Tenang Hadapi Pujian Mahupun Kritikan, NEELOFA Punya Kekuatan Mental Luar Biasa!

Beberapa hari ini nama dan wajah selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Nor ‘hangat’ menghiasi laman sosial. Semuanya selepas foto percutian Neelofa di Maldives menjadi tular di Internet. Ada yang memuji penampilan usahawan Naelofar Hijab itu, tidak kurang juga yang menjadikan fesyennya sebagai bahan jenaka.

Meskipun sedar akan gurauan berkenaan, namun seperti biasa.. selebriti cantik ini tetap tenang dan enggan melenting. Tiada ucapan balas daripada Neelofa. Jauh sekali mencipta suasana tegang dengan pihak yang mempersendakan imejnya.

Apa saja yang dilakukan pengacara popular ini, pasti menjadi perhatian ramai. Dari gaya pemakaian hijabnya, fesyen baju yang dipakai sehingga percakapan.. mesti ada suara-suara nakal yang mengajuk.

Alahai, susahnya jadi Neelofa. Buat apa pun mesti ada saja salah di mata orang. Bila tengok semua perkara yang berlaku kepada Neelofa, jelas membuktikan anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini cukup kuat mentalnya!

“Neelofa yang anda lihat hari ini sebenarnya berdepan dengan pelbagai kesukaran. Saya sedar dari hari pertama saya decide untuk jadi artis, akan ada mata-mata yang memandang terutama sekali jika sudah dikenali. Lagi-lagi sekarang ada media sosial. Berbeza dengan artis zaman dahulu yang kisah mereka hanya disiar di dalam majalah dan surat khabar.

Bila ada media sosial, semuanya lebih cepat tersebar. Mahu atau tidak, kami sebagai artis harus hadap semua cacian, kritikan dan pujian yang dilemparkan peminat. Sampai kadang-kadang saya terlupa tentang diri sendiri sebab terlalu menjaga hati peminat.

Tambahan pula bila ada yang menjadikan saya sebagai idola mereka. Saya kena sentiasa buktikan kepada masyarakat semua kelakuan dan tindakan yang boleh menjadi contoh dan inspirasi kepada mereka. Orang luar tak tahu apa yang sedang kita lalui sepanjang hari dan mood

kita pada waktu itu.

Ada ketika saya terpaksa ketepikan semua perasaan sedih dan kecewa serta kuatkan diri untuk bertindak normal semata-mata mahu menjaga hati semua.

Pengakuan saya ini bukan bererti saya mahu mengeluh tapi sekadar untuk berkongsi dengan peminat yang dunia artis ini tidak semuanya indah. Ada masa kita di atas dan begitu juga sebaliknya. Cuma kami memohon agar peminat memahami kerjaya dan menghormati ruang privasi kami.

Saya sangat sayangkan peminat. Sokongan yang telah diberikan mereka terlalu besar untuk saya balas. Bukan semua artis dapat penghargaan seperti yang saya dapat hari ini dan saya amat menghargai anda semua!”

Kata-kata Neelofa saat menjadi penghias muka depan Majalah Nona Februari 2017 ini masih segar di ingatan penulis. Tutur bicaranya yang penuh luhur dan telus ketika itu merungkai apa yang bersarang di lubuk hati.

Meskipun berdepan dengan bermacam-macam tanggapan dan tohmahan namun kerjaya Neelofa terus cemerlang. Baru-baru ini, dia menjadi individu ketiga di dunia yang berpeluang merasai pengalaman berada di The Muraka, Maldives.. penginapan yang dianggarkan bernilai RM200 ribu ringgit untuk satu malam.

Malah, semalam.. Neelofa juga baru sahaja melancarkan koleksi terbaru Naelofar Hijab, Chloe.

Nampaknya Neelofa sudah lali dengan selok-belok dunia hiburan dan enggan menjadikan apa yang berlaku hari ini sebagai halangan untuknya melangkah lebih jauh. Moga kekuatan dan kejayaan yang diraih Neelofa menjadi sumber inspirasi buat wanita lain.

 

 

 

IKLAN
Share