Awas, Jangan Jadi RACUN Dalam Perhubungan! Kenali 5 Kelakuan Negatif Ini

Awas, Jangan Jadi RACUN Dalam Perhubungan! Kenali 5 Kelakuan Negatif Ini

Jangan menjadi racun atau parasit dalam persahabatan, kelak ia akan memakan diri. Pernah dengar istilah toxic people? Ia merujuk kepada individu yang suka menyusahkan dan merugikan orang lain, baik secara fizikal mahupun emosi. Kenali ciri-ciri individu yang tergolong dalam kategori toxic people yang perlu anda ambil tahu.

  • ADA SEMASA SENANG SAJA

Golongan ini tidak ada bersama di saat anda memerlukannya. Tetapi sering mendesak anda untuk menolongnya ketika dia susah. Dia juga akan sering mengungkit setiap pertolongan yang diberikan dahulu.

  • TIADA SIKAP SIMPATI

Individu seperti ini seorang yang negatif kerana dia tidak akan faham keadaan orang lain. Contoh, jika anda berkongsi masalah dengannya, bukan nak dibantu atau disokong tapi sibuk menyalahkan dan menghakimi anda.

  • SUKA MENGAWAL DAN MEMANIPULASI ORANG LAIN

Paling menjengkelkan ialah individu seperti ini suka sangat mengawal, memanipulasi dan mempergunakan orang lain bagi mencapai tujuannya. Golongan ini juga cenderung untuk menipu dan menyakiti hati orang lain.

  • TIDAK MENGAKU SALAH DAN MEMOHON MAAF

Walaupun kesalahannya dah terang lagi bersuluh, tetapi golongan ini susah untuk minta maaf. Sebaliknya menyalahkan orang lain pula. Mereka akan berpura-pura dan cuba mencari simpati serta perhatian kononnya menjadi mangsa play victim.

  • MERENDAHKAN ORANG LAIN

Golongan ini sentiasa cemburu dan iri hati dengan kejayaan orang lain. Malah sering menafikan kejayaan orang lain dek kerana ketidakpuasan hatinya. Tanpa rasa bersalah dia akan membanding-bandingkannya secara negatif dengan orang lain atau dirinya sendiri. Tindakan lebih berani lagi dengan menjatuhkan anda!

 

5 Helah Tangkis Rasa CEMBURU, No 5 Tu Sangat Penting!

5 Helah Tangkis Rasa CEMBURU, No 5 Tu Sangat Penting!

Cemburu tandanya sayang. Cemburu merupakan satu sifat di mana seseorang itu takut kehilangan sesuatu yang amat disayangi. Tetapi cemburu itu perlu ada batasnya, kalau tak dibendung pasti akan mengundang padah. Cemburu antara suami isteri menandakan bukti cinta yang mendalam terhadap pasangan.

Menurut kajian, individu yang cemburu ialah seorang  yang sangat posesif iaitu terlalu mengongkong, sering berasa was-was atau syak wasangka terhadap pasangannya, tidak percaya dan terlalu sensitif. Cemburu terbahagi kepada tiga. Normal iaitu cemburu dalam hubungan suami isteri, Neurotik iaitu cemburu berlebihan tetapi masih boleh dikawal dan Psikotik iaitu cemburu keterlaluan akibat perkara yang remeh.

Ikuti 5 langkah ini bagi mengatasi perasaan cemburu:

  • KENAL PASTI PUNCA

Nilaikan sama ada ia berbaloi untuk dicemburukan. Berbincang dengan pasangan dan luahkan perasaan kepadanya. Perasaan cemburu amat penting dalam perhubungan tetapi kalau tak dikawal dengan baik, ia akan menyebabkan hubungan boleh terputus.

  • PANDANGAN SUDUT BERBEZA

Cuba tempatkan diri anda di kedudukan pasangan. Anda tak boleh hanya melihat sesuatu situasi dari pandangan pihak diri sendiri sahaja. Minta pandangan orang terdekat agar anda dapat membuat keputusan sewajarnya.

  • FOKUS

Fokus terhadap fakta. Bukan pada andaian dan terlalu mengikut emosi. Elak andaian negatif serta buat sedikit kajian mengenai masalah yang timbul. Fakta dapat membantu menyelesaikan masalah anda. Bertenang dan fikirkan sama ada situasi itu benar-benar berlaku atau hanya imaginasi anda sahaja.

  • BERBINCANG

Cara ini paling berkesan bagi mengatasi masalah cemburu terhadap pasangan. Bincangkan dan nyatakan apa yang membuatkan anda cemburu agar pasangan lebih faham dan dapat menyelesaikannya bersama.

  • PERCAYA DAN BERFIKIRAN POSITIF

Sentiasa berfikiran positif dan percaya sepenuhnya terhadap pasangan kerana masalah cemburu sering terjadi akibat tak percaya kepada pasangan lantas menyebabkan seseorang itu mudah berpersepsi negatif.

‘Saya Mahu Lelaki Kaya!’, Betul Ke Wanita Sekarang MATERIALISTIK?

‘Saya Mahu Lelaki Kaya!’, Betul Ke Wanita Sekarang MATERIALISTIK?

Jika melihat wanita muda dan cantik bergandingan dengan lelaki kaya, apa yang pertama kali bermain di kotak fikiran anda? “Ah… Wanita itu semestinya mengejar kekayaan material semata-mata?” “Beruntung sekali dia, di mana mereka bertemu ya?” Memiliki teman lelaki dan suami kaya-raya menjadi impian kebanyakan wanita. Malah wanita yang berkerjaya juga mengakui, “Saya ingin lelaki yang mempunyai pendapatan sama atau lebih besar dari saya. Kerana saya ingin yang terbaik untuk keluarga nanti. Tetapi bukanlah bermakna saya seorang yang pisau cukur!”

Wanita sememangnya menyenangi lelaki yang ‘berkuasa’ kerana anggapan mereka, lelaki begini lebih cenderung percayakan diri, sopan, pintar dan tahu apa yang mereka inginkan dalam kehidupan. Boleh saja anda menghabiskan masa membaca karya buku How To Marry Rich nukilan Ginie Polo Sayles, Sugar Daddy 101: What You Need To Know If You Want to Be a Sugar Baby dari Leidra Lawson. Namun semuanya terserah pada anda… Harus diingat kekayaan tidak bisa membeli segala kebahagiaan!

APA MEREKA MAHU

Biasanya lelaki muda dan kaya berhak untuk mendampingi oleh wanita cantik atau di kalangan mereka yang layak sahaja. Selain cantik, lelaki golongan berdompet tebal ini inginkan wanita yang bersopan-santun budi pekertinya dan pintar mengendalikan sebarang majlis sosial.

Namun ini bukanlah satu-satunya kriteria mutlak, menurut Christine Whelan, PhD penulis Why Smart Man Marry Smart Women, 89% lelaki ini ingin calon isteri yang pintar, berkerjaya dan kalau boleh lebih cerdas dari mereka. Semua kriteria ini adalah lebih penting dari mereka memilih wanita yang cantik, bertubuh seksi tetapi kosong di kepala otaknya.

Lelaki kaya dan muda juga pintar, bukan mereka tidak boleh merasai bila ada wanita berdampingan hanya semata-mata kerana wang ringgit. Layaknya mereka adalah manusia biasa juga, ingin disayangi dan di kasihi dengan sepenuh jiwa. Pada awalnya mungkin tidak kelihatan sikap sebenarnya, tetapi lama-kelamaan si jejaka boleh mengesan segala tingkah laku mereka jika niat untuk menjalinkan hubungan itu tidak jalan benar sebenarnya.

Lelaki kaya juga suka bersuka ria, tambahan wang ringgit bertimbun. Memiliki gadis dan bertukar-tukar pasangan menjadikan mereka lebih gentleman dan bangga. Maknanya jika anda sudah bersedia untuk menjalinkan hubungan bersama lelaki kaya-raya, anda perlulah juga bersedia menghadapi cabaran yang ada.

LELAKI PENUH DRAMA

Komunikasi

Ada lelaki kaya yang percakapannya rendah diri tidak kurangnya penuh rasa ego. Kaji terlebih dahulu mengapa dia sebegitu, ada segelintir yang tiba-tiba jadi kaya akan terbawa dengan sikap ego dan tidak berpijak di bumi nyata.

Sejarah

Mereka memang dari kalangan bangsawan atau berada yang cenderungnya hidup dengan suasana protokol. Segala permintaan harus diikuti tidak sesekali boleh diingkari. Jika salah sendiri, anda hanya perlu tutup sebelah mata dan memaafi mereka. Kecenderungan lelaki kaya hidup penuh drama juga mungkin kerana dikelilingi dan terlalu di manja oleh ibu dan kakak.

Kurang Perhatian

Kebanyakan lelaki kaya ini kesunyian dari kecil, ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya dan mengumpul harta sehingga anak-anak membesar dengan kekurangan kasih sayang. Bila dewasa mereka ingin perhatian lebih dari teman wanita, anda perlu layan setiap rungutan dan permintaan mereka. Sehinggakan golongan ini akan menjadi terlalu cemburu kerana anda adalah hak mereka sahaja, segala tumpuan hanya pada mereka.

“Bukan Anak Pilihan Hati, Tapi Ibunya Yang KuPinang Sebagai Isteri!” Mr. XY

“Bukan Anak Pilihan Hati, Tapi Ibunya Yang KuPinang Sebagai Isteri!” Mr. XY

‘You kata you sayangkan I… Tapi at last you kebas my mother… Ape cite?’

‘Itu dulu Erina… sebelum I jumpa mother you! Please understand me…’ jawab Akmal.

Kali pertama Erina memperkenalkan ibunya padaku, kelu lidah tidak berkata. Degupan jantung semakin pantas, kaku seketika dibuatnya. Kala ibunya bersuara, tutur kata berlapis penuh kelembutan. Keanggunan menyerlah, sifat keibuan cukup membuat kuteruja. Raut wajahnya yang bersih, membuatkan hatiku tenang kala bersamanya.

Inikah namanya cinta pandang pertama? Perasaan yang timbul itu bukanlah kerana nafsu… Ikhlas kukatakan… hati ini terpaut dengan personaliti dan kelembutan jiwa yang ada padanya.

Salahkah aku untuk mencintai wanita yang lebih berusia daripadaku? Ibunya di usia 42 tahun… anak baru sahaja melangkah usia 22 tahun dan aku bukanlah terlalu muda sudah melewati usia 31 tahun. Beza usia antara kami, 11 tahun.

Bagiku tidak ada salahnya bukan… Kesilapannya hanya kerana pada awalnya aku melayan perasaan kasih sayang terhadap anaknya Erina tetapi di hujung perhubungan itu aku merasakan diri ini lebih serasi dan mencintai ibunya.

Mengenali Marissa, ibu Erina membuatkan aku benar-benar menjadi seorang lelaki sejati. Rasa bertanggungjawab dan kematangan dalam hidup, membuatkan aku cukup dihargai. Inilah wanita yang mungkin selama ini dicari dan aku rasakan sifat-sifat yang ada pada Marissa tentu sahaja setiap lelaki sentiasa mendambakannya. Mungkin kerana kematangan usia dan pengalaman yang ditempuhinya setelah kematian suami, membuatkan Marissa memiliki segalanya.

Bila difahami sebenar-benarnya tentang diri ini, aku suka wanita yang berdikari, berkarisma, lemah lembut, penyayang dan menyerlah aura keanggunannya. Seperti aku katakan tadi, hubungan yang terjalin ini bukanlah berlandaskan nafsu…

Cita rasa lelaki kadang-kadang mungkin berbeza, samalah keadaannya bila wanita muda gilakan lelaki berusia. Mungkin sahaja mereka inginkan lelaki berusia kerana kematangan mereka, mempunyai sifat bertanggungjawab selain dari wang ringgit!

Pada awalnya, semuanya agak canggung. Merissa tentu sahaja enggan menerima aku. Ibu mana yang sanggup melihat anak gadisnya berendam air mata. Tetapi di waktu yang sama, Merissa juga tidak menafikan perasaannya padaku. Itu paling penting! Bukan mudah untuk mendapatkan keyakinan dan kepercayaannya menerima aku.

Sejauh mana dia berlari merentasi awan biru, aku kejar bayangnya kerana aku yakin Merissa adalah wanita yang diciptakan untukku. Mungkin aku bukan jodoh pertamanya tetapi bagiku dialah jodoh suri hidupku selamanya… Aku lelaki yang harus kau yakini menerimamu seadanya!

Erina tidak ada cacat celanya… Manja keanak-anakan, cantik muda remaja dan seksi. Tetapi aku tidak tahu mengapa perasaan ini semakin tawar terus pada gadis muda itu dan memilih ibunya sebagai kekasih hati. Aku faham jika keadaan ini sukar diterima oleh Erina, namun aku percaya dalam usianya muda pasti sahaja dia masih mempunyai banyak peluang membuka mata lebih luas untuk menemui insan yang lebih baik dari aku.

Biarkan Erina mencari keinginan dirinya sebenar, seperti aku dahulu yang tidak tahu arah jua mencari pasangan paling serasi dalam hidup… Bila suatu hari Erina tersedar, barulah dia akan tahu makna cinta sebenar dan insyaAllah dapat menerima aku seadanya. Aku hanya mampu berterusan berdoa agar semuanya sempurna seperti yang aku inginkan…

Ibuku, pada awalnya membantah tentu sahaja kecewa dengan pilihan aku. Tetapi sekeras hati ibu, akhirnya lembut jua. Ibu lebih memahami anak lelakinya ini. Setelah diterangkan dengan jelas mengapa Merissa menjadi pilihan hati dan ibu pula memberi nasihat berguna pada aku… Alhamdulillah keluarga tidak lagi membantah. Itulah keistimewaan ibuku dan aku amat menyayangi serta menyanjungnya. Dan kerana itu jugalah aku mengagumi Merissa kerana sebahagian dari watak ibu ada persamaan dalam dirinya.

Bila restu sudah diterima dari keluarga, aku sudah tidak peduli lagi apa yang mungkin diperkatakan oleh mulut orang luar. Bagi aku restu ayah dan ibu itu sudah cukup untuk membuahkan kebahagiaan dalam membina rumah tangga bersama.

Aku yakin Merissa adalah jodohku. Dan bakal menjadi seorang isteri dan ibu yang terbaik seperti mana dia membesarkan Erisa dengan sempurna. Mungkin di tahap usianya aku tidak mengimpikan anak berderet, namun usaha itu pasti ada. Jika ada rezeki, alhamdulillah. Semuanya ketentuan Allah. Aku juga berjanji untuk menjadi seorang suami yang bertanggungjawab, matang dan mampu membimbingnya dunia serta akhirat…

Adakah Anda Mencintai Wanita Berusia? Eh, Why Not?

Adakah Anda Mencintai Wanita Berusia? Eh, Why Not?

Tiada ketentuan yang menyatakan lelaki hanya harus menikahi wanita yang lebih muda. Jadi tentunya, jangan menjadi halangan apabila berlakunya cinta seorang lelaki dengan wanita yang lebih berusia darinya.

Lihat sahaja percintaan Demi Moore dengan aktor muda, Ashton Kutcher. Jejaka tampan ini membuktikan beliau dapat memikat hati janda aktor Bruce Willis yang usianya lebih dari 15 tahun lebih daripadanya.

Ini membuktikan juga wanita berusia masih mampu menjadi magnet bagi lelaki, terutama yang muda dan segar. Kecenderungan ini mungkin juga disebabkan oleh kehidupan dari masa kecil yang terlalu menjadikan ibu sebagai idola. Secara tidak langsung merakamkan emosi kasih sayang dari seorang wanita yang lebih berusia dan matang, berperanan seperti seorang ibu.

Anda terjebak! Ketahui dengan lebih mendalam mengapa wanita berusia menjadi pilihan dan apa yang perlu anda lakukan untuk memastikan hubungan ini kekal berpanjangan…

KENAPA WANITA BERUSIA JADI PILIHAN?

(a) Lebih Matang

Dahulu anda mempunyai teman wanita yang lebih muda atau sebaya. Anda pasti sentiasa menjadi bodyguard ke sana-sini, mendengar kata-kata dan terpaksa memanjakannya. Keadaan ini mungkin berbeza dengan wanita lebih tua kerana mereka memiliki latar belakang pengalaman hidup yang lebih banyak dan matang menghadapi kehidupan.

Kedewasaan ini membuatkan mereka boleh berdikari sendiri dan tidak terlalu berharap dengan anda. Wanita matang biasanya cenderung lebih berfikir dan mengambil setiap keputusan dengan tindakan rasional, hampir sama dengan tahap pemikiran seorang lelaki.

(b) Pengalaman Seksual

Mungkin ini alasan yang anda cari sebenarnya… Wanita lebih tua biasanya lebih berpengalaman di ranjang. Ini mungkin perkara baru bagi anda, tambahan pula anak muda mempunyai kecenderungan bereksperimen. Namun ada wanita yang berada di ambang 40-an memiliki keterbatasan dalam seksual.

Ini mungkin berbeza dengan anda yang memiliki hasrat kuat dalam hubungan intim. Untuk mengimbangi keadaan ini, kedua-duanya perlu mempunyai rasa romantis yang kuat, yakinkan diri anda menerimanya bukan kerana seksual tetapi atas rasa kasih dan sayang serta perhatian.

(c) Memiliki Kerjaya

Kebanyakan wanita berusia yang masih single, biasanya adalah wanita yang menghabiskan banyak masanya dengan kerjaya dan mempunyai sumber kewangan kukuh. Insan begini biasanya tegas, bijak membuat keputusan dan lebih dominan. Untuk berhadapan dengan wanita begini, sebaiknya jaga sikap dan tidak keterlaluan bila berbicara. Jangan membandingkan kerjaya anda dan si dia. Jangan pula berniat untuk bersamanya kerana harta kerana si dia mudah sekali menutup pintu hatinya untuk anda.

(d) Kematangan Usia

Wanita yang berusia lebih matang dan bijak menyelesaikan masalah, berbanding anda yang muda mungkin masalah kecil sudah dianggap terlalu besar masalahnya. Keadaan inilah kehadiran wanita lebih berusia sering memberi bimbingan yang anda perlukan. Mereka juga sering kali mengjadi queen control, tetapi anda sebagai lelaki tetap menjadi ketua. Wanita kurang egonya, anda tidak perlu menjadi keanak-anakan tetapi memiliki sikap bertanggungjawab agar menjadi lebih matang. Seimbang sebuah perhubungan itu.

MASALAH YANG BAKAL TIMBUL

Wanita lebih cepat tua daripada lelaki. Umur kecantikan wanita sangat terbatas, dan kecantikan wanita lebih cepat pudar setelah melahirkan anak. Kecantikan wanita beransur-ansur akan semakin sirna di atas usia 35, tetapi sebaliknya banyak lelaki yang semakin memikat hati wanita di usia 40.

Jadi misalnya isteri lebih tua 5 tahun dari suami, saat suami berusia 40 tahun dan terlihat sangat gagah, isteri sudah berusia 45 dan akan terlihat jauh lebih tua dari suami. Tentu saja pandangan orang lain tidak semestinya menjadi halangan bagi kedua insan yang memang tulus saling mencintai, tetapi keduanya perlu bersiap dan menguatkan tekad sehingga bisa menghadapi permasalahan ini di kemudian hari.

Jika cinta itu ikhlas, pedulikan apa masyarakat luar katakan! Janji anda bahagia…

Ghairah seksual lelaki akan terus menyala sampai tua, bahkan sampai ajal menjemput. Sedangkan ghairah seksual wanita ada batasnya. Setelah menopaus, ghairah seksual wanita akan semakin menurun sebagai akibat dari rendahnya hormon estrogen dalam tubuh.

Menopaus juga dapat mengakibatkan kekeringan pada bahagian vagina wanita. Sehubungan dengan hal tersebut, banyak wanita enggan melakukan hubungan intim setelah menopaus (rata-rata usia 45-55 tahun).

Kita berandai-andai begini: Lelaki umur 30 menikah dengan wanita usia 27 (lebih muda 3 tahun), maka si suami dapat menikmati hubungan seksual dengan isterinya selama 18-28 tahun, sampai usia isterinya kira-kira antara 45-55 tahun. Namun bila lelaki berusia 30 tahun menikah dengan wanita yang berumur 35 tahun misalnya, maka dia hanya dapat menikmati hubungan intim selama 10 hingga 20 tahun saja. Ini juga dapat merupakan potensi konflik dalam pernikahan anda kelak. Bila isteri mulai kurang bernafsu untuk melayan keinginan suami…

Kesimpulannya, memang menikahi wanita yang lebih tua merupakan pilihan yang tidak mudah, namun bukan bererti tidak ada kesempatan atau tidak boleh. Saya yakin banyak pasangan yang isteri lebih tua, masih mampu berhasil mengharungi bahtera kehidupan rumah tangga mereka dengan baik. Tidak ada yang mustahil jika perhubungan itu berlandaskan kejujuran dan keikhlasan dari hati.

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara Ideaktiv Sdn Bhd • Dikendali Oleh Astro Group

error: