Menurut laporan Malaysian Medical Journal (1994), seorang wanita Melayu berusia 29 tahun telah mengadu tidak dapat bernafas dan sukar untuk berdiri tegak kerana perut beliau terlalu buncit.

Pakar Sakit Puan yang merawat beliau berjaya mengeluarkan cecair dari abdomen beliau sebanyak 18 liter tetapi perut beliau masih lagi buncit. Beliau seterusnya telah selamat menjalani pembedahan dan baki sista seberat 20 kilogram telah berjaya dikeluarkan.

IKLAN

Jumlah keseluruhan sista itu adalah seberat 38 kilogram, dan ini adalah antara sista gergasi pernah direkodkan di dunia. (Ravichandran J, Med J Malaysia Vol 49, No 3 Sept 1994)

Apakah itu sista ovari?

Menurut Pakar Obstetrik & Ginekologi dari Pusat Perubatan Barakah, Klang, Dr Khairiah Seman, sistem peranakan wanita terdiri daripada rahim, serviks, ovari serta tiub fallopian. Ovari adalah dua organ kecil yang terletak di kedua-dua belah rahim dalam badan wanita. Mereka menghasilkan telur (ovum) serta hormon seperti estrogen dan progesteron. Hormon adalah bahan kimia yang mengawal bagaimana sel-sel atau organ-organ tertentu berfungsi.

Pada setiap satu kitaran haid, telur membesar dan tumbuh pada kantung kecil di dalam ovari yang dipanggil folikel. Apabila telur matang, folikel akan pecah terbuka untuk melepaskan telur. Seterusnya, kantung yang pecah itu akan mengecut dan berubah menjadi corpus luteum. Corpus luteum merembeskan hormon yang membantu menyediakan telur pada kitaran seterusnya.

Sista di dalam ovari adalah masalah yang kerap berlaku kepada wanita. Kebanyakan sista ovari ini bukanlah ketumbuhan kanser. Hampir semua sista ovari ini akan hilang secara spontan tanpa memerlukan rawatan. Walau bagaimanapun, sebahagian dari sista ini memerlukan rawatan jika ia tidak hilang seperti biasa. Hanya dalam beberapa kes yang kecil, ia bertukar menjadi ketumbuhan kanser.

Tak Semua Sista Ovari Membahayakan, Ini Penerangan Doktor Yang Wanita MESTI TAHU!

Apakah jenis-jenis sista ovari yang boleh terjadi?

Terdapat beberapa jenis sista ovari. Yang paling biasa adalah sista berfungsi (functional cysts). Ia terjadi semasa ovulasi. Sista berfungsi sebegini terbahagi kepada sista folikel dan sista luteal.

(1) Sista folikel. Sista ini terjadi apabila folikel tidak pecah untuk melepaskan telur tetapi sebaliknya terus berkembang. Sista jenis ini biasanya hilang dalam tempoh 1 hingga 3 bulan.

(2) Sista luteal. Sista ini terjadi apabila selepas telur dikeluarkan, kantung terus membesar. Kebanyakan sista ini hilang selepas beberapa minggu. Mereka boleh membesar kadang-kadang melebihi saiz lima sentimeter. Sista ini boleh pecah atau menyebabkan ovari terpusing (twisted ovary) dan menyebabkan kesakitan. Beberapa jenis ubat yang digunakan untuk rawatan kesuburan seperti Clomid serta suntikan hormon FSH boleh meningkatkan risiko mendapat sista ini.

Lain-lain jenis sista termasuk:

Endometrioma (chocolate cyst). Sista ini terbentuk pada wanita yang mempunyai endometriosis. Masalah ini berlaku apabila tisu lapisan rahim (endometrium) tumbuh di luar rahim. Sista ini boleh menyebabkan kesakitan semasa hubungan intim dan semasa haid. Endometriosis adalah punca utama kemandulan wanita.

Cystadenoma

Sista ini terbentuk daripada sel-sel di permukaan luar ovari. Mereka selalunya dipenuhi dengan cecair kekuningan atau pekat. Mereka boleh menjadi besar dan menyebabkan kesakitan.

Dermoid cyst

Sista ini mengandungi pelbagai jenis tisu yang bersifat primitif seperti bahan-bahan lemak, rambut, gigi, serpihan tulang dan tisu rawan.

Polycystic ovari

IKLAN

Sista ini disebabkan oleh timbunan sista-sista kecil yang berganda menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan hormon. Misalnya, kitaran haid menjadi tidak teratur, bulu roma yang tumbuh berlebihan di badan dan kemandulan.

Kanser ovari

Walaupun kanser ovari menyumbang sebanyak 25 peratus sahaja daripada jumlah kanser sistem peranakan wanita, ia adalah kanser yang merbahaya. Sebanyak 50 peratus kematian kanser wanita adalah disebabkan oleh kanser ovari. Ini adalah kerana tiada cara saringan yang berkesan.

Apakah gejala-gejala sista ovari?

Kebanyakan sista ovari tidak menyebabkan apa-apa gejala. Namun begitu, kadang-kadang ia boleh menyebabkan tekanan, bengkak atau sakit di bahagian perut dan pelvis, rasa tidak selesa di belakang dan paha, masalah membuang air kencing, sakit semasa hubungan intim/kelamin atau semasa haid, pertambahan berat badan, pendarahan tidak normal atau kesakitan payu dara.

Bagaimanakah sista ovari boleh dikesan?

Kebanyakan sista ovari dikesan semasa pemeriksaan pelvis yang rutin (pelvic examination) di klinik perubatan. Doktor mungkin mendapati bengkak di bahagian pelvis. Sekiranya ini berlaku, beberapa ujian akan dilakukan untuk membantu dalam perawatan. Ujian termasuk:

IKLAN

– Ultrabunyi (Ultrasonogram). Dengan ultrabunyi, doktor boleh melihat sista tersebut dari segi bentuk, saiz, lokasi dan jisim, iaitu sama ada ia dipenuhi cecair, pepejal atau campuran.

– Ujian kehamilan. Ujian ini boleh diberikan untuk memastikan tiada kehamilan.

– Ujian tahap hormon. Tahap hormon boleh digunakan untuk melihat jika terdapat masalah berkaitan dengan ketidakseimbangan hormon.
– Ujian darah. Ujian ini dilakukan untuk mengetahui jika sista tersebut mungkin kanser. Contohnya sejenis protein di dalam darah yang dipanggil CA-125. Jumlah CA-125 adalah lebih tinggi dengan kanser ovari.

– Ujian pengimejan yang lain: Imbasan CT, MRI, dan pancaran positron tomography (PET) boleh memberi imej imbasan yang sangat terperinci.

– Laparoskopi. Pemeriksaan laparoskopi dilakukan dengan membuat tiga lubang kecil masing-masing satu untuk dimasukkan kamera dan dua lagi dimasukkan peralatan untuk membuang sista ovari tersebut. Semasa pemeriksaan ini, pakar bedah boleh menemui sista atau ketumbuhan dan boleh mengeluarkan sebahagian kecil tisu (biopsy) untuk ujian kanser.

Tak Semua Sista Ovari Membahayakan, Ini Penerangan Doktor Yang Wanita MESTI TAHU!

Rawatan

Sesetengah sista akan hilang begitu sahaja dalam masa satu hingga dua bulan tanpa dirawat. Jika ianya tidak mengecut, pembedahan mungkin diperlukan untuk membuang sista tersebut. Jika sista itu dapat dikesan lebih awal, ianya hanya mungkin memerlukan pembedahan yang kecil dan sista itu mungkin dibuang tanpa melibatkan ovari. Kadang kala ovari perlu dibuang dan pembedahan mungkin melibatkan pengeluaran tiub fallopian dan juga rahim.

Rawatan lain yang khusus untuk kanser ovari termasuklah rawatan kemoterapi dan radioterapi.

Oleh kerana sista ovari biasanya tidak menunjukkan gejala, adalah penting bagi wanita yang pernah mengalami sista di masa yang lalu atau mempunyai sejarah keluarga yang pernah menghidap kanser ovari melakukan pemeriksaan pelvis secara berkala. Wanita yang pernah mengalami sista ovari mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapatnya lagi di masa hadapan. Dalam beberapa kes tertentu terutamanya pada wanita yang putus haid, jika berlakunya sista ovari yang merbahaya, rawatan awal biasanya memberi lebih jaminan untuk sembuh. Hamizatul Maizan Mohamed

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI