Kehadiran anak sebagai penyeri rumah tangga menjadi dambakan setiap pasangan yang berkahwin. Cepat atau lambat pasti tersimpan hasrat untuk mendengar tangis dan tawa bayi sebagai pengukuh ikatan suami isteri. Namun, bukan semua pasangan beruntung memiliki cahaya mata mengikut perancangan sendiri. Berbagai-bagai cara dan usaha telah dilakukan namun, tidak ada langsung petanda bakal hamil. Bagaimanakah cara yang paling berkesan untuk hamil?

Kebanyakan pasangan yang berkahwin memperoleh zuriat tanpa sebarang kesukaran serta tidak perlu menunggu masa yang lama. Namun begitu, 10 hingga 15 peratus pasangan akan mengalami masalah untuk hamil.

IKLAN

Ramai pasangan hanya mula merancang untuk mendapat zuriat pada usia yang lewat disebabkan faktor kerjaya. Kajian menunjukkan, kadar kesuburan wanita menurun dengan peningkatan usia. Wanita berusia melebihi 35 tahun mempunyai kadar kehamilan yang berkurangan sebanyak separuh daripada wanita muda berumur kurang dari 26 tahun.

Manakala yang berkahwin lebih awal ada kalanya melambatkan usaha pemeriksaan dan rawatan kerana malu untuk mendapatkan rawatan atau salah anggap terhadap kos rawatan yang membebankan.

Pasangan yang bermasalah mendapat zuriat sering kali merasa tertekan dengan soalan dan pertanyaan keluarga dan rakan-rakan, “Kamu ni bila lagi…adik kau pun dah ada dua orang anak” sindir sinis emak mertua. Malah ada yang mengalami stres dan kemurungan serta tidak sanggup pulang ke kampung menghadapi keluarga.

Faktor-faktor sukar hamil

Masyarakat kita sering menyangka faktor utama tidak boleh hamil ialah rahim yang lemah. Wanita pula selalunya dipersalahkan kerana menjadi punca utama dan dilabelkan sebagai mandul.

Menurut kaedah perubatan, faktor penyebab kepada ketidaksuburan wanita adalah;

  • masalah berkaitan ovulasi (penghasilan telur)
  • saluran falopio yang tersumbat

Punca utama masalah ovulasi ialah obesiti dan sindrom polycystic ovarian yang menyebabkan hormon yang tidak seimbang selain penyakit kronik dan pembedahan pada ovari.

Saluran falopio boleh tersumbat atau rosak disebabkan endometriosis, jangkitan penyakit kelamin (STD) atau pembedahan pelvis sebelumnya.

Faktor yang berpunca daripada pasangan lelaki semakin meningkat. Ini disebabkan oleh jumlah dan kualiti sperma yang kurang. Punca utamanya ialah merokok dan obesiti. Selain itu masalah hormon, demam campak, kecederaan dan terdedah kepada bahan kimia dan radiasi juga menyumbang kepada masalah sperma.

Walaupun sebahagian pasangan tiada punca khusus yang dapat dikenal pasti (unexplained infertility) rawatan kesuburan masih diperlukan untuk membolehkan wanita tersebut berjaya hamil.

Langkah awal – Pemeriksaan kesihatan

Ketidaksuburan ditafsirkan sebagai kesukaran untuk hamil walaupun telah melakukan hubungan kelamin secara tetap dengan tidak menggunakan kaedah pencegah kehamilan selama dua tahun berkahwin.

IKLAN

Pasangan disarankan untuk mendapatkan nasihat dan pemeriksaan daripada pakar perubatan selepas setahun atau selewat-lewatnya dua tahun berkahwin untuk mengesan masalah dengan lebih awal. Kelewatan boleh menyebabkan kadar kesuburan wanita semakin menurun atau memburukkan lagi keadaan penyakit peranakan yang sedia ada.

Ujian-ujian asas boleh dijalankan termasuklah ujian berkaitan hormon wanita serta analisa air mani bagi lelaki. Ujian imbasan ultrasound membolehkan masalah pada rahim seperti fibroid, dinding dalam rahim dan juga masalah pada ovari seperti sista dapat dikenal pasti. Ujian lanjutan melalui  HSG (histerosalpingogram) atau pembedahan kecil laparoskopi mungkin juga diperlukan untuk mengesan saluran falopio yang tersumbat.

Kaedah rawatan

Kemajuan rawatan perubatan kini membolehkan pasangan berjaya mendapat zuriat dengan lebih mudah. Kaedah rawatan yang sesuai mungkin berbeza di antara pasangan kerana ianya bergantung kepada punca masalah kesuburan tersebut.

Rangsangan perkembangan telur dan ovulasi dengan ubat-ubatan kesuburan seperti clomiphene atau suntikan follicle stimulating hormone (FSH) beserta pemantauan dengan imbasan ultrabunyi boleh dilakukan.

IKLAN

Namun untuk meningkatkan kadar keberkesanan rawatan Intrauterine Insemination (IUI) yang melibatkan inseminasi sperma suami ke dalam rahim (permanian beradas) adalah disyorkan. Rawatan ini tidak menyakitkan dan melibatkan kos yang sederhana.

Sesetengah pasangan pula mungkin memerlukan teknik perubatan yang lebih canggih. Teknik in-vitro fertilization ( IVF – bayi tabung uji) melibatkan telur (ovum) disenyawakan di dalam makmal dan embrio yang telah terbentuk dimasukkan semula ke dalam rahim. IVF sesuai untuk wanita berusia 35 tahun ke atas terutama kepada mereka yang telah sekian lama berkahwin dan tidak mempunyai masalah saluran falopio tersumbat atau kualiti sperma yang teruk.

Prosedur ini menjadi semakin mudah dan tidak memerlukan masa yang panjang.

Prosedur TESE/TESA pula membolehkan sperma diperoleh daripada testis melalui pembedahan kecil. Kaedah ini diperlukan untuk pasangan lelaki khususnya yang mengalami masalah tiada benih (azoospermia – sungguhpun ada air mani).

Tip meningkatkan kesuburan

  • Pilih amalan hidup yang sihat. Lakukan senaman dengan lebih kerap untuk mengekalkan berat badan yang ideal bagi membantu kitaran haid dan membolehkan ovulasi berlaku secara lebih teratur.
  • Pengambilan makanan yang sihat dan seimbang membolehkan badan dan organ berfungsi secara optimum. Makanan tambahan atau suplemen mungkin diperlukan sekiranya jadual pemakanan tidak teratur. Makanan berlemak, makanan ringan dan makanan segera wajar dielakkan.
  • Berhenti merokok untuk membolehkan peningkatan jumlah dan kualiti sperma.
  • Hindar diri dan pasangan daripada penyakit jangkitan seksual (STD).
  • Tingkatkan hubungan kelamin dua hingga tiga kali seminggu semasa waktu subur (hari ke12 hingga 16) untuk meningkatkan peluang kehamilan.
  • Elak daripada kebiasaan memakai pakaian seluar dalam yang ketat atau pergi ke sauna untuk pasangan lelaki.
  • Dapatkan rawatan awal jika kitaran haid tidak teratur atau sakit semasa haid (dysmenorhea) kerana berkemungkinan wanita mengalami masalah hormon tidak stabil atau
  • Berkomunikasi dan berkongsi perasaan dengan pasangan secara berterusan serta mendapatkan sokongan keluarga dan rakan-rakan.
  • Berdoa dan berharap agar usaha anda mendapat zuriat dipermudahkan. Mudah-mudahan berkat kesabaran membuahkan kejayaan.

 

 

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI