
Dua tahun lalu, kisah Syazwan Najmi Zulkarnain dan isteri pernah tular. Isterinya, Nur Nasuha Shafie meninggal dunia dalam keadaan koma selepas 14 hari melahirkan bayi kembar mereka pada 31 Mac 2020 di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan.

Ketika itu, mereka baru 10 bulan bergelar suami isteri. Lebih memilukan, arwah tidak sempat melihat serta memeluk bayi kembar mereka yang dilahirkan tidak cukup bulan. Walau sedih namun Syazwan Najmi yang merupakan seorang peniaga pasrah dengan ketentuan Ilahi. Sebelum menghembuskan nafas terkahir, isterinya sempat memberikan nama kepada bayi kembar mereka.

Kini, Syazwan Najmi bahagia bersama anak kembarnya iaitu Nur Medina Sofiya dan Nur Medina Safiya. Makin besar makin banyak keletahnya. Syazwan Najmi sering berkongsi video-video dia bersama Sofiya dan Safiya di Instagram. Rata-rata pengikutnya memuji kecomelan Sofiya dan Safiya dengan keletahnya yang sangat mencuit hati.
Lebih bertuah, kisah mereka turut mendapat perhatian Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia (YTM) Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra dan isteri tercinta, Yang Amat Mulia Che Puan Sofie Louise Johansson. Pasangan diraja berjiwa rakyat ini sudah dua kali membuat kunjungan kasih bertemu Syazwan Najmi dan anak kembarnya.


“Orang-orang istana maklumkan yang Tengku Mahkota Kelantan dan Che Puan Sofie sangat suka pada Sofiya dan Safiya.
Mereka dalam pantauan YTM dan Che Puan Sofie. Saya diamanahkan untuk menjaga Sofiya dan Safiya baik-baik,” kongsi bapa tunggal yang berasal dari Tumpat, Kelantan dan berusia 25 tahun ini.


Sekental mana pun jiwa seorang lelaki pasti akan gugur jua air matanya, terutama saat terkenangkan nasib Sofiya dan Safiya yang tak pernah kenal sosok tubuh seorang ibu, apatah lagi merasa kasih sayangnya sejak lahir.
“Detik paling mencabar bagi saya bila Sofiya dan Safiya dah pandai bercakap. Bila mereka tengok orang sekeliling ada ibu, bermain dan bermanja dengan ibu mereka, Sofiya dan Safiya dah mula tanya, “Mana ibu kakak, adik Abiy?” sambil merenung saya dengan wajah sedih.
“Mula-mula dapat tahu arwah tak sedarkan diri, saya down sangat takut akan kehilangannya. Tapi apakan daya kita hanya merancang, Allah SWT menentukan. Kalau dulu isteri sentiasa ada, dialah tempat untuk saya bersandar bahu dan bercerita. Tapi sekarang hanya anak-anak tempat saya bermanja, meluahkan perasaan.
“Saya berjanji akan terus kuat demi Sofiya dan Safiya, demi masa depan mereka. Kalau sedih saya tak pernah tunjuk depan mereka sebab tak mahu mereka tahu. Sebab itulah saya perlu sentiasa ceria depan mereka.

“Pesan Ma (ibu) dan Abah, semua yang terjadi ni ada sebabnya. Ingat Allah, ada hikmah di sebalik dugaan ini. Terus kuat seperti mana Ma dan Abah membesarkan kami tujuh beradik tanpa ada apa-apa.”
MOMEN HARI BAPA
“Kenangan ketika pertama kali sambut Hari Bapa ialah ketika Sofiya dan Safiya kejutkan saya dari tidur dan memberitahu “Abiy..Abiy..bangun Abiy. Lewat dah ni!”
Manakala kenangan paling indah ialah bila Sofiya dan Safiya tengok saya solat dan berdoa sambil menangis. Mereka datang tanya, kenapa Abiy nangis? Mereka peluk dan sapu air mata saya.

“Harapan saya agar Sofiya dan Safiya menjadi insan yang berguna kepada keluarga dan masyarakat, taat suruhan Allah SWT seterusnya menjadi anak solehah serta ingat pengorbanan ibu dan Abiy. Sentiasa kenang jasa ibu bapa yang membantu kita saat susah mahupun senang.
KALAU ADA JODOH
“Insha-Allah..kalau ada jodoh. Saya sentiasa mendoakan yang terbaik buat Sofiya dan Safiya kerana mereka juga perlukan kasih seorang ibu walapun bukan ibu kandung. Saya yakin, Allah SWT sudah aturkan yang terbaik. Tinggal kita saja yang perlu berusaha.
“Nasihat saya khas buat bapa-bapa tunggal di luar sana, jangan lupa galas tanggungjawab sebagai seorang ayah walapun isteri tiada di sisi. Ingat, kalau kita rasa susah ada yang lagi susah dari kita. Terus kuat demi anak-anak.”
Kredit Foto: Instagram Syazwan Najmi
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
















Dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah doktor cantik ini merupakan ibu kepada dua anak berusia antara 8 dan 3 tahun. Dr Kath merupakan pensyarah kanan di Jabatan Sains Klinikal Mulut & Maksilofasial, Fakulti Pergigian, Universiti Malaya. Di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), beliau merupakan pakar perunding bagi pesakit yang mengalami kanser mulut. Menariknya, Dr Kath adalah anak jati Sabah pertama memiliki kepakaran dalam bidang diceburinya.
Wuhan ketika itu telah pun melalui fasa lockdown. Shanghai pula diarahkan menjalani tempoh PKP. Hospital tempat saya menjalani latihan sub kepakaran itu juga diwartakan sebagai pusat saringan untuk kes COVID-19. Seluruh ahli keluarga dan rakan sekerja di Malaysia sangat risau dengan keselamatan saya yang berseorangan di sana ketika itu.
Mereka risaukan kesihatan saya, bimbang kemungkinan besar saya tidak dapat kembali ke Malaysia jika Shanghai diperintahkan lockdown. Syukur, saya cuma sempat melalui fasa PKP di Shanghai selama hampir dua minggu sebelum kembali ke Malaysia. Sebaik tiba di Malaysia, saya terlebih dulu mengasingkan diri daripada keluarga selama dua minggu sebagai langkah keselamatan.
Sejak PKP, kami menguruskan pesakit yang mengalami masalah kecemasan di muka dan mulut secara rotasi di klinik dan hospital. Ini memastikan semua protokol perlindungan diri ketika mengendalikan pesakit dapat dijalankan dengan betul, berkesan dan mematuhi arahan PKP. Sekaligus mengelakkan jangkitan silang dan penularan wabak di kalangan staf bertugas.
Pesakit yang berkemungkinan positif COVID-19 tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala masih boleh menjangkiti orang lain. Maka, kami lebih extra cautious. Setiap pesakit disaring terlebih dulu iaitu dicatatkan suhu badan dan sejarah perjalanan.
NASIHAT
Saya memilih bidang ini kerana pada mulanya mempunyai pandangan bahawa doktor pergigian sesuai bagi wanita yang inginkan balance antara keluarga dan kerjaya. Bekerja di klinik dan mempunyai 9-5 working shift. Namun, minat mendalam terhadap bidang pembedahan mengubah haluan saya kepada “hospital based” dentistry yang serupa seperti doktor perubatan dan pembedahan yang beroperasi di hospital.“






