Demi kerjaya, kadang-kadang kita harus akur bahawa hidup tidak memberi banyak pilihan. Inilah yang dilalui YB Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian apabila terpaksa mengutamakan tanggungjawab pada negara tatkala anak lelakinya perlu mendapatkan rawatan di New Zealand.
Menjadi seorang pemimpin dan dilantik pula sebagai Ahli Dewan Negara, bagi Senator Jaziri Alkaf bermakna menggalas amanah yang cukup besar. Tugas dan tanggungjawabnya juga bertambah, berbanding sebelum ini hanya sebagai Pengerusi BERSATU Sarawak.
Semenjak dilantik sebagai Senator di Dewan Negara Malaysia pada Disember, lelaki berusia 42 tahun ini dilihat aktif menjalankan pelbagai program kemasyarakatan khususnya dalam bidang pendidikan serta pemerkasaan wanita.
Malahan, pengasas MyProdigy Global itu juga turut mengilhamkan forum digital ‘RISE: Future Female Leaders’ sempena Hari Wanita lalu.
Tetapi di sebalik personalitinya yang santai dan menyenangkan, senyuman Senator Jaziri Alkaf sebenarnya menyembunyikan rasa rindu yang mendalam terhadap isteri dan anak-anak tersayang.
Ads
Bayangkan sudah mencecah 10 bulan mereka terpisah apabila isterinya berkorban membawa anak-anak ke Auckland, New Zealand demi rawatan Bone Marrow Transplant di sana.
“Isteri saya, Suzie Sirat, kini bersendiri bersama anak-anak di sana. Sebagai ibu, dia sanggup berkorban demi memastikan rawatan anak lelaki kami berjalan lancar,” Senator Jaziri Alkaf
Suzie dan Senator Jaziri
Tambah beliau, rawatan Bone Marrow Transplant atau pemindahan sumsum tulang di Auckland itu merupakan susulan daripada rawatan-rawatan lain yang telah diusahakan di Malaysia.
Ads
“Saya terkilan kerana tidak dapat bersama Suzie pada waktu-waktu mencabar ini. Kadang-kadang saya terkenang bagaimanalah Suzie uruskan anak-anak kami, pergi ke hospital dan berjaga malam… Entah kesihatannya sendiri tidak terjaga di sana.”
Pengorbanan isteri Senator Jaziri Alkaf itu sesungguhnya cukup besar, tambah-tambah lagi di tengah musim pandemik COVID-19 yang melanda dunia.
Anak-anak Senator Jaziri Alkaf
“Sejak mereka terbang ke Auckland tahun lepas, hanya panggilan video saja yang menghubungkan kami. Setiap hari saya akan video call untuk melepas rindu sambil mengambil tahu keperluan Suzie serta anak-anak di sana.
Sebagai bapa, saya terkesan kerana tidak dapat berada disamping mereka pada waktu sukar. Hendak terbang ke New Zealand pun bukan dekat, penerbangan saja ambil masa 10 jam. Itu belum campur lagi tempoh kuarantin kendiri yang memakan masa berhari-hari.
Dalam keadaan sekarang, saya pun tidak pasti bila dapat peluang untuk berjumpa isteri dan anak-anak. Larangan merentas sempadan negara pula semakin ketat, jadi kami hanya berdoa supaya wabak ini segera pergi buat selamanya. Tak sabar nak jumpa dan peluk mereka!” cerita Senator Jaziri Alkaf dalam nada perlahan.
Mendirikan rumah tangga pada tahun 2005, Senator Jaziri Alkaf dan Suzie Sirat kini dikurniakan empat orang cahaya mata terdiri dua lelaki dan dua perempuan. Beliau berkelulusan seni bina dari University of Auckland, New Zealand dan merupakan seorang arkitek.
Pengorbanan adalah bukti cinta. Semoga pandemik COVID-19 akan segera berakhir sekaligus menyatukan semula kasih sayang keluarga kecil ini. Ikuti temu bual Majalah Nona dengan Ahli Dewan Negara ini dalam Lensa Nona…
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Benarlah kata orang, setiap kejayaan anak-anak bermula dari doa dan restu seorang insan bergelar ibu dan bapa. Memang tidak dapat dinafikan kuasa doa dari sang ibu mahupun bapa menjadi azimat yang penting untuk kejayaan anak-anak. Malah, kejayaan anak-anak bukan sahaja diukur dari kejayaan mengenggam segulung ijazah, malah ia lebih dari itu.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Hantu Atau Buaya tidak menyesal meninggalkan bidang nyanyian buat sementara waktu untuk memberi perhatian penuh terhadap pengajiannya di Universiti Teknologi MARA atau UiTM. Nur Nabilah Hashimi atau lebih dikenali Nana Sheme membuktikan pilihannya untuk bergelar penyanyi tetapi tidak mengabaikan pelajaran adalah hadiah terbaik yang dapat diberikan buat ibu tersayang, Nur Aisyah Abdullah
Setelah bertungkus lumus selama empat tahun sebagai pelajar, Nana boleh berbangga menghadiahkan segulung ijazah buat ibu tersayang. Lebih manis lagi apabila dia berjaya menerima Anugerah Cemerlang Kelas Pertama dalam bidang Pengajian Pengurusan Pembinaan dari Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-90 di Universiti Teknologi MARA baru-baru ini.
Nana melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih di atas penghormatan yang diberikan untuknya. Sebagai seorang pelajar yang mengutamakan pengajian dari bidang nyanyian sepanjang tempoh pengajiannya memberitahu penat lelah dan usaha yang diusahakan selama ini berbaloi bukan sahaja untuk dirinya, malah ia lebih kepada menunaikan janji buat ibu tersayang.
“Alhamdulillah. Andainya dengan tawfiq Allah saya memiliki sekelumit kejayaan, maka kredit tersebut haruslah diberikan untuk ibu tersayang. Dia adalah rahsia dan kunci segalanya. Saya tidak pernah khuatir dengan sebarang ujian dan dugaan hidup andainya saya mempunyai doa wanita ini, Saya bersyukur kerana pengorbanan saya meninggalkan bidang seni buat seketika ketika nama saya mula dikenali berbaloi.
Nana menganggap faktor utama kejayaannya itu banyak bergantung kepada restu dan sokongan daripada ibunya yang tidak henti-henti memberi semangat serta berdoa untuknya terus kuat menghadapi segala cabaran dalam bidang pelajaran.
Katanya, tanpa doa, restu dan sokongan ibu, dia mungkin tidak akan berjaya sehingga kini dan berjanji akan terus membahagiakannya sehingga akhir hayat wanita itu.
“Banyak pengajaran saya dapat selepas mendengar nasihat ibu. Memang betul orang kata kalau kita mendapat restu ibu dalam apa jua yang dilakukan, banyak ganjaran yang Allah beri hinggakan saya doa minta satu, tapi saya dapat 10 rezeki.”
Ya, wanita yang menjadi rahsia kejayaan ini ialah insan teristimewa bergelar ibu yang telah berkorban segalanya melalui pelbagai keperitan hidup demi kebahagiaan anak-anaknya. Walaupun pelbagai “luka” dan air mata yang telah beliau titiskan apabila terpaksa berjauhan ketika melanjutkan pelajaran, namun wanita yang dipanggil sebagai “ibu” ini tidak pernah berputus asa mengirimkan doa dan bimbingan.
“Memang pada mulanya agak sayang untuk mengambil keputusan berehat seketika dari bidang nyanyian untuk menumpukan perhatian dalam pelajaran, tetapi saya berpegang pada janji terhadap ibu untuk berjaya dalam bidang akademik. Ibu mana yang tidak mahu melihat anaknya berjaya. Sebagai anak sulung juga, saya perlu buktikan kepada adik-beradik tentang kepentingan akademik. Saya perlu menjadi contoh yang terbaik buat adik-adik,” jelas Nanaa yang percaya doa ibu adalah kuasa doa mustajab untuk dirinya.
“Sepanjang pengajian di kampus utama, saya terpaksa berjauhan dengan keluarga yang menetap di Sarawak. Jadi, saya bulatkan tekad untuk belajar berdikari dan jadikan kata-kata semangat ibu sebagai motivasi untuk berjaya. Walaupun berjauhan, namun ibu sentiasa berkorban untuk anak-anak. Bila ada masa terluang, dia sanggup terbang ke Kuala Lumpur dan berjumpa saya,” ujar anak sulung dari lima bersaudara ini.
Selepas menamatkan pengajian, Nana bakal memberi tumpuan sepenuh masa dalam bidang nyanyian dan tidak menolak jika diberi peluang dan rezeki untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
“ Jika dahulu keluarga hanya membenarkan saya menyanyi sekadar hobi sahaja, tetapi kini mereka sudah memberi lampu hijau untuk saya meneruskan karier dalam bidang nyanyian. Sebagai artis yang baharu , saya perlu bekerja lebih keras untuk menempatkan nama dalam industri hiburan. Nanaa kini bernaung di bawah pengurusan Xeno Asia.
Nana juga bakal melancarkan lagu single terbaru dalam masa terdekat dan akan terus membina kerjaya dalam bidang nyanyian. Ini merupakan minat Nana dan akan meneruskan cita-cita dalam bidang nyanyian pula,” ujar Nana yang memuji keperibadian ibunya sepanjang sesi fotografi dijalankan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nama Sheila Rusly bukan lagi asing dalam industri seni. Sepanjang 36 tahun menceburi bidang seni Sheila yang lahir pada 18 September 1971 tidak sekadar menjadi pelakon. Malah dia juga penerbit, pengarah, pemilik syarikat produksi JS Pictures Sdn Bhd dan usahawan yang disegani ramai.
Bagaimanapun, ramai tidak menyangka bahawa usia isteri kepada pengarah Jinggo ini, sudah mencecah 52 tahun. Malah, warganet acapkali mempersoalkan rupa serta penampilan ibu kepada dua cahaya mata yang dilihat lebih muda dari usia.
Sheila yang sering memuat naik video memasak serta dikenali ramai menerusi rancangan masakan yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia, Ketuk-Ketuk Ramadhan dilihat berjaya mengekalkan berat serta kelangsingan tubuh badanya hingga ramai yang ingin tahu rahsia awet muda pelakon itu.
Didalam setiap hantaran menerusi laman instagram miliknya, pasti ada pengikut yang memuji Sheila Rusly tampak muda, seperti berada pada lingkungan usia 40-an. Siapa yang tak mahu awet muda meski usia telah menjangkau 50-an. Ayuh kita lihat gaya hidup yang diamalkan oleh Sheila Rusly.
Jika anda lihat, Sheila Rusly sering memuat naik rutin senamannya di laman sosial medianya. Pada usia emas begini, pelakon dan pengacara itu tetap melakukan aktiviti kehidupan yang sihat dan tidak pernah melepaskan peluang untuk kekal aktif.
Dia juga kelihatan giat untuk menyertai pelbagai aktiviti lasak seperti jogging, mempunyai rutin senaman sendiri dan juga dia juga turut berlatih bowling walaupun untuk persiapannya bagi drama di astro, Ratu Ten Pin.
Sheila Rusly juga gemar berkongsi resepi masakan di laman sosial medianya, ramai juga yang gemar mengikuti perkembangan itu. Resepi yang di kongsikan juga mempunyai diet yang seimbang yang sesuai dengan gaya hidup yang sihat.
Kebanyakan juadah dan resepi yang di kongsikan akan ada hidangan yang berasaskan sayur-sayuran. Oleh dengan demikian, kita dapat ketahui bahawa Sheila Rusly pasti akan mengutamakan sayur-sayuran dalam diet pemakanannya supaya lebih seimbang.
Justeru, kunci utama kepada kesihatan adalah senaman serta amalan gaya hidup sihat. Jangan jadikan faktor usia sebagai alasan untuk kita tidak lagi aktif bersukan mahupun bersenam kerana ia merupakan kunci kepada kesejahteraan kesihatan yang berpanjangan.
Sheila Rusly tidak pernah menjadikan hobi memasak sebagai halangan untuk menjalani gaya hidup sihat, jadi Nonarians yang mahu awet muda serta sihat dan cergas untuk jangkamasa yang lama, boleh la tiru gaya hidup yang diamalkan oleh ibu mertua kepada aktress jelita Elisya Sandha ni.
Selamat mencuba!
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari HIJABISTA
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Karakternya yang sentiasa mencuit hati dengan lawak yang bersahaja, Shiera Al-Khaired kini semakin anggun dan manis sejak bertudung. Bertitik tolak daripada ikhtibar musibah COVID-19 yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini, Shiera yang merupakan isteri kepada Ijoy Azhari dan ibu anak lima ini membulatkan tekad untuk terus bertudung.
MAKIN SELESA & TENANG
“Sejak awal PKP lagi saya sudah berniat untuk bertudung kerana terkesan dengan apa yang berlaku sekarang. Banyaknya ujian yang Allah SWT berikan kepada kita. Sebelum ini saya pakai tudung pun kadang ‘on-off’, tak sempurna. Mungkin kerana pengaruh serta cabaran dalam industri hiburan ini sangat hebat.
Bila dan bagaimana hidayah itu sampai saya sendiri tiada jawapan pasti kerana segalanya berlaku secara natural. Alhamdulillah kini saya semakin selesa dan tenang dengan penampilan baru ini. Saya bulatkan hati untuk terus istiqomah. Sudah tiba masanya untuk saya berubah menjadi hambaNya yang lebih baik walaupun masih belum sempurna. Apa pun saya masih belajar dan akan terus belajar.
Keluarga, suami serta ibu mertua pun tidak terlalu terkejut dan tidak berkata apa-apa tentang perubahan saya ini. Mungkin sebelum ini mereka sudah biasa melihat saya mengenakan tudung untuk ke mana-mana majlis contohnya majlis agama atau ceramah. Apa pun mereka sangat gembira, supportive dan positif dengan perubahan saya ini.
PENAMPILAN & GAYA TUDUNG
Sekarang ini saya lebih selesa memilih pakaian yang longgar-longgar dan yang memudahkan saya untuk bergerak. Saya ini agak agresif sikit jadi kalau keluar bekerja tu lebih selesa menyuai padankan apa jua jenis baju dengan seluar.
Untuk gaya tudung saya tidak belajar daripada sesiapa pun. Saya belajar sendiri mengikut keselesaan. Bukanlah hendak nampak cantik sangat, asalkan kemas sahaja. Nak nampak cantik bertudung tu saya masih tak pandai lagi.
Selalunya saya akan pilih gaya tudung yang ringkas, cepat dan mudah disarung contohnya selendang yang boleh diselempangkan terus ke belakang. Kalau tudung bawal tu saya masih kurang yakin dan tak pandai lagi namun akan cuba untuk belajar memakainya dengan kemas.
Apa pun gaya yang penting saya tetap menjaga imej bertudung dengan sentiasa memastikan berpakaian longgar dan berlengan panjang. Hal ini saya masih dalam proses belajar secara perlahan-lahan.
CABARAN
Dari segi cabaran pula, hendak kata yang berat-berat tu belum pernah alami lagi namun perasaan kekok tu masih ada. Kadang-kadang takut juga bila keluar saya terlupa untuk pakai tudung betul-betul. Maklumlah saya ini kalau buat sesuatu perkara semuanya hendak cepat dan sedikit terburu-buru. Rasanya ini antara dugaan saya setakat ini.
Kalau ada yang hendak memuji atau mengecam gaya bertudung, saya tak pernah ambil kisah. Saya juga masih berkawan dengan sesiapa sahaja, masih rapat dengan kawan-kawan lama. Ramai yang memberi kata-kata semangat dan sokongan, dan ada juga yang mengadiahkan saya tudung. Alhamdulillah..” Ungkap Shiera yang kagum dengan Mizz Nina dan Noor Kumalasari yang dianggap sangat istiqomah dalam penghijrahan mereka.
HIKMAH PKP
Selain memberi ‘penghijrahan’ baru dalam hidup Shiera, tempoh PKP turut menjadikan hubungan kekeluargaannya kian erat.
“Saya merasa sangat seronok kerana sekarang semuanya ada di rumah. Kalau tidak sebelum ini masing-masing sibuk. Hikmah Ramadan tahun ini sungguh indah kerana selain dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan, kami turut berpeluang untuk solat berjemaah dan berterawih bersama-sama.
Suami menjadi imam, anak-anak dapat solat sekali semua. Banyaklah yang kita boleh belajar. Saya juga lihat sekarang ini terdapat banyak program-program Live berbicara tentang topik-topik agama. Bagi saya itu perkara yang sangat baik dan bermanfaat.
Orang kata dalam tempoh PKP kita ada banyak masa. Itu tidak dinafikan. Namun kadang-kadang saya rasa seolah-olah masa itu lagi tidak cukup sebenarnya kerana macam-macam perkara yang boleh kita buat di rumah. Saya sendiri walaupun kerja dari rumah tetapi tetap juga kena keluar kalau ada tugasan. Kadang-kadang terpaksa berbuka puasa di luar.
Alhamdulillah ibu mertua saya masih sudi untuk membantu menjaga anak-anak termasuk menyediakan hidangan berbuka untuk anak-anak dan suami kalau saya ada kerja di luar. Saya sangat menghargai jasa ibu mertua yang tidak pernah berkira dari segi masa dan tenaga. Terima kasih Mama.”
ANGGAP IBU MERTUA SEPERTI IBU SENDIRI
Seperti kita tahu hubungan Shiera dan ibu mertuanya, Datin Maria Arshad umpama isi dengan kuku. Beruntungnya Shiera kerana disayangi dan sangat serasi dengan mertuanya yang dipanggil Mama.
“Ibu mertua saya seorang yang mengutamakan keluarga. Kalau buat apa-apa pun semuanya untuk keluarga. Selalunya Mama akan lebihkan anak-anak dan cucu. Mama memang sangat rapat dengan cucu-cucunya dan mereka selalu bersama. Secara tak langsung saya dan suami turut menerapkan cara tersebut dalam mendidik anak-anak.
Kami menggalakkan anak-anak untuk berjumpa dengan nenek mereka sekerap yang mungkin. Kena selalu rapatkan hubungan mereka antaranya melalui video call mahupun group WhatsApp. Ibu saya sendiri pun sering berpesan, jangan lupakan ibu mertua. Jadi saya memang utamakan ibu mertua, melayannya sama seperti ibu sendiri.
Antara air tangan Mama kegemaran kami sekeluarga ialah ayam masak merah. Memang sedap! Rasa rugi jugalah sebab banyak ilmu memasak yang saya tak belajar dengannya. Orang kata salah satu cara untuk tackle hati ibu mertua ialah melalui masakan. Tapi cara saya lain iaitu dengan mengambil berat dan menghubunginya selalu. Semoga hubungan kami sekeluarga kekal akrab selamanya.”
Selain itu, Shiera bukan saja mengkagumi cara didikan ibu mertuanya terhadap anak-anak malah dia juga bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang masih sihat, bertenaga, cantik dan langsing.
“Mama seorang yang sangat disiplin dengan amalan petuanya dan dilakukan bersungguh-sungguh tanpa putus asa. Saya pula sebaliknya, tak dapat nak ikut sangat petua-petua yang diamalkan sebab terlalu sibuk. Kalau buat pun hangat-hangat tahi ayam saja. Setiap orang ada cara masing-masing.
Kalau berbual tu memang kami tak pernah cakap topik kecantikan. Selalunya lebih kepada hal-hal anak cucu, ‘membawang’ pun ada lah sekali sekala.. Walaupun Mama tak pernah kongsi apa petua yang diamalkan tapi saya dapat lihat melalui perbuatannya.
Rawatan-rawatan moden macam suntik sana sini Mama memang tak pernah buat dan tak pernah berminat pun. Baginya biar cantik semula jadi, jangan halang proses penuaan yang sememangnya pasti terjadi. Yang penting kena pandai jaga untuk maintain. Saya bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang masih sihat, bertenaga dan cantik sampai sekarang walaupun usianya dah mencecah 60an.
Terus terang, saya memang tak jaga badan sangat. Dulu kalau tak jaga pun berat masih lagi maintain, mungkin terlalu aktif dan sibuk dengan kerja. Sekarang saya perlu makan untuk kekalkan tenaga dan menjadi lebih cergas.
Saya amalkan produk-produk kesihatan dari farmasi. Tapi tak ambil banyak pun sebab saya jenis yang bukan minum air banyak. Jadi kalau ambil apa-apa suplemen saya tak akan makan banyak takut memberi kesan kepada buah pinggang.
Saya ambil satu tablet suplemen saja sehari dan minum oxygenwater. Saya juga amalkan makan sayur setiap hari. Kalau makan nasi selalunya saya tak akan tambah lagi. Saya cuba tak makan berlebihan.”
Shiera atau nama sebenarnya Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar Al-Khaired kini masih aktif sebagai penyampai radio serta pengacara televisyen dan majlis. Shiera yang kini berusia 46 tahun merupakan adik kepada Sharifah Nor Azleenda serta kakak kepada Sharifah Sakinah.
Kredit Foto: Instagram Shiera Al-Khaired
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Idy Chan kembali mencuri perhatian pada usia 66 tahun apabila penampilannya yang anggun dan awet muda tular di media sosial. Ketahui kisah pelakon ikonik Bibi Lung yang memilih kehidupan sederhana selepas bersara.