Tulang Kaki Kiri FARAH ASYIKIN Pernah Patah, Kini Dihempap Motosikal 300kg Milik Suami!

Terkejut melihat gambar terbaharu dimuat naik oleh penyanyi Farah Asyikin di laman instagram yang terpaksa bertongkat dan kakinya berbalut ketika bergambar bersama suami, Raja Iskandar bersempena Hari Raya Aidilahda baru-baru ini. Menurut Farah Asyikin di ruangan caption, beliau mengalami kecederaan gara-gara dihempap motosikal berkuasa tinggi milik suaminya.

” Saya dan suami baru sahaja membeli tanaman baru untuk rumah pada hari Ahad yang lepas. Dan hanya semalam saya mempunyai masa untuk menyusun aturnya di laman rumah. Saya cuba untuk mengalihkan motosikal Harley Davidson kepunyaan suami saya yang beratnya hampir 300kg untuk memberi ruang kepada perhiasan tanaman di laman tersebut. Tapi malangnya, saya dihempap motosikal itu”, tulisnya di laman instagram.

” Saya cuba untuk menyelamatkan motosikal tersebut daripada terhempas tanpa memikirkan keselamatan diri sendiri. Alhamdulillah motosikal itu tidak mengalami sebarang kerosakan tapi kaki saya yang tercedera. Saya terdengar bunyi ‘crack’ ketika cuba menarik kaki saya yang tersepit dan menangis meminta bantuan anak saya Owais yang ketika itu berada di hadapan pintu rumah sebelum membuat panggilan telefon kepada suami dan ahli keluarga lain untuk bantuan”, kongsi Farah Asyikin lagi.

Demi untuk menyelamatkan motosikal kesayangan suaminya itu, Farah Asyikin sanggup berkorban tanpa memikirkan keselamatan diri sendiri. Rupa-rupanya, kaki kiri Farah pernah mengalami tulang patah sewaktu terjatuh ketika lari menaiki anak tangga apabila mendengar anaknya menangis kira-kira 4 tahun lalu dan tidak pernah pergi ke hospital untuk merawat kakinya selepas kejadian itu.

“Saya tersadung dan terjatuh sewaktu lari menaiki anak tangga kerana terdengar Owais menangis. Pada ketika itu, saya merupakan ibu tunggal dan hanya fokus kepada anak serta tidak mengambil berat tentang kesihatan diri sendiri. Saya hanya menyimpan sakit itu seorang diri dan tidak ingat bila ia kembali sembuh”, jelasnya.

Farah turut meluahkan rasa leganya kerana hanya ligamen kakinya yang terkoyak, bukan retak atau patah dan beliau dijaga dengan sangat baik oleh suami dan ahli keluarganya yang lain. Begitulah pengorbanan sebagai seorang ibu dan isteri. Lebih mementingkan keselesaan dan keselamatan orang yang tersayang dahulu sebelum memikirkan tentang diri sendiri.

Nona turut mendoakan Farah Asyikin supaya cepat sembut dan boleh menjalankan tugas sebagai seorang isteri dan ibu seperti biasa. Lepas ni, berhati-hati ya ketika melakukan kerja-kerja berat.

sumber: instagram Farah Asyikin

IKLAN
Share