Ramai daripada kita sebenarnya mungkin tidak menyedari bahawa kita menghidap diabetes. Ini kerana kita tidak pernah membuat pemeriksaan diabetes sehinggalah tanda diabetes mula muncul sedikit demi sedikit. Bilakah kita sepatutnya membuat pemeriksaan kencing manis ini?

Berdasarkan kajian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, dianggarkan sekitar 3.5 juta individu telah disahkan menghidap penyakit diabetes di negara ini. Ini tidak termasuk mereka yang mempunyai penyakit ini tetapi belum lagi dikesan atau disahkan.

IKLAN

Statistik tersebut menjadikan sekitar 1 bagi setiap 5 penduduk di Malaysia mempunyai penyakit kencing manis.

Jika dulu penyakit diabetes atau kencing manis dikategorikan sebagai penyakit warga emas, tapi kini ia kerap berlaku di kalangan mereka yang telah berusia. Bahkan trend terkini menunjukkan bahawa golongan kanak-kanak dan remaja juga mengalami peningkatan bagi kes diabetes di seluruh dunia.

Foto: Unsplash

Tidak dinafikan bahawa terdapat kes diabetes yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak atau remaja yang berpunca daripada faktor genetik.

Namun, pada hari ini, kebanyakannya berpunca daripada faktor pemakanan dan gaya hidup yang amat tidak sihat. Oleh sebab itu, wujud cadangan agar pemeriksaan kencing manis ini dilakukan pada peringkat umur yang lebih awal.

SUDAH CECAH 35 TAHUN?

Awal tahun ini, U.S. Preventive Services Task Force telah mencadangkan satu cadangan baharu berkenaan had umur untuk melakukan pemeriksaan kencing manis. Organisasi ini mencadangkan agar umur permulaan bagi menjalani pemeriksaan diabetes dan pradiabetes diturunkan kepada 35 tahun daripada 40 tahun sebelum ini.

Cadangan tersebut melibatkan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan atau mereka yang obes. Ia juga perlu dilakukan sehingga umur 70 tahun.

Cadangan ini berkait rapat dengan trend semasa yang membimbangkan di mana lebih ramai golongan muda mendapat diabetes di seluruh dunia.

Oleh itu, pemeriksaan diabetes perlulah dilaksanakan lebih awal daripada had umur sebelum ini. Bagi anda yang mempunyai nilai BMI antara 25 hingga 30, anda dikategorikan sebagai mereka yang mempunyai berat badan berlebihan.

Jika nilai BMI anda melebihi 30, maka anda dikategorikan sebagai obes. Kedua-dua golongan ini amat disarankan untuk melakukan pemeriksaan kencing manis lebih awal memandangkan obesiti adalah faktor risiko bagi penyakit diabetes.

PEMERIKSAAN DIABETES

 

Terdapat beberapa kaedah yang akan digunakan sebagai pemeriksaan kencing manis di hospital atau klinik. Antaranya:

Pemeriksaan gula darah

Bagi mereka yang berisiko untuk mendapat penyakit diabetes tetapi tidak menunjukkan sebarang simptom penyakit ini, ujian kapilari darah akan dilaksanakan.

IKLAN

Kaedahnya adalah dengan mengambil sampel darah daripada hujung jari dan diuji dengan menggunakan mesin gula darah atau glukometer.

Sekiranya bacaan yang diperoleh itu menunjukkan nilai lebih daripada 5.6, maka anda perlu menjalani satu lagi ujian iaitu ujian plasma glukosa.

Melalui kaedah ini, darah akan diambil dengan kadar yang lebih banyak iaitu melalui urat darah anda.

Ujian gula darah berpuasa atau FBS

Ujian ini akan dilakukan setelah anda diminta oleh doktor untuk berpuasa semalaman atau dalam tempoh 8 hingga 12 jam.

Sewaktu berpuasa, paras gula darah dalam tubuh akan meningkat namun akan kembali ke tahap yang normal melalui hormon insulin bagi mereka yang tidak mempunyai penyakit diabetes.

IKLAN

Bagi mereka yang mempunyai diabetes pula, tubuh badan tidak berkemampuan untuk menyeimbangkan paras gula darah ini lalu menyebabkan ia kekal berada pada paras yang tinggi.

Sekiranya bacaan gula darah berpuasa anda melebihi 7.0, maka anda boleh disahkan menghidap penyakit diabetes.

Bagi mereka yang mempunyai simptom kencing manis, satu kali bagi ujian ini sudah mencukupi untuk mengesahkan kewujudan penyakit tersebut.

Namun, bagi mereka yang tidak mempunyai simptom kencing manis, dua kali ujian FBS diperlukan untuk mengesahkan anda menghidap penyakit ini.

Ujian toleransi gula atau OGTT

Ujian OGTT biasa dilakukan dalam kalangan mereka yang mempunyai bacaan gula darah yang normal ketika berpuasa namun mempunyai beberapa tanda klinikal bagi penyakit diabetes.

Antaranya ialah paras gula yang tinggi dalam air kencing, kerap membuang air kecil dan kerap berasa dahaga.

Melalui ujian ini, sampel darah akan diambil sebanyak tiga kali dan dilaksanakan dengan cara seperti berikut:

  • Sampel darah pertama akan diambil ketika anda berpuasa. Tujuannya adalah untuk menilai bacaan gula darah anda sewaktu anda berpuasa
  • Sampel darah kedua pula akan diambil setelah anda meminum air glukosa atau air gula yang diberikan oleh doktor. Ia akan diambil dalam tempoh 1 jam selepas anda meminum air gula tersebut
  • Sampel darah ketiga pula akan diambil dalam tempoh 2 jam selepas anda meminum air gula tersebut
  • Praktis pada masa sekarang hanya akan mengambil sampel darah ketika anda berpuasa dan 2 jam setelah anda meminum air gula.

Tujuan ujian ini dilakukan adalah untuk melihat kemampuan tubuh anda menyerap dan mengawal kandungan glukosa dalam tubuh.

Sumber: Hellodoktor