Serius, sangat bangga bila dapat tahu personaliti TV yang cantik ni menang Pertandingan Puteri Muslimah Asia 2018, tiga hari lalu! Iyalah, bukan saja mengharumkan nama negara di mata dunia malah berjaya mengangkat martabat wanita terutamanya muslimah Malaysia.
Bukan pertandingan picisan ya.. sebab yang menyertai acara ini terdiri daripada gadis-gadis beragama Islam dari enam negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Turki dan Timor Leste.
Uyaina Arshad melakar sejarah apabila menjadi Puteri Muslimah Asia pertama dinobatkan dalam pertandingan tersebut yang julung kali dianjurkan stesen Indosiar, Jakarta. Berlepas ke Jakarta pada hujung April lalu, Uyaina turut bergandingan bersama Syifa Melvin dan Nurain Zamri sebagai wakil negara.
Meskipun adakalanya keyakinan diri diuji, tapi gadis berbakat besar ini segera bangkit menggapai impian. Melangkah seiring bakat dan intelektual yang tinggi, persembahan Uyaina ketika terpilih sebagai Top 10, Top 5 dan Top 3 nyata cukup mengagumkan. Sambil melemparkan senyuman manis dan yakin, dia tenang menjawab soalan panel juri dalam masa 60 saat yang diberikan.
Ads
“Thank you so much judges especially my beautiful sister Erra Fazira, Indosiar especially @putriprasti & @rafikhakenia, Chaperones especially mummy @ritchiekotambunan and of course to all my new friends I’ve met in this journey. This ride is even more beautiful because of all of you.
Thank you Chaperones yang jaga, tegur dan seperti adik-beradik I kat sana. You shaped, and added spices to me so that I can deliver my best and look my best on stage during the finale. I think I had 20 hands on me to touch up my make up, to change my clothes, to put on my heels, to styles my hijab. It was CRAZY!”
Ads
Uyaina atau nama sebenarnya Shaidatul Naseha Uyaina Arshad, 26 tahun merupakan graduan jurusan Undang-undang dari Universiti Malaya (UM) yang berasal dari Perak. Hadir menyaksikan detik manis Uyaina semasa dinobatkan sebagai juara adalah ibunya, Siti Noor Farah Al-Wafa dan kakak Uyaina, Najla Umaira Arshad.
Naib Juara disandang peserta dari Indonesia, Hanifah Razan sementara peserta Turki, Avida Lale memenangi tempat ketiga. Syabas Uyaina, moga terus memberi inspirasi kepada seluruh wanita di Malaysia dan di persada dunia!
Sumber: Instagram Uyaina Arshad
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Aura Jamal Ubaidillah Ali atau lebih dikenali sebagai Dato’ Jamal Abdillah nyata cukup memukau. Melangkah penuh bergaya, susuk tubuh segak seniman lagenda tanah air ini berjaya membuatkan setiap mata yang memandang terpegun dengan karisma beliau. 43 tahun bergelar anak seni, Dato’ Jamal Abdillah sudah pun berada dalam kelas tersendiri!
Tanggapanawal penulis yang menyangka penyanyi kelahiran Perak ini seorang yang tegas kerana memiliki raut wajah serius berubah sama sekali, sejurus kami mula berbicara. Keperibadian Dato’ Jamal yang mudah mesra, menepati masa dan komited sepanjang sesi fotografi berlangsung begitu menyenangkan.
Tidak hairanlah namanya terus segar dalam industri kerana sangat menghormati hubungan baik dengan semua pihak demi menjaga reputasi diri.
Pembabitan Dato’ Jamal dalam arena muzik bermula seawal tahun 1978 yang menyaksikan beliau bergelar Juara Bintang RTM 1979. Umpama mengikut resmi padi, makin berisi makin tunduk, Dato’ Jamal ketika ditemui menzahirkan rasa terharu kerana kerja kerasnya selama ini mendapat penghargaan Nona.
“Saya pun tak sangka yang umur saya macam ini, 62 tahun, orang masih hendak tengok saya menyanyi. Alhamdulillah saya bersyukur. Semuanya adalah rezeki yang Tuhan beri kepada saya.”
Istimewanya insan bernama Dato’ Jamal Abdillah tidak sekadar terletak pada bakat yang dimiliki tetapi juga kerana personaliti beliau yang merendah diri. Berkali-kali ungkapan syukur terpacul dari bibirnya apabila mendengar kata-kata pujian daripada peminat.
Tambah Dato’ Jamal lagi, “Bercerita kenangan manis pula saya berjaya capai beberapa anugerah besar dan tertinggi bagi saya sendiri antaranya Juara Bintang RTM, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Vokal Terbaik, dan Penyanyi Lelaki Popular.
Kalau saya tak jadi penyanyi, saya mungkin jadi ahli sukan sebab dari bangku sekolah lagi memang saya minat dengan sukan.
Sampai pernah dinobat sebagai olahragawan sekolah. Pernah juga simpan cita-cita hendak jadi pemain bola sepak masa sekolah dulu. Pendek kata, memang seorang yang aktif bersukan. Semua jenis sukan saya suka tapi nampaknya bakat saya lebih menyerlah dan Allah bagi rezeki dalam bidang ini.”
Selain menyanyi, Dato’ Jamal juga sebenarnya seorang usahawan. Tidak bergantung kepada kerjaya seni semata-mata, suami kepada Datin Zai Izzati Khirudin ini memanfaatkan populariti dirinya untuk melangkah maju dalam dunia perniagaan. Khabarnya Dato’ Jamal sudah pun mengeksport produk perniagaan ke pasaran luar negara.
“Sebenarnya saya sudah pun menceburi bidang perniagaan sejak tahun 2009. Saya ada mengusahakan kolam penternakan ikan Arowana di Bukit Merah, Perak. Sehingga kini sudah pun mempunyai 20 kolam. Banyak bidang saya dah ceburi sebenarnya.
Bagaimana pun penternakan ikan Arowana tersebut pada mulanya hanya sekadar hobi tapi lama-kelamaan mendatangkan hasil lumayan. Jadi saya teruskan sampai sekarang. Saya ada satu lagi syarikat yang dinamakan DJA Worldwide yang mengeluarkan produk lelaki dan wanita.
Untuk fasa pertama ini kami menghasilkan produk seperti sabun, kopi, serum dan ubat tenaga. Itu antara jenis produk yang akan berada di pasaran pada Januari 2022. Saya juga berhasrat untuk ada butik bertaraf antarabangsa macam H&M tapi jenama DJA Worldwide yang mungkin akan mengeluarkan kasut lagend kegemaran saya, seluar jeans dan jaket.
Semua itu perancangan untuk fasa kedua. Dalam berniaga saya lebih selesa ketengahkan produk yang saya guna dan produk itulah yang saya jual. Bukan sekadar mahu berniaga semata-mata tanpa menggunakan produk tersebut.
Biasanya, saya akan guna terlebih dahulu dan apabila nampak hasil baru saya berani keluarkan untuk pasaran. Saya juga memasang impian untuk bergelar usahawan berjaya kelak dan menjadi figura yang disayangi dan disegani ramai. Juga dapat hidup lebih tenang dengan anak-anak dan keluarga.”
Dato’ Jamal merupakan bapa kepada empat cahaya mata iaitu Osama Yamani, Ahmad Zaki Yamani, Nur Azura Yamani dan El Issac Yamani. Hasil perkongsian hidup dengan Datin Zai Izzati sejak 1 April 2017, pasangan ini bakal menimang cahaya mata baharu pada tahun hadapan.
Semoga pengalaman hidup dan pencapaian Dato’ Jamal Abdillah mencetus semangat dan inspirasi kepada masyarakat untuk tidak mengalah menghadapi ujian demi menggenggam sebuah kejayaan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Seronok melihat perkongsian Datin Emy Mellisa Mohd Kasim di Instagram berkenaan diet telur rebus yang diamalkan. Bagi memudahkan para pengikutnya, Datin Emy Mellisa meletakkan #eggdietemymellisabdk sebagai rujukan. Diet jenis ini sememangnya menjadi trend masakini untuk memiliki berat ideal. Ternyata, Datin Emy Mellisa berjaya mencapai berat idealnya berkat amalan yang konsisten.
Antara menu-menu sihat yang diolah Datin Emy Mellisa.
“Saya memang jenis yang kurus sejak kanak-kanak sampailah ke zaman kampus. Namun semasa umur 25-26 tahun saya tak sedar berat badan naik mendadak. Lalu saya nekad untuk berhenti kerja dengan niat nak turunkan berat badan dan sambung belajar ke peringkat lebih tinggi.
Saya google macam-macam jenis diet. Akhirnya saya tertarik dengan diet Atkins lalu mencubanya. Dari berat 75kg, saya berjaya dapatkan berat 57kg. Tapi semasa dalam fasa maintain tu saya tersasar sedikit. Berat saya naik ke 62kg!
Lepas berkahwin, saya ada melakukan minor surgery. Disebabkan itu berat saya kembali naik sampai 68kg. Saya cuba untuk diet semula. Saya terbaca kisah viral Amylia AF yang kembali kurus dengan hanya mengamalkan diet telur tanpa ke gim. Saya terus google berkaitan diet telur.
Walaupun saya bukanlah penggemar telur rebus tapi saya nekad juga demi kurus. Telur rebus menjadi signature food saya setiap hari. Saya berjaya mencapai berat ideal semasa zaman sekolah menengah. Dari 68kg saya berjaya mendapat 52kg dalam masa tiga bulan setengah.
Saya idamkan untuk mendapat berat 48-49kg walaupun sebenarnya dengan berat sekarang dah cukup ideal dengan ketinggian saya iaitu 160cm. Empat makanan yang ‘wajib’ ada sepanjang saya amalkan diet telur iaitu telur rebus, epal hijau, kacang kuda dan teh hijau. Bila berlaku penurunan berat yang banyak, saya mula mempelbagaikan makanan sihat lain dalam menu harian.”
PERNAH DIPANDANG SINIS
“Semasa bujang ada yang cakap badan saya macam perempuan yang dah kahwin anak lima. Bentuk badan saya dipertikaikan. Lepas berkahwin pula, ada yang menegur badan saya lebih berisi tak macam sebelum berkahwin.
Sokongan suami membuatkan saya lebih konsisten semasa berdiet. Suami tahu saya tak suka telur rebus tapi setiap pagi suami masakkan telur rebus. Rupanya sangat cantik sehinggakan saya tiba-tiba boleh sukakan telur rebus. Ramai juga followers di Instagram yang turut mencuba cara diet saya. Kebanyakannya mengucapkan terima kasih kepada saya kerana berkongsi tentang diet telur.
Kebanyakan menu sihat yang saya sediakan adalah daripada imaginasi sendiri. Saya tak merujuk mana-mana buku walaupun di rumah ada banyak buku resipi. Kadang-kadang apa yang saya makan di luar, saya akan olah menjadi versi yang lebih sihat. Resipi rakan-rakan di Instagram juga menjadi rujukan saya.
Menu sihat kegemaran saya ialah salad yang ditambah protein. Saya amalkan sayuran hijau dan ulaman untuk awet muda. Saya juga gemar ke gim 4-5 hari dalam seminggu dan meluangkan masa sejam setengah ke dua jam untuk senaman kardio dan strength training.”
NASIHAT BUAT YANG SEDANG BERDIET
“Buat wanita-wanita yang sedang berdiet, untuk kawal nafsu makan anda haruslah bijak membezakan rasa lapar atau nafsu. Kawal stres kerana ia membuatkan kita sentiasa rasa nak makan. Kurangkan minuman manis, gantikan dengan air kosong.
Berhenti membandingkan makanan kita dengan orang lain, tak perlu fikir makanan yang terlalu fancy kerana makanan biasa pun mampu membuatkan kita kurus dan kekal sihat. Paling penting jangan jadikan makanan ringan sebagai stok di rumah sebab potensi untuk ‘termakan’ tu sangat tinggi.”
Datin Emy Mellisa berusia 34 tahun dan merupakan suri rumahtangga sepenuh masa. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Senibina Landskap dari UTM Skudai.
SALMON MASAK LEMAK CILI PADI VERSI DATIN EMY MELLISA
Bahan-bahan:
Kepingan isi ikan salmon
1 kotak kecil santan
Cili padi (dikisar/ditumbuk kering)
Kunyit (dikisar/ditumbuk kering)
Garam secukup rasa
Asam keping
Sedikit air
Daun selasih
Hirisan daun kunyit
Cara Membuat:
Masukkan santan ke dalam periuk diikuti bahan yang dikisar atau ditumbuk kering. Tambahkan air dan hirisan daun kunyit. Biarkan mendidih seketika, masukkan kepingan isi salmon. Tambahkan garam, asam keping dan daun selasih. Kacau sebentar kemudian angkat.
Kredit Foto: Instagram Emy Mellisa
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Memimpin sebuah syarikat gergasi media sosial bertaraf dunia, tentunya kedengaran hebat. Apatah lagi jika bekerja di syarikat antarabangsa seperti Facebook. Nona mengatur pertemuan eksklusif dengan Country Director Meta Malaysia, Nicole Tan, bersembang tentang pengalaman beliau sebagai pemimpin di sini.
Melangkah masuk ke Meta Malaysia di KL Sentral, suasana santai dengan dekorasi yang ‘playful’ serta ruang kerja yang terbuka menyambut kedatangan.
Setenang perasaan di rumah, begitulah yang dirasai penulis saat dibawa berkunjung ke serata pejabat Facebook, yang kini dijenamakan semula sebagai Meta Platforms.
Ketika menatap tanda tangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang terpampang di Facebook Wall, Nicole Tan tiba sambil membantu menerangkan serba-sedikit konsep di sini.
Wanita hebat yang memegang jawatan Country Director Meta Malaysia itu sesungguhnya cukup menyenangkan. Selama lima tahun memimpin syarikat, banyak perkara baru yang telah diperkenalkan untuk manfaat pengguna.
Meskipun berusia 40-an, Nicole Tan sebenarnya baru mendapat cahaya mata sulung. Lebih beruntung, beliau diberi tempoh cuti bersalin yang lama iaitu 6 bulan!
“Dalam tempoh pandemik dua tahun ini, banyak masa saya di rumah bersama si kecil yang kini sudah pun mencecah umur setahun.
Sebelum menyertai Meta, saya pernah berkhidmat di agensi kreatif, pengiklanan dan teknologi selama 20 tahun.” Nicole Tan
Pernah bertugas sebagai Pengarah Urusan di J.Walter Thompson Malaysia serta menetap di China selama beberapa tahun, pengalaman kerja Nicole selama ini sudah tentunya memberi kelebihan besar kepada Meta.
Beliau juga lambang wanita kuat, yang mengutamakan kerjaya serta berani menentang ‘norma’ demi mengejar minat dan impiannya.
Berperanan sebagai pemimpin di Meta Malaysia, wanita asal Petaling Jaya ini bertanggungjawab membantu rakyat agar lebih celik digital, membina teknologi yang lebih cekap dan menyokong perniagaan ke arah pengalaman baru.
“Di seluruh dunia, kami ada 2.8 billion pengguna yang menggunakan sekurang-kurangnya satu aplikasi Meta, tak kiralah Facebook, Instagram atau WhatsApp.
Di Malaysia pula, kami ada 26 juta pengguna yang menggunakan Facebook setiap bulan.
Bayangkan pada waktu pandemik, kajian mendapati trend penggunaan digital lima tahun telah dipercepatkan dalam masa satu tahun saja.
Dan di Malaysia, penetrasi penggunaan digital adalah 88% – yang tertinggi di rantau Asia Tenggara!” Nicole Tan
Tambahnya, orang ramai memang sering memilih aplikasi Meta untuk berhubung, mengekspresikan diri dan berniaga secara online sewaktu PKP berkuat kuasa.
Nicole turut berkongsi tentang pelancaran Reels di Facebook, susulan kejayaan Reels yang diperkenalkan sebelum ini di Instagram.
“Reels di Facebook baru dilancarkan dua minggu lalu. Berdasarkan kajian terhadap trend di media sosial, kami dapati jumlah tontonan terhadap video yang cepat, pendek dan menarik telah meningkat.
Kandungan berbentuk hiburan, masakan atau life hacks paling mendapat tontonan tinggi. Tambahan lagi jika ada ‘peralatan’ untuk mengekspresikan diri seperti filter.”
USAHAWAN
Sempena Hari Wanita Antarabangsa yang bertemakan #SaksamaBersama atau #BreakTheBias, Nicole menerusi Meta turut meraikan kecekalan wanita di Malaysia.
Selain ingin terus memperkasakan golongan Hawa dengan ilmu pengetahuan, beliau juga ingin membantu wanita yang berniaga serta yang menyokong perubahan.
Terdapat peningkatan sebanyak lebih 25% perniagaan Instagram dan lebih 40% halaman perniagaan (Pages) Facebook yang diterajui wanita sejak pandemik bermula.
Malah terdapat lebih 45% kumpulan Facebook berkaitan dengan keusahawanan telah dicipta oleh wanita sejak tahun 2021.
“Wanita mewakili separuh populasi dunia dan separuh daripada potensinya untuk berkembang, mencipta peluang dan membasmi kemiskinan.
Oleh itu kesaksamaan jantina amat penting untuk kemakmuran ekonomi dan komuniti. Kami percaya akan usaha bagi membantu wanita meneroka potensi diri dan pembinaan masyarakat yang lebih berdaya tahan.
Antara teras utama Meta adalah memupuk perkembangan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) milik wanita dengan memberi akses kepada pendidikan, wawasan dan peralatan menerusi webinar, latihan, kursus dan program pensijilan seperti Blueprint, Facebook IQ dan sebagainya.” Nicole Tan
Di sebalik komitmen sebagai pemimpin, Nicole senang memberi tunjuk ajar dan menjadi mentor di tempat kerja. Beliau juga mahu melihat lebih ramai wanita lain bangkit menjadi pemimpin seperti dirinya.
Mengakhiri perbualan, Nicole sempat mengajak para wanita agar membeli daripada usahawan wanita sebagai sokongan.
“Kami akan menampilkan usahawan wanita tempatan seperti peniaga katering dari rumah (vegetarian), Preeti’s Farsan di Pages Facebook Meta Malaysia dan kami mengalu-alukan ahli komuniti untuk berkongsi perniagaan dan komuniti yang diterajui wanita kegemaran di bahagian komen bersama tanda pagar #BuyFromHer.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!