Alhamdulillah, berkat pengorbanan dan kasih sayang tidak berbelah bagi anak istimewa Edry Abdul Halim dan isteri semakin menunjukkan perkembangan positif. Mengambil inisiatif berhijrah ke Manchester demi memberi pendidikan terbaik buat anak autismnya iaitu Emery, bekas penyanyi kumpulan KRU ini berkata usaha tersebut mula berhasil.
IKLAN
Jelas adik kepada Dato’ Norman dan Dato’ Yusry ini, anak ketiganya itu sudah mampu mengurus diri. Walau belum boleh bertutur, pasangan suami isteri tersebut bagaimana pun gembira dengan keadaan anak tersayang.
Memetik kenyataan Edry kepada media awal Mac lalu, “Sebaik berpindah ke Manchester, kami mula kurangkan jangkaan terhadap perkembangan Emery.
Kami tidak lagi tunggu bila cikgu akan mengajar dia bercakap. Sebaliknya, kami terima seadanya keadaan anak kami.
Lagipun, apa yang diajar sekolah di UK lebih kepada asas kehidupan seperti penggunaan tandas, keselamatan di dapur, melintas jalan dan lain-lain.”
Tambahnya lagi, “Sebelum ini, Emery tidak suka berjalan. Sebaliknya, lebih suka duduk kereta sorong anak kecil, walaupun sudah besar. Tetapi sejak belajar di sini, dia sudah mula berjalan. Emery boleh menguruskan diri sendiri sedikit sebanyak.
Itu sudah cukup membuatkan saya dan isteri gembira kerana kami mahu melihat dia pandai berdikari. Berikutan Emery belum boleh bercakap, kami berkomunikasi menggunakan aplikasi. Dia menaip apa yang dimahukan melalui aplikasi itu.”
IKLAN
Selain Emery, Edry dan Milia dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Emil berusia 23 tahun, Edylia, 20 tahun dan Elya, 13 tahun.
Mengulas pertanyaan jika dia mahu terus menetap di bumi UK, pemuzik ini bagaimana pun belum merancang untuk kembali ke Malaysia memandangkan Emery akan tamat sekolah dalam tempoh empat tahun.
IKLAN
“Saya tidak nafikan hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Jadi, lebih baik di negeri sendiri. Perancangan untuk pulang ke Malaysia ada, tetapi bukan pada waktu terdekat kerana Emery masih belajar.
Dua anak saya yang dewasa sudah bekerja dan belajar di kolej. Jika mereka ingin terus menetap di Manchester, saya tiada halangan kerana mereka sudah besar. Itu pilihan mereka.”
Bergelar kerabat raja sama sekali tidak menjadikan aktor Bollywood, Saif Ali Khan meninggi diri. Perkara ini diakui sendiri oleh isterinya, Kareena Kapoor yang kerap memuat naik perkembangan keluarga mereka di media sosial. Antaranya sifat humble dalam bergaya.
Bintang Bollywood terkenal, Kareena Kapoor suatu ketika dahulu jarang memuat naik kisah peribadinya. Namun selepas mendirikan rumah tangga bersama Saif Ali Khan, wanita jelita berusia 42 tahun itu dilihat semakin terbuka dan tidak lokek berkongsi kisah kebahagiaan mereka sekeluarga.
Laporan dari bollywoodshaadis.com menyebut bapa Saif Ali Khan, Mansoor Ali Khan Pataudi adalah seorang bekas kapten kumpulan kriket di India dan juga Nawab Pataudi iaitu pemerintah Pataudi dari era 1952 hingga 1971.
Selepas Mansoor Ali Khan meninggal dunia, Saif Ali Khan telah dinobatkan sebagai Nawab Pataudi. Beliau adalah putera ke-10 yang masih mempunyai darah biru di India.
Mula menjalin hubungan pada tahun 2007, pasangan tersebut kemudiannya mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga pada tahun 2012.
Hasil perkongsian hidup, pasangan berkenaan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Taimur Ali Khan dan Jehangir.
Biarpun jarak usia mereka jauh berbeza iaitu 10 tahun, namun Saif, 52 tahun, cukup istimewa dalam hati Kareena.
Perkahwinan Saif yang sebelum ini pernah kecundang di tengah jalan, namun Kareena tidak menjadikan ia sebagai alasan untuk membina bahagia bersama pelakon filem Kal Ho Naa Ho itu.
Terbaharu, menerusi laporan Indian Express, adik kepada pelakon Karisma Kapoor itu mendedahkan sisi peribadi suami kesayangannya itu ketika berada di rumah.
Kareena yang mesra disapa Bebo cukup terkenal suka bergaya. Bahkan, penampilan beliau sentiasa berubah sesuai dengan setiap majlis yang dihadir. Namun berbeza dengan Saif Ali Khan yang dikatakan lebih kasual.
Dalam satu sesi temu bual, Kareena mendedahkan yang suaminya itu tidak mengambil berat soal gaya. Malah, Saif mengenakan pakaian yang sama dan tidak menggantikan seluar trek selama lima tahun.
“Saif memang jenis yang tidak kisah memakai sepasang seluar trek sejak lima tahun lalu. Beliau tidak akan membeli yang baharu selagi saya tidak memberitahunya.
Saif juga sudah memakai baju berlubang semasa di rumah selama lima tahun, namun tidak mengapa kerana beliau suka.” Kareena Kapoor
Jelas bintang Kabhie Kushie Kabhie Gham itu lagi, sikap suaminya yang satu itu tidak mampu diubah oleh sesiapa pun termasuklah pereka gayanya.
“Saif sudah selesa dengan gaya fesyennya sendiri. Justeru, tiada siapa yang boleh mengubah atau memaksa beliau untuk tampil bergaya. Malah, beliau akan memakai lain daripada apa yang dicadangkan oleh penata gaya.
Beliau memiliki gaya dan cita rasa yang sempurna baik dalam berpakaian, reka bentuk dalaman, makanan, buku dan sebagainya. Saif mempunyai kemahiran itu.”
“Tak semua apa yang disuruh atau dikatakan oleh bos itu patut buat!” rungut Hamimah. Beliau tertekan kerana kebelakangan ini selalu diperintah membuat kerja-kerja peribadi yang tak berkenaan tugasan kerjanya.
Pada awal fasa pertolongan, Hamimah mungkin ikhlas tapi lama-kelamaan habit ini mula di luar kawalan. Oh, amat sukar untuk Hamimah berkata No! atau Tidak! kepada bos nya.
Anda harus bertindak bijak agar ketua faham bahawa anda tidak berada di situ untuk melayan permintaan peribadinya. Ini caranya yang boleh dilakukan.
(a) Maklumkan bahawa produktiviti mungkin terjejas
Anda bukan robot yang boleh membuat banyak kerja dan menyelesaikannya dengan cepat. Jadi, anda mesti tahu had anda dan menyampaikannya kepada bos dengan sewajarnya. Jika berdiam diri, maka bos akan beranggapan bahawa anda akan dapat menyelesaikannya. Oleh itu, anda mesti sangat jelas mengenai perkara ini dan membuat bos anda faham bahawa anda hanya boleh bekerja pada tahap tertentu dan jika bos terus meletakkan lebih banyak tekanan, maka anda tidak akan dapat menumpukan perhatian pada pekerjaan dan produktiviti pasti akan terjejas. Ingat kualiti akan terjejas sekiranya dia mencari kuantiti.
(2) Menjelaskan keadaan sambil berkata ‘Tidak’
Apabila anda tidak bersedia untuk memenuhi permintaan peribadi bos anda, maka anda perlu menyatakan hal ini dengan sopan. Ia tidak begitu sukar, anda hanya perlu berkata dengan nada yang rendah, “Saya minta maaf saya tidak akan dapat berbuat demikian.” Anda perlu memberitahunya bahawa anda mempunyai komitmen profesional yang perlu disiapkan pada tarikh yang telah ditetapkan, jika tidak semua tugasan itu mungkin terjejas.
(3) Ketahui kekuatan anda dan bekerjasama dengan sewajarnya
Tidak perlu melarikan diri untuk mengatakan ‘tidak’ kepada bos kerana jika anda tidak tahu bagaimana untuk mengatakan ‘tidak’, maka bersiaplah untuk menerima lebih banyak beban. Anda perlu tahu bila untuk mengatakan ‘tidak’ untuk sesuatu pekerjaan yang mungkin luar batasan kemampuan anda.
Anda harus sedar tentang kekuatan anda. Sesetengahnya sangat baik dengan nombor, manakala sesetengahnya adalah orang yang kreatif, oleh itu, jika orang kreatif diminta untuk bermain dengan nombor kira-kira, maka jelas sekali dia tidak dapat melakukan dengan baik. Itulah sebabnya dia perlu keluar secara terbuka untuk membincangkan kekuatannya dengan bosnya supaya bos memahami. Dalam senario ini, sangat penting untuk mengatakan ‘tidak’ kerana ia akan memberi kesan kepada perkembangan kerjaya anda juga.
(4) Biarkan bos anda tahu sempadan anda
Sukar untuk mengatakan ‘tidak’ kepada bos anda, tetapi jika anda boleh membuat penjelasan yang cukup pantas, bos anda pasti akan dapat menerimanya. Jika ada sesuatu yang anda tidak selesa lakukan, maka anda mesti menyatakannya dengan cara yang kukuh tetapi lembut. Anda boleh tampil dengan sesuatu seperti ‘Saya benar-benar minta maaf, tetapi saya tidak fikir saya selesa dan bagus untuk melakukan pekerjaan ini kerana … ..’ dan kemudian nyatakan apa-apa sebab anda. Keadaan ini mungkin berlaku apabila bos anda meminta anda untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip-prinsip anda yang ada dalam kehidupan, maka anda boleh menerangkannya kepadanya sebaik mungkin.
(5) Apabila kerja berlebihan
Mungkin anda ditugaskan untuk menguruskan tiga projek dan bos tampil untuk menambah satu lagi projek. Minta bos memberikan cadangan dan idea untuk projek baru tersebut. Kemudian persoalkan tarikh bila projek baru itu perlu disiapkan agar bos tahu bahawa anda sudah mempunyai beberapa beban kerja lain dan ini adalah tambahan baru yang mungkin akan tidak dapat disiapkan pada tarikh yang ditetapkan.
(6) Punya sebab sebelum berkata ‘tidak’
Adalah lebih baik untuk anda mempunyai alasan kukuh sebelum berkata ‘tidak’ dengan permintaan bos and. Jika anda merasakan bahawa permintaan bos adalah pelanggaran terhadap hak anda sebagai individu atau kepercayaan budaya anda, maka anda perlu membuat bos anda memahami situasi itu tidak bersesuaian dengan kehendak diri anda. Jika ia adalah sesuatu yang anda tidak suka lakukan, maka anda juga perlu melihat sama ada permintaan yang telah dibuat adalah sah atau tidak dan berada di bawah tugasan kerja anda atau tidak. Apabila menilai permintaan terlebih dahulu dengan alasan yang kukuh, anda akan dapat membuat alasan yang lebih baik untuk mengatakan tidak.
(7) Mencadangkan pilihan lain yang lebih baik
Sekiranya bos anda memberi tugasan di luar pengalaman atau kemahiran anda, jangan mengatakan ‘tidak boleh buat’ dengan pantas. Anda boleh mencuba tetapi cuba cadangkan nama rakan sekerja anda yang lebih baik untuk menguruskan tugasan tersebut. Dengan cara ini, sifat membantu anda akan tergambar di hadapan bos anda. Anda boleh mencadangkan beberapa pilihan lain, sekiranya anda tidak dapat bekerja pada hujung minggu kerana ada komitmen peribadi juga. Daripada bekerja dengan paksa di mana anda tidak dapat memberikan yang terbaik, lebih baik mencadangkan nama seseorang yang dapat memberi komitmen lebih baik.
Bagi yang mengikuti perkembangan selebriti Siti Elizad sudah tentu tahu usaha dapat zuriat yang dilaluinya. Selama ini pelakon ini tidak pernah berselindung usahanya untuk memiliki zuriat.
Wanita yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-38 pada 25 Mei sering berkongsi tentang perjalanannya melalui kaedah persenyawaan in-vitro (IVF).
Foto: Instagram @elizadsharifuddin
Malah wanita yang mempunyai nama sebenar Siti Elizad Mohamad Sharifuddin ini pernah merasai pengalaman mengandung selepas menjalani proses IVF buat kali pertama.
Namun, berita gembira yang ditunggu-tunggu itu hanya mampu bertahan selama seminggu. Walaupun pernah melalui pengalaman yang meruntun hati wanita tetapi sikap yang ada pada wanita ini sangat menyuntik inspirasi.
Foto: Instagram @elizadsharifuddin
Siti Elizad tidak pernah putus asa dan tetap mahu berusaha tanpa mengenal putus asa dalam usaha dapat zuriat serta sentiasa bersangka baik dengan ujian Allah.
Baru-baru ini Siti Elizad telah berkongsi cerita sedang menjalani proses IVF buat kali yang kedua. “Susahnya nak dapat awak ni,” tulis Siti Elizad di laman media sosial milik peribadinya.
Foto: Instagram @elizadsharifuddin
Tambahnya lagi, “Tempat yang sama, harapan yang sama dan insyaallah soon. Journey ke-2. Sedang memilih bulan yang sesuai dan tak busy.
Check dinding rahim dulu pagi ni. Terima kasih doktor,” tulis wanita yang pernah berkorban meninggalkan sementara hobinya menunggang motorsikal berkuasa besar semata-mata ingin memiliki cahaya mata.
Semoga usaha dan doa Siti Elizad akan dimakbulkan oleh Allah SWT dan memberinya peluang untuk bergelar seorang ibu.
Siti Elizad juga pernah berkongsi mendapat sokongan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj tentang perjalanan IVF ini.
Foto: Instagram @elizadsharifuddin
“It really touch my heart with this beautiful call Tuanku. Terharu, terkejut semua ada. Macam mimpi, dapat bercakap dengan Tuanku Permaisuri yang saya sendiri jadikan idola dalam cerita perjalanan IVF saya.
Foto: Instagram @elizadsharifuddin
Sungguhnya, Tuanku Permaisuri sangatlah prihatin dengan kisah saya yang bukanlah siapa-siapa. Tuanku berikan kata-kata semangat, bercerita sendiri tentang pengalaman Tuanku sebanyak 17 kali tempuh perjalanan IVF. Memang menyakitkan. Hanya yang mengalami sahaja yang merasai,” tulis Siti Elizad tahun lalu di laman media sosialnya.