Uji Rashid sinonim dengan gelaran ‘penyanyi bersuara manja’ yang juga pemilik nama sebenar Fuziah Haroun Al Rashid atau nama pentasnya Uji Rashid sangatlah mengagumkan. Penyanyi legenda ini pernah menempa zaman kegemilangannya yang tersendiri sebagai penyanyi dan pelakon pada tahun 1970-an.
Sewaktu popularitinya berada di kemuncak, bukan sahaja gaya fesyen dan rambut beliau menjadi bualan, tetapi mata besar beliau turut menjadi ciri yang ikonik. Malah, sehingga kini ada sejenis ikan yang diberi nama Ikan Uji Rashid dan duit syiling 50 sen yang diberi gelaran duit Uji Rashid di Melaka. Populariti beliau ketika itu adalah sesuatu yang menjadi fenomena sehingga orang ramai mula mengaitkan namanya dengan benda-benda unik sebagai tanda penghargaan.
Uji Rashid ‘Penyanyi Bersuara Manja’
Di sebalik senyuman manis dan suara merdu yang dialunkan rupa-rupanya tersembunyi sebuah perjalanan hidup yang penuh dengan kegetiran, pengorbanan dan cinta yang mendalam terhadap keluarga serta para peminatnya. Selama 50 tahun, beliau bukan sahaja menghiburkan rakyat Malaysia, malah telah menanam benih kasih sayang yang mengikat dirinya dengan peminat-peminat setia.
Mengimbau kenangan paling sukar dilupakan Uji Rashid menyatakan dirinya trauma menyanyikan lagu Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu kerana terkenangkan peristiwa berdarah kematian salah seorang peminat setianya yang bernama Siti Rashidah akibat kemalangan jalan raya. Arwah merupakan seorang remaja yang sentiasa mengikuti setiap persembahannya. Hubungan mereka bukan sekadar peminat dan idola, tetapi lebih kepada adik dan kakak, penuh kasih dan setia.
“Sehingga ke hari ini, saya masih beruka dengan tragedi peminat yang terkorban dalam kemalangan jalan raya selepas pulang berjumpa saya. Arwah sangat meminati saya dan sanggup melakukan apa saja. Saya tidak pernah menyampaikan lagu berkenaan dalam sebarang pertunjukan pentas sejak ia dirakamkan pada 1977 kerana tidak mahu mengingati detik tersebut,” kongsi Uji Rashid.
Tanpa sedar air mata mengalir tatkala bercerita tentang arwah Siti Rashidah, gadis remaja itu sanggup memandu dari Pulau Pinang bersama rakan-rakannya semata-mata untuk bertemu Uji Rashid. “Di mana sahaja saya buat persembahan, gadis muda itu pasti ada, setia menyokong dan memberikan dorongan. Malah arwah Siti Rashidah sanggup datang dari jauh semata-mata untuk menunjukkan dia berjaya mendapat lesen memandu dan seolah-olah kejayaannya itu perlu diiktiraf oleh saya dulu.
Kenangan itu sangat menyentuh hati, malah menjadi bukti betapa peminat telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya. Namun, perpisahan juga menghampiri apabila arwah Siti Rashidah dan rakan-rakannya terlibat dalam kemalangan tragis. Pemergian mereka menyentap jiwa saya yang menganggap mereka seperti keluarga sendiri.
Saya menangis apabila mendapat perkhabaran tersebut. Lagu Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu dihasilkan sebagai penghormatan kepada arwah dan saya masih tidak berupaya untuk menyampaikan lagu itu sehingga kini walaupun lagu itu sudah berusia lebih 47 tahun. Setiap kali dengar lagu itu, saya akan menangis terkenangkan arwah yang pernah baik dengan saya. Walaupun ramai yang meminta saya dendangkan lagu itu, saya tidak mahu berbuat demikian. Biarlah keindahan lagu itu diabadikan saja sebagai kenangan,” ungkap Uji Rashid sambil mengelap air mata yang jatuh di pipi.
Ads
Buat Laci 10 Tingkat Mudahkan Ibu Berbelanja
Uji Rashid merupakan anak yang sangat baik dan mentaati orang tua. Seawal usia remaja lagi dirinya sudah memikirkan bagaimana hendak mengumpul duit dan memberikan kehidupan yang senang buat ibu tercinta. Membesar dalam keluarga yang berpindah-randah kerana pekerjaan ayahnya sebagai Pegawai Kastam, Uji Rashid menggalas tanggungjawab besar untuk membantu ibunya, seorang wanita cekal yang membesarkan lima anak sendirian dalam keadaan ibunya yang tidak tahu membaca. Malah Uji Rashid juga memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran demi kekal bersama ibu tercinta dan terjun ke dunia seni sebagai satu-satunya jalan yang mampu membantunya menjana pendapatan untuk keluarga.
Menerusi gaji yang diterima sebagai pelakon dan penyanyi, Uji Rashid menyimpan wang untuk ibunya dalam laci bertingkat, seolah-olah penyanyi itu mahu memastikan setiap hari ibunya tahu bahawa dia dicintai, dijaga dengan baik. Uji Rashid juga bersyukur pada ketika itu dirinya mampu menghadiahkan kesenangan kepada ibu, walaupun dalam bentuk yang sederhana namun kasih sayang seorang anak yang mahu memastikan tiada satu hari pun ibunya menghadapi masalah kewangan.
Ditebak mengenai dirinya adakah pernah menerima apa-apa gelaran seperti Datuk? Lantas Uji Rashid menyatakan dirinya berniat hadir dalam dunia seni demi ibu. “Saya tolak gelaran. Niat saya pada mulanya nak mak saya hidup senang. Bila gaji pertama saya terima RM160 saya cuma ambil RM10 selebihnya saya beri pada mak. Jadi bila saya dapat RM2000 dari hasil lakonan saya akan serahkan pada mak.
Orang takkan percaya saya buat laci 10 tingkat. Tiap-tiap laci ada duit. Dulu nak pergi bank susah, nak ke pejabat pos mak saya tak kenal huruf. Jadi pulang saja ke rumah saya akan letak duit dalam laci. Bila mak susah dia boleh ambil bila-bila masa.
“Mak saya pula pemurah orangnya, macam kedai pajak gadai. Mak saya tak pinjamkan orang tapi dia beri orang duit. Dalam sebulan saya cuma pulang ke rumah empat hari, jadi memang kaya-raya mak ketika itu. Apa saja mak nak dia akan beli. Kerusi meja ada dua set. Bila saya balik rumah saya tengok satu set lagi hilang sebab mak sedekahkan pada orang,” luahnya.
Ads
Bagi Uji Rashid, ibu merupakan teman dan penyokong setia. Walaupun pada masa itu pandangan masyarakat terhadap wanita yang menceburi seni seringkali dipandang rendah, ibunya berdiri teguh menyokong dirinya. Namun seiring waktu, takdir memisahkan mereka dan kehilangan ibu adalah kehilangan paling besar dalam hidup.
“Saya tak tahu nak bercerita dengan siapa lagi selepas ibu pergi buat selamanya,” luahnya penuh kesedihan. Malah Uji Rashid juga sangat bersyukur kerana diberi peluang menjaga arwah ibu sepanjang terlantar sakit sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Uji Rashid juga memegang prinsip jika sesuatu rezeki itu kalau dah bukan rezeki kita, dah masuk mulut pun boleh jatuh ke tanah jua. Rezeki tidak pernah salah alamat. “Kalau rezeki tak masuk mulut kita ertinya ia bukan rezeki kita. Macam-macam orang janji. Apapun kalau bukan rezeki, tak akan dapat. Semakin dewasa semakin banyak yang kita belajar. Saya serahkan segalanya pada Allah dan reda. Setiap rezeki itu Allah akan aturkan,” ungkap Uji Rashid.
Tersedar Rezeki Menyanyi Untuk Ibu & Anak-Anak
Sebagai penerima Nona Legend Award, Uji Rasjid berasa sangat terharu. Ini kerana dia beranggapan dirinya tidak layak sebaris dengan wanita hebat yang terpilih. “Masa team Nona hubungi dan nyatakan saya sebagai penerima anugerah, ada terfikir nak nak undur diri sebabnya saya tengok ramai wanita hebat yang terpilih sebagai penerima anugerah. Saya cuma orang biasa.
Ads
Saya sedar kebanyakkan lagu-lagu ciptaan Datuk Ahmad Nawab, saya hanya menyampaikan saja. Saya tak pandai menyanyi dan saya tak suka menyanyi pada awalnya. Kemudian saya tersedar daripada nyanyianlah rezeki itu datang untuk mak dan anak-anak saya,” sambung Uji Rashid.
Ibu tunggal yang kuat bekerja ini juga menasihati golongan muda agar patuhi perintah Allah dan hormatilah orang yang lebih tua. InsyaAllah hidup akan senang. Menyentuh tentang isu dirinya yang kini sudah berniqab, tenang jawapannya berniqab kerana masalah kesihatan.
“Pasti ada yang keliru kenapa dalam gambar tak berniqab tapi di atas pentas dan sewaktu temu bual vodcast saya berniqab. Sebenarnya berniqab ni tak wajib. Masa pandemik COVID-19 kita semua pakai mask. Kakak saya meninggal dunia sewaktu era pandemik, saya tengok ketika itu kita tak boleh dekat dengan jenazah. Pada ketika itu Cico dan menantu arwah kakak yang turun ke dalam liang lahad. Kalau tak ada orang nak sambut, jenazah akan dicampak saja. Pada ketika itu semua orang pakai mask untuk perlindungan.
Saya pula disahkan ada penyakit lelah. Masa saya pakai mask saya tak boleh bernafas. Saya cakap kenapa saya tak cuba niqab, saya pergi nyanyi pun pakai. Tak ada masalah saya nak selamatkan diri saya agar dilindungi dari kuman. Saya nak semua orang gembira dan dengan nyanyian dapat hiburkan peminat,” akhiri Uji Rashid.
Sejuk mata memandang Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi! Raut wajah ayu dan peribadi lemah-lembut yang dimiliki suri hati Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjadi bualan khalayak khususnya di Borneo.
Dilahirkan pada 21 November 1980 dan meniti usia 45 tahun, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah merupakan bekas pramugari di syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan seorang wanita aktif.
Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Suri Hati TYT Sarawak
Dalam kenyataan di laman web rasmi Astana Negeri Sarawak, figura jelita ini berkhidmat sebagai pramugari dari Januari 2000 hingga Oktober 2022. Sepanjang menjadi kabin krew, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah komited dengan tugas yang diberikan dan dilantik sebagai Pengerusi Kelab Bola Jaring Malaysia Airlines.
Kepakarannya dalam bola jaring mendapat penghargaan apabila beliau merangkul Anugerah Pemain Pertahanan Terbaik dan Anugerah Atlet Terbaik daripada Malaysia Airlines.
Terdahulu, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah pernah bertugas sebagai guru sementara di Sekolah Rendah Kebangsaan Pandan Jaya pada tahun 1998 dan di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melati pada tahun 2000.
Bukan itu saja, beliau juga aktif dengan aktiviti khidmat masyarakat. Misalnya ketika pandemik COVID-19, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah turun padang dalam pengagihan makanan kepada golongan memerlukan, terlibat dengan program vaksinasi dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir.
Beliau juga berjiwa seni dan mempunyai bakat dalam gubahan bunga dan kraf tangan. Serba boleh orangnya!
Kehidupan Bahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah
Tun Dr Wan Junaidi dilantik Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan bagi tempoh empat tahun bermula 26 Januari 2024 hingga 26 Januari 2028.
Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah bergelar isteri Tun Dr Wan Junaidi pada 10 Disember 2022. Ia adalah perkahwinan kedua Tun Dr Wan Junaidi selepas pemergian isterinya Allahyarhamah Datin Seri Norjanah Feona Sim Abdullah pada Mei 2022.
Jaguh berbasikal trek negara dikenali The Pocket Rocketman berusia 36 tahun itu meluahkan kesyukuran atas kurniaan pingat Darjah Kebesaran berkenaan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-62 Hari Keputeraan KDYMM Sultan Terengganu menerusi hantarannya di laman sosial.
Meskipun sibuk membuat persediaan ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang bakal berlangsung 26 Julai hingga 11 Ogos ini, Dato’ Azizulhasni atau nama penuhnya Muhammad Azizulhasni Awang hadir ditemani isteri tercinta, To’ Puan Athiah Ilyana Abd Samad.
Tampil segak berbaju Melayu serba hitam lengkap tengkolok dan samping, penyampaian pingat Darjah Kebesaran Terengganu ini kepada atlet anak jati Dungun, Terengganu itu dilihat cukup tepat.
“Merafak sembah dan menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia diatas pengurniaan pingat Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu.
Pengurniaan ini akan patik jadikan sebagai tiupan semangat buat diri patik untuk berjuang di Sukan Olimpik Paris 2024 tidak lama lagi.
Patik sungguh terharu diatas pengurniaan ini dan berasa bertuah menjadi anak jati negeri Terengganu Darul Iman,” titipnya yang menerima darjah kebesaran itu di Istana Syarqiyyah, Chendering, Terengganu.
Susulan kurniaan bersebut, graduan Sarjana Muda Sukan Gerakan, Universiti Victoria, Melbourne, Australia itu tersebut menzahirkan penghargaan buat Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
“Patik sekalian juga mendoakan agar Tuanku Sultan dan Sultanah Terengganu sentiasa di bawah lindungan ALLAH SWT dan terus kekal bersemayam di atas singgahsana dengan penuh kebesaran, kemuliaan dan kedaulatan,” kongsinya.
Pasangan suami isteri tersebut turut berkesempatan hadir ke Majlis Santapan Jamuan Teh sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu pada hari yang sama.
Tahniah Dato’ Azizulhasni dan To’ Puan Athiah Ilyana! Semoga atlet negara ini terus diberi kekuatan untuk berjuang memenangi emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris 2024 nanti!
Penularan wabak COVID-19 menyaksikan bagaimana masyarakat dunia terkesan dengan kebanjiran berita yang merunsingkan. Situasi panik ini boleh mencetus gangguan emosi, fizikal dan mental meskipun majoriti daripada kita menyahut pendekatan untuk melindungi diri di dalam rumah dan mengamalkan penjarakan sosial.
Kerajaan Malaysia telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac, yang telah membatasi pergerakan warga Malaysia serta menggalakkan orang ramai bekerja dari rumah jika berkemampuan. Namun begitu, isolasi sosial yang diharungi mampu menyebabkan seseorang mengalami reaksi dalam bentuk stres secara berlebihan.
Waktu ini khususnya, aspek kesihatan mental kita harus dijadikan sebagai keutamaan yang tertinggi. Ia adalah mustahak bagi kita untuk mengenali stres yang dialami serta mempelajari cara untuk menanganinya, kerana stres yang kronik boleh menjejaskan kesihatan serta melemahkan sistem imun tubuh kita untuk melawan penyakit.
Meskipun kita sedang menjurusi sebuah era digital di mana teknologi memudahkan keupayaan kita untuk kekal terhubung, kita masih mendambakan interaksi manusia, yang meliputi sentuhan fizikal serta persuaan secara bersemuka untuk memastikan kesihatan mental kita terjaga.
Waktu krisis ini amat mencabar dan ramai warga Malaysia akan berasa lebih tertekan lagi khuatir sementara masalah ekonomi dan kesihatan terus meruncing. Hari ini, kita terperuk di rumah sambil cuba memahami serta menanggapi lambakan maklumat yang dibekalkan oleh pelbagai organisasi dan badan perubatan.
Maka kegelisahan, kemurungan dan masalah- masalah kesihatan mental lain yang terus dialami pada waktu ini tidaklah menghairankan. Walaupun keupayaan untuk kekal terhubung dan termaklum mengenai perkembangan terkini adalah mustahak, fokus yang diletakkan sepanjang hari ke atas suapan berita demi berita yang baharu boleh menjurus kepada perasaan gelisah dan cemas yang lebih serius.
Bagaimanapun, terdapat beberapa pendekatan yang boleh diambil untuk menangani stres dan membantu diri kita serta individu-individu di sekeliling kita menguruskan respons emosi masing-masing dan mengurangkan kebimbangan.
TIP BIJAK
Setiap individu mempunyai reaksi yang berbeza terhadap stres, jadi kita perlu ingat bahawa solusi yang berkesan untuk seseorang individu tidak semestinya mempunyai efek yang sama ke atas individu lain. Gary Small M.D., Lembaga Penasihat Nutrisi Herbalife berkongsi tip yang boleh diamalkan untuk menangani stres ketika PKP.
Kenal pasti gejala stres. Tabiat mengisar gigi; kenaikan berat badan; sakit kepala; perubahan mood; sakit belakang dan leher; serta gangguan tidur pada waktu malam merupakan gejala-gejala stres. Dengan mengenal pasti gejala-gejala ini, anda dapat mengetahui bila strategi tertentu boleh diamalkan untuk menangani stres yang sedang dialami.
Kenali pencetus stres anda. Ketika anda bekerja di rumah atau sedang menonton berita, lalu anda mula berasa cemas, jengkel atau mengalami sakit kepala atau sakit pada bahagian leher, maka anda perlu bergerak dan asingkan diri daripada sumber stres. Rehatkan minda dengan menghirup udara segar melalui jendela atau balkoni di rumah anda, mendengar muzik atau meluangkan masa di ruang yang senyap buat seketika untuk memperbetulkan semula keadaan mental anda dan kembali menjalankan tugas.
Asingkan diri daripada sumber media. Peruntukkan waktu berkala dalam jadual harian anda untuk merehatkan diri daripada bekerja atau menonton, membaca atau mendengar berita, termasuk melayani media sosial. Ketegangan mental dan kegelisahan akan bertunas, jika anda berdamping dengan mana-mana outlet media 24 jam sehari. Ambil masa rehat dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat menghilangkan kejemuan dalam rutin harian anda. Hubungan yang dijalin dengan individu yang anda percayai untuk berkongsi tentang perasaan anda juga dapat membantu memperbaiki mood anda.
Temui outlet kreatif anda. Luangkan masa untuk menemukan semula hobi lama yang anda gemari atau cari aktiviti baharu untuk dilakukan. Dengan mengalih fokus kepada sesuatu yang baharu, ia dapat membantu anda berasa lebih tenang dan bertenaga. Anda juga boleh mencuba resipi baharu, berjalan, membersihkan rumah atau menyertai senaman dalam talian untuk mengurangkan stres dan menyegarkan diri anda.
Cari ketenangan dengan bernafas. Proses pernafasan natural melibatkan anatomi diafragma. Bila kita bernafas menggunakan diafragma, perut kita akan mengembang ketika menarik nafas dan mengecut ketika menghembuskan nafas. Kita sering lupa betapa pentingnya amalan pernafasan yang betul dan cenderung untuk melibatkan dada dan bahu dalam proses pernafasan, yang boleh menjurus kepada nafas pendek lalu meningkatkan stres dan kegelisahan. Inilah waktu terbaik untuk anda memperbaiki cara bernafas. Sebagai permulaan, cari ruang yang senyap untuk anda berbaring. Letakkan satu tangan di atas dada dan satu tangan di atas perut anda. Apabila anda bersedia, tarik nafas secara perlahan-lahan. Ketika proses ini, perut anda akan mengembang, dan bila anda menghembus nafas, paras dada anda akan menurun. Kaedah pernafasan ini yang diamalkan setiap hari selama 20 hingga 30 minit dapat mengurangkan kegelisahan dan menggalakkan ketenangan.
Gerakkan tubuh anda. Amalkan gaya hidup aktif. Cari aktiviti rekreasi yang anda gemari. Senaman dapat memperbaiki kesihatan anda secara menyeluruh dan ia merupakan kaedah yang efektif untuk menangani stres. Bila anda bersenam, tubuh anda akan membebaskan endorfin, iaitu hormon di dalam otak yang membantu mengurangkan persepsi kesakitan serta memperbaiki mood. Senaman berkala juga dapat menaik taraf kualiti tidur, lalu mengurangkan stres dan keletihan. Jika anda memiliki peranti kecergasan, terapkan aktiviti berjalan dengan menyasarkan 10,000 langkah setiap hari. Matlamat yang disasarkan dapat memberikan anda motivasi serta merasai kepuasan.
Jaga hubungan sosial. Hubungan sosial yang dipelihara dengan ahli keluarga dan rakan taulan adalah mustahak. Kita mungkin dipisahkan oleh jarak fizikal, namun ia bukan bermakna kita tidak dapat berhubung dengan mereka melalui cara lain. Cuba hubungi insan yang anda hargai setiap hari menggunakan kemudahan seperti media sosial, sidang video atau panggilan telefon.
Pelihara rutin anda. Berlatarkan krisis yang tiada dalam kawalan anda, cuba kekalkan kosistensi dengan aktiviti-aktiviti yang anda boleh kawal. Jika anda bekerja dari rumah, maka anda boleh membentuk sebuah rutin harian. Bertindak seolah-olah anda akan pergi bekerja seperti sedia kala. Bangun pada waktu yang biasa dan bersiap. Anda tidak perlu memakai sut profesional, pakaian yang kasual sudah memadai. Di samping itu, anda juga boleh mendirikan ruang pejabat khas yang bebas dari gangguan agar anda dapat menjaga tumpuan. Pada masa yang sama, amalkan waktu rehat secara berkala untuk mengurangkan tekanan. Kebanyakan individu yang kerja dari rumah biasanya terpacak di meja kerja masing-masing dalam tempoh yang lama dan tidak bergerak aktif. Waktu-waktu rehat yang diambil sepanjang hari seperti yang anda lazimnya buat di tempat kerja berupaya untuk membuat aktiviti harian anda berasa lebih terkawal dan normal.
Sentiasa ingat bahawa stres merupakan tindak balas yang biasa dialami oleh setiap individu, ia mampu menjejaskan produktiviti, serta mengancam kesihatan fizikal dan mental kita. Dengan mempelajari serta membentuk teknik-teknik yang dapat menangani stres, anda mampu mengharungi hari anda dengan lebih baik. Dapatkan lebih banyak info di IamHerbalifeNutrition.com.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masjid Habib di Pulau Pinang menampilkan seni bina Jawi Peranakan, kubah berinspirasikan intan, serta kemudahan mesra komuniti — sebuah wakaf bernilai RM30 juta yang menjadi simbol cinta dan syukur.