Tahniah, Jasa DATUK SYAFINAZ SELAMAT Untuk Anak Bangsa Memang Layak Diiktiraf!

Rezeki pendidik… Berkat kegigihannya sebagai guru serta pensyarah vokal, Nona tumpang bangga dengan perkhabaran Syafinaz Selamat yang menerima pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk, sebentar tadi.

Pingat untuk penyanyi kelahiran Johor tersebut dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara sempena Hari Wilayah Persekutuan, 1 Februari 2018.

Syafinaz, 45, yang juga seorang konduktor dan guru vokal dan ketika ini terlibat sebagai konduktor dan ‘vocal master’ untuk Koir Permata Seni. Syafinaz juga pernah bertindak sebagai juri program nyanyian seperti Malaysian Idol dan AF Megastar.

Popular menerusi lagu Ingin Bersamamu, Syafinaz juga adalah pensyarah vokal di Jabatan Muzik Fakulti Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, pensyarah Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA) serta vokal ‘master’ untuk Koir Kebangsaan Malaysia.

Pingat berkenaan dibuat berdasarkan sumbangan Syafinaz kepada pembangunan Wilayah Persekutuan. Penganugerahan ini bukan sahaja diberikan kepada warga Wilayah Persekutuan namun turut mengiktiraf mereka yang tidak bermastautin tetapi menabur bakti kepada pembangunan Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, seramai 39 individu dianugerahkan Johan Mahkota Wilayah (JMW), 71 individu menerima anugerah Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), 74 individu menerima anugerah Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 94 individu menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).

Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan yang bermula sejak 2008 adalah bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan warga Wilayah Persekutuan yang banyak berjasa membangunkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Sumber: Astro Awani

IKLAN
Share