kenali Pemilik Kafe Gula Cakery Yang Masih Muda Belia Ini

IKLAN

Apakah matlamat anda dalam perniagaan ini?
Saya mempunyai matlamat untuk membekalkan pendekatan pembelajaran holistik kepada kanak-kanak dan home bakers.

Manakala untuk kafe pula saya mahu menyediakan ruang yang selesa buat ibu bapa dan anak-anak mereka menikmati makanan yang disediakan. Dalam masa yang sama kanak-kanak boleh bermain di ruang yang disediakan tanpa perlu pantauan ketat oleh ibu bapa.

Apakah cabaran memulakan perniagaan pada usia yang muda?
Apa sahaja bidang yang kita ceburi pasti akan ada cabaran. Bagi saya cabaran itu tidak melihat usia. Setiap cabaran yang datang saya terima dengan positif dan mengambilnya sebagai salah satu pembelajaran berguna dan membantu memperkenalkan jenama kita di mata masyarakat.

IKLAN

Pernah juga diperlekehkan oleh orang lama dalam dunia perniagaan disebabkan usia setahun jagung ini tetapi, saya yakin orang yang lebih berusia mempunyai pengalaman lebih. Saya berharap dapat belajar daripada mereka yang lebih berpengalaman dalam membina perniagaan ini.

Siapakah pendorong kuat dalam mencapai kejayaan ini?
Keluarga adalah pendorong utama saya mengecap kejayaan ini. Walaupun mereka sama seperti saya langsung tidak mempunyai ilmu dalam perniagaan tetapi sentiasa menyokong apa sahaja yang dilakukan.

Ibu dan bapa saya mempunyai latar belakang dalam bidang latihan (training), abang pula dalam bidang rekaan dalaman manakala kakak pula seorang akauntan. Garapan kepakaran mereka banyak membantu saya dalam perniagaan untuk terus mengorak langkah ke hadapan.

Pada pandangan anda mengapa wanita perlu mempunyai kerjaya sendiri?
Pada pandangan saya wanita masa kini memang perlu bekerja. Bekerja yang dimaksudkan tidak semestinya bekerja di pejabat.

Wanita sekarang beruntung kerana mempunyai banyak peluang bekerja dari rumah. Bekerja di rumah atau di pejabat tetap sama iaitu untuk belajar berdikari dan membantu menjana pendapatan keluarga. Hamizatul Maizan Mohamed

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI