
Aktres jelita, Kajol cukup popular dalam industri seni Bollywood sejak era 90-an. Pelbagai filem telah dibintangi oleh Kajol dan majoritinya pecah panggung. Salah satunya ialah Kuch Kuch Hota Hai, sebuah filem hit sepanjang zaman yang dibintanginya bersama Shah Rukh Khan.

Awet Muda
Sedar tak sedar, usia Kajol sudah pun mencecah 51 tahun. Pun begitu, penampilan Kajol sentiasa kelihatan menawan dan awet muda. Diva Bollywood ini ada berkongsi rahsia penjagaan kulit anti penuaan yang diamalkannya secara konsisten.

Memetik perkongsian ibu kepada dua anak ini dalam video Tweak India, Kajol mendedahkan rutin kecantikannya yang sebenar bagi mengurangkan tanda-tanda penuaan kulit.
Untuk info, Tweak India ialah sebuah syarikat media digital milik aktres Twinkle Khanna yang memfokuskan kepada kandungan digital untuk wanita India moden. Ia terkenal dengan siri “The Icons” di mana wanita-wanita terkemuka ditemu bual.

Salah seorangnya ialah Kajol yang membincangkan pelbagai topik kehidupan termasuk keibubapaan, lakonan serta pengurusan kewangan.
Risau Dengan Penuaan
“Ya, saya risau. Penuaan adalah tentang tenaga dan garis-garis halus yang mula muncul pada wajah. Adakalanya orang cepat tua, apabila mereka letih dan bosan dengan apa yang mereka lakukan. Ketika itulah orang mula perasan garis-garis halus itu. Jadi saya risau, ya, saya risau, siapa yang tidak kan?” luah Kajol.

BACA JUGA: Makin Cantik Macam Ibu, Nysa Devgan ‘Buah Hati’ Kajol & Ajay Cecah Usia 22 Tahun!
“Saya sangat konsisten dengan rutin minum lapan gelas air putih setiap hari. Saya perlu tidur sekurang-kurangnya 8-10 jam sehari. Saya tidur awal, saya salah seorang daripada ‘orang aneh’ yang tidak mempunyai kehidupan malam atau bersosial dalam hal ini.
“Saya juga amalkan mencuci muka setiap malam dan menyapu krim. Selain itu, saya turut bersenam setiap hari.”

Bagi Kajol, tidur yang cukup dan mengekalkan kelembapan kulit dapat membantu memberi kesan positif.
Sarannya lagi, seseorang itu juga harus mengamalkan rutin penjagaan kulit yang betul serta memilih produk yang sesuai dan selamat.
Kajol turut berpendapat, bersenam dengan kerap juga boleh membantu menjadikan kulit kelihatan lebih segar dan awet muda.
Selain itu, seseorang juga harus menjaga pemakanan agar kekal seimbang. Kita perlu bertanggungjawab dengan apa yang dimakan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kalau Buka Bisnes Jangan ‘Mencuri’ Dari Modal, Setiap Sen Adalah Keuntungan – Hajah Faiza Bawumi

Hajah Faiza Bawuni Sayed Ahmad merupakan figura yang memukau bukan sahaja dalam dunia perniagaan tetapi juga sebagai seorang wanita yang membawa impak besar kepada masyarakat Malaysia, khususnya di kalangan komuniti wanita, keluarga dan usahawan Muslim.
Kesempatan menemuramah penerima NONA SUPERWOMAN AWARD 2024 di kediaman anaknya, Puan Jadwa di Putra Heights sekembalinya dari Mesir, membuka lapisan keperibadiannya, nilai-nilai hidup selain jiwa keusahawananan yang menebal.

Sebagai seorang wanita Muslim, ibu dan usahawan, Hajah Faiza membuktikan bahawa kejayaan sebenar adalah apabila kita dapat membawa perubahan yang baik kepada orang lain, memperkasa golongan yang kurang bernasib baik dan terus berpegang pada prinsip moral dan agama dalam setiap tindakan yang diambil. Keperibadian beliau yang penuh inspirasi memberikan motivasi kepada wanita dan usahawan muda untuk tidak pernah berhenti berusaha mencapai impian mereka.
Jangan “Mencuri’ Dari Modal Kalau Buka Bisnes
Satu dari aspek yang sangat penting dalam kehidupan dipegangnya adalah perlunya mengimbangkan kehidupan perniagaan dengan prinsip-prinsip agama. Sebagai seorang Muslim yang taat, beliau sangat mementingkan integriti dan keberkatan dalam setiap aspek kehidupannya.
“Sewaktu memulakan perniagaan rempah pada tahun 1968, niat saya berniaga adalah untuk membantu orang lain. Bermodalkan RM4 ketika itu, saya yakin Allah bersama dalam setiap langkah ini. Perniagaan bagi saya adalah ibadah. Setiap usaha yang saya lakukan adalah untuk mencari keberkatan Allah. Saya percaya bahawa setiap langkah yang kita ambil, jika niatnya betul dan dilakukan dengan penuh integriti, akan membawa kejayaan dunia dan akhirat,” ujar ikon usahawan ini.
Pengasas dan Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn Bhd, syarikat pengeluar beras Malaysia ini menegaskan untuk menjadi individu berjaya, biasakan solat di awal waktu selain jangan sekali meninggalkan Al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Kita mesti ada rasa cinta pada Al-Quran. Kalau dah khatam, ulang lagi dan lagi tanpa pernah jemu sedikit pun. Mesti baca setiap hari. Masa yang sama, kena seimbangkan dengan sedekah. Amalkan zikir dalam kehidupan kita dan sebelum tidur bacalah surah Al-Mulk. Jangan tinggalkan tahajud setiap malam. Insya Allah, Allah akan mempermudahkan kehidupan kita,”pesan Hajah Faiza yang kini berusia 82 tahun.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- Berkilauan Bak Berlian, Tokoh Wanita Berjaya Diraikan Di Nona Superwoman Award 2024!
Gaya Tetamu Di Atas Red Carpet Nona Superwoman Award 2022, Yang Mana Satu Tercantik?

Setiap Sen Adalah Keuntungan – Hajah Faiza Bawumi
Hal yang sama ditekankan buat ahli keluarga dan pekerja kerana kejayaan yang sebenar bukanlah hanya diukur dengan kekayaan material tetapi juga dengan keberkatan yang datang daripada usaha yang dilakukan dengan niat yang ikhlas.
“Menjaga kualiti produk, berurusan dengan jujur dan memastikan setiap transaksi perniagaan mematuhi prinsip halal adalah antara aspek yang saya amat tekankan dalam perniagaan.
Tambahnya lagi, untuk menjadi peniaga berjaya, jangan sesekali “mencuri” dari modal sebaliknya peniaga perlu membeli produknya sendiri jika perlu.
“Maksudnya di sini, kita tak boleh sewenang-wenangnya ambil dari duit berniaga kecuali selepas ditolak keuntungan diperoleh. Kalau isteri buka kedai runcit, suami ambil rokok percuma, belanja sekolah anak juga ambil dari situ, ia sebenarnya akan merosakkan perniagaan.
“Masa mula berniaga dahulu, saya tak ambil gaji bertahun-tahun sampailah syarikat mula berkembang, terus saya ambil gaji RM5000 setiap bulan,”katanya disulami tawanya tatkala mengimbau kenangan lalu.
Bisnes beras
Bermula dari hanya perniagaan rempah cap Bunga Raya yang di pek sendiri di rumah pada 1968, perjalanan usahawan ini semakin dikenali ramai selepas memperkenalkan beras berkualiti herba yang unik dari negeri Kartanaka, India Selatan iaitu nasi Ponni Herbal pada 1998 sebelum ditukar kepada Taj Mahal yang membawa namanya dikenali seluruh negara dan menjadi ikon bagi usahawan wanita.
Ditambah kejayaan program TV Bersamamu untuk membantu golongan susah yang masih kekal hingga kini telah menaikkan nama Hajah Faiza sebagai usahawan berjaya. Pada tahun 1999, beras Faiza menjadi satu-satunya syarikat beras yang mengiklankan produk di TV bahkan mereka membawa krew melawat ke India untuk melihat sendiri penghasilan beras ponni Taj Mahal yang berjaya melonjakkan nama syarikat terkenal hingga ke hari ini.
“Saya bukan bermula dengan perniagaan beras tapi rempah. Masa tu bungkus sendiri dari rumah. Saya jual dari kedai ke kedai selain rumah-rumah orangdengan menaiki van. Sampailah satu masa mereka bertanya saya tak jual beraskah.
“Dari situlah permulaan saya ke Lembaga Padi Negara (kini dikenali sebagai Padiberas Nasional (Bernas). Masa itu saya beli sikit-sikit dan bungkus sendiri diri di rumah juga. Bila semakin ramai beli, saya beli secara guni pula. Nak seal pun buat satu-satu secara manual. Saya bawa van sendiri bawa ke kedai-kedai hantarkan beras. Sampailah mampu ada kilang dan beri rezeki kepada 600 lebih orang pekerja hari ini.
“Kemudian LPN perkenalkan beras brasmati. Saya mula beli dan jual. Alhamdulillah orang suka dan ketika itu saya mendapat idea untuk membawa masuk beras dari India. Alhamdulilah, rakyat Malaysia menyukainya,tutur Hajah Faiza tentang asal usul bisnes beras yang dijalankan.

Sosok Hajah Faiza Bawuni adalah lebih daripada sekadar seorang usahawan berjaya. Merupakan ibu kepada tujuh anak ini terdiri dari lima orang perempuan dan dua orang lelaki itu dilihat sebagai seorang ibu yang berjaya dalam membesarkan anak-anak menurut ajaran Al-Quran bersama-sama arwah suami, Tuan Haji Abu Bakar yang dahulunya bekerja sebagai kadi sehingga memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Syariah.
“Ketika mula berniaga dahulu, saya minta izin suami. Arwah suami membenarkan saya berniaga dengan syarat jaga suami, anak, kehormatan diri dan keluarga. Dia yakin saya boleh berniaga. Oleh itu, saya perlu bijak mengatur masa agar semua kerja di rumah dapat diselesaikan.
“Alhamdulillah, saya yang hantarkan anak-anak ke sekolah, masak makan minum suami semua terjaga. Malah ketika perniagaan mula berkembang, saya sentiasa ajar anak hidup bersederhana tapi agama mesti didahulukan dalam kehidupan mereka.
“Saya ingat lagi anak menangis (Dr Salwa) mahu beli bakul basikal. Walau mampu membelinya tapi saya suruh anak kerja untuk dapatkan apa dihajatinya. Jadi balik dari sekolah, anak akan tolong bungkuskan rempah dan saya bayar upah. Dia kumpul sikit demi sedikit sampai mampu beli bakul basikal. Hari ini, kesemua anak-anak sudah berjaya dalam bidang masing-masing.
“Kalau nak belajar sampai PhD saya akan bantu anak-anak. Tapi kalau dah tak mahu teruskan belajar cukup setakat ada ijazah saja, saya ajar berniaga. Alhamdulillah, masing-masing ada karier tersendiri,”katanya yang memiliki 32 orang cucu dan cicit 17 orang.
Saksikan temu bual eksklusif bersama Hajah Faiza Bawumi yang merupakan penyandang anugerah utama Nona Superwoman Award…
“Masa mula berniaga dulu, niat saya buka perniagaan adalah kerana Allah, mahu bantu orang. Dari buat di rumah, pek sendiri beras sikit-sikit sampai ada stor.
“Dari stor, saya beli satu rumah kedai, kemudian dapat beli satu lagi rumah kedai. Bukan terus jadi senang sebelum akhirnya dapat buka kilang atas tanah yang saya beli.
“Bila buka perniagaan,saya dapat bantu pekerja bekerja dengan saya. Saya suruh mereka niatkan bahawa dengan pekerjaan itu, buatlah kerana Allah dan ekonomi keluarga. Alhamdullilah, apa yang ada hari ini, Allah yang beri segala-galanya.
“Nasihat saya, amalkan solat di awal waktu, jangan lupa solat sunat. Jangan tinggalkan juga tahajut dalam hidup kita. Sentiasalah mengingati Allah,insya Allah hidup kita akan dipermudahkan semua urusan,” jelas Hajah Faiza yang mempunyai 7 anak dan 27 orang cucu.
Berasal dari Kaherah, Mesir, Hajah Faiza memaklumkan dirinya bertemu jodoh pada usia 16 tahun.
“Arwah suami adalah kenalan kepada ayah saya. Suami merupakan pelajar Malaysia yang belajar di Mesir ketika itu. Bila bapa perkenalkan, saya terima saja kerana kata bapa, orang beragama akan menjaga rumahtangga dengan baik.
“Orang beragama juga tak akan menganiaya isteri walau saya akan berjauhan dari keluarga kerana mengikut suami balik ke Malaysia. Masa yang sama saya ada buat solat istikharah mengenai jodoh ini dan alhamdulillah dipermudahkan.
“Dulu arwah bapa ada buka kedai makan di tengah bandar. Betul-betul di hadapan Istana Farouk. Saya pula jaga cashier. Jadi memang ramai pelajar Malaysia makan di kedai bapa sampailah bapa perkenalkan saya dengan arwah suami. Alhamdulillah, pada usia 18 tahun, saya ada anak seorang sebelum ikut suami balik ke Malaysia sebelum menetap di Batu Pahat, Johor.
Setiap apa yang kita makan akan menjadi darah daging. Nasihat Hajah Faiza Bawumi carilah makanan yang halal dan diyakini bersih dari pengeluarnya.
“Banyak syarikat bukan muslim menggunakan nama Melayu untuk menarik perhatian orang Melayu. Sebab itulah adalah fardu ke atas kita mencari makanan yang bersih dan halal. Jangan fikirkan murah tapi fikirkan juga halalan toyyiban,”katanya menitip nasihat.
Menasihati usahawan agar tidak mudah berputus asa walau melalui pelbagai rintangan dalam perniagaan, Hajah Faiza juga memaklumkan perlu adanya sifat sabar dan jangan jemu bila mengusahakan sesuatu.
“Perjalanan keusahawanan penuh dengan cabaran. Ada kalanya kita akan jatuh tetapi kita perlu bangkit semula. Tidak ada kejayaan tanpa pengorbanan. Kejayaan hari ini bukan hanya milik saya seorang. Saya tidak akan berada di sini tanpa sokongan daripada keluarga, pekerja dan juga pelanggan saya. Mereka adalah bahagian penting dalam setiap kejayaan yang saya raih,” jelasnya.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/mantan-gabenor-bank-negara-aktif-gym-tan-sri-nor-shamsiah-yunus-bahagia-meniti-usia-bersara/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Khasiat Kacip Fatimah, Ramuan Alam Untuk Perawatan Kesihatan Dalaman Wanita

Kacip Fatimah sememangnya cukup sinonim dengan kaum Hawa khususnya berkaitan dengan kesihatan dalaman. Tumbuhan herba ini memiliki khasiat yang sangat tinggi.
Kacip Fatimah atau nama saintifiknya ialah Labisia Pumilia dan Pathoina merupakan salah satu tumbuhan herba yang biasa didapati di hutan belantara Nusantara.
Menyingkap seketika bentuk fizikalnya, Kacip Fatimah daripada famili Myrsinaceae adalah tumbuhan herba yang mempunyai batang berkayu. Ia biasanya tumbuh secara meliar di hutan hujan tropika.
CEGAH PRAKANSER

Tahukah anda bahawa nama ‘Fatimah’ itu sendiri dikaitkan dengan nama wanita bangsawan serta mempunyai maksudnya yang terselindung? Ia dikaitkan dengan kesihatan dan semangat wanita.
Kacip Fatimah dipercayai mengandungi elemen-elemen seperti antioksidan serta phytoestrogen. Kedua-dua elemen ini memberi manfaat kepada kaum lelaki serta wanita untuk membantu mencegah pembiakan sel-sel prakanser, memantapkan tisu yang memerlukan hormon estrogen, mengukuhkan struktur tulang melalui penyerapan jisim tulang serta melewatkan proses penuaan.
Selain itu, Kacip Fatimah juga biasa dimakan mentah iaitu sebagai ulam oleh wanita Melayu. Manakala air rebusan Kacip Fatimah ini biasanya digunakan untuk wanita yang mengalami masalah keputihan serta bagi melancarkan proses kelahiran bayi. Juga, dapat membantu merawat masalah cirit-birit.
Di samping itu juga, Kacip Fatimah dapat membantu mempercepatkan proses kelahiran bayi serta dapat mengembalikan kecergasan selepas bersalin. Seterusnya, membantu mengecutkan bahagian rahim serta melangsingkan tubuh selepas bersalin.
MELANCARKAN KITARAN HAID

Keistimewaan Kacip Fatimah tidak terhenti di situ sahaja. Tumbuhan herba ini turut dipercayai boleh membantu untuk merangsang pengeluaran hormon yang dapat melancarkan perjalanan kitaran haid wanita.
Selain itu, ia dapat mengurangkan kesakitan senggugut ketika haid. Kini, kita dapat melihat di pasaran banyak produk herba yang berasaskan Kacip Fatimah.
Namun begitu, ini tidak bermakna kaum lelaki dan anak-anak remaja tidak boleh makan Kacip Fatimah. Ini kerana ia tiada kesan sampingan dan tidak memudaratkan kesihatan. Herba Kacip Fatimah turut boleh diamalkan oleh kaum wanita yang belum berkahwin disebabkan khasiatnya yang dapat membantu membekalkan tenaga kepada tubuh.
Sekiranya seorang wanita bujang itu mengamalkan Kacip Fatimah sejak awal, ia merupakan salah satu usaha yang baik dan menyihatkan untuk pemuliharaan kesihatan dalaman tubuhnya.
MANFAAT LAIN
Antara manfaat-manfaat lain bagi Kacip Fatimah ini adalah:
- Membantu melancarkan proses kelahiran bayi.
- Membantu melangsingkan tubuh dengan menegangkan otot-otot.
- Membantu mengurangkan sakit buasir.
- Membantu mengurangkan dan menyembuhkan sakit sendi dengan membaik pulih sistem peredaran darah.
- Membantu menyeimbangkan hormon dalam tubuh.
- Membantu mengatasi masalah depresi selepas bersalin seterusnya memberikan kecergasan tubuh.
- Membantu merawat rambut yang rosak. Rambut akan kembali sihat, subur serta lebat dan hitam dengan mengamalkan makan Kacip Fatimah.
INFO KACIP FATIMAH
- Cara penggunaan Kacip Fatimah sebelum dan selepas bersalin ialah dengan merebus satu pokok Kacip Fatimah termasuklah daunnya di dalam seperiuk air. Sebaik-baiknya, gunakan periuk tanah untuk mengekalkan khasiatnya. Setelah direbus airnya diminum ketika masih suam.
- Untuk merawat penyakit buasir (hemoroid) pula, rebus akar Kacip Fatimah yang telah dikeringkan. Air rebusan itu bolehlah diminum dan diamalkan sehingga penyakit buasir pulih sepenuhnya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tak Payah Nak Berebut Sakan Beli Barang Rumah, InsyaAllah Stok Mencukupi!

Tanggal 18 Mac 2020. Hari pertama seluruh rakyat Malaysia menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order). Perintah ini terpakai di seluruh Malaysia dan berkuat kuasa setiap masa tanpa waktu tertentu. Pasti banyak persoalan ingin ditanya atau mungkin diluahkan. Ini antara persoalan lazim serta jawapannya.
Sekiranya berlaku kematian di rumah (bukan pesakit covid-19), adakah solat jenazah dan tahlil dibenarkan?
Boleh diuruskan dengan waris terdekat bersama kariah masjid/surau sahaja. Solat jenazah sahaja tanpa tahlil.
Adakah sekolah perlu diganti?
Tidak.
Boleh saya teruskan perancangan bercuti dalam negara?
Tidak. Larangan termasuk di pusat peranginan dan aktiviti sosial.
Anak saya merupakan pelajar di institusi luar negara, adakah beliau dibenarkan pulang ke Malaysia?
Mana-mana rakyat Malaysia yang berada di luar negara dibenarkan pulang dalam tempoh sekatan ini. Tetapi perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan kuarantin sukarela untuk elak kebarangkalian jangkitan.
Jika barangan keperluan habis, bolehkah saya keluar dan kemudian terus balik?
Ya, boleh.
Pekerja di Singapura, Brunei atau Thailland. Adakah dibenarkan berulang-alik?
Tidak.
Saya telah membayar penginapan saya di hotel untuk bercuti sebelum perintah kawalan pergerakan diumumkn. Adakah saya boleh meminta wang saya dikembalikan?
Orang ramai digalakkan untuk berbincang terus dengan pihak hotel dalam urusan pengembalian wang yang telah dibayar bagi tempahan yang telah dibuat sebelum perintah ini diumumkan.
Bolehkah saya memandu ke lapangan terbang untuk mngambil rakan/ahli keluarga?
Pergi ke satu tempat dengan cepat dan ringkas adalah dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan.
Adakah kedai makanan boleh dibuka?
Semua kedai makanan boleh dibuka tapi hanya untuk dibawa pulang (take away) atau melalui perkhidmatan penghantaran (delivery) oleh syarikat tertentu.
Boleh saya adakan majlis keraian/perkahwinan/kenduri?
Tidak dibenarkan.
Saya merupkan seorang warganegara Malaysia dan suami merupakan warganegara UK. Adakah kami dibenarkan pulang ke Malaysia dalam tempoh sekatan ini?
Ya dengan dokumen sah perkahwinan yang didaftarkan sama ada dengan Kerajaan Malaysia atau Kerajaan negara asal. Pasangan perlu buat pemeriksaan kesihatan dan kuarantin sukarela untuk elak keberangkalian jangkitan.
Adakah pengangkutan awam masih beroperasi?
Ya.
Sumber: Majlis Keselamatan Negara
//Kiffy Razak
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


