Tak Tumpang Publisiti Bapa, NJWA MAHIADDIN Selesa Bergelar Anak Seni Dari Ceburi Politik!

Bersandarkan status dan pangkat bapanya sebagai ahli politik terkenal, Najwa Mahiaddin boleh mengambil ‘jalan singkat’ untuk dikenali dan berjaya dengan mudah. Namun anak seni berusia 33 tahun ini memilih untuk bermula dari bawah dan jauh daripada ‘spotlight’ populariti bapa tersayang. Apatah lagi, kini bapanya merupakan Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yasssin.

Sepanjang bergelar pemuzik, Najwa yang kini dikenali sebagai Njwa Mahiaddin dilihat tidak gemar mencampuri urusan politik bapanya. Malah, ketika Tan Sri Muhyiddin masih memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) pun… dia seboleh-bolehnya mengelak status sebagai anak TPM diketahui umum. Mungkin kerana bimbang hal tersebut lebih  menarik perhatian masyarakat berbanding bakatnya dalam karier muzik.

Nama Njwa mula meniti di bibir peminat sejak dendangan lagu duetnya bersama Malique iaitu Senyum berkumandang di corong stesen radio tanah air sekitar tahun 2010. Dari situ, Njwa semakin aktif mengubah lagu dan menyertai pertandingan nyanyian. Antara lagu popular Njwa termasuk Got To Go, Sweet October dan Sama Saja.

Tidak pernah selektif dalam membuat persembahan, Njwa dikhabarkan tetap menerima mana-mana pelawaan nyanyian tidak kira berskala kecil mahupun besar. Semuanya kerana rasa cintanya terhadap muzik. Lebih membanggakan, wanita berusia 33 tahun ini pernah menggondol anugerah Lagu Inggeris Tempatan Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-18.

Njwa di samping suami

Mengintai latar belakang penyanyi bersuara unik ini, Njwa merupakan anak ketiga daripada empat beradik bagi pasangan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. Njwa juga pernah mendedahkan dia tidak datang dari keluarga yang berlatar belakangkan muzik tetapi minat terhadap dunia seni hadir ketika dia mengikuti kelas piano dan muzik sejak kecil. Dia turut menjalin hubungan baik bersama penyanyi bertaraf antarabangsa, Yuna ketika kedua-duanya pernah berpadu suara dalam sebuah konsert.

Meniti tanggal 26 Mac ini genap lima tahun Njwa bergelar isteri kepada Idris Koh yang merupakan salah seorang ahli muzik yang sering mengiringi Njwa dalam setiap persembahannya.

 

Kredit foto: Instagram Njwa Mahiaddin

IKLAN
Share