Tiada perkataan yang mampu membidas hujah wanita ini. Meskipun berkerut dahi, tapi tiap katanya yang pedas… bernas berisi.
Mungkinkah ini realiti wanita Malaysia di ambang 60 tahun kemerdekaannya? Sama-sama kita telusur fikiran kompleks Dr. Haliza Zurah, luahannya dalam konteks wanita merdeka. Benar atau tidak… Jawapannya ada pada kita sendiri.
Ads
=========================================
Wanita Alaf Baru, Manja Atau Malas?
Baru-baru ini saya dikejutkan oleh sebuah paparan dari halaman Facebook yang mempromosikan kempen ‘Sarawak Bebas Janda 2018’.
Melalui iklan dari halaman berbahasa Iban tersebut, mereka mengalu-alukan konsep ‘1 lelaki 2 bini’ demi mensasarkan sifar janda pada tahun 2018.
Tidak dapat dipastikan jika paparan tersebut adalah satu lawak jenaka murahan namun ia telah menghina integriti kaum wanita terutamanya golongan janda.
Saya merasakan tindakan tatatertib terhadap laman tersebut adalah wajar. Oleh itu, saya telah menyuarakan hasrat saya kepada beberapa wanita yang saya kenali dengan harapan mereka akan menyokong dan turut serta turun padang demi mempertahankan martabat kaum wanita.
Namun saya hanya dijawab dengan kebisuan semata-mata. Dalam kumpulan Whatsapp yang kadangnya riuh dengan perbincangan hal-hal ringan, tiba-tiba menjadi senyap apabila bangkit isu maruah wanita.
Beberapa ahli kemudiannya menyahut dengan ketidakpuasan hati namun hanya berakhir di situ tanpa sebarang tindakan. Persoalan saya ialah, di manakan sifat perjuangan di kalangan kaum wanita generasi kini?
Jika kita mengamati sejarah Malaysia, kita seharusnya berbangga kerana mempunyai beberapa tokoh agung wanita yang telah mengorbankan jiwa dan raga mereka demi kemerdekaan tanah air.
Nama-nama seperti Khatijah Sidek, Shamsiah Fakeh, Suriani Abdullah dan Aishah Ghani kurang menyinar berbanding pejuang kemerdekaan kaum lelaki yang seangkatan.
Tenggelam mungkin juga kerana sebahagian daripada perjuangan mereka adalah lebih radikal dan berhaluan kiri. Namun kisah mereka tersisip elemen perjuangan yang spesifik kepada kewanitaan seperti nilai keibuan, kelembutan, ketabahan dan cinta seorang wanita.
Semangat pejuang yang dimiliki oleh wanita-wanita besi inilah yang sepatutnya dipupuk di kalangan generasi muda sekarang. Misi perjuangan tidak pernah berubah. Dulu dan kini sama berjuang untuk mempertahankan hak sejagat.
Namun arus globalisasi menyebabkan kita cukup selesa dan alpa lantas kita gagal mendukung tanggungjawab tambahan.
Ads
Jika cadangan perjuangan diusul, wanita manja kini menjawab dengan alasan yang remeh seperti sibuk dengan anak, masalah kewangan, enggan masuk campur dan tiada kebenaran suami.
Adakah wanita besi zaman kemerdekaan dulu tidak mempunyai anak atau suami? If there is a will there is a way.
Wanita harus berani tampil untuk melawan dalam skala besar seperti berhadapan dengan pihak antagonis yang menjatuhkan maruah wanita, lantang menyuarakan hak dan menggunakan akal bagi memasang strategi membangunkan wanita.
Kebanyakan individu generasi kini hanya hebat sebagai keyboard warrior menjerit-jerit tidak puas hati di alam maya. Perjuangan sekadar menghentam papan kunci atau menaip di telefon bimbit yang berjenama mahal tidak akan membawa kepada perubahan.
Akibat daripada lenyapnya semangat perjuangan ini, penganiayaan terhadap wanita akan berterusan. Tiada revolusi dalam status wanita dalam masyarakat.
Ads
Kita akan terus ketinggalan dan bertuankan sistem patriarki. Jangan sekadar mengomel tentang hak atau layanan yang tidak sama rata tanpa mengambil sebarang tindakan. Kita juga harus memastikan maruah kita tidak diperlekehkan oleh golongan yang kecil jiwanya.
Oleh itu, saya ingin menyeru kepada wanita yang kini sedang selesa duduk di atas kerusi empuk untuk menganalisa kembali jika kita sudah mencapai status wanita maju dan berwibawa. Jika belum maka bangkitlah dan berganding bahu untuk membuat perubahan.
Berbalik kepada isu kempen mensifarkan janda di bumi Sarawak. Saya menyarankan pihak tersebut fokus untuk memupuk sifat bertanggungjawab di kalangan kaum lelaki.
Didikan dalam skop menyediakan keperluan secukupnya kepada isteri dan anak-anak, tidak curang, rajin bekerja dan tidak mengikis duit isteri adalah lebih tepat. Suami yang berjaya mengemudikan rumah tangga akan mengurangkan kes-kes penceraian lalu impian mensifarkan janda akan menjadi satu kenyataan. Setuju?
=========================================
Dr. Haliza Zurah merupakan seorang doktor perubatan, Pengasas Women’s Organisation for Change (WOC) dan bergiat aktif sebagai aktivis di Women AIDS Organisation (WAO).
Awal tahun ini, Nona pernah menyiarkan kes beliau sebagai mangsa penderaan domestik dan kini Dr. Haliza berjuang mempertahankan nasib wanita teraniaya. Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bergelar anak yatim memberi kesedaran kepada Miesya Yunus bahawa dia juga mampu berjaya. Itu antara sebab wanita berusia 30an yang mesra dipanggil Miesya ini aktif sebagai aktivis sosial.
Detik kehilangan arwah bapanya menjadi titik tolak kepada perubahan dalam hidup Miesya. Sejak hilangnya kasih sayang seorang ayah Miesya menjadi seorang yang lebih berdikari walaupun anak bongsu.
Tekadnya, ingin mengubah nasib keluarga. Berkat kesungguhan dalam usia 30an Miesya berjaya membina empayar perniagaan iaitu Miesya Yunus Holding Sdn Bhd.
Pemilik nama sebenar iaitu Nur Aishah Mat Yunus ini memiliki darah campuran Melayu, Jawa, Arab dan Pakistan.
BERKAT DOA IBU
“Saya berasal dari bandar kecil, dibesarkan dalam suasana sederhana namun penuh dengan kasih sayang ibu dan arwah abah. Kami kehilangan arwah abah semasa usia saya 18 tahun.
Beliau adalah hero kami kerana selain penyayang arwah juga bertanggungjawab dan bijak. Arwah juga mentor dan sahabat baik saya kerana kami boleh berbincang apa saja isu semasa.
Saya berjanji pada diri mahu berjaya yang luar biasa agar dapat menjaga ibu seperti mana arwah abah. Selama hayatnya arwah abah sangat memuliakan ibu dan nenek.
Kejayaan saya hari ini adalah kerana izinNya yang memberi saya peluang atas nikmat rezeki. Seterusnya, berkat doa dan redha ibu. Tanpa keduanya tak mungkin saya mampu berada di tahap ini.”
BUKAN CALANG-CALANG WANITA
Miesya turut bergelar perunding imej dan penjenamaan korporat, jurucakap profesional, tenaga pengajar dan aktivis NGO berorentasikan kepimpinan, belia dan wanita.
Pengalaman lebih 10 tahun di pentas NGO dalam negara sehinggalah mewakili negara sebagai deligasi Malaysia yang bersuara dalam konteks wanita, belia, kepimpinan dan pendidikan.
Sekaligus ia memberikan Miesya kesedaran bahawa ilmu ini harus diteruskan bagi membentuk masyarakat celik ilmu dan kuat jati diri. Ternyata, Miesya bukanlah calang-calang wanita.
Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang ada Miesya mengharapkan ia menjadi infak buat insan yang memerlukan.
Miesya punya rencananya sendiri demi masa depan yang lebih baik. Miesya juga mahu membuktikan dia juga mampu berjaya seperti mana janjinya terhadap arwah bapa.
Kredit Foto: Instagram Miesya Yunus
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kalau terpacul sahaja nama Kylie Jenner pasti sudah terbayang seorang gadis dengan sosok tubuh seksi yang gemar menggayakan fesyen terkini pereka jenama mewah. Wajah yang jelita dan sering tampil cantik dengan solekan sempurna ini sebenarnya begitu gigih dalam perniagaan kosmetik yang diasaskannya.
Wanita yang lahir daripada program realiti TV ini benar-benar bertuah kerana namanya telah melonjak naik lantaran program realiti TV yang dilakonkan bersama-sama kakak satu ibunya, Kim Kardashian. Biasan daripada program realiti TV tersebut namanya turut gah di platform laman media sosial yang telah mencurahkan rezeki melimpah-ruah.
Kylie bukan seorang anak hartawan jauh sekali jutawan tetapi, atas hasil usaha titik peluhnya dan populariti yang diraih melalui laman media sosial, wanita yang bakal menginjak usia 21 tahun pada Ogos ini telah melayakkan dirinya bergelar JUTAWAN.
Bergelar jutawan dalam usia yang terlalu muda merupakan satu kebanggaan buat dirinya dan telah menyuntik inspirasi buat wanita lain seusianya mahupun yang sudah berusia. Mesti terasa puas hati segala usaha yang dilakukan nyata berbaloi.
Majalah Forbes baru-baru ini telah menyenaraikan Kylie Jenner sebagai salah seorang wanita muda yang berjaya dalam perniagaan kosmetik sehingga bergelar Instagram-Savvy Makeup Moguls. Dengan memiliki 110 juta pengikut di laman Instagram dan digelar sebagai Seventh Most Followed User mungkin Kylie Jenner tidak perlu bersusah payah untuk mempromosikan barangan solekannya.
Bisnes kosmetik yang diberi nama sempena namanya, Kylie Cosmetics telah mentransformasikan dirinya daripada seorang gadis biasa kepada seorang Jutawan dengan jumlah harta kekayaan USD900 juta dalam masa tiga tahun memulakan perniagaan. Walaupun banyak kritikan yang diterima Kylie dalam menentukan gaya hidupnya tetapi dalam masa yang sama telah mencipta kejayaan peribadi yang pasti dicemburui oleh setiap wanita. Tahniah Kylie! anda mesti bangga memiliki harta kekayaan yang tercipta daripada usaha sendiri.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Attyra Saari, usahawan wanita dari Terengganu yang berusia 29 tahun ini merupakan pengasas produk DAURA BEAUTY LEGACY. Sebelum bergelar usahawan, Attyra merupakan seorang suri rumah sepenuh masa.
“Tahun 2016 saya mula berniaga dengan menjual tudung bermodalkan RM100 saja. Ketika ini saya tiada pengalaman langsung dalam berniaga, hanya minat sahaja. Inilah detik paling struggle. Stok pula bergerak perlahan. Memang sangat-sangat struggle. Namun alhamdulillah dengan rezeki berniaga, sekarang segala urusan dipermudahkan.
Kepuasan dalam berniaga ialah dapat bantu orang yang memerlukan. Saya memang suka berkongsi rezeki dengan orang lain. Bukan dengan suami saja malah kepada followers, rakan-rakan dan keluarga pun saya berikan hadiah setiap kali birthday atau hari biasa. Selain itu, bila berniaga banyak waktu untuk diri sendiri dan keluarga kerana kerja tak terikat dengan sesiapa.
Nasihat saya buat mereka yang terkesan dengan pandemik mahupun keadaan sekarang, usah mudah putus asa. Bila kita mula berniaga harus enjoy. Cari ilmu sebanyak mungkin. Semua merasa kesannya tetapi jadikannya cabaran untuk kita berusaha lebih lagi untuk majukan perniagaan.
Guna segala platform yang ada untuk perkenalkan perniagaan kita,” kongsi Attyra yang menyifatkan suaminya adalah tulang belakang utama di sebalik jatuh bangunnya dalam dunia perniagaan. Banyak lagi pengorbanan suami yang tidak terbalas.
Untuk kekal bahagia, mereka saling menjaga perasaan masing-masing agar tidak mudah merasa tertekan. Attyra juga gemar berjenaka bila berada di samping suami. Paling penting bagi Attyra ialah sentiasa mendengar nasihat dan tidak melakukan perkara yang tidak disukai suami.
Impian Attyra agar suatu hari nanti dia berpeluang untuk membawa kedua belah keluarga ke tanah suci Mekah. Semoga impian tersebut akan terlaksana, Insya-Allah.
Kredit Foto: Instagram @attyrasaari
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pesanan arwah papa jadi azimat buat Efin Fawzy. Dilahirkan dalam keluarga yang aktif berniaga dan diberi pendedahan mengenai ilmu perniagaan sejak muda mendorong pengasas...