TENGKU MUHAMMAD JOHAN PETRA Nama Pilihan Tengku Mahkota Kelantan & Che Puan Mahkota Kelantan Untuk Putera Pertama Mereka.

Rumah tangga pasangan diraja YTM Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra dan YTM Che Puan Mahkota Kelantan Che Puan Sofie Louise Johansson Petra bertambah berseri sejak kehadiran seorang putera yang dilahirkan pada 17 Julai 2023 yang lalu.

Hujung minggu lalu, YTM Tengku Mahkota Kelantan dan YTM Che Puan Mahkota Kelantan berkenan berangkat ke Majlis Akikah, Tahnik dan Cukur Jambul Anakanda Tengku Muhammad Johan Petra bin Tengku Muhammad Fa-iz Petra bertempat di Istana Kota Lama.

Turut sama berangkat Paduka Bonda YMM Raja Perempuan Tengku Anis binti Al-Marhum Tengku Abdul Hamid serta diiringi YM Tengku Aniza binti Al-Marhum Tengku Abdul Hamid.

TURUT BACA: https://www.nona.my/istiadat-perkahwinan-ytm-tengku-mahkota-dr-tengku-muhammad-fa-iz-petra-che-puan-sofie-louise-johansson-disambut-meriah/

Turut sama hadir YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Kaya Setia, Setiausaha Kerajaan Kelantan, YM Tengku Kaya Perkasa, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), YM Tengku Sri Kelana D’Raja Kelantan, YDH CP Dato’ Ketua Polis Kelantan, Kerabat-Kerabat D’Raja Kelantan, Dif-Dif kenamaan serta Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.


Majlis Tahnik dan Doa diketuai oleh YB SS Dato’ Kaya Perba, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan manakala bacaan selawat oleh Al-Fadhil Ustaz Haji Hairul Azizi bin Makhtar, Imam Tua Masjid Muhammadi, Kota Bharu.

Meskipun baharu dua minggu melahirkan cahaya mata pertama, penampilan YTM Che Puan Mahkota Kelantan yang mengenakan abaya rona biru lembut begitu mempersona dan menyerlahkan. Meskipun sedang dalam proses berpantang, wajah keibuan YTM Che Puan Mahkota Kelantan terserlah dalam aura tersendiri.

 

Pasangan diraja ini sepakat memilih nama Tengku Muhammad Johan Petra bin Tengku Muhammad Fa-iz Petra untuk anakanda sulung yang selamat diputerakan pada tanggal 17 Julai 2023 yang lalu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.

IKLAN
Share