Usia 56 Tersenarai Heroin K-Drama Paling Top, KIM HEE AE Taraf Primadona!

Baru saja melangkah usia 56 tahun pada 23 April lalu, pesona aktres filem dan K-drama Kim Hee Ae terus menjadi igauan wanita usia pertengahan di Korea selepas 37 tahun menceburi industri seni.

Berdebar-debar rasanya saat menonton siri K-drama terbaharu Netflix, Queenmaker yang dibintangi artis senior Korea Selatan, Kim Hee Ae ni.

Kisah dua orang wanita berkerjaya yang sanggup meninggalkan kehidupan lamanya demi mencipta dunia yang lebih adil dan jujur. Cerita politik dan air mata!

Namun pujian harus diberikan kepada pendukung watak utamanya. Berkat pengalaman selama lebih 3 dekad serta bakat dimiliki Kim Hee Ae, lakonan mantapnya memang membuai perasaan dari satu episod ke satu episod.

 

 

 

Bakat Kim Hee Ae mula berkembang sebagai model pada tahun 1983. Rezeki beliau terus mendapat perhatian sebagai watak utama melalui pelbagai drama antaranya Beyond the Mountains pada 1991 dan Sons and Daughters pada 1992 yang memberikannya kemenangan pertama dalam Daesang.

Raut wajah dan bentuk tubuhnya yang langsing membuatkan wanita yang sudah lebih 30 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan di Korea ini nampak jauh lebih muda dari usia yang sebenar.

 

Kalau bercerita tentang kecantikan pelakon wanita Korea, pasti ramai meramalkan mereka telah melakukan pembedahan plastik untuk kelihatan cantik dan muda.

Namun, tidak semua aktres Korea yang melakukan pembedahan plastik termasuk heroin drama rantaian The World Of The Married ini. Ini terbukti apabila Kim Hee Ae sering menjadi pilihan sebagai ‘wajah’ untuk tujuan komersial produk kecantikan di Korea.

 

Wanita yang berasal dari Bandar Jeju ini merupakan lulusan dari Chung-Ang University (B.A. in Theater and Film; M.A. in Communication and Journalism). Mula melibatkan diri dalam dunia lakonan ketika masih menuntut di kolej lagi.

Suami kepada pelakon ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat terkenal di Korea. Kim Hee-ae telah telah berkahwin dengan Lee Chan-jin pada tahun 1996 dan dikurniakan 2 orang anak lelaki.

Khabarnya wanita yang mempunyai ketinggian 163cm dan berat 49kg ini merupakan seorang ‘Supermom’ apabila mampu menyeimbangkan tugas sebagai seorang ibu kepada dua anak, isteri dan pelakon terkenal.

 

 

Selain daripada berlakon, namanya juga gah di arena fesyen di Korea Selatan. Beliau diangkat sebagai ikon fesyen di Korea terutama sekali untuk wanita pertengahan usia. Malah beliau ada ramai pengikut daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Diam-diam ubi berisi. Kim Hee Ae juga sebenarnya memiliki kehidupan yang bahagia, gemar melancong dan memilih menjaga privasi keluarganya daripada tatapan umum.

IKLAN
Share