Walaupun berbeza agama dan budaya tetapi hubungan mereka sangat akrab. Norazah atau Ezan merupakan isteri kepada penghibur serba boleh, Mark Adam.
“Mula-mula kahwin dengan Mark, kekok jugalah nak berbual dengan ibu mentua yang tak fasih berbahasa Inggeris. Nasib baiklah saya boleh bertutur dalam bahasa mereka. Itu yang kami mudah mesra.
Kalau balik ke Filipina, layanan yang diberikan ibu mentua sangat baik. Saya dimanjakan seperti anaknya sendiri. Pagi-pagi ibu mentua dah siapkan sarapan termasuk membasuh pakaian saya walau saya tak pernah minta pun. Semuanya dia buat sendiri.
Ads
Bersama ibu mertua kesayangan.
Masakan mak mentua yang paling saya suka ialah udang masak bawang putih. Seterusnya chicken adubo, kalau di sini kita panggil ayam masak kicap. Ada juga menu singgang, rasa dan cara masaknya lebih kurang sama macam kita.
Lagi satu, terung yang dibakar atas api kemudian disiat kulitnya. Isi terung dicelup ke dalam telur lalu digoreng. Nampak simple tapi rasanya sangat sedap!”
UBAH NASIB KELUARGA MERTUA
Ads
Memiliki seorang isteri yang baik dan berhati mulia menjadikan Mark Adam antara lelaki paling bertuah.
Selain berjaya membawa nama Mark Adam sebaris dengan artis-artis terkenal tanahair ramai tidak tahu selama ini Ezan telah banyak membantu keluarga Mark keluar dari belenggu kemiskinan. Kini mereka hidup selesa berkat rezeki yang dikongsi bersama.
Itulah istimewanya Ezan yang bukan saja sanggup melalui saat susah senang bersama Mark malah turut memuliakan ibu dan keluarga mentuanya sama seperti keluarga sendiri.
Ads
“Sebab utama saya nak sangat bantu keluarga Mark ialah dari diri saya sendiri. Waktu pertama kali ke Filipina saya lihat kehidupan keluarga Mark sangat daif. Ahli keluarganya ramai, rumah pula sempit.
Keluarga besar Mark Adam di Filipina.
Makan nasi hanya berlaukkan ikan masin. Seumur hidup mereka tak pernah merasa tidur di katil, hanya beralaskan tilam nipis. Saya rasa sangat sebak dan terfikir kenapa macam tu sekali keadaannya. Ia buat saya insaf. Bermula saat tu saya niat untuk bantu keluarga Mark.
Saya dan Mark mencari rumah lain yang lebih besar dan selesa buat keluarganya. Walaupun cuma rumah sewa tapi selesa. Saya belikan katil, sofa, barang makanan dan sebagainya. Pun begitu, mereka tak pernah merungut. Sebaliknya tetap gembira dan bahagia seperti tiada masalah.
Saya tahu Mark bekerja keras selama ni pun kerana mahu mengubah nasib keluarga agar menjadi lebih baik seperti mana hasrat bapanya sebelum meninggal dunia.”
Kredit Foto & Video: Instagram Ezan Marzan Echivarre
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Menyambut raya sebagai sebuah keluarga sememangnya sangat indah. Setelah 20 tahun menanti, bahagia dan gembira mungkin itu yang tersirat dalam hati Nur Dhaniyah Mohd Ridzuan, anak sulung kepada pelakon dan pelawak terkenal, Didie Alias ini.
Memiliki Ijazah Sarjana Muda Teknologi Multimedia dalam Reka Bentuk Multimedia Interaktif dan bakal menerima ijazah sarjana (master) pada Majlis Konvokesyen bulan Jun nanti. Nur Dhaniyah telah menzahirkan rasa gembiranya dapat beraya bersama ibu dan bapanya bersama-sama buat pertama kali selepas ibunya berpisah dengan pelakon Ridzuan Hashim pada tahun 2002.
“20 years later…Siapa sangka, dulu terpaksa ambik turn nak beraya dengan mamy ke ayah dulu eh. Nak kena jaga hati dua-dua walaupun ada yang terasa,” tulis isteri kepada Mohd Razi Shahriman yang telah 20 tahun menanti detik bahagia ini.
Tambahnya lagi, “Impian semua anak-anak daripada “broken family” untuk satukan mak dan ayah mereka. Mungkin nampak macam broken family untuk semua, tapi bagi kami love and care daripada mamy dan ayah, dua-dua kami dapat walaupun mereka tak together.
Walaupun stigma orang tentang broken family ini kata anak-anak akan terabailah, anak-anak memberontak, anak-anak tak cukup kasih sayang. It may be broken to some, but not to us.
Thank you mamy, ayah and daddy sebab selalu ingatkan kakak dan adik-adik tentang tanggungjawab kami dengan mak dan ayah. Never once kami rasa kami daripada broken family. We’re still a family but not together je.
Tapi hari ini dalam sejarah, setelah 20 tahun penantian, kakak dan adik-adik dapat beraya dengan satu family, priceless!And we should hold on to this moment forever.
Terima kasih sebab buat anak-anak happy. Terima kasih sebab buat semua ini untuk kami. Kami tak mintak banyak, tapi saat ini yang kami tunggu dari tahun 2002 sampai hari ini.
Percayalah, mak dan ayah mungkin boleh bercerai, tapi bukan mak dan ayah dengan anak-anak. Jangan putus harapan, jangan putus doa,” kata anak sulung daripada 5 orang adik-beradik ini.
Wanita yang berusia 29 tahun ini juga pernah menyuarakan kepada NONA rasa kagumnya dengan cara didikan yang diterapkan ibunya dalam membesarkan beliau dan adik-beradik yang lain walaupun sibuk bekerja.
“Cara didikan dia paling simple dan mungkin lain daripada yang lain. Dia tidak pernah ada masa yang banyak untuk semak kerja sekolah kami. Kami semua tahu mamy sibuk. Jadi kami pun buat homework sendiri.
Tapi kalau tak pergi sekolah, dia akan tanya atas alasan apa. Namun begitu, mamy lebih kepada mendidik anak-anak untuk jadi lebih beradab. Because in the end, attitude comes first. Tidak dinafikan bila berkerja dan berlawak ‘hu ha’ sana sini, tapi dekat rumah dia akan lebih banyak serious“, jelasnya.
Selain popular dan tampan, nama aktor Bollywood Saif Ali Khan, 50 tahun, yang juga suami kepada Kareena Kapoor ini juga menggemparkan peminatnya apabila dilaporkan merupakan seorang putera raja dari keturunan keluarga diraja India.
Awal Disember lalu, pasangan bintang Bollywood itu dilihat berkumpul di Pataudi Palace atau Istana Pataudi bersama teman-teman mereka. Dalam gambar itu, Kareena Kapoor kelihatan elegan manakala Saif kelihatan seperti seorang raja dengan latar belakang Istana Pataudi yang merupakan warisan nenek moyangnya.
Laporan dari bollywoodshaadis.com menyebut bapa Saif Ali Khan, Mansoor Ali Khan Pataudi adalah seorang bekas kapten kumpulan kriket di India dan juga Nawab Pataudi iaitu pemerintah Pataudi dari era 1952 hingga 1971.
Pataudi adalah sebuah bandar indah yang terletak di kaki bukit Aravali, Daerah Gurgaon, India. Ini adalah bandar yang pernah menjadi kerajaan kecil sebelum India mencapai kemerdekaannya.
Selepas Mansoor Ali Khan meninggal dunia, Saif Ali Khan telah dinobatkan sebagai Nawab Pataudi. Beliau adalah putera ke-10 yang masih mempunyai darah biru di India.
Seperti putera di negara lain, Saif juga mempunyai istana iaitu Istana Pataudi yang terletak di kota Pataudi di daerah Gurgaon di Haryana.
Sayangnya selepas kemerdekaan India, keluarga itu kehilangan title (Pataudi) mereka termasuklah istana tersebut. Dalam satu temu bual dengan akhbar India, Saif mendedahkan bagaimana mereka terpaksa ‘menebus’ semula hartanah itu menggunakan wang simpanannya sebagai pelakon filem daripada rangkaian hotel Neemrana.
Kini Istana Pataudi kembali menjadi milik pasangan ini dan dijadikan rumah penginapan singgah keluarga mereka. Apakah rupa interior Istana Pataudi? Mari lihat sedikit info tentang istana ini seperti dilaporkan oleh India Today.
(1) Warisan Keluarga Pemerintah
Pataudi Palace seperti yang dijelaskan sebelumnya, telah diserahkan dari pemerintah yang terakhir, Iftikhar Ali Khan kepada anaknya, Mansoor Ali Khan.
Selepas Mansoor Ali Khan meninggal, Saif Ali menjadi pewaris. Jadi ia mempunyai istana dengan seni bina yang mengagumkan, sebuah dewan besar dan taman-taman yang rimbun.
(2) Rumah Kolonial
Pada awal tahun 1900-an, Pataudi Palace telah direka dan dibina dalam gaya rumah kolonial Imperial Delhi oleh Robert Tor Russell, dibantu oleh arkitek Austria, Karl Molt von Heinz. Selepas mewarisi tempat ini, Saif Ali Khan mengambil pereka dalaman Darshini Shah untuk mengubahsuainya.
Tujuannya adalah untuk mendapatkan keselesaan dan menjadi lebih bergaya daripada hanya mewah dan besar.
(3) Istana Bernilai RM466 Juta
Kareena Kapoor dan Saif Ali Khan sebenarnya banyak menghabiskan kehidupan sehariannya di Mumbai. Tetapi, mereka sering memilih Pataudi Palace sebagai lokasi percutian musim sejuk.
Seperti yang dilaporkan oleh architecturaldigest.in, rumah percutian Saif Ali Khan dan ahli keluarganya ini mempunyai kawasan seluas 10 hektar dan mempunyai 150 bilik, termasuk tujuh bilik persalinan, tujuh bilik tidur, tujuh bilik snooker, serta ruang tamu dan ruang makan mewah. Istana ini bernilai RM466 juta.
(4) Dihiasi Foto Lama
Sebagai warisan keluarga diraja, tidak hairanlah Istana Pataudi mempunyai banyak kenangan sejarah. Semua kenangan dicatatkan dalam gambar-gambar lama yang menghiasi di pelbagai tempat di istana yang indah ini.
(5) Pernah Dijadikan Hotel
Mansoor Ali Khan pernah menyewa tempat ini selama 17 tahun dengan Francis Wacziarg dan Aman Nath, pemilik rangkaian Neemrana Hotels. Tempat ini dikendalikan sebagai The Pataudi Palace Hotel antara tahun 2005 dan 2014 sebelum Saif Ali Khan mengambil alih harta pusaka ini.
Menurut laporan dari architecturaldigest.in, Saif terpaksa mengeluarkan wangnya sendiri untuk mendapatkan semula istana ini dari pemilik hotel.
(6) Lokasi Penggambaran Filem
Jadi lokasi penggambaran filem Eat Pray Love yang dibintangi oleh Julia Roberts.
Kerana mereka tidak mendiami Istana Pataudi setiap hari, Kareena dan Saif Ali membuat istana mereka sebagai lokasi penggambaran seperti filem Eat Pray Love yang dibintangi oleh Julia Roberts, kepada filem-filem popular lain iaitu Mangal Pandey, Veer Zara, juga menyewa Istana Pataudi sebagai lokasi penggambaran.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Apabila dapat ke kubur arwah rasa sangat tenang dan hilang rasa rindu. Kalau hujan pun saya akan duduk dalam kereta sekejap dan lihat kubur arwah dari jauh. Itu pun sudah cukup menghilangkan rasa rindu.”
Tersentuh membaca luahan hati seorang ibu, merindui seorang anak yang sudah tiada. Di sebalik senyuman dan raut wajah tenang penyanyi era 80an yang tersohor dengan lagu Rumah Kecil Tiang Seribu, Azian Mazwan Sapuwan tersimpan perasaan rindu yang tak tertanggung terhadap arwah anaknya, Mohammad Aqil Zulkarnain. Arwah maut kemalangan jalan raya sekitar Disember tahun lalu. Semestinya, rasa kehilangan itu adalah yang paling ‘sakit’ kerana kasih sayang seorang ibu tiada penghujungnya.
Arwah Mohammad Aqil anak keempat daripada tujuh beradik. Biarpun Allah SWT meminjamkan Mohammad Aqil selama 20 tahun sahaja namun setiap kenangan bersama arwah tersemat kemas di sanubari Azian lebih-lebih lagi detik mengandungkan, melahirkan dan membesarkannya. Azian sekeluarga redha dengan takdir Ilahi dan yakin dengan hikmahnya. Kini genap 5 bulan pemergian arwah.
Jelas terlihat kuatnya semangat seorang ibu menghadapi kehidupan selepas ketiadaan arwah. Setiap anak memiliki sikap serta keistimewaan yang berbeza. Salah satu sikap arwah ialah ringan tulang dan suka membantu orang yang dalam kesusahan. Itulah yang dirindui oleh Azian.
Arwah Mohammad Aqil menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang selepas mengalami kemalangan motorsikal pada 22 November 2019. Ekoran kemalangan itu, Mohammad Aqil mengalami kecederaan dalaman yang serius sehingga terpaksa dibius untuk direhatkan bagi memulihkan hati serta limpanya.
Namun, setelah hampir sebulan dirawat serta berada dalam keadaan koma akhirnya Mohammad Aqil menemui ajal kira-kira pukul 11.30 pagi. Arwah turut meninggalkan seorang balu dan anak. Ketika meninggal dunia, arwah baru sahaja bergelar seorang bapa dan anaknya, Aryan Zahfran ketika itu baru berusia 11 hari.
Azian turut berkongsi di laman Instagramnya “Anakanda saya, Mohammad Aqil Zulkarnain telah kembali ke rahmatullah lebih kurang jam 11.30 pagi ini. Semoga roh Allahyarham anakanda ditempatkan dalam kalangan yang beriman. Ya Allah..kuatkan aku..” Ternyata, ibu yang berusia 45 tahun ini sangat tabah.
KONGSI DETIK TERAKHIR
“Pada siang hari kejadian, arwah ada datang makan tengah hari bersama kami sekeluarga. Arwah ada tegur saya, lama tak makan ayam memandangkan isterinya ketika itu masih dalam pantang. Saya kata petang nanti saya masakkan untuknya nasi ayam. Petang tu memang keraplah arwah datang. Dua minggu sebelum meninggal, arwah kerap bawa adiknya berjalan-jalan naik motor.
Saya selalu pesan kepadanya bawa motor baik-baik walaupun arwah memang bawa motor tak laju. Kadangkala saya ada juga terdetik rasa tak sedap hati bila berkata begitu. Takut terjatuh dan sebagainya. Malam sebelum kejadian, anak bongsu tiba-tiba demam dan menggigil. Dalam pukul 2 pagi saya mendapat panggilan daripada rakan arwah menyatakan dia kemalangan di Kajang dan terjatuh dari motor.
Anak ketiga (abang arwah) bergegas ke tempat kejadian dan menemainya menaiki ambulan. Ketika itu arwah masih sedar namun dalam keadaan kesakitan. Saya tak dapat pergi kerana kebetulan anak bongsu demam mengejut. Suami ke hospital untuk melihat keadaannya. Memandangkan arwah masih sedar ketika itu dia sempat bercerita bagaimana kemalangan boleh berlaku.
Menurut cerita, arwah keluar sebentar untuk berjumpa rakan memandangkan sudah lama dia tak keluar bertemu mereka sejak menjaga isterinya berpantang. Semasa dalam perjalanan tiba-tiba ada dua kereta dipandu laju sehingga arwah hilang kawalan. Arwah terpaksa brek mengejut lalu terjatuh.
Mulanya saya kurang percaya sebab setahu saya, sejak isterinya sarat mengandung arwah kerap memandu kereta dan sudah lama tak menunggang motor terutama luar dari Putrajaya. Apabila anak sulung berkongsi gambar kejadian barulah saya percaya. Keesokannya baru saya berpeluang ke hospital. Dari luaran kecederaannya sedikit sahaja. Cuma kecederaan dalamannya sahaja agak serius. Selepas dibedah arwah ‘ditidurkan’.
Arwah dipindahkan ke Hospital Selayang untuk tindakan susulan doktor pakar hati. Setiap hari saya akan ke sana walaupun arwah masih dalam ICU. Empat hari sebelum arwah pergi dia ada membuka mata. Fizikalnya juga semakin susut. Walaupun sedar tetapi arwah tidak mampu bercakap kerana masih lagi sakit dan terdapat banyak wayar di dalam mulut.
Hanya matanya sahaja mampu merenung ke arah saya. Dan setiap hari saya akan menyebut ‘Aqil, ini Mama..’ Terdetik juga, adakah dia buka mata hanya untuk seketika atau sebaliknya. Namun saya tetap positif dan yakin dia boleh sembuh. Anak sulung sentiasa berpesan agar kami terus berdoa kepada arwah. Setiap hari kami juga tidak lupa untuk mengaji di sisinya mohon kesembuhan.
SYAWAL
“Setiap kali raya arwah mesti nak saya sediakan baju Melayu. Saya pernah mengusiknya, dah kahwin belilah sendiri. Dia kata baju Melayu nak Mama yang sediakan. Sebelum pemergiannya kami hanya berkesempatan bercakap tentang baju raya sahaja. Itulah permintaan terakhir arwah yang paling saya terkesan kerana tidak dapat sediakan tahun ini. Menurut isterinya juga arwah sudah belikan siap-siap baju dan barangan bayi yang bersaiz besar. Mungkin dia pun dah tahu yang dia akan ‘pergi’ buat selamanya.
Sejak berkahwin arwah juga menjadi seorang yang lebih mengambil berat dan bertanggungjawab. Tahun ini pertama kali kami menyambut Syawal tanpa arwah. Selalunya arwahlah yang banyak cakap dan suka buat ‘bising’ di rumah. Jadi, ketiadaannya tahun ini memang cukup terasa. Kebetulan juga ibu saya tak sihat sejak tahun lalu. Memang dugaan buat saya.
Kalau diikutkan pemergian arwah masih lagi baru. Selepas pemergian arwah, apa yang saya lakukan ialah motivasikan diri dengan bercakap kepada diri sendiri agar sentiasa positif dan menjadi lebih kuat. Sebagai seorang Islam juga saya tidak pernah putus berdoa dalam solat lima waktu. Saya juga sentiasa memastikan mendekatkan diri kepadaNya. Itulah penawar paling mujarab buat saya, jiwa akan lebih tenang.
Bohonglah kalau saya kata tidak merasa sedih dan menangis terutama ketika merasa rindu. Ada juga situasi yang mengingatkan saya terhadap arwah. Contohnya, ketika memasak atau buat sesuatu perkara saya akan terasa ada sesuatu yang kurang. Selalunya saya akan hantar pesanan Whatsapp kepada arwah untuk bertanya khabar. Sekurang-kurangnya sekali sehari.
Selepas berkahwin arwah tinggal bersama keluarga mertuanya. Anak-anak yang lain masih tinggal bersama kami kerana masih belajar. Sejak arwah tiada saya rasa sesuatu yang kosong terutama pada setiap hujung minggu di mana arwah akan datang ke rumah menjenguk kami sekeluarga. Untuk tidak terlalu memikirkan rasa sedih saya akan sibukkan diri di tempat kerja dan keluar bersama rakan-rakan.
Setiap petang saya sering ke kubur arwah. Saya memang mahu arwah dikebumikan di Putrajaya kerana saya mahu dekat dengannya dan hendak berjumpa dengannya setiap hari. Apabila dapat ke kubur arwah rasa sangat tenang dan hilang rasa rindu. Kalau hujan pun saya akan duduk dalam kereta sekejap dan lihat kubur arwah dari jauh. Itu pun sudah cukup menghilangkan rasa rindu.
HIKMAH
Sejak pemergian arwah sebenarnya banyak hikmah dan kebaikan yang datang. Banyak pengajaran yang kami dapat selain banyakkan bersedekah untuk arwah dan orang lain. Sumber kekuatan saya semestinya suami walaupun selepas kejadian dialah insan yang paling lemah walaupun luarannya nampak tenang.
Kami banyak berkongsi rasa kerana saya sendiri memerlukan sokongan yang kuat ketika meluahkan apa yang dirasa. Saya juga semakin rapat dengan anak perempuan kedua kerana saya sering berkongsi perasaan dengannya dan dia cukup faham dan matang dengan apa yang berlaku. Harapan saya agar kami sekeluarga tabah menghadapi kehidupan dan semakin akrab bersama,” akhiri Azian sebak. Al Fatihah (mohon dibacakan buat Allahyarham Mohammad Aqil Zulkarnain).
Kredit Foto: Instagram @azianmazwann
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.