Untungnya Isteri Bila Suami Buat 5 Tip Ini, ANAK- ANAK PUN SAYANG!

Untungnya Isteri Bila Suami Buat 5 Tip Ini, ANAK- ANAK PUN SAYANG!

Setiap pasangan yang berkahwin pasti mengimpikan kehadiran anak sebagai penyeri dalam rumah tangga. Kalau boleh, baru kahwin terus nak dapat anak kan. Lagi cepat lagi bagus. Opps!

Tapi, dalam keterujaan menyambut ahli baharu untuk menyerikan lagi rumah tangga yang dibina, suami dan isteri seharusnya sedar akan tanggungjawab yang bakal digalas kerana anak merupakan anugerah terindah dan amanah daripada Allah SWT.

Tak kisah sama ada suami atau isteri, masing-masing mempunyai tanggungjawab yang besar untuk bersama-sama mendidik anak mengikut acuan yang sempurna. Anak-anak seharusnya diberi tumpuan dan kasih sayang yang sepenuhnya oleh kedua ibu-bapa.

Sebagai seorang ibu, anda harus memastikan bonding antara suami dan anak anda sentiasa kekal erat. Ini beberapa tip yang boleh dipraktikkan suami anda bagi mengekalkan rasa kasih dan sayang seorang ayah terhadap anaknya.

  1. AJAR SUAMI TUKAR LAMPIN ANAK

Bila tahu saja lampin anak basah dan perlu diganti, rata-rata kaum suami akan melarikan diri daripada melakukan tugas yang sangat ‘istimewa’ ini. Betul tak? Lepas ni, boleh minta tolong dengan suami anda untuk tukar lampin anak kerana cara ini mampu menguatkan lagi emosi antara ayah dan anak.

  1. SUAP MAKAN ANAK

Rasa ‘feeling’ sangat bila melihat seorang ayah menyuapkan sendiri makanan ke dalam mulut anaknya, bukan? Apa kata, sesekali biarkan suami menyuap anak makan kerana cara ini dapat membuatkan si ayah menjadi lebih sensitif dengan kehendak dan keperluan anaknya. Iyalah, ada anak yang suka makan nasi kosong, ada yang suka makan nasi dengan sup, ada yang tak suka makan sayur, dan macam-macam lagi. Layankan saja.

  1. BIAR SUAMI TIDURKAN ANAK

Setiap rengekan anak kecil membawa maksud yang berbeza. Ada yang lapar mahukan susu, ada yang tidak selesa dan ada yang mengantuk. Semua rengekan ini akan melatih suami untuk berkomunikasi dan mengenal anaknya dengan lebih baik lagi.

  1. BERI PELUKAN KEPADA ANAK

Tak salah untuk ajar suami memberikan pelukan dan kucupan mesra kepada anak-anak juga ya. Ini kerana menurut Virginia Satir, Pakar Terapi Keluarga, seorang anak memerlukan minimum 8 pelukan sehari untuk survive dan 12 pelukan sehari untuk membesar.

  1. ELAK UMPAN GUNA TELEFON PINTAR

Kurangkan screen contact dan perbanyakkan eye contact apabila bersama anak dan cuba jadi ayah yang gemar bermain. Meluangkan masa bersama anak tanpa kehadiran si ibu akan merapatkan lagi hubungan antara si ayah dan anak.

Jangan Biasakan MENENGKING, Begini Cara Kawal Emosi Yang Betul Waktu Tegur Anak!

Jangan Biasakan MENENGKING, Begini Cara Kawal Emosi Yang Betul Waktu Tegur Anak!

Setiap ibu bapa pasti pernah merasa marah atau kesal dengan perbuatan anaknya. Namun yang menjadi masalahnya ada segelintir ibu bapa yang mudah melepaskan emosinya dengan menengking.

Ditambah dengan stres dan beban tugas di tempat kerja menjadi sebab ibu bapa tidak dapat menahan emosinya. Menurut pakar tabiat menengking, membentak atau menggunakan kata-kata kasar bukanlah sesuatu yang bijak dalam mendidik anak-anak.

Berikut cara bagaimana menahan emosi saat anak berbuat salah:

ADAKAH PERLU UNTUK ANDA MARAH

Ingat, tidak semua kenakalan anak perlu direspon dengan cara memarahi atau menghukum. Maka anda akan lebih merasa tenang ketika berhadapan dengan karenah anak.

KETIKA HENDAK MARAH SEGERA TENANGKAN DIRI

Cara paling mudah dengan menarik nafas sedalamnya. Kemudian hembus dan ulang cara ini beberapa kali sehingga emosi anda lebih stabil. Jauhkan diri seketika contohnya ke bilik tidur. Jika sudah merasa tenang barulah anda mengajak anak berbual dan menasihatinya secara tegas agar tidak mengulangi perbuatan itu lagi.

MEMBUAT KIRAAN

Contohnya, “Kemaskan barang mainan sekarang. Ibu kira sampai sepuluh. Kalau sampai sepuluh masih belum kemas kamu tak boleh main mainan ini lagi. Satu, dua…” Kalau si anak masih belum mematuhinya, beri lagi peringatan tegas tanpa menengking atau membentak.

ELAKKAN MEMUKUL

Anak akan mudah percaya bahawa untuk menyelesaikan masalah ialah dengan kekerasan. Maka, elakkan memukul atau menyakiti anak secara fizikal. Kekerasan menjadikan anak hilang kepercayaan terhadap ibu bapa seterusnya mengakibatkan anak lebih nakal.

KENDALI CARA BERBUAL ANDA

Semakin tenang anda berkomunikasi dengan anak, semakin mudah untuk menahan emosi. Sebaliknya jika anda menggunakan kata-kata kesat, semakin naik amarah anda. Kendali cara komunikasi anda sebaik mungkin. Secara tak langsung anak semakin mengerti kesalahannya.

“Kata-Kata Ayah Tu POWER SANGAT!” Penjelasan Ini Bongkar Rahsia Al-Quran Tentang Hubungan Ayah & Anak

“Kata-Kata Ayah Tu POWER SANGAT!” Penjelasan Ini Bongkar Rahsia Al-Quran Tentang Hubungan Ayah & Anak

Sifat ibu yang penyayang kebiasaannya membuatkan anak-anak lebih rapat dan selesa meluahkan perasaan berbanding dengan ayahnya. Tapi menurut penceramah motivasi Siti Aminah Sulaiman, peranan ayah sebenarnya sangat penting dan berkesan untuk emosi mereka, malah ini turut diceritakan dalam kitab suci Al-Quran. Jom baca perkongsian bermakna ini!

Selama ni saya fikir kerja orang lelaki hanya cari nafkah untuk beri anak bini makan dan pakai. Tapi rupanya saya silap.

Dialog yang dirakam dalam Al-Quran telah mengubah persepsi saya mengenai tugas seorang ayah. Sebenarnya 14 dialog antara ayah dan anak telah dirakam dalam pelbagai surah dalam kitab suci ini.

Antaranya dialog antara Nabi Yusuf dan ayahnya Yaakub, Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail, Nabi Nuh dan anaknya serta nasihat Luqman.

Segala puji hanya bagi Allah kerana melalui Al-Quran kita dapat belajar ilmu parenting yang sangat berharga. Pasti ada sebab mengapa dialog ayah-anak ini dirakam!

==================

Power sangat ke kata-kata seorang ayah pada anak?

Kajian dari King College London dan Universiti Oxford mengatakan bahawa anak yang mempunyai hubungan akrab dan sentiasa berinteraksi dengan ayah akan kurang risiko untuk mempunyai masalah tingkah laku apabila dewasa.

Al-Quran dan kajian terkini sudah membuktikan powernya kata-kata seorang ayah. Tapi bila nak nasihatkan anak mesti tahu SENI BERBICARA.

Barulah sampai direct nasihat yang diberikan, ibarat panah dilepaskan terus sampai ke hati anak! Ini antara tip seni bicara ayah-anak yang sangat berkesan dirakam dari Al-Quran:

(a) Ayah perlu ‘kamceng’ dulu dengan anak

Rapatnya Nabi Yusuf a.s dengan ayahnya Nabi Yaakub a.s hingga Nabi Yusuf terus datang pada ayahnya untuk ceritakan mimpinya. (Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya:

“Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku”. (Surah Yusuf: 4)

Ini menunjukkan Yusuf ada special connection dengan bapanya Yaakub. Jarang sebenarnya anak nak bercerita pada ayahnya apa-apa yang dialami, biasanya mak tempat anak mengadu segala masalah.

Seorang ayah perlu RAPAT dengan anak hingga menjadi tempat pilihan untuk anaknya mengadu masalah dan luahan hati. Luangkan Quality Time hanya anak dan ayah saja yang terlibat. Walaupun untuk masa yang pendek tapi impaknya pasti luar biasa.

(b) Ayah perlu kenal hati budi anaknya

Jawapan Nabi Yaakub dalam Surah Yusuf juga sangat mengejutkan saya. Nabi Yaakub menasihati Yusuf supaya jangan sesekali ceritakan mimpinya kepada abang-abangnya.

Kerana Yaakub sangat KENAL HATI BUDI anak-anaknya yang mempunyai perasaan hasad kepada Yusuf. Bapanya (Yaakub) berkata:

“Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.”
(Surah Yusuf: 5)

Sayangnya berapa ramai ayah zaman sekarang yang masih kenal hati budi anak-anaknya? Biasanya emak yang lebih kenal anak. Sebab itu ayah perlu memainkan peranan dan rapat dengan anak hingga kenal siapa anaknya dan apa masalah anak. Barulah nasihat yang diberikan efektif dan berkesan ikut situasi serta masalah anak.

(c) Tidak akan jatuh EGO/MACHO seorang ayah apabila panggil anak dengan penuh kasih

Lihat bagaimana Al-Quran merakam dialog para Nabi atau insan pilihan (Luqman) dalam al Quran. Mereka memanggil anaknya dengan panggilan penuh kasih seperti “Wahai Anakku” (Ya Bunayya).

Mereka tidak memanggil dengan nama seperti ‘Wahai Yusuf’ atau ‘Wahai Ismail’. MasyaAllah. Bila telusuri nasihat ayah ini hampir saya mengalir air mata kerana dapat saya rasakan perasaan kasih ayah bila menasihati anaknya.

Tidak akan jatuh macho seorang ayah apabila panggil anaknya dengan penuh kasih seperti ‘sayangku.. anakku.. anak ayah..” Panggilan ini mampu melembutkan hati anak bila waktu kita ingin menasihati mereka.

(d) Nasihati anak dengan emosi yang terkawal

Ini perkara yang sangat penting. Tanpa kawalan emosi kita akan mudah menghamburkan kata-kata yang tidak enak didengar. Saya perasan suami saya mempunyai kawalan emosi yang lebih baik apabila tegur kesilapan anak dan saya percaya orang lelaki lebih hebat kawalan emosi berbanding perempuan.

Kalau kita lihat pada nasihat Luqman dalam Al-Quran menunjukkan Luqman seorang yang sangat terkawal emosinya. Kupasan Ibrah Surah Luqman dari Ustaz Syaari menceritakan bahawa Luqman hidup pada zaman jahiliyah (banyak persamaan dengan zaman Nabi Muhammad SAW).

Dia tetap meneruskan nasihat yang baik kepada anaknya tanpa terkesan dengan keadaan masyarakat sekeliling. Luqman tidak menyerahkan remote control emosinya pada orang lain.

(e) Bukan hasil yang Allah pandang, tapi USAHA kita dalam mendidik

Ini apply untuk kedua mak dan ayah. Jika hari ini kita nasihati anak tetapi mereka tetap tidak berubah, jangan kecewa. Jangan label anak ‘tiada harapan’ atau ‘tak guna’.

Lihatlah bagaimana Luqman tetap teguh menasihati anaknya, walaupun ada pendapat yang mengatakan anaknya non-muslim. Lihat bagaimana Nabi Nuh berkali-kali dakwah pada anaknya yang akhirnya anak itu mati dalam keadaan kafir.

Si ayah tetap tidak berputus asa kerana beliau sedar Allah tidak pandang pada hasil atau natijah. Tetapi Allah lihat bagaimana USAHA kita konsisten menasihati anak kita dengan hikmah, sabar dan kasih sayang.

==================

Saya doakan setiap yang membaca post panjang ini dikurniakan HIKMAH dalam mendidik anak-anak. Mendidik anak bukan sesuatu yang mudah. Bukan kerja dalam sehari saja. Mohonlah kekuatan dari Allah kerana kita tidak akan mampu untuk amalkan ilmu tanpa petunjuk dari-Nya.

Sumber: Facebook Siti Aminah Sulaiman

 

Tanpa Wasiat, Bagaimana Harta Si Mati Dibahagi-bahagikan? Ikut KAEDAH FARAID Ini Supaya Waris Dapat Haknya!

Tanpa Wasiat, Bagaimana Harta Si Mati Dibahagi-bahagikan? Ikut KAEDAH FARAID Ini Supaya Waris Dapat Haknya!

Jangan pandang ringan tentang perkara ini supaya tidak timbul perebutan harta benda dunia. Semua wanita perlu ambil tahu juga tentang pembahagian harta secara faraid!

Dalam Islam, apabila seseorang meninggal dunia, harta yang ditinggalkan oleh si mati akan dibahagi-bahagikan mengikut kaedah yang telah ditetapkan oleh Islam. Kaedah ini dikenali sebagai Faraid. Dari segi bahasa, Faraid mempunyai maksud yang banyak antaranya ialah menentukan, memastikan, menghalalkan dan mewajibkan. Manakala menurut istilah syarak, Faraid adalah pembahagian harta seorang Islam yang telah meninggal dunia dan tidak meninggalkan wasiat sebelum kematiannya.

Maka harta peninggalannya akan dibahagikan kepada ahli waris (seperti anak, isteri, suami, ibu atau sebagainya) menurut hukum Islam. Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah BAKI harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang pewaris (contohnya zakat atau nazar) dan wasiat yang dibenarkan oleh syarak. Bentuk harta yang boleh dibahagikan secara Faraid ialah tanah, bangunan (rumah), barang kemas (seperti emas atau perak), insurans dan wang tunai (samada dilaburkan atau tidak) dan binatang ternakan seperti kambing, lembu, unta, kerbau dan sebagainya.

Mengikut kaedah Faraid, terdapat cara pengambilan harta yang telah ditetapkan. Cara untuk melakukan pembahagian pusaka ialah dengan terlebih dahulu meneliti siapakah di antara waris yang berhak menerima pusaka dengan jalan Ashabul-Furud, kemudian dicari siapakah yang Mahjud, barulah bakinya diberikan kepada yang berhak menerima Asabah.

(a) Ashabul-Furud ialah golongan yang mengambil pusaka menurut bahagian yang telah ditetapkan oleh syarak iaitu samada 1/2, 1/3, 1/4, 2/3, 1/6 atau 1/8. Mereka terdiri daripada isteri atau suami, ibu atau nenek, bapa atau datuk, anak perempuan atau cucu perempuan, saudara perempuan kandung, saudara perempuan sebapa dan saudara seibu.

(b) Asabah merupakan golongan yang akan menerima baki setelah semua golongan Ashabul-Furud mendapat bahagian golongan asabah. Terdapat 3 jenis Asabah iaitu Asabah Binafsih, Asabah Bil Ghoir dan Asabah Maal Ghoir.

Asabah Binafsih adalah pembahagian pusaka dengan jalan menghabisi semua harta atau mengambil semua sisa untuk sekalian orang lelaki, tidak bersebab atau beserta orang lain. Mereka terdiri daripada 12 orang lelaki iaitu bapa, datuk, anak lelaki, cucu lelaki anak lelaki, saudara lelaki kandung, saudara lelaki sebapa, anak lelaki saudara lelaki kandung, anak lelaki saudara lelaki sebapa, bapa saudara kandung, bapa saudara sebapa, anak lelaki bapa sudara kandung dan anak lelaki bapa saudara sebapa. Asabah Bil Ghoir ialah pembahagian pusaka dengan jalan menghabiskan semua harta atau pengambilan semua baki untuk semua perempuan dengan sebab adanya orang lelaki lain. Terdiri daripada 4 orang iaitu anak perempuan atau lelaki, cucu perempuan atau lelaki, saudara kandung perempuan atau lelaki, saudara sebapa atau lelaki perempuan. Manakala Asabah Maal Ghoir merupakan pembahagian pusaka dengan jalan menghabisi semua harta atau mengambil semua sisa untuk sekelian orang perempuan sebab beserta orang perempuan lain. Terdiri daripada 2 orang perempuan iaitu: saudara perempuan kandung dan saudara perempuan sebapa (berkongsi dengan anak atau cucu perempuan).

Golongan seterusnya adalah Dhawil-Arham. Golongan ini akan menggantikan golongan Ashabul-Furud dan Asabah setelah kedua-duanya tiada kecuali suami atau isteri tidak menghalang golongan ini mengambil bahagian harta. Tetapi biasanya golongan ini akan terhalang menerima harta. Keadaan ini disebut hijab iaitu dinding yang menjadi penghalang seseorang daripada ahli waris untuk menerima pusaka kerana masih ada ahli waris yang masih dekat hubungan kekeluargaannya dengan si mati.

Terdapat 4 golongan Dhawil-Arham (masih ada hubungan kerabat) iaitu golongan datuk dan nenek, golongan cucu dan cicit (anak dari cucu), golongan anak saudara dari saudara perempuan dan golongan bapa saudara atau emak saudara atau saudara lelaki atau perempuan ibu. Manakala hijab yang telah disebutkan tadi terdiri daripada 2 jenis iaitu Hijab Nuqshon dan Hijab Hirman.

Hijab Nuqshon adalah golongan yang terhalang dengan mengurangi pembahagian ahli waris dari menerima pembahagian Ashabul-Furud yang lebih banyak menjadi lebih sedikit kerana masih ada ahli waris lain yang bersama-samanya. Seperti suami dari menerima setengah menjadi seperempat kerana ada anak atau cucu. Hijab Hirman ialah golongan yang terhalang dengan tidak menerima pembahagian pusaka sama sekali kerana masih terdapat ahli waris yang lebih dekat hubungannya dengan yang mati yang lebih berhak untuk menerima harta pusaka. Misalnya saudara lelaki sebapa terhalang kerana adanya saudara lelaki kandung dan datuk terhalang sebab adanya bapa.

Terdapat 15 ahli waris dari pihak lelaki dan 10 ahli waris dari dari pihak perempuan yang utama dan layak menerima harta pusaka.

Waris dari pihak lelaki seperti berikut:

  1. Anak lelaki
  2. Cucu lelaki dari anak lelaki
  3. Bapa
  4. Datuk
  5. Saudara lelaki seibu sebapa
  6. Saudara lelaki sebapa
  7. Saudara lelaki seibu
  8. Anak saudara lelaki dari seibu sebapa
  9. Anak saudara lelaki dari seibu atau sebapa
  10. Bapa saudara seibu sebapa
  11. Bapa saudara sebapa
  12. Sepupu dari bapa saudara seibu sebapa
  13. Sepupu dari bapa saudara sebapa
  14. Suami
  15. Hamba sahaya

Jika kesemua waris lelaki di atas wujud, maka hanya tiga orang sahaja yang layak iaitu:

  1. Bapa
  2. Anak lelaki
  3. Suami

Ahli-ahli waris perempuan yang layak menerima harta pusaka iaitu:

  1. Anak perempuan
  2. Cucu perempuan dari anak lelaki
  3. Ibu
  4. Nenek sebelah ibu
  5. Nenek sebelah bapa
  6. Saudara perempuan seibu sebapa
  7. Saudara perempuan seibu
  8. Saudara perempuan sebapa
  9. Isteri
  10. Petuan perempuan bagi hamba sahaya

Jika kesemua ahli waris di atas wujud, hanya 5 orang yang layak:

  1. Anak perempuan
  2. Cucu perempuan dari anak lelaki
  3. Ibu
  4. Saudara perempuan seibu sebapa
  5. Isteri

Jika kesemua 25 waris lelaki dan perempuan masih hidup, maka keutamaan akan diberikan kepada hanya lima ahli waris berikut:

  1. Bapa
  2. Ibu
  3. Anak Lelaki
  4. Anak Perempuan
  5. Suami/Isteri

Kesimpulannya, umat Islam adalah dinasihatkan agar sekiranya ingin membuat wasiat haruslah berwaspada bahawa hanya 1/3 daripada harta mereka sahaja yang dibenarkan untuk diwasiatkan. Keutamaan harta si mati adalah kepada waris-waris yang sememangnya adalah tanggungan dan kewajipan beliau semasa hidup. Ianya adalah satu langkah yang terbaik bagi mengelakkan timbulnya masalah selepas beliau meninggal dunia kelak. Ini adalah selari dengan firman Allah S.W.T dalam surah an-Nisa ayat 11. Kerjasama info: Azizah Hj Hussain (LLB (HONS) IIUM), Head Of Legal Department di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur

7 Cara Didik Anak Perempuan Yang Bijak, Tiru AKTIVITI BONDING Dr. Sheikh Muszaphar & Anak Perempuannya Ini!

7 Cara Didik Anak Perempuan Yang Bijak, Tiru AKTIVITI BONDING Dr. Sheikh Muszaphar & Anak Perempuannya Ini!

Selain kecomelan anak kembarnya, Sheikh Adam dan Sheikh Noah, satu lagi keistimewaan Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang menarik perhatian netizen adalah bonding beliau dengan anak-anak perempuan.

Dalam posting yang dimuat naik beberapa minggu lalu, kelihatan aksi kandid angkasawan negara ini bersama dua anak gadisnya, Sophea Isabella (Bella, 7 tahun) dan Sophea Natasha (Tasha, 5 tahun) yang dilihat berseronok mencukur jambang si bapa.

Mula-mula rasa seriau juga bila tengok dua kanak-kanak ni pegang pencukur tajam. Terasa tingginya tawakal Dr. Sheikh Muszaphar sampai bagi anak-anaknya buat macam tu. Ini tulis beliau pada kapsyen,

The girls shaving me…
I was shaving for my trip tonight when the girls came into the bathroom. They wanted to shave me and I’m like why not. As long as they are having fun!

Dengan pipi comot bertepek buih pencukur, terkekek-kekek dengar mereka gelak. Tentu seronok dapat buat aktiviti bonding ni dengan bapa tersayang! Tengoklah sendiri.

Sebenarnya ramai yang suka ikut perkembangan pasangan Datuk Dr. Sheikh Muszaphar dan isterinya, Datin Dr. Halina Yunos untuk tiru tip keibubapaan mereka.

Pasangan doktor ini sama-sama menerapkan didikan yang baik dan terbuka terhadap anak-anak, malah mereka juga pernah menasihatkan ibu bapa lain supaya jangan memandang rendah terhadap kemampuan anak kecil belajar.

Kalau nak tahu, Bella dan Tasha sebenarnya dihantar menghadiri sekolah Cina pada waktu pagi dan membuat Matematik pada waktu tengah hari sebelum bertolak ke sekolah agama Islam pada waktu petang. Malah, mereka turut menghadiri kelas renang dua kali seminggu, kelas Al-Quran, kelas piano, kelas taekwando dan kelas sukan pada hujung minggu!

7 Cara Mesti Tiru

(1) Bapa beri impak besar

Anak perempuan yang rapat dengan bapa mereka lebih berkeyakinan tinggi dan berani menyahut cabaran baru. Apabila seorang lelaki melayan kaum wanita dengan baik dan penuh hormat, anak perempuan juga akan belajar untuk menghargai diri mereka seadanya.

(2) Jangan terlalu memuji paras rupa

Praktikkan teknik memuji yang betul. Puji ke arah membina supaya mereka tidak terlalu fokus terhadap kecantikan luaran. Banyakkan memuji usaha mereka dalam menjayakan sesuatu perkara. Anak-anak perlu tahu secara terperinci apakah perbuatan yang menyebabkan anda berasa bangga dengan diri mereka.

(3) Layan kepetahan mereka

Kebanyakan anak perempuan memang petah bercakap. Menurut kajian, anak perempuan umumnya lebih cepat bercakap berbanding anak lelaki, di mana pada usia 16 bulan anak perempuan dikatakan mampu mengucapkan 100 perkataan secara purata berbanding sekitar 30 perkataan bagi anak lelaki. Dengan melayan mereka berbual dan menjawab soalan, anda telah menggalakkan keyakinan diri dalam anak kecil secara tidak langsung.

(4) Tanam minat terhadap superhero perempuan

Sukar untuk kita menepis kuasa media kerana memang naluri anak-anak kecil cepat tertarik dengan animasi dan kartun. Tapi, kita sebagai ibu bapa boleh memainkan peranan untuk memantau apa yang mereka tonton. Elakkan kartun-kartun yang berkonsep fairy tale atau happy ever after. Antara contoh kartun yang mempunyai mesej girl power adalah Zootopia, The Incredibles, Brave, Dora The Explorer dan banyak lagi.

(5) Ajar mereka berdikari

Cara mendidik anak perempuan sebenarnya tidak banyak berbeza dengan anak lelaki. Galakkan mereka belajar menguruskan diri sendiri dan mempunyai sikap prihatin terhadap sesama ahli keluarga. Di samping itu, beri kepercayaan kepada anak perempuan untuk turut membantu tugas yang dibuat oleh ayah. Contohnya, mencuci kereta, membaiki paip yang rosak, atau berkebun. Selain menggalakkan waktu bonding, anak juga dapat meneroka minat yang baru.

(6) Jangan hadkan aktiviti

Ambil serius terhadap minat dan kreativiti mereka. Tidak perlu terikat pada stereotaip – contohnya perempuan mesti pandai memasak, membuat kuih, atau bersolek. Sebaliknya, galakkan mereka menjadi diri sendiri. Beri mereka buat pilihan terhadap minat mereka sendiri. Jika anak suka berenang, bawalah mereka selalu berenang atau masukkan mereka ke kelas renang. Sekiranya anak suka membaca, sediakan mereka bahan bacaan yang secukupnya dan bawalah mereka selalu ke perpustakaan.

(7) Beri ruang privasi

Dengan memberi ruang privasi, anak perempuan lebih mudah untuk diajar berdikari, contohnya mengemas katil sendiri, menyimpan mainan di tempatnya, dan menulis di meja tulisnya. Apabila anak perempuan semakin membesar, mereka akan cenderung untuk menjadi lebih senyap, kritikal terhadap diri sendiri, dan kurang konfiden terhadap imej diri. Dengan adanya ruang privasi, anak-anak boleh belajar mengawal emosi sambil dipantau oleh ibu bapa.

Foto: Instagram @drsheikhmuszaphar

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: