Lumrah bergelar seorang public figure yang perlu kekal cantik dan ‘perfect’ dari hujung rambut sampai ke hujung kaki.
Ianya akan sentiasa menjadi perhatian serta bualan ramai. Apatah lagi, apabila seorang selebriti itu masih aktif dan relevan dalam bidang seni hiburan.
Seperti yang kita tahu, aktres terkenal Fasha Sandha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan seorang yang bukan saja komited terhadap kerjayanya bahkan apa jua perkara yang dilakukan.
Sebab itulah nama Fasha Sandha antara aktres ternama yang masih kekal relevan hingga kini.
Baru saja memuat naik satu posting di Instagram, Fasha berkongsi rahsianya yang berjaya mencapai berat badan ideal mengikut BMI.
Mengikut apa yang dkongsi oleh Fasha, kedengaran agak ‘struggle’ jugalah ibu anak 3 ini berusaha untuk mencapai berat idealnya kini.
“Alhamdulillah tak makan nasi 2 minggu je dan hari-hari workout berat turun 3.8kg. Tapiii keseronokann tu macam turun 38 kg oooo..”
Ads
Menurut pemenang tempat kedua Pencarian Gadis Remaja Maybelline ini, salah satu sebab dia berusaha menurunkan berat badan adalah kerana bakal memegang watak berat dalam lakonannya akan datang.
“Oh ya, mengikut ketinggian, saya tak overweight mahupun obese. BMI saya kategori normal. Tapi…saya nak runcing-runcing lagi untuk penggambaran watak heavy Disember nanti. Doakan saya ya.”
Isteri kepada aktor dan usahawan kacak, Aidil Aziz ini mengakui bahawa dia tidak memilih jalan pintas untuk mendapatkan hasil yang pantas. Fasha percaya kepada proses di mana dia perlu merasai sendiri detik struggle yang sebenar. Genetik keluarga juga menjadi faktor utama.
“Memandangkan saya tak memilih jalan pintas dan singkat, kena la bersiksa dan struggle. Jujur cakap, genetik saya genetik besar-besar jadi memang kena mental kuat nak kurus ni.”
Ads
Aktres berusia 38 tahun yang juga kakak kepada pelakon Elisya Sandha ini turut memohon doa dari para peminat dan pengikut agar misinya untuk mencapai berat sasaran tercapai.
Pun begitu, Fasha tetap bangga dengan dirinya kerana pernah hamil sebanyak 5 kali (2 kali keguguran) serta pernah melalui pembedahan secara C-sec sebanyak 3 kali.
“Doakan saya road to 60kg berjaya ya Kesayanganku.”
Ads
“PT saya cakap, saya kena berbangga, sebab pernah mengandung 5 kali (2 kali keguguran) dan pernah melahirkan C-ser 3 kali, tapi BMI masih normal.”
“Nangis jap, Alhamdulillah.”
Rata-rata pengikutnya memuji usaha aktres ini dan mereka mengharapkan Fasha kekal konsisten.
Terdahulu, Fasha pernah berkahwin dan perkahwina pertamanya itu hanya bertahan selama 4 tahun. Mereka dikurniakan 2 cahaya mata iaitu Putra Rayfal dan Putri Raysha.
Kini, Fasha bahagia bersama Aidil dan mereka dikurniakan seorang putri yang sangat comel iaitu Aisha Amaira. Semoga keluarga ini kekal bahagia bersama selamanya.
Kredit Foto: Instagram Fasha Sandha
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Melangkah masuk ke galeri seni milik YM Sharifah Bahiyah Jamalullail yang terletak di Desa Sri Hartamas, mata terpaku dengan hasil kerja tangannya yang penuh berseni. Elemen alam semulajadi menjadi elemen utama yang diketengahkan di dalam koleksinya. Tema flora seperti bunga mawar menjadikan ianya nampak begitu hidup dan menyerikan segenap ruang.
Berpeluang melihat dan menghayati hasil karya artis berdarah keturunan diraja ini antara pengalaman menarik buat diri penulis yang sememangnya kurang kemahiran dalam menilai sesuatu hasil seni. Ini kerana, setiap lukisan yang digantung pada dinding ruang pameran milik Sharifah bahiyah yang terletak di Desa sri hartamas ini seakan-akan ‘hidup’ dan penuh penceritaan.
Terhasil daripada terjemahan rasa dan ekspresi artis di atas kanvas, lukisan abstrak ekspresionis yang ditampilkan bukan saja menampilkan nilai estetika tersendiri malah turut mengajak anda untuk berfikir lebih jauh. Malah tidak salah jika dikatakan, koleksi lukisan yang ditampilkan oleh YM Sharifah Bahiyah memperlihatkan kematangan dari segi penghasilan karya bermula daripada karya awal ketika pembabitannya.
Terkenal dengan lukisan bermotif flora, Sharifah Bahiyah berkata dia kerap bereksperimen selain banyak mengetengahkan unsur bunga-bungaan yang berwarna-warni dalam karyanya ketika mula bertapak sebagai anak seni. Sambil berkongsi beberapa lukisan yang pernah dihasilkan, YM Sharifah Bahiyah sememangnya menggemari keindahan flora sebagai elemen utama lukisannya selain kini berjinak menghasilkan lukisan dalam bentuk abstrak selaras dengan perkembangan hasil seninya.
Menurut wanita berketurunan diraja Perlis dan Negeri Sembilan ini, motif flora sering menjadi pilihan di awal pembabitannya dalam dunia lukisan kerana gemarkan keindahan bunga yang membawa maksud kecantikan dan keceriaan.
“Sememangnya motif bunga amat sinonim dalam kehidupan sehari-hari. Bayangkan bagaimana gembiranya seseorang sekiranya menerima jambangan bunga sebagai hadiah daripada yang tersayang. Ia sekaligus dapat menceriakan seseorang terutamanya untuk hari-hari istimewa seorang wanita. Jadi, saya mengabadikan signifikasi bunga dan wanita dalam lukisan yang dihasilkan kerana bunga melambangkan kebahagiaan untuk setiap wanita,” jelas Sharifah Bahiyah yang anggun dengan solekan oleh Vee Muhammad dan persalinan menawan dari Syomirizwa Gupta.
BERMULA DARI HOBI
Sambil membelek beberapa koleksi yang dipamerkan di ruang pameran, penulis sempat diberi kesempatan untuk melihat sendiri ruang kerja di mana Sharifah Bahiyah menghabiskan masa menghasilkan karya seninya. Aroma cat akrilik, pelbagai jenis berus dan kanvas menjadi teman setia Sharifah Bahiyah menterjemahkan sesuatu melalui lukisan cat yang dihasilkannya.
Selain memilih motif bunga-bungaan, kini Sharifah Bahiyah turut menampilkan unsur abstrak dan sebagainya sebagai elemen utama hasil seninya. Tidak hairanlah mengapa hasil seninya amat halus memandangkan dirinya mengabadikan sepenuh minat dalam seni lukisan sejak kecil lagi.
Ketika ditanya mengenai bagaimana minat dalam dunia lukisan mula bercambah di dalam dirinya, wanita anggun ini berkata sejak zaman kanak-kanak lagi dia sudah didedahkan dengan minat melukis dan mewarna oleh bonda tersayang, Almarhum YAM Tunku Mudziah bte Tuanku Munawir.
“Sejak kecil saya mempunyai hobi melukis dan mewarna. Ketika itu, di tangan pasti akan ada scatch book untuk membolehkan saya melukis apa juga yang dilihat seperti melukis pokok, bunga dan apa sahaja yang menarik untuk dilukis. Hanya kira-kira sepuluh tahun kebelakangan ini saya mula mengambil serius mengenai seni lukisan ini dengan mengambil peluang mendaftarkan diri di kelas-kelas lukisan.
Selain itu, mungkin dek kerana minat terhadap bidang ini terlalu mendalam, saya banyak belajar sendiri melalui latihan dan pembacaan mengenai hasil karya pelukis-pelukis ternama yang boleh dijadikan sumber inspirasi,” ujar Sharifah Bahiyah yang menghargai karya agung Monet dan Van Gogh.
Ditanya mengenai pandangannya mengenai industri seni terutamanya lukisan di Malaysia, beliau berpendapat Malaysia telah berjaya melahirkan ramai pelukis yang mempunyai bakat yang besar dan boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Namun jika diberi ruang yang lebih untuk masyarakat Malaysia lebih menghargai keindahan seni, sudah tentu hasil kerja artis tempatan mampu setanding dengan karya antarabangsa.
“Hasil seni sebenarnya adalah salah satu bentuk pelaburan untuk sampai ke pemikiran dan hati seseorang manusia. Bayangkan jika sebuah kediaman tanpa sebarang lukisan, sudah tentu ia akan terasa kosong dan tidak bermaya. Hasil seni ini memberikan anda satu dimensi baru dan suasana yang lebih nyaman. Jadi, saya melihat konteks ini sebagai salah satu kombinasi kehidupan yang memberikan sumber ketenangan buat seseorang,” ujar Sharifah Bahiyah lagi.
Hampir 10 tahun berada dalam industri, karya terbarunya banyak memperlihatkan kematangan dari segi penghasilan dan nyata berbeza daripada karya ketika awal pembabitan.Secara peribadi, karya yang dihasilkan olehnya kini adalah penanda aras bagi perjalanan kerjaya seni sejak 10 tahun yang lalu sehingga kini. Sisi kematangan bukan saja menjelaskan pengalaman dan perjalanan karya seni tapi turut diterjemahkan dari sudut penghasilan karya itu sendiri.
Terkenal dengan lukisan campuran media cat minyak di atas kanvas, Sharifah Bahiyah berkata dia kerap bereksperimen selain banyak mengetengahkan warna-warni dalam karyanya ketika mula bertapak sebagai anak seni.
Menyentuh pula mengenai kedatangan Ramadan yang sememangnya amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam, anakanda kepada YAM Tengku Syarif Bendahara Perlis Syed Badarudin Jamalullail ini tidak terkecuali dari merasai keseronokan menyambut kedatangan Ramadan kerana ia merupakan antara momen indah yang dikenang sepanjang hayat.
Menurutnya, setiap kali kedatangan Ramadan, dia dan keluarga akan mengambil kesempatan sepenuhnya untuk sama-sama menyertai umat Islam mengerjakan solat sunat terawih di masjid ataupun di kediaman saudara-mara terdekat untuk mengeratkan ukhwah persaudaraan.
“Namun begitu, malam ke 20 Ramadan lebih istimewa kerana seluruh keluarga akan berkumpul di Istana Besar Seri Menanti dan menunaikan solat sunat terawih bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan kerabat diraja yang lain,” ujar YM Sharifah Bahiyah yang juga merupakan anakanda saudara kepada Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Selain menunaikan solat sunat terawih, Ramadhan merupakan bulan yang istimewa untuk melihat refleksi diri dan muhasabah diri serta bersyukur dengan nikmat kehidupan yang diperolehi. Selain itu, Sharifah Bahiyah juga menjadikan bulan istimewa ini untuk lebih bertenang dan sumber ketenangan tersebut membolehkan dirinya menghasilkan hasil seni yang lebih dekat di hatinya.
Selain menantikan kedatangan Ramadan, bulan Syawal juga menjadi momen yang ditunggu olehnya memandangkan ia membolehkan kebanyakan kaum kerabat berkumpul. Kesibukan dengan tugas seharian pastinya membataskan waktu untuk bertanya khabar.
“Sememangnya sambutan Hari Raya merupakan saat paling dinantikan kerana ia merupakan momen untuk berkumpul bersama keluarga. Kebiasaannya, saya akan mengambil giliran menyambut Hari Raya sama ada di Perlis dan Negeri Sembilan. Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid, seluruh kaum kerabat akan berkunjung ke Makam Diraja sebelum meneruskan tradisi memenuhi jemputan rumah terbuka di istana.
Sebelum mengakhiri perbualan, beliau sempat menitipkan pesanan supaya masyarakat Malaysia lebih berhati-hati dalam memilih juadah untuk berbuka puasa agar pembaziran tidak berlaku. Tambahnya lagi, Ramadan sewajarnya menjadi bulan untuk setiap insan bersyukur dengan nikmat yang diberikan dan soal pembaziran dari segi makanan tidak seharusnya berlaku.
“Ramadan adalah saat yang istimewa kerana nikmat dan syukur seharusnya melebihi dari segalanya. Usah terlebih berbelanja, ingat kepada umat islam lain yang berpuasa dalam keadaan serba kekurangan. Semoga Ramadan dan Syawal ini lebih diberkati untuk setiap umat Islam,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pencipta kandungan (Content Creator) di Media Sosial boleh diibartkan bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Masing-masing berlumba mencipta kandungan demi secebis viral.
Namun, NONA amat terinspirasi dengan cara bekas peserta rancangan realiti TV, Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene, Rafidah Ibrahim yang kini giat mencipta ‘content’ mengajak orang ramai ke arah kebaikan.
Selesa disapa Fida, tidak dinafikan followers di media sosial anak seni ini juga semakin meningkat naik selepas ramai menyedari kandungan video bermanfaat yang dihasilkannya.
Mengulas inisiatif murni tersebut yang mahu membantu lebih ramai masyarakat memahami sunnah dan berbuat baik, Fida ketika dihubungi berkongsi kisah di sebalik kejayaan content video yang dilaksanakan.
Fida menjelaskan semuanya bermula selepas ibu tersayang, Norimah Derani meninggal dunia pada Mei 2017.
“Sebenarnya since 2017 lepas mak meninggal dunia, Fida ambil keputusan untuk tak aktif media sosial dan lebih kepada muhasabah diri.
“Waktu tu Fida banyak dengar ceramah-ceramah dalam YouTube sampai la satu hari tu Fida tekad untuk jumpa salah sorang ustaz yang Fida dengar iaitu Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi.
“Ustaz Jafri banyak berkongsi amalan dan sunnah. Lepas dari tu, banyak yang Fida belajar untuk baiki diri dengan ikut syariat. Rupanya banyak yang Fida sendiri terlepas pandang sampai la Fida keguguran anak kedua pada Jun 2022.
“Dari situ, Fida terfikir mungkin kat luar sana juga sama macam Fida yang sangat memerlukan ilmu untuk kehidupan seharian yang kita dah tinggalkan atau dah tak jadi kebiasaan.
Dan Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakan di media sosial berkaitan amalan doa-doa pendek dan sunnah ini. Content-content yang Fida buat kebanyakannya basic harian dalam kehidupan kita.”
Tidak memuat naik video tanpa fakta yang sahih, Fida akui dia terlebih dahulu memahami ilmu daripada sumber yang betul sebelum dikongsikan kepada umum.
“Rujukan Fida selain daripada ceramah-ceramah ustaz yang Fida dengar, adalah melalui website (mufti Malaysia) dan buku-buku rujukan seperti ‘Indahnya Hidup Bersyariat – Ustaz Ismail Kamus’, As Syamail Al Muhammadiyah – Imam At-Tarmidzi’, kitab-kitab dari Ustaz Jafri dan seumpamanya.
Fida mula belajar sedikit-sedikit pada 2017 dan waktu keguguran tu ada lagi ilmu baru yang Fida belajar. Jadi Fida kongsikan dalam media sosial dan tak sangka rupanya ada juga yang tak tahu macam Fida.
Dari situ, Fida terfikir why not kongsi apa yang Fida belajar sebab Abi-Ustaz Jafri ada pesan, kalau ada orang lain pun nak hijrah, kita kena bantu, jangan biarkan mereka tanpa arah dan kita seharusnya bagi galakkan.”
Tambahnya lagi, perkongsian berkenaan bukan hanya diterima baik masyarakat di negara ini bahkan di luar negara termasuk Thailand dan Papua New Guinea.
“Alhamdulillah rata-rata followers Fida di Malaysia dan Indonesia (juga tak ketinggalan followers dari Singapura, Brunei, Papua New Guinea dan Thailand) sangat supportive.
“Ada yang komen di public dan ada juga yang personal mesej, ramai yang mendoakan supaya Fida teruskan dengan perkongsian yang memberi manfaat buat semua,” ujarnya.
Untuk rekod, Rafidah Ibrahim sah bergelar isteri kepada Shahzemir Shahzulkarib pada 5 Mei 2021.
Pernah membintangi drama Epilog Syurga Cinta dan popular menerusi lagu duet ‘Apo Kono Eh Jang’ bersama Datuk AC Mizal, Fida kini lebih aktif di media sosial dan memperlahan karier seninya.
Semoga perkongsian bermanfaat ini menjadi inspirasi dan melahirkan lebih ramai masyarakat berilmu!
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Bintang Latin yang terkenal dengan lagu Whatever Whenever, Shakira secara rasminya telah memecahkan 14 Rekod Dunia Guinness (GWR) menerusi lagu hasil karya bersama Bizarrap berjudul “Music Sessions Vol. 53” yang dikeluarkan pada Januari lalu. Lagu itu menjadikan mereka pemilik lagu Latin paling banyak distrim di Spotify dalam masa 24 jam (14,393,324), lagu Latin paling banyak ditonton di YouTube dalam masa 24 jam (63,000,000).
Rekod lain ialah lagu Latin terpantas mencapai 100 juta tontonan di YouTube (dalam 22 jam), lagu Latin paling kerap distrim di Spotify dalam satu minggu (80,646,962), dan beberapa lagi rekod lain.
Secara keseluruhan, setakat ini, Shakira sudah memiliki 17 rekod Guinness.
Shakira dan Bizarrap bekerjasama buat kali pertama di mana Shakira menyelar bekas teman lelakinya, bintang bola sepak Sepanyol, Gerard Piqué, dalam lagu bergenre electo-pop itu.
Lagu tersebut juga mendapat kedudukan baik dalam carta Billboard, dengan kedudukan terbaik di tempat ke-9 dalam Billboard Hot 100.
Sekitar Jun tahun lalu, Shakira dan kekasihnya iaitu pemain pertahanan Barcelona FC Gerard Pique, 35 mengumumkan bahawa mereka kini sudah berpisah selepas hidup bersama selama 12 tahun.. Shakira membuat kenyataan secara rasmi menerusi sebuah akhbar harian Sepanyol El Periodico.
Pasangan ini mempunyai dua anak lelaki iaitu Milan, 10, dan Sasha, 8, dan mengekalkan kediaman di Sepanyol. Untuk rekod, kedua-duanya bertemu 12 tahun lalu apabila pemain bola sepak itu tampil dalam video muzik lagu Shakira “Waka Waka” yang menjadi lagu rasmi Piala Dunia 2010.
Sumber: Astro Awani
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Meskipun sudah setahun berlalu namun pemergian isteri tercinta ke rahmatullah masih meninggalkan kesan mendalam terhadap Ridz Okumura sampai ke hari ini. ‘Kehilangan’ Allahyarham Akiko Okumura pada 28 Februari 2025 bukan hanya mengejutkan warga maya yang sentiasa mengikuti perkembangannya di media sosial suami, Ridz Okumura.