
Selain terbuka aurat, makan dan minum dengan sengaja ketika menunaikan solat… keluarnya air wadi juga boleh membuatkan solat seorang muslimah itu tidak sah dan terbatal. Mungkin masih ada dalam kalangan kita yang belum sepenuhnya mengetahui hal ini atau sudah tahu namun tanpa sedar telah mengulangi kesalahan sama. Nampak remeh tapi besar kesannya!
Baik lelaki mahupun wanita, mengerjakan solat fardhu hukumnya wajib. Pasti ramai yang tertanya-tanya apa itu air wadi? Air wadi ialah air yang keluar dari kemaluan berwarna keruh dan pekat yang menyerupai air mani dari sudut kepekatannya. Tetapi tidak sama dengan air mani yang tidak berwarna. Air wadi lazimnya keluar selepas kencing atau ketika mengangkat sesuatu yang berat.
Selain itu, air wadi keluar sebanyak satu ke dua titisan dan tidak perlu mandi hadas kerana tiada sebab dari sudut syarak yang mewajibkan mandi melainkan keluarnya air mani. Bagaimana pun, ia perlu dibersihkan sebelum mula solat.

Memang air wadi kadang-kadang tak nampak tapi punca tempat keluar yakni kemaluan perlu dibersihkan sebab masih terlekat di situ. Agar tidak berasa ragu-ragu dengan keadaan ini, semua wanita mesti membersihkan kemaluan dan berwuduk supaya ibadah solat mereka sah. Ini namanya beristinjak.
Jika pakai pantyliner, tukar kepada yang baharu terlebih dahulu sebelum solat dan pastikan sebarang najis atau air wadi tidak terlekat di seluar dalam atau pakaian kita. Bimbang kalau di bawa dalam solat, ia membuatkan ibadah terbatal begitu saja.
Sebarkan perkongsian ilmu ini kepada rakan-rakan dan kaum wanita lain agar kita dapat sama-sama mengerjakan solat dengan tenang dan diterima Allah SWT. Moga bermanfaat!
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & Islam Syurgaku 92
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nak Buat AZAM Bukan Tunggu Awal Tahun Je, Bila-Bila Pun Boleh! Yang Penting NIAT

Semua dari kita menyemai azam baik-baik belaka yang menunjukkan niat mahu berubah daripada negatif kepada positif. Seronoknya kita memasang azam sehingga kita terlupa bahawa sebenarnya kita tidak perlu menunggu tahun baru untuk membuat azam.
Hakikatnya, kita boleh membuat azam baru pada setiap ketika dan setiap saat. Kita ada 365 hari setahun, oleh itu jika ingin menjadi orang berjaya, tidak perlu menunggu tahun baru. Namun begitu memulakan azam baru pada tahun baru juga tidak salah. Bak kata orang, lebih baik lewat daripada tiada langsung!
Azam adalah semangat semangat dan motivasi dalaman yang akan mendorong seseorang melakukan sesuatu sehingga berjaya. Oleh itu, azam mesti diiringi semangat, matlamat jangka pendek dan jangka panjang, juga kesungguhan yang menggerakkan kita melakukan sesuatu.
Umpamanya kita ingin berjaya dalam perniagaan dan mensasarkan pendapatan RM3 juta sebulan. Untuk mencapai sasaran itu, kita haruslah berusaha setiap hari – cari pasaran, cari pelanggan dan segala yang lain. Mungkin juga kita belum boleh mencapai RM3 juta tetapi sekadar RM1.5 juta dalam jangka masa tertentu, tetapi yang utama, usaha gigih tetap perlu dipertingkatkan.
Apabila berbicara tentang azam, ada beberapa perkara yang boleh kita fikirkan untuk memastikan azam tidak sekadar tinggal azam.

1.Azam tanpa usaha
Ramai yang berazam tetapi tidak diiringi usaha. Sekadar berkata, “Sempena tahun baru, aku hendak berubah” tetapi dia tetap begitu juga. Oleh itu, yang penting azam hendaklah disertai tindakan dan tidak cukup kata-kata yang terlafaz di mulut.
Azam yang sekadar di mulut (hanya cakap) biasanya tidak sampai ke mana-mana. Jika ingin berjaya, seseorang itu harus ada tindakan dalam bidang yang diusahakan. Azam dalam apa jua urusan, termasuk ibadat – mahu berhenti berjudi, tidak mahu tinggal solat – harus diusahakan bersungguh-sungguh. Malangnya, ramai yang berazam tidak mahu tinggal solat, tetapi masih bangun lewat dan tidak bersungguh.
2. Azam bermatlamat
Untuk merealisasikan azam, seseorang mestilah menetapkan matlamat. Ibarat bermain bola sepak, bola mesti dibawa ke palang gol kerana di sana ada kemenangan dan ganjaran menunggu. Disebabkan itu, selain sasaran, azam harus punya ganjaran atau imbuhan.
Katakan kita sasar mahu mendapat RM200,000. Maka kita akan bekerja keras untuk dapatkannya. Orang yang bekerja dan punya sasaran akan berjaya. Tetapi jika tiada sasaran, dia akan bekerja sahaja dan kemudian berhenti kerana tiada matlamat akhir.
Rezeki tidak datang bergolek kecuali selepas berusaha. Keluarlah dari paradigma atau kepercayaan lama, termasuklah “tahun lepas berazam tapi tak tercapai juga!” Tanggapan itu menyebabkan kita selalunya malas hendak memasang azam lagi.
Tanggapan begini merupakan kepercayaan lama yang kita anggap betul. Maka sekarang, tiba masanya untuk kita sanggah kepercayaan lama itu. Itu juga sebenarnya yang diamalkan orang-orang yang berjaya.
3.Azam diiringi doa
Bagi Muslim, perkara yang tidak harus ditinggalkan adalah berdoa. Solat lima waktu (sebaik-baiknya solat jemaah) boleh jadi motivasi terbaik dengan disertai doa. Sekadar menadah tangan berdoa tetapi tidak pernah bersolat atau tidak menjaga solat, maka usaha belum memadai.
Sebagai Muslim, kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa ibadah dan doa akan menyumbang pada kejayaan, motivasi dan sumber inspirasi. Ini kerana apabila kita bersolat dan berdoa, bermakna kita ‘mengadu’ pada Yang Maha Pencipta. Itu suatu motivasi yang tiada pada bukan Islam. Ia senjata orang Islam tetapi mengapa harus kita tinggalkan?
Selain itu, amalan berpuasa juga boleh jadi motivasi ke arah merealisasikan azam. Puasa biasanya meletihkan tetapi ramai di kalangan orang Islam yang berpuasa masih bertenaga melaksanakan kerja. Ini menunjukkan bahawa puasa itu memberikan suatu kekuatan dalaman yang tersendiri.
Begitu juga amalan solat malam, nampak sukar untuk dilaksanakan tetapi jika berjaya lakukan, akan jadi motivasi yang baik. Malah Rasulullah juga pernah memperingatkan bahawa tidak ramai yang boleh melakukan solat malam dan sesiapa yang melaksanakannya, adalah orang yang disukai Rasulullah.
Amalan bersedekah dan sikap suka memudahkan kerja orang lain juga menjadi penggerak pada kekuatan diri. Jika orang meminta bantuan, maka permudahkan mereka, berilah khidmat nasihat yang perlu. Itulah yang seharusnya dilakukan pemimpin supaya mempermudahkan rakyat yang dijaga atau ketua yang memberi kegembiraan pada anak buahnya.

4. Ukur pencapaian
Bagaimana hendak mengukur pencapaian azam? Dalam hal ini, pencapaian merujuk kepada kepuasan yang akan kita rasakan selepas sesuatu azam terlaksana. Ia mungkin dirasai di peringkat dalaman atau boleh jadi kepuasan luaran (material), malah mungkin boleh mencapai kedua-duanya.
Umpamanya, seseorang berazam hendak menabung dan apabila sampai masanya, dia dapat melihat jumlah wang dalam akaunnya sendiri. Rasa puas itu boleh jadi kepuasan fizikal (melihat jumlah wang yang banyak) dan selain hati yang riang (puas dalaman) kerana dia beroleh wang itu dengan cara halal dan betul.
Namun ada juga yang banyak duit tetapi hatinya tidak senang, mungkin kerana dia beroleh itu semua dengan cara mengambil hak orang dan menyebabkan orang lain susah serta sebagainya.
5. Lakukan penilaian setiap hari
Islam mengajar supaya umatnya selalu menilai diri setiap hari. Galakan Islam bahawa “esok lebih baik daripada hari ini” sebenarnya merupakan satu bentuk azam yang harus diamalkan. Sebagai seorang Muslim, kita digalakkan untuk menjadi orang yang lebih baik dari sehari ke sehari dari segi amalan, pencapaian harta benda dan sebagainya.
Azam adalah usaha yang bersifat individu. Bermakna hanya individu berkenaan yang boleh menolong dirinya sendiri. Ibarat orang yang memandu kereta, dia mesti tahu ke mana hendak dibawa keretanya. Begitulah azam, kerana azam itu akan ‘memandu’ diri ke jalan yang mahu dituju.
Hayatilah surah Al-Fatihah: 5 yang bermaksud, “Tunjukkan kami jalan yang lurus…” yang merupakan panduan yang diberikan Islam. Malah ayat ini boleh menjadi kefahaman azam yang mesti diberikan pada orang Islam
Begitu juga frasa dalam azan – “hayya ala falah” (marilah menuju kejayaan), merupakan contoh terbaik ke arah menyemai azam. Namun ramai yang tidak menghayati dan kurang memberi tumpuan mengenai hal ini.
Contohilah Rasulullah yang berhijrah dari Mekah ke Madinah dengan azam baru untuk mewujudkan negara Islam – antaranya dengan membentuk perlembagaan dan membuat segala perubahan – sehingga akhirnya berjaya melahirkan ramai korporat Muslim seperti Abd Rahman Auf, Abu Bakar as-Siddiq dan Uthman Affan.
Enam Langkah Praktikal Baharui Motivasi
Sebagai manusia, kita selalu gagal mengekalkan motivasi sehingga menyebabkan azam sukar direalisasikan. Ramai yang memasang azam tetapi kerana motivasi mudah layu dan mati, maka azam juga turut berkubur. Motivasi sebenarnya adalah suatu unsur yang ‘hidup’ tetapi kita tidak tahu bahawa ia hidup. Ada beberapa langkah untuk perbaharui motivasi iaitu:
- Bersahabat dan banyak berkomunikasi dengan orang yang bermotivasi tinggi atau orang yang sudah berjaya. Seseorang yang hendak berjaya dalam bidang kewartawanan contohnya hendaklah mencari orang yang telah berjaya dalam bidang ini. Yang ingin berjinak dalam dunia niaga hendaklah mencari mentor di kalangan ahli perniagaan yang sudah cemerlang.
- Mempunyai role model yang boleh dijadikan idola. Seorang adik umpamanya boleh menjadikan abang atau kakaknya sebagai idola. Dalam masyarakat atau organisasi umpamanya, pemimpin atau ketua akan jadi contoh pada anak-anak buahnya.
- Sering mengingati azam itu. Jika setiap tahun, kita memperbaharui cukai jalan (kereta), maka begitulah kita mengingatkan diri sendiri mengenai azam.
- Carilah seseorang untuk mengingatkan anda. Berpesanlah pada kawan-kawan yang baik dan boleh dipercayai, yang boleh beri teguran sekiranya tersasar daripada landasan yang lurus. Ibu bapa mungkin tidak berdaya menegur atau barangkali mereka berada jauh daripada kita. Jadi kita memerlukan kawan-kawan kerana merekalah yang akan menjadi cermin bagi kita.
- Motivasi yang terbaik adalah dengan cara muhasabah diri sendiri. Ingatkan diri sendiri. Contohnya, “aku hendak berjaya, hendak kerja kuat, tanpa putus asa.” Untuk mencapainya, jangan sesekali kecewa.
- Sentiasa mencatat dalam diari. Lakukan senarai kerja yang mahu dilakukan esok. Lakukan perancangan dalam jangka masa panjang, sasaran dan pelan tindakan, kerana cara ini akan menjadi motivasi untuk mencapainya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Semoga Raja Permaisuri Agong TUNKU AZIZAH Cepat Sembuh Akibat Terseliuh Kaki Ketika Bermain Golf

KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj memang seorang raja berjiwa rakyat. Baginda terkenal dengan sikap ramah ketika berada bersama rakyat jelata.

Kegemaran Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah pada masa lapang ialah membaca, memasak, menjahit dan bermain golf. Namun, Baginda telah memaklumkan melalui laman Instagramnya bahawa telah mengalami kecederaan pada bahagian kaki sehingga bengkak ketika bermain golf.

“Pagi tadi saya main golf, tak perasan lubang sprinkler dan saya jatuh/terseliuh kaki kiri saya. Alhamdulillah, hanya bengkak. Hari Selasa saya akan buat MRI. Terima kasih kerana ramai yang mendoakan. Nak sangat jadi golf champion!!! Syukur ankle tak patah, hanya sakit bisa je!” titah Tunku Azizah.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah turut memuat naik gambar kaki kiri Baginda yang berbalut selepas menerima rawatan. Semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, amin.


Selain itu, Tunku Azizah juga berbakat dalam bidang penulisan. Sebuah buku masakan hasil daripada Baginda sendiri bertajuk “Air Tangan Tengku Puan Pahang” telah diterbitkan dan seterusnya dilancarkan pada Mac 2005 yang lalu. Sehingga kini penjualan buku tersebut masih lagi dijalankan dan hasilnya disalurkan terus ke TAFF.

Baginda telah diputerikan pada Hari Jumaat, 5 Ogos 1960 Masihi, bersamaan dengan 11 Safar 1380 Hijrah, di Istana Bukit Stulang, Johor Bahru, Johor. Raja Permaisuri Agong merupakan Puteri yang ketiga kepada Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Ismail, Sultan Johor.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
PATEEMOH SADEEYAMU Cipta Sejarah Dilantik Sebagai Gabenor Wanita Islam Pertama Thailand

Pateemoh Sadeeyamu, mencipta sejarah tersendiri di Thailand apabila dilantik sebagai Gabenor wanita Islam pertama di negara yang diberi jolokan gajah putih itu.

Pateemoh, 57, merupakan antara 37 pegawai tinggi dari Kementerian Dalam Negeri (Interior Ministry) Thailand yang dilantik untuk mengisi kekosongan jawatan gabenor pada bulan lepas.
Bekas Timbalan Gabenor Phatthalung, Narathiwat dan Yala itu mempunyai pengalaman luas dan pemahanan mendalam akan empat wilayah di selatan itu. Selain itu, beliau pernah berkhidmat di Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), sebuah agensi kerajaan tempatan yang menyelaraskan pentadbiran wilayah sempadan selatan.
Pateemoh turut berterima kasih dengan lantikannya sebagai gabenor di Pattani.
“Ini merupakan satu pengiktirafan kerajaan terhadap golongan wanita dalam menerajui kerajaan tempatan khususnya di selatan Thailand.

“Saya berharap lantikan ini akan memberi inspirasi dan motivasi kepada golongan wanita bukan sahaja di selatan Thailand tetapi seluruh negara untuk membina kerjaya dan profesion dan sekaligus membukti wanita setanding dengan lelaki dalam setiap aspek,” katanya.
Pateemoh Sadeeyamu komited dalam membanteras penyalahgunaan dan penagihan dadah sekaligus meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan.
Pateemoh, Gabenor Pattani yang baharu mahu bekerjasama dengan jabatan dan agensi berkaitan untuk membasmi penyalahgunaan dadah khususnya di kalangan belia.
“Kajian mendapati dadah adalah masalah utama mengancam keselamatan negara dan merosakkan masa depan para belia di empat wilayah di selatan Thailand.
“Statistik daripada pihak penjara mendapati 80 peratus banduan terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah di selatan Thailand. Sehubungan itu, membasmi penyalahgunaan dadah merupakan salah satu fokus saya,” katanya kepada Bernama.
Sehubungan itu, Pateemoh berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan termasuk Komander Tentera Bahagian Ke-4 Leftenan Jeneral Santi Sakuntanark untuk mengkaji semula peraturan dan polisi kerajaan dalam usaha memerangi gejala penagihan dan penyalahgunaan dadah.
![]()
Selain itu, beliau berikrar untuk meningkatkan sosio-ekonomi dan taraf hidup penduduk tempatan.
Sementara itu, Pengarah Deep South Watch, satu kumpulan pemikir yang memantau keganasan di selatan, Dr Srisompob Jitpiromsri berkata lantikan Pateemoh merupakan petanda positif bahawa kerajaan prihatin dan komited untuk membawa pembangunan ke wilayah paling selatan di Thailand.
“Ini merupakan satu titik permulaan yang baik. Pateemoh akan memainkan peranan yang penting untuk membangun Pattani dan juga membawa kedamaian di wilayah selatan,” katanya.
Sumber: BERNAMA/AGENSI.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


