Beberapa hari ini nama dan wajah selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Nor ‘hangat’ menghiasi laman sosial. Semuanya selepas foto percutian Neelofa di Maldives menjadi tular di Internet. Ada yang memuji penampilan usahawan Naelofar Hijab itu, tidak kurang juga yang menjadikan fesyennya sebagai bahan jenaka.
Meskipun sedar akan gurauan berkenaan, namun seperti biasa.. selebriti cantik ini tetap tenang dan enggan melenting. Tiada ucapan balas daripada Neelofa. Jauh sekali mencipta suasana tegang dengan pihak yang mempersendakan imejnya.
Apa saja yang dilakukan pengacara popular ini, pasti menjadi perhatian ramai. Dari gaya pemakaian hijabnya, fesyen baju yang dipakai sehingga percakapan.. mesti ada suara-suara nakal yang mengajuk.
Alahai, susahnya jadi Neelofa. Buat apa pun mesti ada saja salah di mata orang. Bila tengok semua perkara yang berlaku kepada Neelofa, jelas membuktikan anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini cukup kuat mentalnya!
“Neelofa yang anda lihat hari ini sebenarnya berdepan dengan pelbagai kesukaran. Saya sedar dari hari pertama saya decide untuk jadi artis, akan ada mata-mata yang memandang terutama sekali jika sudah dikenali. Lagi-lagi sekarang ada media sosial. Berbeza dengan artis zaman dahulu yang kisah mereka hanya disiar di dalam majalah dan surat khabar.
Bila ada media sosial, semuanya lebih cepat tersebar. Mahu atau tidak, kami sebagai artis harus hadap semua cacian, kritikan dan pujian yang dilemparkan peminat. Sampai kadang-kadang saya terlupa tentang diri sendiri sebab terlalu menjaga hati peminat.
Ads
Tambahan pula bila ada yang menjadikan saya sebagai idola mereka. Saya kena sentiasa buktikan kepada masyarakat semua kelakuan dan tindakan yang boleh menjadi contoh dan inspirasi kepada mereka. Orang luar tak tahu apa yang sedang kita lalui sepanjang hari dan mood kita pada waktu itu.
Ada ketika saya terpaksa ketepikan semua perasaan sedih dan kecewa serta kuatkan diri untuk bertindak normal semata-mata mahu menjaga hati semua.
Pengakuan saya ini bukan bererti saya mahu mengeluh tapi sekadar untuk berkongsi dengan peminat yang dunia artis ini tidak semuanya indah. Ada masa kita di atas dan begitu juga sebaliknya. Cuma kami memohon agar peminat memahami kerjaya dan menghormati ruang privasi kami.
Ads
Saya sangat sayangkan peminat. Sokongan yang telah diberikan mereka terlalu besar untuk saya balas. Bukan semua artis dapat penghargaan seperti yang saya dapat hari ini dan saya amat menghargai anda semua!”
Kata-kata Neelofa saat menjadi penghias muka depan Majalah Nona Februari 2017 ini masih segar di ingatan penulis. Tutur bicaranya yang penuh luhur dan telus ketika itu merungkai apa yang bersarang di lubuk hati.
Ads
Meskipun berdepan dengan bermacam-macam tanggapan dan tohmahan namun kerjaya Neelofa terus cemerlang. Baru-baru ini, dia menjadi individu ketiga di dunia yang berpeluang merasai pengalaman berada di The Muraka, Maldives.. penginapan yang dianggarkan bernilai RM200 ribu ringgit untuk satu malam.
Malah, semalam.. Neelofa juga baru sahaja melancarkan koleksi terbaru Naelofar Hijab, Chloe.
Nampaknya Neelofa sudah lali dengan selok-belok dunia hiburan dan enggan menjadikan apa yang berlaku hari ini sebagai halangan untuknya melangkah lebih jauh. Moga kekuatan dan kejayaan yang diraih Neelofa menjadi sumber inspirasi buat wanita lain.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tahukah anda, kanser serviks merupakan kanser ketiga paling banyak dihidapi oleh wanita Malaysia? Namun pencegahan terhadapnya masih lemah serta dianggap lewa. Rasa malu dan takut merupakan antara dua stigma yang membuatkan ramai wanita enggan membuat pemeriksaan, meskipun hakikatnya ia boleh menyelamatkan nyawa.
Pasti ramai yang tidak menyangka akan menjadi mangsa kanser. Walhal, kanser serviks boleh menyerang seorang wanita seawal usianya sembilan tahun. Benar, ia bukan sahaja menyerang golongan berusia malah golongan muda pun turut berisiko menghidapinya. Kebanyakan kes yang dilaporkan berpunca daripada virus human papilloma (HPV) yang menyerang serviks, atau pangkal rahim yang menyambungkan organ rahim dengan faraj serta membentuk saluran kelahiran buat wanita.
Kanser serviks lazimnya berisiko tinggi terhadap wanita yang mempunyai pertahanan imunisasi yang rendah seperti pesakit HIV, buah pinggang dan pengguna steroid, perokok, mereka yang sering bertukar-tukar pasangan, memulakan hubungan seks dari awal dan penggunaan kontraseptif yang lama.
Dengan peningkatan kes yang membimbangkan, adalah penting bagi setiap wanita untuk mengambil tindakan segera terhadap penyakit yang boleh dicegah ini. Kanser serviks tidak pernah memilih siapa yang bakal menjadi mangsanya kerana setiap wanita berisiko. Ada kala bukan disebabkan oleh genetik tetapi amalan gaya hidup yang terlalu sosial juga boleh menyumbang ke arah ini seperti memulakan aktiviti seks sebelum berusia 18 tahun.
Kanser serviks disebabkan oleh virus HPA yang berjangkit melalui hubungan seks. Apabila wanita terdedah kepada HPV, sistem imunisasi badan selalunya dapat menangkis serangan virus ini daripada menjangkiti wanita. Malangnya bagi segelintir orang, virus berpeluang hidup bertahun-tahun sehingga ia menukar sel pada permukaan serviks kepada sel kanser. Separuh daripada kanser ini terjadi kepada mereka yang berusia 35 hingga 55 tahun.
WANITA BERISIKO
Mempunyai lebih daripada seorang pasangan
Aktif hubungan seks sebelum berusia 18 tahun
Mengalami jangkitan seperti sifilis, genorea, chlamydia atau HIV
Kurang daya imuniti
Merokok
TANDA-TANDA
Sakit pada bahagian pelvis dan di bawah pinggang
Sakit ketika membuang air kecil
Pendarahan atau kepedihan ketika hubungan seks
Pendarahan tidak normal antara kitaran haid
Pendarahan selepas menopaus
Keluar lendir berdarah yang busuk daripada faraj
PEMERIKSAAN AWAL
Benarkah kebanyakan wanita Malaysia lebih rela menjimatkan wang daripada menggunakannya untuk pemeriksaan kesihatan? Menerusi sebuah tinjauan membongkar sikap umum wanita yang sentiasa mengutamakan perkara lain melebihi kesihatan mereka. Setiap gadis muda sehingga wanita berumur 45 tahun mengambil vaksin HPV sebagai langkah pencegahan primer terbaik untuk kanser serviks. Vaksinasi HPV bertindak sebagai satu imunisasi dan membina antibodi melawan HPV. Pap Smear juga perlu dilakukan setahun sekali, sebaik saja anda mempunyai pasangan daripada usia 21 tahun ke atas sehingga 65 tahun. Gabungan Pap Smear dan vaksin HPV adalah pencegahan terbaik di samping menjaga kebersihan diri dengan sempurna.
Bagi wanita yang telah menjalani rawatan kanser serviks, peluang untuk hamil sebenarnya masih ada namun sedikit tipis. Hubungan seks untuk pesakit juga tidak memudaratkan dirinya selepas menjalani rawatan selengkapnya, dan bukan sewaktu menjalani rawatan kemoterapi atau radioterapi. Anda digalakkan mengambil diet yang bersesuaian, rehat yang cukup dan cuba jalani kehidupan harian seperti biasa. Kehidupan yang sihat bermakna jauhi rokok, minuman beralkohol, kerap bersenam, mengamalkan diet seimbang, seks yang selamat dan sentiasa positif dalam kehidupan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Mentor usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman berjaya lulus ijazah kedoktoran (PhD) tempatan pertamanya selepas sesi pembentangan viva voce dengan pembetulan minor bersama institut pengajian tinggi tempatan, Asia e University (AeU) pada Jumaat lalu.
Menurut Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks), Radz Mohd, beliau mewakili warga syarikat mengucapkan tahniah atas kejayaan berkenaan.
Katanya, penerima NONA Men’s Business Mentor Award, itu merupakan role model buat RichWorks dan bangsa usahawan bimbingan kami dalam soal kepentingan meningkatkan ilmu sepanjang masa.
“Moga orang ramai terutama bangsa usahawan di luar sana dapat buka mata dan melihat kejayaan ini sebagai inspirasi buat semua.
“Ini merupakan ijazah kedoktoran pertamanya diterima daripada universiti tempatan selain daripada PhD dari luar negara sebelum ini,” katanya mengulas hantaran dibuat dalam akaun LinkedIn AeU, hari ini.
Bagaimanapun, kelulusan PhD tersebut akan dimuktamadkan selepas keputusan senat AeU yang dibuat dalam masa terdekat.
April lalu, Azizan bersama Pengerusi Eksekutif RichWorks, Datuk Zafrol Rizal Mat telah lulus peperiksaan akhir Chartered Institute of Management Accountants (CIMA).
Tambah Radz, penyelidikan yang dibuat beliau mengenai lima faktor yang membuatkan sesebuah syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dapat berkembang dan membina bisnes yang berjaya.
“Apa yang mengagumkan kami, pembelajaran Azizan tak berhenti di sini kerana beliau juga saat ini sedang mengikuti program di IMD Business School, Switzerland selepas habis mengikut program di Columbia Business School di New York ketika bulan Syawal lalu.
“Ini antara perkara penting ditunjukkan beliau sendiri kepada bangsa usahawan tentang kepentingan ilmu dengan sentiasa upgrade diri kerana cabaran sentiasa ada dan setiap fasa bisnes membawa kepada situasi dan isu berbeza,” jelasnya.
Sehubungan itu, Radz memberitahu, melalui ilmu dan strategi yang terkini dan ditambah baik dari semasa ke semasa membuatkan RichWorks mampu menyediakan solusi end-to-end bagi permentoran usahawan di bawah Titanium dan Spire untuk melonjakkan bisnes masing-masing.
“RichWorks tidak hanya ‘jual air liur’selama 14 tahun seperti dikata segelintir ‘haters’ di luar sana sebaliknya datang dengan proven results.
“Kami telah dan sedang bina usahawan yang berjaya dengan keseluruhan jualan sekitar 300 usahawan Titanium Circle dan Premier kami mencecah RM3.2 bilion pada tahun lalu saja,” ujarnya lagi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sejak bersara daripada arena sukan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dilihat lebih terbuka berkongsi aktiviti peribadi. Sama ada ketika menghadiri hari sukan sekolah
anak-anak mahupun bercuti bersama isteri tersayang, jaguh badminton negara ini pasti akan memuat naik momen indahnya buat tatapan peminat. Terbaru, sempena sambutan
Hari Kekasih… beliau secara terang-terangan meluahkan rasa kasih kepada wanita tersayang, Datin Wong Mew Choo. Memang romantik dan belum pernah Datuk Lee Chong Wei membuat pendedahan istimewa seperti itu sebelum ini.
Mengambil ungkapan romantis itu di IG miliknya, beliau mengakui selepas hampir lapan tahun berkahwin baru kini dia merasai persamaan dirinya bersama isteri. “Pada mulanya
saya tidak percaya sehinggalah melihat gambar-gambar ini. Kami melakukan ‘pattern’ badminton yang sama dan sudah tentu saya tak mahu kelihatan sepertinya kerana dia jauh
lebih cantik!
Saya pernah berjenaka dengannya yang saya perlu memenangi kejuaraan antarabangsa kerana jika tidak, dia pasti tidak akan pandang ‘wajah’ saya ini. Namun jauh di sudut hati,
saya percaya dia tetap akan menyayangi saya meskipun saya bukanlah sesiapa.”
Ujar atlet yang pernah menyandang ranking pertama dunia ini lagi, “Kami mula mengenali satu sama lain sewaktu saya sedang membersihkan gelanggang di BJSS. Sejak itu, dia adalah insan terpenting dalam hidup saya dan anak-anak hingga ke hari ini. Sepanjang saya berjuang menjauhi kanser, saya sudah kuatkan semangat dan enggan mengalah kerana tidak mahu melihat dia menangis kerana saya.
Happy Valentine’s Day Mrs Lee. Tiada siapa yang tahu pengorbanan yang pernah awak buat untuk saya selain Tuhan. Terima kasih di atas segala-galanya dan saya mencintai awak sepenuh hati.”
Tambah Datuk Lee Chong Wei sambil berseloroh, “Today is the time in the year, where you can post jiwang-jiwang tanpa malu-malu kucing.”
Alahai, mesti hati Datin Wong Mew Choo berbunga-bunga lepas baca ungkapan romantis daripada suami tersayang ini. Moga perkahwinan pasangan atlet ini terus bahagia hingga ke anak cucu.
Kredit foto: Instagram Lee Chong Wei
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Nama Janetira Attaskulchai mungkin agak asing dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Namun di Thailand, nama keluarga Attaskulchai merupakan golongan elit dan ahli perniagaan berpengaruh...