Wajah Terkini ‘Maria Mercedes’, Dah Ada 2 Anak & Meniti Usia 50 Tahun!

Sekali terpandang wajahnya, mesti nak tengok berkali-kali! Masih ingat lagi tak aktres cantik rupawan yang membintangi telenovela popular Maria Mercedes pada tahun 1992? Kecantikan luar biasa yang dimiliki selebriti Mexico ini nyata memberi impak kepada peminat drama bersiri tersebut hingga ke hari ini.

Thalia atau nama sebenarnya Ariadna Thalia Sodi Miranda bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-49 pada 26 Ogos nanti. Tapi dari susuk tubuh dan raut wajah sedikit pun tak menggambarkan umur Thalia bahkan pesona yang ada pada dirinya tetap menarik pandangan!

19 tahun mendirikan rumah tangga bersama Tommy Mottola yang merupakan CEO Sony Music, pasangan romantis ini dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Sabrina Sakae Mottola Sodi berusia 12 tahun dan Matthew Alejandro Mottola Sodi, 9 tahun. Tommy yang bertindak selaku penerbit muzik dan buku serta usahawan berjaya dalam industri seni Amerika ini juga sebenarnya bekas suami kepada penyanyi terkemuka, Mariah Carey.

Thalia di samping suami
Thalia pada zaman muda
Ketika memegang watak Rosalinda

 

Namun perkahwinan bersama pelantun lagu My All berkenaan hanya bertahan selama lima tahun sebelum kedua-duanya dilaporkan berpisah pada tahun 1998. Dua tahun kemudian, Tommy menamatkan zaman duda bersama Thalia dan berkahwin pada 3 Disember 2000.

Bersandarkan kejayaan Tommy dan kemasyhuran isterinya, Thalia sebagai penyanyi, pelakon dan ahli perniagaan, tak hairanlah pasangan ini mampu menikmati kehidupan serba mewah. Selesa menaiki jet peribadi untuk bercuti, Thalia dilihat kerap memuat naik gambar percutian bersama keluarga di media sosial miliknya selain berkongsi cita rasa fesyen buat tatapan lebih 16 juta peminat!

Alahai, sudahlah cantik… kaya dan ternama pula tu. Patutlah dia mendapat gelaran ‘Queen of Latin Pop’. Tahun lalu, Thalia hadir dengan lagu duet terbaharunya ‘No Me Acuerdo’ bersama Natti Natasha yang memperoleh lebih 1 bilion tontonan di YouTube!

Mengintai Instagram Thalia, wanita cantik ini rupa-rupanya seorang yang aktif bersukan lasak dan berenang. Sebelum ini Thalia dan keluarga telah berkunjung ke Utah untuk mengikuti aktiviti rock climbing. Tidak cukup dengan itu, dia juga gemar melakukan rutin senaman pilates demi mengekalkan susuk tubuh langsing dan bertenaga.

Teruja tengok aksinya melakukan teknik pilates sebab bukan mudah untuk mahir dalam rutin tersebut kerana memerlukan keseimbangan tubuh yang tinggi.

Lepas ini kalau ada yang berhajat hendak memiliki tubuh menawan seperti Thalia, boleh amalkan sukan mendaki dan praktikkan pilates. Dengan usia yang bakal memasuki usia 50 tahun dan mempunyai dua orang anak, kecantikan dan aura Thalia sememangnya tiada tandingan. Sudah pasti segala kecantikan, kemasyhuran dan kemewahan yang dimiliki Thalia menjadi impian setiap wanita.

 

Kredit foto: Instagram Thalia

IKLAN
Share