Terpisah Kerana COVID-19, Senator Jaziri Alkaf Sebak Kenang Isteri & Anak-Anak di New Zealand

Demi kerjaya, kadang-kadang kita harus akur bahawa hidup tidak memberi banyak pilihan. Inilah yang dilalui YB Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian apabila terpaksa mengutamakan tanggungjawab pada negara tatkala anak lelakinya perlu mendapatkan rawatan di New Zealand.

Menjadi seorang pemimpin dan dilantik pula sebagai Ahli Dewan Negara, bagi Senator Jaziri Alkaf bermakna menggalas amanah yang cukup besar. Tugas dan tanggungjawabnya juga bertambah, berbanding sebelum ini hanya sebagai Pengerusi BERSATU Sarawak.

Semenjak dilantik sebagai Senator di Dewan Negara Malaysia pada Disember, lelaki berusia 42 tahun ini dilihat aktif menjalankan pelbagai program kemasyarakatan khususnya dalam bidang pendidikan serta pemerkasaan wanita.

Malahan, pengasas MyProdigy Global itu juga turut mengilhamkan forum digital ‘RISE: Future Female Leaders’ sempena Hari Wanita lalu.

 

Tetapi di sebalik personalitinya yang santai dan menyenangkan, senyuman Senator Jaziri Alkaf sebenarnya menyembunyikan rasa rindu yang mendalam terhadap isteri dan anak-anak tersayang.

Bayangkan sudah mencecah 10 bulan mereka terpisah apabila isterinya berkorban membawa anak-anak ke Auckland, New Zealand demi rawatan Bone Marrow Transplant di sana.

“Isteri saya, Suzie Sirat, kini bersendiri bersama anak-anak di sana. Sebagai ibu, dia sanggup berkorban demi memastikan rawatan anak lelaki kami berjalan lancar,” Senator Jaziri Alkaf

Suzie dan Senator Jaziri

 

Tambah beliau, rawatan Bone Marrow Transplant atau pemindahan sumsum tulang di Auckland itu merupakan susulan daripada rawatan-rawatan lain yang telah diusahakan di Malaysia.

“Saya terkilan kerana tidak dapat bersama Suzie pada waktu-waktu mencabar ini. Kadang-kadang saya terkenang bagaimanalah Suzie uruskan anak-anak kami, pergi ke hospital dan berjaga malam… Entah kesihatannya sendiri tidak terjaga di sana.”

Pengorbanan isteri Senator Jaziri Alkaf itu sesungguhnya cukup besar, tambah-tambah lagi di tengah musim pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

Anak-anak Senator Jaziri Alkaf

 

“Sejak mereka terbang ke Auckland tahun lepas, hanya panggilan video saja yang menghubungkan kami. Setiap hari saya akan video call untuk melepas rindu sambil mengambil tahu keperluan Suzie serta anak-anak di sana.

Sebagai bapa, saya terkesan kerana tidak dapat berada disamping mereka pada waktu sukar. Hendak terbang ke New Zealand pun bukan dekat, penerbangan saja ambil masa 10 jam. Itu belum campur lagi tempoh kuarantin kendiri yang memakan masa berhari-hari.

Dalam keadaan sekarang, saya pun tidak pasti bila dapat peluang untuk berjumpa isteri dan anak-anak. Larangan merentas sempadan negara pula semakin ketat, jadi kami hanya berdoa supaya wabak ini segera pergi buat selamanya. Tak sabar nak jumpa dan peluk mereka!” cerita Senator Jaziri Alkaf dalam nada perlahan.

Mendirikan rumah tangga pada tahun 2005, Senator Jaziri Alkaf dan Suzie Sirat kini dikurniakan empat orang cahaya mata terdiri dua lelaki dan dua perempuan. Beliau berkelulusan seni bina dari University of Auckland, New Zealand dan merupakan seorang arkitek.

Pengorbanan adalah bukti cinta. Semoga pandemik COVID-19 akan segera berakhir sekaligus menyatukan semula kasih sayang keluarga kecil ini. Ikuti temu bual Majalah Nona dengan Ahli Dewan Negara ini dalam Lensa Nona…

 

IKLAN
Share