Istiadat Perkahwinan YTM Tengku Mahkota, Dr Tengku Muhammad Fa-Iz Petra & Che Puan Sofie Louise Johansson Disambut Meriah

2083

Khabar gembira yang dikongsi dari Istana Kelantan bersama rakyat jelata mengenai berlangsungnya Istiadat Perkahwinan di antara YTM Tengku Mahkota, Dr Tengku Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra dan Che Puan Sofie Louise Johansson disambut penuh syukur.

Kelihatan majlis berlangsung pada 19 April lalu penuh meriah walaupun serba sederhana. Majlis yang bertempat di Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan turut diserikan dengan keberangkatan DYMM Sultan Ismail Petra & YMM Raja Perempuan Tengku Anis, YAM Tengku Muhammad Fakhry Petra dan YAM Tengku Amalin Aishah Putri.

Turut memeriahkan majlis adalah pemimpin kerajaan negeri termasuk YAB Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yaakob, Timbalan Menteri Besar YB Dato’ Nik Mohd Amar Nik Abdullah Arshad dan Exco Kerajaan Negeri.

Pasangan pengantin diraja ini memilih persalinan serba putih untuk Istiadat Akad Nikah dan telah diijab kabulkan oleh YB. Dato’ Seri Paduka Raja Ketua Hakim Syarie, Dato’ Aria DiRaja Haji Daud Mohamad.

YTM Tengku Mahkota, Dr Tengku Muhammad Fa-Iz Petra juga berkenan menyempurnakan Istiadat Menyerang Cincin selepas Istiadat Akad Nikah. Pasangan pengantin diraja ini kemudiannya bertukar pakaian kepada persalinan coklat muda.

Difahamkan, lebih 300 ahli keluarga kerabat dan kenalan rapat sahaja diundang bagi memeriahkan majlis perkahwinan tertutup itu. Cik Puan Sofie, 33, ialah warga Sweden yang juga kenalan lama Tengku Muhammad Fa-Iz.

Tengku Mahkota Kelantan ini diputerakan pada 20 Januari 1974 di Istana Kota Lama, Kota Bharu. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail Petra II sebelum meneruskan pengajian di Oakham School, London di peringkat sekolah menengah.

Sumber & foto: Instagram @koleksi_sultanmuhammadv & @malaysia.royalfamily